Selangor menang lagi!
Selangor 4 Pahang 1
Laman web FAM
Laman web Kelab Penyokong Selangor
Kepada para penyokong setia Merah Kuning, menyanyikan lagu 'Selangor menang lagi' yang akan berkumandang sebaik sahaja perlawanan yang dimenangi tamat merupakan satu detik indah. Disusuli pula oleh lagu Merah Kuning lambang kebanggan, Selangor merancang kejayaan, gemuruh sorakan menggegarkan......
Tatkala zaman kehebatan pasukan Selangor di era 90 an dan 95-97, kunjungan ke Shah Alam pada setiap hujung minggu merupakan satu detik yang amat ditunggu-tunggu. Namun selepas itu, kemeriahan dan keriangan yang seperti itu sukar untuk dirasai walaupun Selangor menjuarai Piala FA pada tahun 2001 dan Piala Malaysia pada tahun 2002.
Tetapi aku sudah dapat merasakan detik-detik indah itu akan dan sudah muncul ketika ini walaupun Liga Malaysia baru berada di awal musim. Sehingga waktu ini, aku hanya berkesempatan mengunjungi stadium ketika Selangor membenam pasukan TNB Kelantan 6-1 hampir dua minggu yang lepas.
Aku dan rakan-rakan setia Merah Kuning pada awalnya bersikap agak pesimis walaupun ada sedikit optimis terhadap barisan baru Merah Kuning kerana hampir saban tahun cakap-cakap akan kehebatan pasukan akan sentiasa berkumandang dari pihak pengurusan. Seperti yang boleh dijangka, hasilnya sentiasa tiada dan tidak memuaskan hati peminat setia yang lantaran itu menjauhi stadium yang semakin usang dek kurang penjagaan (tipikal Malaysia)
Namun kali ini aku dapat merasakan terdapat banyak perubahan terutama dari aspek taktikal yang mana aku sukar untuk menerangkan kerana kekurangan ilmu untuk menjelaskannya melalui tulisan (rakan fanatik bola aku Aran dirasakan lebih arif). Apa yang pasti barisan serangan dan sayap kanan yang diterajui oleh Elie Abboy dilihat membuahkan hasil yang memberangsangkan setakat ini dimana gol minimum yang perlu untuk setiap perlawanan setakat ini adalah 4 gol. Apa yang perlu dipertingkatkan adalah di barisan pertahanan yang dirasakan agak kurang berkesan seperti mana pasukan kesayangan aku di EPL, Arsenal.
Kemenangan besar ke atas juara bertahan Liga Super, Pahang menguatkan keyakinan peminat Merah Kuning ke atas skuad kendalian Dollah Salleh ini. Sangat rugi rasanya tidak dapat bersama hampir 30 000 ribu penyokong Selangor di Shah Alam malam tadi kerana komitmen kerja yang tidak dapat dielakkan. Namun doaku dari jauh mengatasi segala-galanya dan goal update yang diberikan Aran membuatkan keresahanku berkurangan.
Satu lagi aspek yang menarik adalah kunjungan penyokong Selangor rakyat Indonesia ke stadium yang mana ia sangat berkait dengan kehadiran Bambang Pramungkas dan Elie Abboy. Apapun, selamat maju jaya kepada pasukan Merah Kuning dan diharap dapat mengekalkan tahap konsistensi sepanjang musim dan jangan hangat-hangat tayi ayam. Namun begitu tiada gunanya jika pemain tempatan di dalam skuad Selangor tidak menunjukkan sebarang peningkatan kerana apa yang lebih penting adalah prestasi skuad negara kita, Malaysia di arena antarabangsa yang perlu dipertingkatkan dan segalanya berada di bahu Bertalan Bicskei dan anak buahnya di Sukan Sea Manila 2005 hujung tahun ini.
Majulah Sukan untuk negara Malaysia yang tercinta!
No comments:
Post a Comment