Sunday, February 27, 2005

Sepet lahir atas lafaz kejujuran

Oleh Sultan Muzaffar

Sudah agak lama saya tidak memberikan ulasan filem sehingga mendapat teguran dari seorang guru filem mengenainya. Mungkin kerana dibuai fantasi Akademi Fantasia lalu saya melupakannya.

Saya berpeluang sekali lagi untuk menonton sebuah filem Malaysia bertajuk Sepet. Ini kali keempat saya menontonnya dan reaksi spontan saya masih sama sewaktu kali pertama saya menontonnya dalam versi rough-cut. Cuma tontonan kali ini lebih berbeza kerana skrin yang lebih besar dan tidak dilupakan potongan lapan adegan oleh Lembaga Penapisan Filem. Sekurang-kurangnya saya "acknowledge" kerja mereka. Sepatutnya saya mengeji tindakan mereka yang melepaskan Constantine untuk tayangan umum.

Walaupun berpeluang menonton versi tanpa suntingan, saya masih seperti sekarang. Tiada perubahan besar yang berlaku kesan dari adegan-adegan tersebut. Masih rajin memberi ulasan tentang Akademi Fantasia walaupun dalam salah satu dialog digambarkan Melayu itu sememangnya malas.

Sepet berkisar tentang Jason (Ah Loong) seorang penjual vcd haram yang lahir dalam sebuah keluarga Cina, meminati puisi dan telah jatuh cinta pandang pertama dengan Orked gadis dari keluarga kelas pertengahan yang terdidik dengan sempurna, fasih berbahasa Inggeris, gemar pelakon Takeshi Kaneshiro dan meminati filem Wong Kar-Wai dan John Woo. Secara tidak langung meraikan kepelbagaian bangsa yang ada di Malaysia tanpa rasa prejudis terhadap bangsa lain.

Kisah cinta, hubungan mesra dan kasih saying yang dipaparkan dalam filem ini jauh melangkaui dari hubungan sepasang kekasih. Ia turut memaparkan kemesraan sebuah keluarga, layanan seorang majikan terhadap pembantu rumahnya yang tidak dilayan seperti seorang pembantu rumah, hubungan suami isteri dan hubungan persahabatan. Perhatikan sahaja, opening title filem ini yang mana berakhir dengan separuh dari nama Yasmin Ahmad iaitu Ahmad. Jelas sekali filem ini didedikasikan untuk keluarga beliau.

Sepet menggunakan empat bahasa (Melayu, Inggeris, Hokkien dan Kantonis yang dicampur adukkan menjelaskan realiti cara rakyat Malaysia berbicara) dan mampu memikat minat orang Melayu untuk menonton malah kaum Cina dan India juga sudah pasti terpikat untuk mengikuti kisah filem ini.

Uniknya Sepet apabila saya seakan-akan melihat sebuah realiti hidup di hadapan mata saya sendiri. Tanpa dialog yang meleret-leret, Sepet terus mencipta momentum sehingga ke penamat filem tersebut.

Anda tidak akan menemui dialog seperti;

Orked : Jason, u can call me at home, tapi…(long pause)

Jason : (sambil merapatkan tubuhnya ke arah Orked) Tapi apa Orked ?

Lupakan, anda tidak akan menjumpai dialog atau adegan sedemikian di dalam Sepet. Dialognya padat dan informatif. Setiap patah dialog yang dilafazkan ada kaitannya dengan cerita keseluruhan.

Dialog-dialog bijaksana banyak dalam filem ini, bercerita tentang sejarah Perancis dan Algeria, bagaimana filem Melayu yang hebat satu ketika dahulu, sifat Cina yang penipu dan Melayu yang pemalas (dipotong sedikit), Melayu yang celup Mat Salleh, kepentingan keluarga pada seseorang dan senarai akan berterusan tanpa henti…

Lakonan

Tanpa perlu mengurangkan umur Rosyam Noor, Yusry atau Erra Fazira, pelakon yang membawakan watak Jason dan Orked merupakan taruhan terbaik pengarah.

Pelakon remaja yang pertama kali tampil di layar perak merupakan seorang yang masih segar, masih suci dan senang untuk dibentuk selain seorang Pengarah Seni yang takutkan bossnya. Kg Choo Seong mampu membawakan watak seorang jejaka yang pemalu, masih tercari-cari identitinya, keliru, resah dan sengsara jelas terpapar pada wajahnya.

Sharifah Amani umpamanya lahir dari darah seni seorang pelakon ternama dan pelukis telah memberikan lakonan yang cukup sifatnya. Penampilan bersahaja beliau serta ekspresi wajahnya yang mampu menimbulkan elemen ceria, sedih, gembira, resah, menangis bertukar satu-persatu dalam setiap adegan.

Keluarga Pak Atan dan Yam, orang gajinya lengkap sebagai sebuah keluarga Melayu yang penuh dengan nilai keMelayuannya serta digabung- jalin dengan rasa kasih saying dan kemesraan. Keluarga Jason yang bising tatkala sedang menjamu selera serta kebengkengan bapanya menceritakan yang bukan sahaja Melayu punya masalah, kaum Cina juga punya masalah yang sama.

Kebijaksaan Yasmin

Yasmin Ahmad, Pengarah filem ini tahu bercerita secara tersurat dan tersirat melalui medium seluloid. Walaupun menurutnya, beliau tidak belajar apa itu bahasa filem tetapi saya dapat melihat ia ditampilkan secara penuh bijaksana oleh beliau.

Filem ini disingkap pembukaannya dengan hubungan ibu dan anak dan diakhiri juga dengan hubungan ibu dan anak. Sudah cukup jelas yang filem ini keseluruhannya bercerita tentang itu.

Penonjolan watak salah seorang kawan kepada Jason dan Keong yang handphonenya sering berbunyi sudah cukup merimaskan saya. Tanpa satu dialog pun, saya sudah membencinya. Kehebatan beliau mencipta watak yang mampu mempengaruhi emosi penonton sudah cukup kuat. Begitulah juga sekiranya dalam kita sibuk menghayati filem yang sedang kita tonton, berbunyi handphone atau pun penonton di sebelah sibuk mengulas
filem tersebut seperti krew ERA yang membuat bising di dalam panggung.

Begitu juga adegan yang membabitkan isu-isu sensitif seperti biasiswa. Kerana kebijaksanaan pengarah, adegan tersebut terlepas pandang oleh Lembaga Penapisan Filem. Isunya jelas, Jason yang memperoleh 7A hanya menjadi penjual vcd haram manakala Orked yang mendapat 5A berjaya mendapatkan biasiswa. Kita harus menilai kemampuan penonton Melayu untuk sedar dan nampak perkara tersebut.Perkara seremeh budi bahasa
pun harus diingatkan saban hari melalui lagu budi bahasa oleh Siti Nurhaliza.

Adegan yang ditampilkan dari babak ke babak merupakan satu untaian jiwa jujur yang bercerita dan semakin mendekatkan kita dengan realiti. Kekuatan setiap babak dan skrip yang ringkas menjadi tunjang utama kehebatan filem ini. Babak seperti anak patung dalam keadaan statik dan kemudian menari, shot pil tongkat ali, orang buta bermain keyboard di tepi jalan merupakan babak-babak ringkas yang memberikan kesan yang besar kepada filem ini. Adakalanya tanpa dialog dan hanya kesan visual telah memberikan seribu makna untuk ditelah oleh penonton.

Penggunaan shot kamera yang cantik serta penggunaan muzik latar yang bersesuaian memberikan mood yang indah pada filem ini. Ketenangan air di latar pertemuan Jason dan Orked di tepi tasik begitu indah. Penggunaan shot perspektif mengundang bencana di penghujung filem ini (menurut perujuk filem saya, Pak Hassan Mutalib).

Lagu temanya saya kira merupakan sebuah lagu Cina dan saya menyukai lagu tersebut. Yam yang gemarkan lagu Siam menjadi lagu tema sewaktu adegan mesra Pak Atan dan Mak Inom.

Harapan

Penamat filem ini meluahkan harapan bukan sahaja harapan Orked tetapi juga harapan pengarahnya. Orked mengharapkan agar dapat mendengar suara Jason. Sesiapa sahaja yang berharap, tentu berharap harapan itu berpihak kepada kita.

Sebagai manusia, kita hanya ingin mendengar apa yang ingin kita dengar. Itu harapan kita. Harapan Orked, mahu mendengar ungkapan cinta yang lahir dari rasa Jason. Harapan saya mahu melihat perubahan yang besar pada dunia perfileman Melayu, dan Malaysia amnya.

Penamat filem ini kini menjadi milik anda. Itulah bukti filem ini merupakan sebuah filem yang baik.

Sepet lahir atas nama kejujuran. Rasailah Sepet sebagaimana anda merasai cinta. Sepet sebuah filem yang berlapis-lapis. Tonton lapisan pertama untuk merasai cinta, hayati lapisan kedua untuk menjelajah pemasalahan bangsa Malaysia dan selam ke lapisan ketiga untuk menzahirkan harapan dan rasa cinta dunia perfileman Malaysia.

Filem ini boleh berbangga dengan ceritanya yang bersesuaian dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia yang gemilang, dialog yang unik yang lahir dari kejujuran dan pemaparan realiti yang berkesan, lakonan yang mantap dan meyakinkan terutama watak utama dan reka sinematografi yang mengkagumkan serta cantik.

Rating : A
Arahan : A
Lakonan : A
Skrip : A
Muzik : A

No comments: