Mengapa umat Islam begitu takut?
Membaca pendedahan di Harakahdaily berkenaan isu pembinaan pusat Kristianisasi di Bandar Sunway membuatkan minda aku menjadi letih seletih membincangkan isu pendidikan dan bola sepak Malaysia. Sebagai bekas pelajar sekolah agama, mendengar pendedahan dan cerita-cerita seperti ini sudah menjadi lumrah bak memakan nasi setiap hari. Apalagi mendengar cerita-cerita bohong walaupuan ada kalanya yang benar tentang kononnya kehebatan Islam dan umatnya di zaman ini seperti cerita Emma Watson menganut Islam dan bermacam-macam lagi sama ada melalui 'dengar cakap' dan e-mel.
"Pembinaan didalangi dan disokong beberapa pemimpin yang beragama Kristian di Bandar Sunway dan Subang Jaya
Mereka menggunakan alasan membina tadika untuk mengaburi mata masyarakat, sedangkan tujuan asal ialah untuk menjalankan aktiviti keagamaan"
Aku tertanya-tanya adakah sangka buruk sebegini dibenarkan di dalam Islam? Lagi banyak pendedahan isu seperti ini, lebih banyak pula persoalan lain yang timbul. Bagaimana pula jika tadika itu ingin dibina oleh umat Islam di negara Eropah dan dibantah sekerasnya penduduk di sana? Aku cukup pasti dengan taklid butanya ramai umat Islam akan mengeji dan mengutuk negara tersebut.
Mengapa di dalam isu yang melibatkan agama ini tidak boleh dibawa berbincang secara baik? Secara umumnya aku berpandangan jika di tempat yang ingin didirikan itu terdapat banyak penduduk yang bukan Islam, mengapa tidak? Lainlah jika ianya ingin didirikan di kawasan seperti Shah Alam dan Kampung Jawa Batu 1 dan 2. Malah jika ingin didirikan juga dan mendapat persetujuan umat Islam setempat, apa salahnya.
Adakah umat Islam yang ramai kuantiti dan rendah kualitinya di zaman ini sudah tidak percaya pada agama dan umatnya? Jika ya, apakah langkah mengatasinya? Itulah yang perlu diberi perhatian yang pastinya tidak lain tidak bukan bagi aku adalah soal pendidikan, peningkatan taraf ekonomi, pembasmian sikap ekstremis dan taklid buta, pembukaan minda dan sebagainya.
Bukannya hanya tahu membangkitkan emosi sebahagian umat yang sentiasa paranoid dan tidak stabil yang lazimnya dahagakan cerita-cerita palsu dan beromatisme dengan kegemilangan Islam dan umatnya di masa lampau. Bangkitlah dengan ilmu wahai umat Islam dan aku bersumpah bahawa aku tidak akan sama sekali meninggalkan agama Islam kerana aku percaya pada kebenarannya dan dalam masa yang sama, aku amat menghormati kewujudan dan keberadaan agama lain di dunia ini.
Aku amat tertarik dengan tulisan seorang pembaca bukan Islam yang tersiar di akhbar Bangkok Post edisi 17 Januari 2005 yang aku beli di Kinokuniya Singapura yang bertajuk "Are people so unsure about their faith?" (perlu menjadi ahli dan perlu membeli secara online untuk membaca tulisan penuh) . Kenyataan penulis yang berbunyi "I have to say that I've never felt threatened by any other religion or thought it necessary to dislike, mistrust or, worst of all, hate another faith" amat menyenangkan aku.
Beliau menulis sebagai respon tentang ancaman sebuah badan umat Islam di Indonesia terhadap sebarang cubaan untuk mengkristiankan anak-anak umat Islam di Acheh dan aku amat lega kerana di dalam tulisannya penulis langsung tidak menunjukkan rasa bencinya kepada umat Islam selaras dengan kenyataan awalnya.
"Kami mahu kerajaan yang mengistiharkan negara ini sebagai negara Islam Hadhari segera membuktikan keprihatinan mereka terhadap isu ini,"
Konsep Islam Hadhari sangat menghormati Kontrak Sosial yang termaktub di dalam Fasal 3, Perlembagaan Persekutuan yang menzahirkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh di amalkan dengan aman dan damai.
Penduduk Sunway bantah pembinaan pusat Kristianisasi- Harakahdaily
The default wrong is on Muslim & Islam?- Pakdi
Working towards religious understanding- The Sun
Nota tambahan: Pusat Kristianisasi seperti yang dianggap adalah sebuah tadika. Secara umum, aku berpendapat jika benarlah tujuan tadika tersebut dibina untuk mendakyah agama Kristian secara terbuka, pihak berwajib harus bersemuka dengan pemilik tadika tersebut. Ini kerana adalah sesuatu yang tidak sensitif untuk mendakyah anak-anak kecil yang masih belum mencapai umur 21 tahun.
Sekiranya sudah melepasi umur tersebut, pendakwahan agama Kristian secara terbuka atau tertutup dirasakan tiada masalah walaupun sudah pasti akan menimbulkan banyak bantahan umat Islam dan mungkin agama-agama lain kerana kebebasan beragama umat Islam memang tiada (isu kebebasan agama perlu dibincang secara matang dan proses tersebut perlu dimulai dengan pendidikan, dialog dsb supaya mereka yang berbicara itu memahami serta berilmu dan tidak hanya mengikut emosi semata). Itupun mungkin dikepalai puak-puak konservatif dan puak-puak liberalis, modernis dan mungkin yang lebih terbuka seperti lazimnya akan sepi tanpa bicara. Sudah sampai masanya untuk mereka yang lebih terbuka ini menyuarakan pandangan mereka supaya kita umat Islam tidak dilihat hanya diwakili oleh suara-suara golongan konservatif ini.
Namun masalah utamanya adalah belum lagi tadika itu dibina yang bermakna beban pembuktian belum ada, tuduhan yang tidak ada bukti dan asas kukuh ini telah dimainkan. Walaupun dari satu segi aku juga cukup risau jika ianya benar, tetapi dari segi yang lain juga aku amat risau dan bimbang dengan tren berlebihan segolongan umat Islam yang sentiasa memberi prioriti yang tinggi kepada isu-isu seperti ini. Aku sudah menyampah dengan cerita-cerita bohong dan tafsiran palsu umat Islam yang sentiasa diterima melalui e-mel, surat layang dan di dalam e-group.
Sekiranya tadika itu dijadikan pusat kristianisasi secara tidak langsung iaitu melalui pendidikan yang berasaskan ilmu Kristian, aku berpendapat tiada salahnya kerana tidak bermakna umat Islam yang belajar di situ akan menganut agama Kristian. Terdapat banyak kes di tadika-tadika yang berasaskan ilmu Islam seperti TASKI, PASTI dsb yang mana pelajarnya bukan Islam dan kekal bukan Islam selepas tamat belajar dan di dalam masa yang sama mengakui dan mendapat faedah daripada nilai-nilai murni yang universal yang terdapat di dalam agama Islam. Apa yang penting adalah iman iaitu sesuatu yang hanya Allah saja yang tahu dan ilmu itu ada di mana-mana saja. Hanya mereka yang sempit, jihad membabi buta dan taksub melulu yang gagal melihat semua ini. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment