Keluhan rakan karib tentang bola Malaysia
Bolasepak Malaysia… Bila agaknya kita boleh berhenti dari membincangkan tentang ‘kegawatan’ bolasepak Malaysia?
4 Januari 2005, tarikh keramat dalam bolasepak Malaysia apabila berjaya melangkah ke final Tiger Cup buat kali kedua dengan penuh bergaya apabila mengenepikan saingan sengit dua pencabar terdekat iaitu Thailand dan Indonesia…Kenapa? Terkejut? Apakah penulis tersalah fakta? Bukan, tapi itu semua hanyalah angan-angan kosong dan ilusi cuma, terutama ketika membaca tajuk-tajuk akhbar sebelum malam pertandingan separuh akhir, pertemuan Malaysia dan Indonesia di Stadium Bukit Jalil. “Final Malaysia-Singapura?”, satu tajuk berita kecil di dalam sebuah akhbar tempatan dua hari sebelum perlawanan tersebut, tajuknya ringkas tapi membikin hati bergelora, mendidih marah dan sedih apabila terpandang tulisan tersebut, seraya terfikir, “bila agaknya aku boleh berhenti dari mengeluh mengenangkan nasib bolasepak Malaysia yang semakin parah dan berdarah ini?”
Aku pergi ke stadium pada malam tersebut. Bersama-sama aku, 7 lagi teman yang sama-sama dahagakan kegemilangan bolasepak Malaysia, dan sama-sama membawa bersama mereka harapan yang menggunung tinggi untuk melihat masa depan bolasepak Malaysia yang lebih cemerlang di bawah kendalian jurulatih baru dari Hungary, Bertalan Bisckei. Bertolak dari Shah Alam tepat 7 petang, dan hanya sampai di stadium kira-kira jam 7.30 malam. Kami tidak perlu risau tentang tiket kerana tiket telahpun di beli oleh seorang teman iaitu Saudara Azlan Malek yang telahpun berada di sana sejak awal lagi. Kami menaiki 2 buah kereta, di mana saya, Ihsan dan Faizul menaiki kereta yang di pandu Fauzi manakala Khairulnizam membawa 3 penumpang iaitu Zulhabri, Pilus dan Shahril.
Sesampainya di sana, penulis dan Ihsan turun dahulu sementara Fauzi dan Faizul pergi mencari tempat meletak kenderaan, dalam keadaan yang sesak dengan kenderaan dan manusia yang sama-sama ingin melihat kecemerlangan bolasepak negara, kami meredah lautan manusia yang berpusu-pusu ke stadium. Kami menunggu saudara Azlan untuk mengambil tiket daripadanya. Setelah menunggu sekian lama, itupun setelah 15 minit perlawanan berlangsung barulah kami dapat memasuki stadium kerana menunggu rakan-rakan lain sampai. Mereka sampai lewat kerana masalah ‘parking’ dan kelemahan sistem komunikasi yang sentiasa sibuk.
Di dalam stadium, kami duduk jauh di atas menghadap pintu gol di mana kami dapat menyaksikan dengan jelas corak dan taktikal kedua-dua pasukan yang sedang bermain di padang. Di separuh masa pertama, pasukan Malaysia tidak banyak melancarkan gerakan-gerakan menyerang sebaliknya sekali sekala melancarkan serangan itupun melalui hantaran-hantaran jauh, jika tidak melalui barisan pertahanan hantaran pasti dilakukan oleh penjaga gol. Penulis tak perlu menceritakan semua ini kerana pastinya 60000 rakyat Malaysia yang terkena ‘tsunami 4 skala Richter’ di Stadium Bukit Jalil dan jutaan yang lain yang tertipu dengan harapan yang diberikan, pasti menonton persembahan pasukan negara pada malam jahanam tersebut, tetapi apa yang penulis ingin katakan di sini adalah sebenarnya ‘lagu-lagu’ lama yang dinyanyikan kembali acapkali pasukan negara gagal untuk meneruskan misi negara dalam memartabatkan arena bolasepak yang nampaknya semakin gelap masa depannya.
Hantaran dan kawalan bola, 2 aspek penting yang dah naik muak diperkatakan oleh penulis masih lagi di tahap yang lemah. Pemain negara selalu kehilangan bola akibat di pintas oleh pasukan lawan akibat hantaran yang kurang tepat (atau tak tepat langsung), hantaran yang lemah ataupun kehilangan bola akibat kelemahan mengawal bola kerana hantaran bola yang agak laju. Bagaimana ini boleh terjadi? 2 kemungkinan yang penulis dapat fikirkan iaitu kurangnya latihan ataupun ‘drill’ untuk kemahiran asas tersebut ataupun mereka bermain tanpa berfikir (dengan bahasa emosionalnya, ‘main tak guna otak!”).
Pertama sekali sememangnya mungkin, latihan bagi kemahiran asas tersebut tidak perlu di beri untuk bolasepak di peringkat negara, kerana jurulatih negara ada banyak tanggungjawab lain selain dari memberi tunjuk ajar tentang latihan yang sepatutnya di beri dan di kuasai di peringakat sekolah jikalau mahu bermain secara professional, bukannya sebagai jalan keluar apabila tidak berjaya mendapatkan profession lain. (sama seperti senario graduan Melayu sekarang, menjadikan profession guru sebagai ‘last resort’ akibatnya masa depan Malaysia yang terancam)
Apa fungsi jawatankuasa teknikal FAM dan apa tindakan mereka untuk mengatasi masalah ini? Apakah sebenarnya mereka terlalu buta sehinggakan banyak perkara mengenai permasalahan bolasepak negara tidak diambil perhatian. Masalah padang contohnya, sampai bila masalah ini akan selesai? Setiapkali negara luar datang bertandang ke sini, maka ‘venue’ perlawanan semestinya di Bukit Jalil, kononnya dapat menampung jumlah penonton yang ramai, dan setiap kali itulah masalah padang buruk menjadi isu yang bermain di mulut jurulatih-jurulatih ataupun pemain-pemain luar yang bertandang. Apakah kurangnya pakar dalam masalah padang ini? Kenapa tidak di buat usahasama antara FAM dan MARDI misalnya tentang penghasilan rumput yang tahan lasak dengan variasi cuaca Malaysia yang beriklim khatulistiwa ini? (biarpun MARDI adalah badan kajian untuk bidang pertanian sahaja, tapi itu bukan alasan).
Berbalik kepada masalah teknikal kemahiran asas pemain-pemain Malaysia, apakah mereka yang di atas sana (..yang tak mahu turun-turun..) sememangnya buta?
Sudah berdozen jurulatih luar datang bertandang ke Malaysia untuk membimbing pasukan negara serta bertekad untuk memperkasa arena bolasepak tempatan ke tempat yang lebih tinggi. Bermula dari Claude Le Roy, Alan Harris (sekadar menyebut beberapa nama) tapi nampaknya kita hanya membuang masa dan wang ringgit sahaja. Jika hendak di kira pencapaian dalam kancah serantau, jurulatih tempatan sahaja sudah memadai. Jadi apakah sebenarnya masalah yang sedang melanda pasukan bolasepak negara?
Untuk mengenal pasti masalah ini, kita lihat apakah elemen-elemen penting dalam satu-satu pasukan bolasepak. Elemen penting tersebut adalah pemain, staf (pengurusan dan kejurulatihan), tempat dan persekitaran. Kita boleh pecahkan elemen-elemen tersebut kepada beberapa pecahan kecil lain lagi iaitu pemain-teknikal, mental, sikap dan fizikal, staf-taktikal, kewangan, perancangan dan akhir sekali tempat atau persekitaran- kondisi padang, penyokong dan cuaca atau iklim.
Seperti mana yang kita maklum, dalam perlawanan menentang Myanmar dalam edisi Piala Tiger yang sedang berlangsung, di mana Malaysia kalah tipis dalam perlawanan tersebut, ada segelintir pihak yang menyalahkan penyokong kerana tidak turun ke stadium untuk turut sama menyemarakkan lagi semangat pemain-pemain untuk mendapatkan tempat ke separuh akhir. Malangnya apabila sejumlah besar penyokong datang beramai-ramai untuk melihat kebangkitan pasukan negara pada perlawanan separuh akhir tersebut, pasukan negara kalah juga kali ini dengan jumlah perbezaan gol yang agak besar pula. Jadi apakah faktor luaran seperti kehadiran penyokong ini boleh diambil kira? Kita lihat pula kepada factor cuca atau iklim, untuk pertandingan seperti Piala Tiger, sukan SEA, EURO, factor ini adalah tidak relevan sama sekali kerana ianya bercorak ‘regional’ maka perbezaan iklim atau cuaca tidaklah boleh diambil kira, walaupun terdapat sedikit perbezaan corak iklim di antara negara-negara serantau yang bertanding. Lainlah jika kita bercakap tentang Piala Dunia, maka faktor iklim boleh diambil kira sebagai faktor jatuh bangunnya sesuatu pasukan bolasepak yang bertanding. Seterusnya kita lihat kepada konteks kondisi padang. Jikalau alasan ini mahu diguna pakai selalunya yang mendapat ‘advantage’ adalah pasukan tuan rumah dan alasan ini selalu digunakan oleh pasukan pelawat, jadi khusus untuk konteks Tragedi 1-4 di Bukit Jalil, maka kita boleh ketepikan faktor ini supaya kita dapat hampir dengan punca-punca sebenar yang mungkin menyebabkan merudumnya imej bolasepak kita di kalangan negara-negara serantau.
Kita lihat pula kepada faktor atau elemen yang seterusnya iaitu staf, pengurusan dan kejurulatihan. Buat masa ini pasukan negara di ketuai oleh Pengurus Pasukan, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad dan Jurulatih kebangsaan yang baru sahaja mengambil alih jawatan tersebut dari Allan Harris iaitu Bertalan Bisckei di mana diatas mereka adalah satu badan yang bertanggungjawab menjana, mencorak dan memacu pasukan bolasepak negara supaya dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pasukan-pasukan lain sama ada dalam kancah pertandingan serantau, Asia mahupun antarabangsa (dunia) iaitul FAM yang sejak sekian lama dipengerusikan 2 orang kerabat di raja Pahang, iaitu Tengku Ahmad Shah dan ayahandanya Sultan Pahang. Selepas kegagalan demi kegagalan untuk menaikkan imej bolasepak negara yang semakin teruk, saya fikir inilah masanya bagi kedua-dua kerabat tersebut mengundur diri bagi memberi ruang kepada orang-orang baru yang lebih berpengetahuan dalam bolasepak tak kira sama ada dari golongan professional atau pengurusan, bekas pemain atau bekas jurulatih, ilmuan atau sesiapa sahaja yang mempunyai semangat dan cinta pada bolasepak yang begitu mendalam dan mempunyai rancangan dan rangka bagi memartabatkan bolasepak negara. Masa untuk berubah! Undur Tengku Undur!
Begitu banyak agenda yang cuba diketengahkan oleh pengerusi badan tersebut untuk terus cuba mengangkat martabat bolasepak kita, walaupun adakalanya kelihatan seperti begitu memaksa diri, kurang perancangan rapi dan tidak tetap pendirian. Sejak musim lepas satu liga lagi telah diperkenalkan FAM iaitu Malaysia Super League (MSL) untuk kononnya memartabat arena bolasepak kebangsaan. Tapi apakah hasilnya? Banyak pemain-pemain yang agak bagus tidak dapat menyertai skuad kebangsaan kerana kepenatan setelah semusim bermain. Manakala pemain yang menyertai pasukan kebangsaan pula kelihatan lesu dan tak bermaya untuk mengejar bola terutama penyerang kebangsaan Mohd Khalid Jamlus. Apa ertinya menjadi penyerang jikalau mahu menunggu sahaja bola supaya dapat dihantar cantik kepadanya dan dapat menjaringkan gol dengan semudah itu? Siapakah pemain tengah kita? Steven Gerrard? Beckham? Ataupun Kaka, yang dapat menghantar bola tepat kepada kawasan yang dikehendaki? Sepatutnya penyerang kita mesti lebih berkualiti dan sepatutnya boleh bertindak selaku penggerak seperti barisan midfield juga, tangkas berlari, rajin dan mempunyai visi. Ini tidak , kaku di tengah padang seperti badut, dipermainkan sahaja oleh barisan pertahanan pasukan lawan yang dengan mudah menangkis serangan pasukan negara kerana terkial-kial ketika menerima bola, seolah-olah tidak tahu hendak berbuat apa selepas itu.
Kita lihat pula kepada peranan Bertalan Bisckei dalam mengacu skuad negara supaya lebih mantap dan efektif. Berbeza dengan rakan sejawatnya yang terdahulu Allan Harris yang menggunakan taktik biasa bolasepak moden iaitu 4-4-2 yang lebih merupakan favourite tactics bagi negara kelahirannya, England manakala Bisckei pula menggunapakai taktik 2 midfield iaitu 4-2-4 dimana di barisan serangan terdapat 2 penyerang dan 2 attacking midfielder di kedua-dua belah sayap (flanker), taktik yang nampaknya berjaya sehinggalah wisel penamat dalam perlawanan pada 4 haribulan tersebut. Nampaknya apa yang diusahakan oleh Bisckei juga menemui jalan buntu, dimana Bisckei telah membuat beberapa perubahan terutamanya pada corak taktikalnya dan beberapa perubahan pada jadual atau schedule latihan dalam usahanya mencari formula-formula baru untuk pasukan bolasepak negara yang sentiasa bermasalah.
Gagal mara ke final mungkin pengalaman pertama Bisckei dalam membimbing pasukan negara tetapi ini adalah kegagalan buat kesekian kalinya bagi pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap bolasepak negara terutamanya FAM. Bagi penulis Bisckei tidak harus dipersalahkan dalam kegagalan kali ini malah patut di berikan sedikit pujian kerana berjaya membawa pasukan yang dibarisi oleh pemain-pemain yang tidak di beri harapan langsung dari mula pertandingan sehinggalah dapat melangkah ke separuh akhir. Masih terlalu awal untuk mengadili dan membuat kesimpulan melulu terhadap Bisckei.
Akhir sekali, kita lihat pula kepada peranan pemain itu sendiri. Beberapa tajuk akhbar selepas kekalahan tersebut mendedahkan betapa skuad negara tidak mempunyai semangat setiakawan di mana pemain yang berada di dalam skuad negara sebenarnya berantakan kerana perselisihan faham. Memang sebagai manusia kita tidak boleh lari dari kesilapan, tetapi sikap sebegini tidak diperlukan terutama ketika kita sedang bertungkuslumus untuk memartabat arena bolasepak kita walhal perselisihan sebegitu boleh diketepikan begitu sahaja jika semua pemain tahu misi dan peranan masing-masing. Ini kerana sikap segelintir pemain yang merasa dirinya sudah besar atau sudah menjadi bintang walhal tidaklah sehebat mana. Ini yang membuatkan pemain-pemain seperti ini menjadi besar kepala dan akhirnya segala tunjuk ajar dan arahan jurulatih tidak diendahkan.
Kemudiannya sikap selesa yang penulis kira menjadi faktor utama kemelesetan bolasepak kita. Pemain meletakkan tahap kepuasan diri mereka di tahap yang rendah, kita boleh lihat kerana semua pemain kita begitu cepat berasa selesa, bermain di liga tempatan sahaja serta tidak cuba untuk memasarkan diri untuk cuba bermain di luar negeri. Bukan itu sahaja, yang lebih teruk lagi, pemain-pemain yang dihantar keluar negara pulang semula dalam jangkamasa yang singkat dengan alasan-alasan yang tidak munasabah dan sebenarnya keputusan yang di buat (untuk tidak meneruskan latihan mereka di luar negara) mereka hanya mementingkan diri sendiri dan tidak sedikitpun memikirkan maruah negara dan wang ringgit yang telah dicurahkan demi pembangunan bolasepak kita. Tapi mungkin juga kerana rasa ‘inferiority complex’ yang menebal dalam diri pemain kita, mungkin? Alasan yang diberi seperti ‘tak berkembang bakat kalau bermain di divisyen-divisyen rendah, lebih baik main di Malaysia’ adalah alasan yang sangat-sangat bodoh dan dungu lagi sombong, dengan kata lain bodoh sombong dan alasan tersebut memang tak boleh diterima sama sekali. Penulis kecewa melihatkan pemain-pemain muda yang berbakat, belum mempunyai komitmen tidak sanggup untuk mengorbankan kepentingan diri demi melihat maruah bolasepak kita kembali di tempat yang sepatutnya. Pemain-pemain manja seperti harus tidak dilayan karenah mereka kelak merugikan negara. Penulis mencadangkan agar diperkenalkan lesen untuk bermain bolasepak seperti yang diperkatakan oleh Bisckei semasa sidang akhbar selepas perlawanan tersebut, supaya pemain-pemain bolasepak Malaysia lebih serius dan betul-betul menjadikan bolasepak ini matlamat dan sumber rezeki mereka- bukan hanya sekadar main-main dan cukup makan sahaja. Seperti kata-kata dari Barat, “make a life not just enough to make a living”
Sebagai kesimpulan, untuk mengembalikan martabat bola sepak kita ke tahap yang lebih tinggi bukannya sesuatu yang mudah namun perkara ini bukan juga merupakan sesuatu yang mustahil. Lihat saja pembangunan bolasepak di Jepun dan Korea malah China juga sekarang telah menjadi satu kuasa yang kuat dalam bola sepak. Penulis betul-betul hampa melihat pasukan bolasepak negara yang begitu lemah sebenarnya dari banyak segi. Kadang-kadang penulis terfikir sejenak, “… Bila agaknya aku boleh berhenti dari membincangkan tentang ‘kegawatan’ bolasepak Malaysia ini?”
Penulis adalah peminat bolasepak yang begitu fanatik dengan The Reds, Red Giant dan Pasukan Malaysia. Tulisan ini lahir dari kekecewaan yang amat sangat dengan bolasepak Malaysia, jikalau terdapat kata-kata yang agak kasar, penulis tidak akan meminta maaf kerana kata-kata tersebut memang selayaknya dikeluarkan.
Klik di sini untuk ke Blog Aran
No comments:
Post a Comment