Tuesday, October 07, 2008

Inilah dia

Dah lama aku menunggu pemain bola sepak Malaysia yang berfikiran seperti ini, tahniah Zaquan! Harap2 pemain lain dapat mencontohi beliau kalau ingin maju, tapi janganlah jadi macam beberapa pemain negara yang tak tahan homesick dsb bila dah kat sana. Aku dan ramai lagi peminat bola tempatan pasti akan mendoakan agar kamu bisa mendapat tawaran bermain, Amin!

Slovakia lebih menarik - Zaquan

PETALING JAYA - Jika diberi pilihan sama ada bermain di Liga Slovakia atau Malaysia, penyerang negara Zaquan Adha Radzak cenderung untuk berkelana ke negara Eropah Tengah itu, lapor FERZALFIE FAUZI.

Bukan memikirkan soal gaji atau popular tetapi pendedahan beraksi di luar negara mampu meningkatkan mutu permainannya seterusnya memantapkan lagi pasukan kebangsaan.

''Selepas beraksi dalam empat perlawanan persahabatan di Slovakia saya telah dimaklumkan oleh ejen bola sepak di sana, saya akan diberi peluang untuk beraksi bersama salah sebuah pasukan Liga Divisyen Satu Slovakia,'' katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, buat masa ini dia dan abangnya Aidil Zafuan Radzak hanya menunggu surat dari kelab tersebut dan sudah tidak sabar untuk beraksi di sana.

''Saya tidak nafikan beberapa pasukan dalam liga tempatan ada menawarkan untuk mendapat khidmat saya tetapi kalau semua urusan bersama kelab Slovakia itu berjalan lancar saya akan ke sana.

''Buat masa ini saya masih mempunyai kontrak bersama pasukan Negeri Sembilan sehingga hujung tahun ini,'' katanya.

Zaquan juga amat berpuas hati dengan pendedahan skuad kebangsaan di Slovakia kerana memberi impak yang besar buat semua pemain.

''Corak permainan mereka sangat berbeza dan kami menentang dengan pasukan yang bagus, sukar untuk mendapat lawan seperti itu jika kami menghabiskan masa berlatih di dalam negara sahaja.

''Mereka sudah mempunyai asas yang kukuh dalam sukan bola sepak, perkara itu sahaja sudah dapat membezakan antara pemain kita dan mereka (Slovakia),'' kata Zaquan.

Sementara itu Jurulatih pasukan kebangsaan, B.Sathianathan berkata, negara Asia yang beraksi di Piala Dunia seperti Korea Selatan, Jepun dan Iran semuanya menghantar pemain mereka beraksi di Eropah kecuali Arab Saudi.

''Negara Asia yang beraksi di Piala Dunia mempunyai pemain yang beraksi di luar negara mereka kecuali Arab Saudi tetapi pasukan Timur Tengah itu sentiasa berada di tempat tercorot dalam Piala Dunia.

''Kalau mahu pemain kita maju seperti negara-negara tersebut mereka sepatutnya dihantar beraksi di luar, sekurang- kurangnya di Jepun atau negara Asia yang lain,'' kata Sathia.

No comments: