Ada apa ‘lagi’ di Jakarta? (Siri I)
Oleh Fathi Aris Omar
Saya belum menjamah ‘bibir Jakarta’, kata saya di satu seminar seni budaya anjuran Komunite Seni Jalan Telawi(KSJT) beberapa bulan lepas, sebagai mempertahankan sikap saya yang suka memuji-muji ruang demokrasi di negara jiran kita itu. Ya, sampai saat ini saya belum berjaya menjamah bibir gadis-gadisnya, akan dating saya tidak pasti!
Selepas kejatuhan regim Orde Baru, Indonesia telah jauh berkembang dalam bidang pemerintahan, perundangan dan ruang berekspresi. Termasuk, debat kesenian dan produk budaya tetapi saya sering hairan melihat rasa prasangka teman-teman di Kuala Lumpur tentang Jakarta – seolah-olahnya tidak wajar atau tidak perlu mempelajari apa-apa (yang positif) daripada mereka.
Teman saya, Ahmad Lutfi Othman, dalam kolumnya di laman web ini mengulas kenyataan Najib Razak tentang hubungan demokrasi di negara kita dan Indonesia, khususnya sebagai menjawab kenyataan Anwar Ibrahim dalam lawatan bekas timbalan perdana menteri itu awal Disember lalu.
Tetapi – untuk makluman pembaca – bukan Najib sahaja yang berasa tersinggung jika kita katakan Indonesia ‘lebih baik’ (dalam beberapa segi) dan wajar sekali kita memandang tinggi kepada mereka. Pengalaman saya dengan beberapa teman aktivis seni dan politik (sejak era reformasi di dua negara ini,1998) selalu menunjukkan sikap megah diri (kita) yang keterlaluan.
Saya sejak dulu memang – banyak sekali tulisan saya di Malaysiakini.com atau rencana-rencana lain – sering menganalisa proses transformasi positif di negara jiran kita. Dalam pertemuan seni anjuran KSJT beberapa bulan lalu, saya masih membahaskan isu ‘Kekuasaan dan Kebudayaan: 70 Tahun Pengalaman Indonesia’.
Dalam seminar ini, yang dihadiri beberapa tokoh seniman dan juga golongan muda, terasa kuat sekali keengganan untuk menerima Indonesia – mungkin hampir-hampir terasa hidup di zaman konfrontasi Indonesia-Malaysia pada pertengahan 1960-an dulu.
Ketika saya mengemukakan idea ‘ruang awam’ (public sphere) untuk kelompok seniman dan sasterawan di satu diskusi di rumah PENA (Persatuan Penulis Nasional) tahun 2003, beberapa sasterawan muda tertanya-tanya sejauh mana kita wajar mencontohi Indonesia; malah ada seorang sasterawan muda (terkenal) yang awal-awal menolaknya.
Tidak cukup dengan itu, apabila saya menulis di Mingguan Malaysia tentang hal yang sama (yakni, hubungan politik dan seni) dengan mengambil beberapa kes di Indonesia tidak lama selepas diskusi itu, ada seorang lagi orang kuat sastera di Rumah PENA membantahnya (melalui akhbar yang sama).
Teman-teman KSJT, saya dan beberapa aktivis NGO Malaysia yang mempelajari serta mengikuti isu-isu politik, seni dan ekonomi Indonesia dengan dekat sering berhujah ada kekuatan-kekuatan menarik di negara jiran kita, khususnya selepas kejayaan Gerakan Reformasi menumbangkan Orde Baru di republik itu.
Tetapi setiap kali kami mengemukakan analisa, hujah dan contoh, setiap kali itu pula kami ditentang atau dihujahkan sebaliknya. Sayangnya, semua hujah itu didasarkan pada prasangka, kejahilan dan salah pandang yang dangkal dan serong.
Saya tidak faham apa perlunya kita meremehkan negara jiran kita semata-mata ingin menjadi seorang rakyat Malaysia yang patriotik atau bangga dengan negara sendiri. Saya kira, perasaan seumpama itu bukanlah patriotisme atau nasionalisme, tetapi inilah yang disebut gejala ‘jingoisme’!
Sekarang, saya sudah hampir tiga bulan di Jakarta. Pada Ogos dan September lalu, saya telah habiskan masa dua bulan di sini. Lawatan kali ini semata-mata untuk melihat dengan dekat, mengalaminya sendiri, apakah yang dikatakan demokrasi selepas kejayaan Reformasi di Indonesia.
Saya harap kajian ringkas saya ini boleh menunjukkan dengan sejelas-jelasnya dan meyakinkan orang Malaysia bahawa Indonesia ada kekuatan tertentu yang boleh kita teladani (walau tentunya masih banyak juga kelemahan-kelemahan yang perlu kita sempadani agar tidak menjangkiti kita, misalnya gejala rasuah)
Pada Rabu lalu (sebelum sambutan Krismas), saya dan seorang teman ke Plaza Semanggi sempena promosi ‘Jurnal Perempuan’ untuk menfokuskan isu-isu gender di toko buku, QB World. Plaza Semanggi ini kurang lebih Suria KLCC atau Mid-Valley, atau setidak-tidaknya seperti Bangsar Village di Kuala Lumpur – sebuah kompleks membeli-belah yang agak berprestij untuk kelas menengah.
Di kota besar ini, ada lagi kompleks membeli-belah yang lebih berprestij seperti Plaza Senayan atau Plaza Indonesia. Kalau Plaza Atrium, tidak jauh dari Pasar Senen, kita boleh bayangkan Pertama Complex di Jalan Tuanku Abdul Rahman sahaja.
Kebetulan teman saya Andreas Harsono (editor jurnal ‘Pantau’) seorang daripada tiga pembicara utamanya. Turut hadir tokoh-tokoh pejuang hak wanita, sasterawan, aktivis NGO dan dua orang kuat suruhanjaya penyiaran Indonesia (KPU) yang baru ditubuhkan melalui akta parlimen, sebuah suruhanjaya media yang bebas. Diskusi ini menarik kerana menyentuh isu yang paling sensitive, ‘Pornografi’.
Dan di tempat itu, pembicara dan peserta tidak segan silu membahaskan isu-isu sensitif ini dan pada waktu yang sama mengkritik presiden Susilo Bambang Yudhoyono – suasananya begitu demokratik sekali. Inilah model ‘ruang awam’ yang kita impikan tumbuh di Kuala Lumpur. Misalnya di toko buku MPH atau Kinokuniya di negara kita.
Seorang anggota KPU, Bimo Nugroho (yang saya kenali), turut hadir dan berbicara kerana sikap KPU yang dianggap agak ‘moralistik’. Bimo pernah bergiat aktif bersama kelompok AJI (Aliansi Jurnalis Independen) atau Institut Studi Arus Informasi (ISAI), dua organisasi wartawan dan latihan media sejak 1995 untuk menentang regim Soeharto. Tokoh utama di belakang dua organisasi ini adalah Goenawan Mohamad, wartawan kanan Tempo, dan rakan-rakan mudanya. Waktu itu Tempo, bersama dua lagi majalah, diharamkan oleh Soeharto.
Kompleks membeli-belah Plaza Semanggi letaknya tidak jauh daripada jejantas (fly-over) Semanggi yang merakamkan sejarah korban anak muda dan mahasiswa ketika menentang Orde Baru pada lewat 1998 (antara Mei hingga November).
Sekarang, adegan menyayat hati dan sekali gus mengobarkan semangat itu boleh ditonton secara terbuka dalam filem dokumentari ‘Indonesian Student Movement 1998’. Filem ini menang anugerah dalam Festival Filem Indonesia yang diadakan di Ancol baru-baru ini.
Sementara sebuah filem cinta remaja menggunakan latar peristiwa rusuh dan berdarah ini dengan judul, ‘Kutunggu di Jembatan Semanggi’ (2004). Saya cadangkan dua filem ini ditonton oleh kita semua ….
Perkembangan positif ini berkat terbesar daripada Gerakan Reformasi 1998….
Acara KSJT yang disebut di atas diadakan pada 25-26 September 2004 dengan kerjasama Konrad Adenuer Stiftung (KAF), Jerman dan Institut Kajian Dasar (IKD), Kuala Lumpur. Acara KSJT ini akan disusuli dengan ‘Kongres Kebudayaan 48’ yang dijadualkan diadakan pada bulan Ogos 2005. Kongres ini dipercayai akan mendapat sokongan dan dukungan meluas kaum seniman, sasterawan dan budayawan nasional.
Tulisan ini telah diterbitkan di laman web Ummah Online pada 26 Disember 2004, tulisan ini diterbitkan di sini dengan keizinan penulis yang boleh dihubungi di faomar@yahoo.com
No comments:
Post a Comment