Wednesday, April 13, 2005

PAS mengancam demokrasi

Oleh Fathi Aris Omar

Ketua Pemuda PAS menggesa kerajaan mengambil tindakan undang-undang ke atas 50 badan bukan kerajaan (NGO) dan lebih 200 individu yang mengirim memorandum agar persoalan ‘moral’ (maksudnya di sini, dari perspektif mereka) dipisahkan daripada pentadbiran negara.

“Jika kerajaan boleh menggunakan (akta) ISA ke atas ahli politik, Al-Arqam, Kumpulan Militan Malaysia (KMM) atas alasan keselamatan negara, maka kerajaan juga boleh menggunakan tindakan undang-undang ke atas kumpulan 50 NGO ini," Salahuddin Ayub dilaporkan berkata (Harakahdaily.net, 7 April).

Beliau juga dilaporkan mendesak dengan tegas agar kerajaan menyiasat dan mendakwa badan-badan bukan kerajaan itu di mahkamah berikutan “tindakan liar mereka yang jelas telah mengancam keselamatan negara”.

Bagi Salahuddin, 50 NGO dan lebih 200 individu itu menyebarkan “pemikiran yang berbahaya kepada akidah dan keselamatan negara”!

Berita ini tidak menyatakan dengan tegas sama ada Salahuddin menggesa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), atau akta-akta lain, dikenakan ke atas badan-badan bukan kerajaan dan individu-individu itu tetapi beliau beberapa kali menyebutkan tindakan mereka itu sejenis ancaman kepada “keselamatan negara”.

Jadi, saya syak gesaan Pemuda PAS itu termasuk penggunaan akta ISA.

Jika PAS boleh menilai dengan lebih tenang, memorandum itu hanyalah permintaan sekelompok ‘masyarakat sivil’ yang tiada kuasa apa-apa, jauh lebih lemah daripada parti politik seperti PAS (yang dikategorikan dalam ‘masyarakat politik’). Sementara peraturan yang mengawal moral itu masih lagi berjalan sekarang (dan tidak ada tanda-tanda untuk dibuang). Memorandum itu tidak ubah seperti sekumpulan kertas lain yang dikirim kepada kerajaan selama ini, yang bakal dibiarkan berlalu begitu sahaja!

Tetapi nampaknya Salahuddin, PAS dan pendukung Islam jenis fundamentalisme tiba-tiba melatah, tenggelam punca dan kaget melulu. Misalnya, kenyataan daripada presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin, yang sangat alarmist sifatnya.

Sarat dengan emosi

JIM dilaporkan berkata bahawa beberapa perkembangan, seperti memorandum 50 NGO itu dan saranan mendirikan Suruhanjaya Antara Agama (IFC), “seolah-olah mencabar ketabahan umat Islam dan kerajaan.” Zaid sendiri dilaporkan berkata, “masalah yang bertubi-tubi menimpa umat Islam begitu menguji jati diri serta kesabarannya.”

Kenyataan dan ulasan pemimpin Islam, dan juga pengguna-pengguna Internet, sarat dengan emosi. Wacana-wacana mereka penuh dengan nada serangan politik, reaktif dan memperlekehkan; bukan membahaskan isu secara ilmiah atau berteori. Sebab itu, pokok persoalan dan perspektif luas tidak diperhitungkan sama sekali.

Kenapa sering kelompok Islam di negara kita (dan di negara-negara lain, juga) menunjukkan kecenderungan dan naluri ini? Yakni, naluri untuk menutup perbincangan atau perbezaan idea (dan nilai hidup) dengan alat-alat kekuasaan seperti polis, undang-undang atau mahkamah.

Sementara diskusi, misalnya kenyataan akhbar atau tulisan di Internet, menjadi tidak jernih, semuanya dibungkus dengan persoalan percaturan kuasa, bukannya perbahasan isu dengan matang, tenang dan luas, misalnya lihat reaksi-reaksi di Harakahdaily.net atau Tranungkite.net.

Perkataan ‘moral’ dan ‘maksiat’ tiba-tiba kental dengan nilai-nilai politik sehingga bertukar ideologi ‘moralisme’ dan ‘maksiatisme’ seperti saya cuba jelaskan sebelumnya, ‘Maksiat’ sebagai wacana politik’ (Malaysiakini.com, 21 Mac).

Kenyataan Salahuddin ini tidaklah menggemparkan saya. Cuma sangat dikesalkan, PAS masih menyimpan seorang pemimpin dungu seperti beliau! Beberapa minggu lalu saya sudah mengulas mentaliti seorang lagi pemimpin muda PAS, Husam Musa, dalam persoalan antara sastera (penulisan kreatif) dan kebebasan bersuara (berpolitik) dalam rencana ‘Puisi dalam trauma bahasa’ (Malaysiakini.com, 7 Mac)

Sikap mereka berdua ini, khususnya Salahuddin, mengingatkan saya pada kenyataan seorang pemimpin kanan PAS (seorang tokoh besar yang disegani ramai), dalam satu pertemuan tertutup yang saya hadiri menjelang pilihan raya umum Mac 2004, yang selama ini sering percaya bahawa pandangan penulis-penulis tertentu (misalnya Astora Jabat atau Farish A Noor) tidak wajar diberikan perhatian atau dijawab.

Bagi dirinya, biarkan pandangan-pandangan itu berlalu begitu sahaja. Maksudnya, tokoh ulama PAS ini beriman bahawa jangan sekali-kali terbabit dalam diskusi awam (melalui media). Tetapi ia senang sekali menggesa agar orang lain dikenakan tindakan undang-undang!

Parti Islam ini rupa-rupanya telah menjadi sarang pembiakan anasir-anasir beremosi dan anti-demokratik (sengaja tidak mahu menyebutkan kata ‘radikal’) tetapi berpura-pura menggunakan mekanisme demokrasi, misalnya pilihanraya dan berdebat di dewan-dewan perwakilan.

Maka tidak hairan, sama ada gerakan mahasiswa Islam di kampus-kampus atau aktivis-aktivis Islam awal-awal lagi diajar untuk melihat demokrasi sebagai ‘alat’ semata-mata; bukan matlamat dan penghayatan nilai hidup. Demokrasi sekadar ‘binatang tunggangan’ dan akan digantikan dengan nilai serta hukum hidup yang anti-demokrasi sebaik sahaja mereka mencapai kekuasaan.

Berfikiran tertutup

Di peringkat yang lebih serius, puak-puak Islam akan melancarkan satu siri hujah yang menunjukkan demokrasi dan hak-hak asasi itu ada batasan-batasannya. Misalnya tiga pandangan (terkini) berikut: Dr Lo’lo’ Mohamad Ghazali, timbalan ketua Dewan Muslimat PAS, bertajuk ‘Undang-undang mengawal moral individu: Sampai mana batas hak asasi?’ (Harakahdaily.net, 8 April), Roslan SMS, ‘Jangan kira PAS atau Umno: Bangkit pertahankan Islam’ (laman weblog peribadi, 25 Mac) dan surat bertajuk ‘Jawatankuasa Kaukus Parlimen letak hak asasi lebih tinggi daripada agama’

, Harakahdaily, 7 April)

Daripada wacana-wacana popular di Internet, ditampung dengan perbualan-perbualan dengan aktivis, jelas sekali menunjukkan versi Islam yang mereka anuti itu telah menyebabkan mereka berfikiran tertutup, anti-demokrasi dan lebih cenderung berorientasikan kuasa (negara), bukan hujah ilmu, kajian dan dakwah dalam persaingan suara-suara (di luar kerajaan)?

Sebab itu, golongan bukan ulama (misalnya profesional atau berpendidikan bukan agama) tiba-tiba jatuh merudum taraf keilmuan dan intelektualisme mereka dalam seni berhujah secara terbuka (melalui artikel di Internet, contohnya).

Golongan ini lebih sibuk berlagak ulama, kononnya berlumba-lumba menunjukkan kedalaman fahaman agama mereka dengan kutipan-kutipan al-Quran dan hadis, tetapi dangkal sekali kefahaman tentang hal-hal (juga, pengetahuan) semasa. Baca kembali tulisan Dr Lo’ Lo’ di atas (Harakahdaily.net, 8 April) yang (jika kita tidak mengenalinya) akan menyangka dia itu seorang ketua atau anggota Dewan Ulama PAS!

Apa yang disebut “ulama” dalam PAS atau di negara kita umumnya mereka yang tidak boleh membaca teks-teks Inggeris (atau lebih senang membaca teks-teks berbahasa Arab). Sementara golongan bukan ulama pula tiba-tiba turut menyarung jubah dan berserban juga, kononnya ingin berlagak “tuan guru”!

Sepatutnya mereka inilah yang meneliti persoalan-persoalan demokrasi, sekularisme, pasca-modenisme dan hak asasi (selalunya buku-buku dalam bahasa Inggeris, Jerman atau Perancis lebih maju dan perinci wacananya, berbanding Arab) dengan mendalam tetapi, sayang sekali, soal-soal itu juga diabaikan!

Jadi, muncullah tokoh-tokoh muda seperti Salahuddin Ayub, Husam Musa atau Dr Lo’ Lo’ Ghazali yang berpura-pura memahami agama tetapi dangkal sama sekali (malah, sinis) pada persoalan kontemporari.

Malah, ganjil sekali, semakin cepat mereka melaporkan persoalan-persoalan agama ini kepada polis (misalnya, dua laporan ke atas Astora Jabat pada awal bulan ini oleh PAS Pulau Pinang dan Negeri Sembilan), atau mengeluarkan kenyataan seperti Solahuddin Ayub, maka akan kelihatan semakin tinggi tingkat iman mereka di sisi kelompok ini.

Tetapi ada satu disiplin dalam gerakan Islam yang diabaikan oleh pemimpin-pemimpin ini: “akan hancurlah Islam itu satu persatu apabila umat Islam itu hanya mengenali agama mereka, tetapi tidak mengenali jahiliyyah (baru).” Kata-kata ini sering dikaitkan dengan hadis atau idea sahabat Nabi (saya tidak dapat pastikan).

Berkhayal atau tidur

Kita hairan budaya organisasi atau budaya kelompok yang bagaimana yang memunculkan dan bergerak dalam PAS sehingga seseorang yang berpendidikan bukan agama tiba-tiba ghairah berlagak ‘maha guru’. Sementara bidang-bidang yang seharusnya mereka geluti dan dalami (untuk menguatkan hujah-hujah ilmu kontemporari) tidak pula sungguh-sungguh-sungguh diberikan perhatian.

Ketidak-seimbangan inilah yang mezahirkan imej betapa lemahnya PAS untuk mendepani persoalan-persoalan demokrasi, hak asasi, pembangunan negara, feminisme, agama, kebebasan kreatif, homoseksualiti dan menghadapi globalisasi. Selain tidak demokratik dan bakal meruntuhkan demokrasi kita (yang sedia sempit), agama dalam perspektif PAS ini senang sekali memundurkan orang Melayu. Saya melihat gejala ini dengan rasa penuh debar. Na’uzubillahi min zalik!

Ada satu contoh klasik betapa berbahayanya sikap dan orientasi bergerak kumpulan-kumpulan Islam di negara kita. Banyak sekali buku-buku baik tentang hadis (atau menjelaskan aspek-aspek asasi ilmu hadis) diterbitkan selepas (dan sebagai reaksi balas) terhadap karya Kasim Ahmad yang diharamkan, Hadis: Satu penilaian semula.

Dengan kata lain, kita memerlukan seorang Kasim dan bukunya itu untuk mengembangkan ilmu-ilmu asasi yang sangat dekat dengan pemikiran dan wacana umat Islam. Kalaulah mereka tidak digemparkan oleh sikap tokoh pemikir sosialis-sastera ini, maka belum tentu kita dapat membaca buku-buku hadis tersebut!

Sama ada kita bersetuju atau tidak, tekanan 50 NGO itu telah mendorong PAS Wilayah Persekutuan untuk menganjurkan “ekspedisi dakwah di Bukit Bintang dan Bangsar”. Jika tidak ada apa-apa ‘kegemparan sosial’ (pada perspektif mereka), PAS lebih suka berkhayal atau tidur!

Mentaliti dan orientasi bertindak yang reaktif dan emosional sebegini, apatah lagi anti-demokrasi dan anti-debat, yang boleh memundurkan orang Melayu. Islam hanya sekadar topeng untuk menutup rasa malas berfikir, mengkaji dan bergerak kelompok-kelompok agama kita. (Ehsan Malaysiakini.com, 11 Apr 2005)

Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (11 April 2005). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com

Sila klik di sini untuk membaca artikel Fathi Aris Omar di laman web Ummah Online

No comments: