Sunday, June 29, 2003

APUKE Jun

Walaupun agak terlewat untuk mengulas acara ini yang telah berlangsung kira-kira tiga minggu lepas, saya masih berminat untuk memperkatakan tentang acara yang pertama kali saya hadiri dan saya begitu kagum dan gembira pada malam tersebut.

APUKE adalah singkatan kepada 'acara baca puisi keliling' dan jika tidak silap saya ianya telah diadakan untuk kali keenam termasuk yang baru berlangsung ini dan diadakan setiap bulan. Untuk bulan Julai yang akan tiba dalam masa beberapa hari lagi, tanggal 12 Julai adalah waktu yang telah ditetapkan oleh komite APUKE dan akan diadakan di Setapak.

APUKE kali ini telah diadakan di MCOBA, Jalan Syed Putra, bangunan milik budak lepasan Kolej Melayu. Dianggarkan lebih daripada 100 orang yang hadir dan difahamkan ini adalah angka tertinggi yang dicatat dan hampir kesemuanya terdiri dari golongan muda. Tetamu yang hadir adalah SN A Samad Said, Tengku Elida Bustaman yang turut membacakan puisi, vokalis kumpulan Exists, Ezad serta kehadiran mengejut bekas tahanan ISA yang baru dibebaskan, Hishamuddin Rais.

Kehadiran Hishamuddin Rais malam tersebut mendapat tepukan dari para peserta dan Hisham telah diberikan masa yang banyak untuk menyampaikan puisi dan sajak yang telah dikarangkan olehnya semasa di dalam tahanan.

Apa yang menarik perhatian saya pada malam itu adalah persembahan nyanyian dan teater oleh satu kumpulan yang saya tidak tahu dari mana asalnya. Kumpulan ini membawa subjek 'Cakap' dan saya amat tertarik dengan olahan idea berkenaan 'cakap' yang telah disampaikan dengan begitu menarik dan sinis. Acara pada malam itu telah ditutup oleh bacaan puisi dari A Samad Said yang telah membuatkan fikiranku begitu letih demi untuk menangkap dan memikirkan maksud yang tersurat dan tersirat dalam puisinya yang bertajuk, Setinggan Ramadhan.

Apapun, kehadiran begitu ramai anak muda begitu menggembirakan dan tidak pernah terfikir di benak fikiran saya yang mana akan ada sebegini ramai manusia sanggup duduk selama 3 jam setengah semata-mata untuk mendengar puisi, sajak, nyanyian dan sebagainya. Yang terpenting bak kata Syed Bakar pada malam tersebut, 'SELAMAT KEBEBASAN INTELEKTUAL!' dapat dilihat di APUKE ini berbanding di acara-acara seni yang bersifat formal dan mengampu kerajaan dan elit pemerintah. HIDUP ANAK MUDA!
Konsert Pop Malaysia-Japan 2003

Malam Rabu yang lalu telah berlangsung satu konsert pop bersama antara dua negara yang berbeza budaya, Malaysia dan Jepun. Konsert ini adalah salah sebahagian aktiviti yang dianjurkan bersempena program Japan-Asean Exchange Year 2003. Konsert yang telah diadakan di Auditorium Perdana, Angkasapuri (pusat propaganda dan pembodohan pemikiran rakyat) ini adalah konsert sulung dan selepas ini akan diadakan di Thailand dan Indonesia.

Acara yang diadakan ini telah mendapat sambutan hangat sehinggakan ruang tangga di dalam auditorium juga turut diisi oleh para penonton yang gagal mendapat tempat duduk. Saya dan Aran bernasib baik mendapat tempat duduk walaupun hanya tiba kira-kira 10 minit sebelum acara bermula.

Konsert ini mempersembahkan artis-artis terkenal kedua-dua buah negara, Malaysia diwakili oleh Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Francisca Peter dan By'u manakala di pihak Jepun pula ialah Chika Yuri, Tomomi Kahala dan Masaki Ueda.

Konsert sebegini yang menampilkan penyanyi dari negara matahari terbit itu sememangnya amat dinanti-nantikan saya selama ini. Walaupun tanpa kehadiran artis popular dan artis kegemaran saya dari Jepun seperti Utada Hikaru, GLAY, Ayumi Hamasaki, Mai Kuraki, Namie Amuro dan banyak lagi. Kehadiran Chika Yuri yang pen pal saya dari Jepun tidak mengenalinya, Tomomi Kahala yang amat popular di sana kerana sifatnya yang cool dan tubuh badannya yang seksi serta Masaki Ueda yang turut terkenal menggubah lagu untuk ramai penyanyi di pelbagai negara seperti untuk Reza dari Indonesia boleh dianggap baik juga.

Persembahan pada malam itu boleh dikatakan amat baik terutamanya dari Ning Baizura, Masaki Ueda dan Siti Nurhaliza. Vokal Ning pada malam tersebut begitu menyerlah. Namun kepada mereka yang tidak dapat ke sana pada malam tersebut, peluang masih ada untuk mengikuti siaran rakamannya yang akan ditayangkan pada satu masa yang masih belum ditentukan lagi di saluran propaganda, RTM.

Sesuatu yang menarik pada malam tersebut yang saya dapat perhatikan adalah komposisi penonton yang hadir amat seimbang di mana orang Melayu, Cina dan juga orang Jepun sendiri tidak memonopoli acara tersebut. Kelihatannya, semakin ramai yang berminat dan bersifat terbuka terhadap kebudayaan orang luar.

Friday, June 20, 2003

Isu Kartun Zunar

Setelah reda isu the Economist yang menampakkan kedangkalan pemimpin dan ahli Umno dalam berhujah, tradisi melatah membabi-buta ahli-ahli Umno muncul kembali dan subjeknya tetap sama, iaitu kritikan terhadap Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun secara peribadi, saya berpandangan karikatur Zunar itu agak keras dan ada sedikit menghina, namun tanggapan saya itu hanya berdasarkan objek yang dilihat.

Jikalau diperhatikan secara lebih mendalam dan melihat akan subjeknya, karikatur itu tidak langsung keras dan bermaksud menghina.

Apa yang ingin disampaikan oleh Zunar adalah berkenaan isu SAR di mana Zunar mengaitkan pemberhentian bantuan kepada SAR oleh kerajaan yang diterajui Dr M dan babi yang pada anggapan Zunar sebagai punca wabak SARS sebagai subjek utamanya.

Apa yang menimbulkan kemarahan adalah kebetulan hidung Dr M yang dilukis itu seakan menyerupai hidung khinzir. Namun kita perlu melihat akan stail lukisan Zunar selama ini yang sememangnya trademark hidung Dr M adalah besar.

Apapun ini adalah sesuatu yang subjektif dan boleh diperbahaskan. Kita perlu menyedari bahawa kartun adalah seni dan berbentuk satira. Apa yang menyedihkan adalah tiada langsung pandangan yang dinyatakan menyentuh tentang subjek yang ingin disampaikan itu, apalagi untuk diperdebatkan. Dari sudut seni pula, janganlah bermimpi.

Apa yang dikesalkan lagi adalah komen dan pandangan pemimpin Umno seperti Pak Lah dan Azalina Said yang langsung tidak matang. Jika difikirkan, sama ada salah atau tidak, sekurang-kurangnya pihak Harakah sanggup untuk meminta maaf.

Adakah perkara yang sama sanggup dilakukan oleh Umno dan sekutu-sekutunya? Mana permohonan maaf Dr M dan pemimpin-pemimpin Umno tatkala menuduh Anwar Ibrahim menumbuk matanya sendiri serta mendedahkan dakwaan yang menjatuhkan maruah Anwar Ibrahim secara terbuka dan tanpa segan silu?

Mana permohonan maaf Abdul Kadir Sheikh Fadzir terhadap masyarakat Cina atas kenyataan patriotisme di kalangan orang Cina? Jika hendak disebut satu demi satu, senarainya terlalu panjang.

Selagi mana pandangan yang tidak berlandaskan ilmu pemikiran ini kedengaran, usahlah bercerita tentang mentaliti kelas satu seperti yang disebut oleh Pak Lah. Satu contoh paradoks yang lazim ditonjolkan pemimpin Umno.

Akhirnya, tahniah kepada Zunar kerana telah menimbulkan satu kontroversi yang mana jika di barat dan di negara yang matang rakyatnya. Isu seperti ini pasti akan diperbincangkan dan diperbahaskan dengan penuh keterbukaan dan rakyatnya dapat mengartikulasi pandangan mereka secara rasional, matang dan bebas. Isu ini mendedahkan kepada kita bahawa mentaliti dan cara pemikiran masyarakat kita masih di kelas ketiga.

Apapun, satu kritikan saya terhadap Zunar adalah berkenaan punca Sars yang mana saya fikir masih tidak diketahui punca sebenarnya. Mengaitkan Sars dengan babi adalah sesuatu yang tidak relevan di waktu ini. Namun di sisi yang lain, kita boleh membuka ruang pendapat dan perbahasan tentang punca sebenar wabak Sars itu yang kelihatannnya tidak lagi menarik perhatian orang ramai tatkala ini

Tuesday, June 10, 2003

ZUHUD DAN TABLIGH

Bila mana membicara soal zuhud, apa yang selalu terbayang di benak fikiran kita ialah seorang yang hidup sederhana dari segala segi baik rumahnya, kenderaannya, pakaiannya dan sebagainya. Selain daripada itu, jarang diperkatakan tentang takrif sebenar zuhud dan bentuk zuhud yang bagaimana yang dianggap relevan di zaman yang penuh dengan pancaroba ini.

Memetik kata-kata Dr. Yusof Al Qardhawi dalam satu tulisannya di mana beliau telah memperingatkan tentang dua pemikiran yang berbahaya terhadap umat Islam jika ia masih diamalkan, dua pemikiran tersebut ialah: Pertama, pelbagai pemahaman yang mempengaruhi umat Islam sepanjang tempoh berlakunya penjajahan berupa salah faham mereka tentang Islam.
Misalnya, memahami zuhud dengan meninggalkan sama sekali kehidupan (dunia) ini sehingga dikuasai oleh orang bukan Islam; memahami keimanan terhadap takdir seperti yang difahami oleh kaum Jabariyah; memahami bahawa ilmu fikah adalah mengutip pendapat orang (ulama) terdahulu.
Begitu juga memahami bahawa pintu ijtihad telah ditutup, akal berlawanan dengan wahyu; menganggap wanita sebagai sarang (perangkap) syaitan; termasuk juga pemahaman bahawa al-Quran harus digantung untuk memelihara diri daripada jin; atau bahawa keberkatan sunah terletak pada pembacaan Sahih Bukhari ketika terjadi kesedihan (musibah); dan memahami masalah wali dan karamah dengan pemahaman yang bertentangan dengan sunnatullah.
Dan masih banyak lagi pemahaman yang lainnya yang berkembang pada masa kejumudan ilmu dan pemikiran, taklid di bidang fikah, perdebatan ilmu kalam, penyimpangan dalam bidang ibadat, diktator politik dan peradaban

Kedua, pelbagai pemahaman yang menyerang masyarakat Muslimin yang datang bersama dengan serangan penjajah. Ia masuk dari pintunya, berjalan bersama rombongannya, berlindung di belakangnya dan menjadikan mereka (penjajah) sebagai kiblat dan imamnya. Pada hal belum pernah ada perjanjian antara mereka dengan kita (umat Islam), bahkan belum pernah terlintas di benak kita.Itulah pemikiran-pemikiran yang menyimpang, yang berkaitan dengan agama dan dunia, lelaki dan wanita, keutamaan dan isu remeh-temeh, kebebasan dan kejumudan, kemajuan dan kemunduran, halal dan haram dan sebagainya.

Banyak ceramah-ceramah agama yang diadakan di surau-surau dan masjid-masjid di negara ini masih tidak dapat lari daripada membicarakan soal –soal yang lebih besar seperti ekonomi Islam, keadilan sosial, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain yang pastinya jika dikupas secara tuntas akan dapat meningkatkan kesedaran dan penghayatan umat Islam terhadap budaya ilmu yang sekaligus akan dapat merubah nasib umat Islam.

Berbalik kepada soal zuhud, jika sesorang itu mengikuti program tabligh yang pada anggapan golongan ini adalah satu sunnah Rasulullah, kita pasti akan diberitahu akan pentingnya zuhud dan contoh yang terbaik adalah diri mereka. Jika kita merenung sedalam-dalamnya dengan niat untuk memartabatkan Islam dan umatnya sebagai umat yang terbaik, golongan ini gagal membawa takrifan zuhud yang unggul.

Dengan kebersihan pakaian dan diri yang tidak terjaga, golongan ini akan berterusan menyampaikan doktrin zuhud mereka kepada orang yang tidak faham, kurang ilmu dan rendah tahap pemikirannya supaya menjadikan cara hidup mereka ini sebagai ikutan.

Definisi zuhud dan tabligh pada zaman ini sepatutnya harus berubah mengikut peredaran zaman tanpa perlu meninggalkan matlamat dan visi utamanya. Seseorang yang mempunyai harta yang banyak seperti dalam bentuk ekuiti, tanah, rumah, lot komersil dan sebagainya boleh dianggap zuhud jikalau mereka ini tetap hidup bersederhana. Zuhud bentuk ini dimana orang yang mengamalkan zuhud ini mempunyai banyak harta sepatutnya didakyahkan dan dijadikan ikutan.

Golongan yang mengamalkan zuhud pada pengertian lama itu bukanlah mengamalkan zuhud pada erti kata sebenar kerana golongan ini majoritinya sememangnya tidak mempunyai harta dan hanya mengamalkan zuhud disebabkan taraf kehidupannya yang terpaksa berbuat demikian.

Mempunyai harta yang banyak membolehkan kita mengamalkan salah satu sunnah Rasululah iaitu menyampaikan ataupun tabligh secara yang berkesan dan sistematik. Golongan yang berharta dan hidup bersederhana ini mampu untuk menubuhkan satu yayasan di mana ia mempunyai bangunan sendiri dan diadakan aktiviti pengilmuan, pembelajaran, perbincangan dan menyediakan kemudahan-kemudahan seperti perpustakaan, dewan, gelanggang sukan dan sebagainya. Golongan ini juga mampu untuk membantu pelbagai golongan bagi pelbagai tujuan seperti orang tua, ibu tunggal, pelajar dan sebagainya yang secara langsung dapat meningkatkan taraf hidup umat Islam. Ini secara langsung akan dapat meningkatkan imej agama dan umat Islam di mata orang bukan Islam yang secara tidak langsung akan memudahkan proses dakwah.

Di sini, apa yang perlu disemai dan dilakukan oleh umat Islam adalah untuk mempelajari segala ilmu yang boleh dipelajari, berusaha bersungguh-sungguh untuk mengumpul kekayaan material yang seterusnya akan dapat disalurkan kembali kepada masyarakat Islam dan bukan Islam. Ini dirasakan lebih baik daripada meninggalkan sekolah, malas mempelajari ilmu selain agama kerana kononnya ia sekular, membenci kekayaan material kononnya ia adalah dunia semata-mata, meninggalkan anak isteri tanpa memberi nafkah yang mencukupi dan seterusnya mendakyah umat Islam lain mengikuti amalannya yang secara perlahan-lahan akan menjerumuskan umat Islam di tahap yang hina.


Tuesday, June 03, 2003

KERAJAAN TUNDUK PADA TEKANAN JUA AKHIRNYA

Aku amat gembira tatkala mendengar pembebasan 4 orang tahanan ISA iaitu Tian Chua, Hishamudin Rais, Saari Sungib dan Ezam Noor(masih merengkuk di Penjara Kajang bagi kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi, dijangka bebas Disember 2003) setelah mereka ini menamatkan tempoh tahanan selama 2 tahun. Namun begitu, 2 orang tahanan akta drakonian ini, Lokman Nor Adam dan Badrulamin berkemungkinan hanya akan bebas setelah genap tempoh 2 tahun tahanan mereka pada 12 Jun ini.

Walaupun aku begitu girang dan riang menerima perkhabaran ini, tidak bermakna aku perlu berterima kasih kepada Menteri Dalam Megeri, Pak Lah kerana bagiku penahanan mereka ini sahaja secara asasnya telah melanggar prinsip keadilan dan juga suatu tindakan yang kejam.

Perjuangan menunutut agar akta ISA ini dimansuhkan telah lama diperjuangkan oleh generasi yang terdahulu. Membaca memoir politik tahanan ISA seperti Said Zahari dan Syed Husin Ali serta yang terkini oleh Saari Sungib membuatkan aku semakin yakin akan kebenaran perjuangan ini dan bagiku ini bukanlah kerja sia-sia walaupun ia dikatakan mengundang risiko.

Terkadang aku tidak sabar untuk melihat akta ini dimansuhkan segera, namun catatan sejarah memaklumkan sesuatu perjuangan selalunya memakan masa dan terkadang tidak dapat dikecapi oleh si pejuang apabila yang Maha Esa lebih awal menarik nyawanya. Namun itu tidak bermakna aku harus luntur semangat dan terus hanyut dengan dunia apathy anak muda.

Perjuangan menuntut pendemokrasian yang luas dalam pelbagai bidang dirasakan amat panjang jikalau ideologi Mahathirism ini masih diguna pakai oleh pemimpin selepasnya. Jalan singkat yang aku pasti akan dapat menyahkan akta ini buat ketika ini adalah perubahan kerajaan. Walaupun aku menyedari jika terjadi situasi ini ia tidak sesekali akan menjamin bahawa apa yang menjadi agenda aku akan dipenuhi. Cukup pasti padaku bahawa paling kurang, Akta ISA akan dimansuhkan. Jika tidak, aku akan terus menentang sehingga terhapusnya ia dari bumi ini.

Bagiku, perjuangan memeuntut kebebasan, pendemokrasian dan sebagainya tidak harus dilihat di dalam kerangka politik semata-mata. Walaupun posisi aku ketika ini lebih kepada mereka yang berada di oposisi. Itu tidak bermakna aku menutup pintu kepada mereka yang berkuasa di waktu ini, jikalau mereka mempunyai agenda yang sama dan ingin berubah daripada kerangka politik semasa, aku tidak ragu-ragu untuk menyatakan sokongan. Namun aku tidak percaya buat ketika ini bahawa mereka yang diseberang sana akan sanggup berbuat demikian. Mungkinpun ada, bak kata seorang wartawan NST di dalam artikelnya bahawa ia akan berlaku secara automatik setelah golongan tua yang wujud ketika ini tiada lagi. Secara peribadi aku turut bersetuju, politik orang tua adalah batu penghalang kepada pendemokrasian dan pemodenan Malaysia kerana dengan adanya golongan seperti ini, mereka yang berada di belakang tabir program berita dan rencana TV1 dan juga akhbar arus perdana berbahasa Melayu terutamanya Utusan sentiasa akan melaporkan berita dan rencana bertaraf sampah sambil menyedari ianya sedang ditertawakan oleh sebahagian masyarakat yang lain. Politik kuasa kelihatannya lebih mendominasi politik pemikiran dan keilmuan.