Wednesday, July 27, 2005

Pasca persidangan UMNO

Agenda Nasional Baru dan perpaduan kaum

Sebagai salah seorang anak Malaysia yang lahir selepas DEB diperkenalkan, tidak boleh tidak aku ingin mengulas secara ringkas di sini terhadap gesaan Pemuda UMNO agar semangat DEB dihidupkan di dalam Agenda Nasional Baru yang ingin dizahirkan secara jelas dan terperinci ke dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tahun depan.

Reaksi spontan aku dan beberapa teman Melayu dan juga Cina sudah pastilah lebih banyak tidak bersetuju dibandingkan dengan bersetuju. Oleh kerana aku merupakan salah seorang generasi muda Malaysia yang telah sedikit berjaya keluar dari melihat sesuatu dari kepompomg perkauman, perkembangan yang berlaku ini amat menakutkan.

Faktor utama yang menakutkan aku adalah apakah kesannya kepada majoriti generasi muda Malaysia kini yang pada ketika ini masih berpecah belah mengikut kaum dan agama masing-masing dan juga di masa akan datang ? Akan tercapaikah cabaran pertama Wawasan 2020 iaitu "Mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu dan satu bangsa Malaysia yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama"? Aku amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia terdahulu yang memperkenalkan DEB kerana sedikit sebanyak aku mendapat banyak faedah daripadanya.

Namun kesan negatif DEB jangan pula kita lepas pandang yang diantaranya ialah pembentukan mentaliti subsidi, rent-seeking, malas dan bersikap mediocre atau asal boleh sahaja di dalam banyak hal. Namun begitu terdapat ramai juga orang Melayu yang mendapat faedah daripada DEB dan berjaya mengelakkan diri daripada terpengaruh budaya negatif tersebut dan ini amat membanggakan. Oleh kerana itu aku cukup percaya orang Melayu boleh maju walau tanpa tongkat asalkan mempunyai sikap yang betul.

Di dalam menghadapi arus globalisasi dan dunia yang semakin kompetitif, apa yang kita perlukan adalah sikap bantu membantu sesama kita yang sedar dan ingin berjaya tanpa mengira bangsa. Walau masih ada ramai kaum Cina dan India yang bersikap perkauman seperti mana orang Melayu terutamanya di dalam sektor swasta, jangan kita sekali-kali hilang fokus di dalam usaha pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu padu yang tidak artificial. Untuk berlaku adil, banyak faktor yang menjadikan majikan Cina bersikap rasis yang mana salah satunya adalah disebabkan oleh dasar kerajaan yang menganggap mereka sebagai rakyat kelas kedua.

Jika roh DEB ingin ditiupkan semula, bayangkan apa yang akan terjadi di masa hadapan? sudah pasti perpecahan yang akan berlaku. Oleh kerana itulah aku menyeru supaya anak muda Melayu, Cina, India dan lain-lain yang tidak bersikap perkauman dan prihatin terhadap nasib negara Malaysia (bukan Tanah Melayu) yang berbilang bangsa agar dapat membentuk satu pertalian yang erat untuk memajukan negara ini. Aku percaya perkara ini boleh dilakukan walaupun jalannya kelihatan amat sukar buat masa ini.

Sikap negatif orang Melayu

Banyak kisah yang selalu akan dengar tentang sifat buruk orang Melayu daripada teman-teman seperti sifat hasad dengki, tiada semangat keusahawanan, mudah berpuas hati, mengharapkan lubang untuk mendapatkan sesuatu sedangkan mereka tahu akan ketidakmampuannya membuat kerja, mengalibabakan projek, belajar tinggi-tinggi terutama di bidang kritikal dan akhirnya menjadi cikgu yang terpaksa dan banyak lagi.

Aku sedar banyak lagi orang Melayu yang mempunyai sikap positif yang boleh dibanggakan tetapi aku percaya pendedahan dan penghinaan terhadap golongan Melayu yang negatif untuk sesuatu yang lebih baik wajib diberitahu.

MLM

Satu lagi adalah sikap orang Melayu yang suka memperlekehkan rakan-rakan yang memasuki perniagaan MLM. Walaupun aku secara peribadi tidak berminat untuk menyertai MLM buat masa ini, janganlah kita mentertawakan mereka. Jika kita tidak berminat, biarkan mereka yang berminat melakukannya dan secara tidak langsung akan menambahkan kekayaan bangsa Melayu. Soal mereka ini agak ekstrem dan sebahagiannya "hangat-hangat tahi ayam" harus dibezakan dengan impak positif MLM.

Sikap apathy

Aku merasakan di kalangan anak muda negara ini, anak muda kaum Cina adalah yang paling kurang meminati politik. Antara sebab yang sering diberitahu kepada aku adalah ibu bapa mereka lebih menekankan tentang pendidikan dan ekonomi kerana itulah survival utama mereka setelah hak-hak politik dan lain-lain diketepikan secara halus. Tidak dilupakan juga golongan anak muda hedonistik melampau yang kebanyakannya memperolehi faedah daripada dasar-dasar kerajaan yang secara tidak langsungnya bersifat politik.

Banyak yang mengatakan mereka sakit hati, bosan dan menyampah dengan politik dan ini adalah excuse yang amat baik jika kita melihat senario yang melatari politik negara ini. Namun mereka harus sedar bahawa apa yang berlaku di sekeliling kita kesemuanya mempunyai pertalian dengan politik. Bagaimana restoran atau maple dapat beroperasi selama 24 jam, ia ada kena mengena dengan dasar yang dibuat oleh pihak berkuasa contohnya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mana terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Begitu juga dengan pembangunan dan acara-acara sukan dan hiburan yang dihidangkan di hadapan kita seperti bagaimana tiba-tiba munculnya Tesco, Arab Square di Jalan Berangan, LRT, Formula 1, Sukan Komanwel, Konsert Force of Nature, Konsert Rock The World, Konsert artis Hong Kong dan sebagainya. Politik dan kehidupan kita tidak boleh dipisahkan, tetapi kita harus boleh memisahkan antara politik, politikus dan parti politik.

Buta sejarah

Apa yang aku nampak adalah majoriti anak muda di negara ini buta sejarah dan pengetahuan tentang Malaysia yang asas. Masih ramai yang tidak tahu apa itu Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional dan Dasar Wawasan Negara yang mana ianya adalah dasar-dasar utama yang membentuk negara ini di dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Aku juga cukup yakin bahawa kebanyakan para peminat hiburan negara ini baik yang independen dan arus perdana tidak mengetahui akan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang selama ini secara tidak langsung menjadi latar dunia hiburan kita.

Unspoken, but loud and clear - The Star
A Malay Agenda Or A Malaysian Agenda -DAP

No comments: