Saturday, September 27, 2008

Sepuluh Tahun Reformasi

Sedar tak sedar badai reformasi yang menggegarkan negara pada september 1998 sudah memasuki umur 10 tahun. Aku masih ingat bagaimana kecohnya suasana di sekolah kerana akibat kes ini. Ada cikgu yang pro dan anti, tetapi pelajar2 majoriti seperti pro reformasi sehingga kami pernah menggantung sepanduk bertulis 'Justice For All' di kawasan asrama sebelum diarah cabut setelah ada ibu bapa pelajar yang membuat aduan.

Secara umunya di sekolah aku kesedaran pelajar tentang politik agak baik walau arahnya lebih kepada politik Islam ala PAS. Aku yang pada ketika itu cenderung pada PAS (tiada kaitan agama, satu2nya wadah penentangan) telah terbuka mata pada satu kemungkina politik baru yang lebih menjanjikan harapan berbanding politik Islam yang kurang keserasian.

Di kala sibuk menghadapi peperiksaan SPM, aku berselang seli menghiburkan diri dengan mendengar ceramah Anwar melalui kaset2 yang dibeli oleh rakan2. Jauh sebelum timbulnya reformasi, bahan bacaan wajib aku adalah Harakah, Suara PUM & Tamadun beserta The Star dan BH serta kaset2 ceramah dari peguam anti murtad yang sekarang menjadi sosok kontroversi iaitu YB Zulkifli Noordin.

Pada mulanya aku tidaklah simpatisan pada Anwar kerana beliau pernah hadir ke sekolah merasmikan mesyuarat bahagian dan menghentam PAS. Aku tertarik untuk mula menyokong setelah menyertai demo2 di Jalan TAR ketika aku sepatutnya ada kelas tambahan cuti semester pendek di Infotech MARA. Melihat sokongan jitu rakyat dan setelah menghadam ucapan2 Anwar membuka pintu untuk aku turut serta dan kemuncaknya adalah pada 20 September 1998 di mana puluhan ribu berarak dan berkumpul di Dataran Merdeka dan Masjid Negara.

Sebagai peminat setia sukan, dilema juga pada masa itu kerana acara akhir hoki yang melibatkan Malaysia akan berlangsung pada malam hari dan politik pula di kemuncak. Fikir punya fikir aku memilih hoki dan setamatnya perlawanan di mana Malaysia tumpas 0-4 di tangan Australia, berita penangkapan Anwar tersebar.

Fast forward ke hadapan, gelombang dan semangat reformasi ditambah faktor2 lain akhirnya berjaya diterjemah di dalam bentuk sokongan rakyat apabila 4 buah negeri termasuklah Selangor yang sehingga sekarang masih sukar diercayai ditawan manakaka Kelantan dikekalkan. Bukan sekadar itu, momentum ke arah penubuhan kerajaan pusat oleh Pakatan Rakyat yang dijanjikan Anwar Ibrahim pada 16 September melalui pintu belakang walaupun gagal telah memecahkan mitos bahawa hanya BN sahaja yang berhak berkuasa. Sesuatu yang tidak aku yakini akan berlaku sederas ini.

Walaupun gerakan reformasi menghadapi pelbagai masalah dan berada pada tahap yang lemah pada 2004 akibat penahanan beberapa aktivis reformasi di bawah ISA sehingga ia berjaya memecah belah gerakan. Aku percaya gerakan ini akan berjaya jika garis yang diambil adalah inklusif dan bercorak pelbagai kaum kerana rakyat tidak boleh bergantung kepada PAS yang Islam Melayu dan DAP yang lebih Cina dari Malaysianya.

Pernah dalam perbincangan dengan Nik Nazmi beberapa tahun lepas, kami meyakini masa depan PKR terletak pada politik pelbagai kaumnya dan berambusnya pejuang2 reformasi/PKN/PKR yang masih bermazhab ketuanan Melayu alaUMNO tapi menyokong Anwar dengan harapan beliau kembali ke UMNO amat melegakan. Namun begitu aku percaya masih terdapat saki baki geng2 seperti yang disebut di dalam PKR hari ini.

Tatkala Anwar muncul dengan gagasan Agenda Malaysia, aku dan teman2 sibuk mempromosikan sesuatu yang kami sangat2 idamkan. Walaupun dalam banyak ketika kami masih pesimis dengan Anwar dan Agenda Ekonomi Malaysia beliau, sokongan rakyat pada 8 Mac ke atas PKR dan parti2 oposisi lain menjadikan beliau harus komited dengan agenda murninya. Anwar dan PKR tidak boleh menoleh ke belakang lagi dan kembalinya Anwar ke Dewan Rakyat setelah menang dengan majoriti yang lebih besar pada pilihanraya kecil P Pauh membuktikan rakyat menyokong agenda beliau dan sanggup bergadai untuk seketika.

Reformasi!

No comments: