Wawancara Ummah Online bersama Fathi
Ummah Online
Membaca hasil wawancara marathon ini memang memenatkan, tetapi mujurlah penulisannya bersifat santai. Jadi tidaklah terasa marathonnya itu. Mungkin ada yang bertanya, apakah yang menariknya dalam wawancara ini? Wawancara (dari saling komunikasi emel) ini menjadi istimewa kerana ia memperlihatkan bagaimana Fathi Aris Omar sangat-sangat menghargai anugerah akal. Akal: satu fungsi yang sering direhatkan oleh kita, khususnya umat Islam sembari berdalilkan "cukuplah Al-Quran dan As-Sunnah sebagai bimbingan mutlak kehidupan kita".
Namun begitu Fathi tidak pernah puas dengan dalil murahan ini. Dengan akal yang dikurniakan, beliau tekad mencari mutiara kebijaksanaan. Dewasa ini, dunia menyaksikan dua kutub yang sukar didamaikan; fundamentalis vs liberalis. Dua kutub ini masing-masing cuba pengaruh-mempegaruhi untuk memperoleh penganutnya. Tetapi bagi Fathi mudah saja, barangkali kedua-dua kutub ini sama ’menyesatkan’!. Masing-masing bukanlah boleh dijadikan sandaran tak terbantah dalam mencari kecerahan fikiran.
Oleh itu, untuk tidak terperangkap dalam bahaya ini, maka Fathi – dalam himpunan wawancara ini - menganjurkan agar kita sentiasa bersikap kritik kolektif, mencermati realiti dengan logik, dan memahami pesan-pesan filosofis Islam itu sendiri. Kita juga mesti keluar dari kepompong dan berani mendiskusi konflik-konflik yang terjadi antara akal dan agama. Sebagai langkah pertama cadangnya lagi, mulakan dengan membaca, membaca dan membaca! Jangan malas, tegasnya sungguh-sungguh sekali!
Lantaran ‘kegeraman’ beliau terhadap kemalasan kita inilah, kadangkala beliau menulis tanpa menyimpan sedikitpun rasa simpati pada sasaran kritikannya. PAS tentunya ada pengalaman 'perit' bagaimana untuk menangkis hujah-hujah matang beliau ini. Memandangkan dalam banyak tulisannya bernada memberontak, beliau hinggakan hampir terlupa untuk kembali memujuk dan menenangkan sasarannya.
Tetapi Fathi tidak perlulah menyesali kritikan-kritikan yang dilemparkannya itu, kerana menurut Ibn Rusyd, ini hakikatnya adalah proses untuk kita taqarrub ilLah. Begitu juga kalau kita membaca buku Jeffry Lang, Bahkan Malaikat pun Bertanya, kita tentunya turut menemui jawapan yang persis. Mudah-mudahan dengan praktik rasional-kritis ini akan menemukan kita kepada ainul yaqin.
Apapun, UmmahOnline Team yakin dan percaya, Fathi Aris Omar sebenarnya bukanlah berniat untuk mengubah kita menjadi penganut mazhabnya, sebaliknya hanya mahu menganjurkan kepada kita supaya tidak menganut apa-apa mazhab (fahaman) pun, tanpa di asaskan dengan rasionaliti. Itu sahaja yang hangat didendangkannya.
Waima, beliau harus lebih mengerti, bahawa apa yang didendangkannya itu barangkali hanya dirinya sahaja yang terbuai, terpesona dan fana'. Natijahnya, jadilah beliau seperti Abu Dzarr Al-Ghiffari yang di humban ke pinggir dunia gara-gara 'tabiat' mengkritik hagemoni-hagemoni di sekelilingnya. Tetapi salahkah beliau menjadi seorang lagi Abu Dzarr?
Klik di sini umtuk membaca wawancara penuh bersama Fathi Aris Omar, seorang individu yang cukup aku kagumi.
No comments:
Post a Comment