Hari ketiga, 3 Oktober, Phnom Penh
Aku bangkit kira-kira pukul 7 pagi dan dengan pantasnya bersiap-siap dan menuju ke Tanom GH yang terletak berhampiran untuk menunggu van yang akan mengambil aku. Kira-kira jam 8.45 pagi van Capitol Tours pun tiba dan membawa aku dan penumpang yang sudah sedia ada di dalam ke Terminal Bas yang letaknya kira-kira 2 km dari pusat bandar.
Perjalanan ke ibu kota Cambodia bermula pada pukul 9.20 pagi (20 minit lewat)dan keadaan laluan amat memuaskan. Berhenti rehat kira-kira pukul 12 tgh di suatu hentian seperti hentian bas ekspres di Malaysia. Oleh kerana berpuasa terpaksalah aku berangan sahaja di kerusi rehat di luar restoran.
Setelah perjalanan disambung aku menegur perempuan mat salleh sebelah aku yang boleh tahan seksinya. Sepanjang perjalanan awal aku tiada mood untuk berborak disebabkan masih mengantuk dan kepenatan. Seperti dijangka dia mulanya menyangka aku orang tempatan walaupun pada hakikatnya dia (terlupa nama dia) lebih tempatan dari orang tempatan. Dia merupakan rakyat Amerika tetapi dilahirkan dan dibesarkan di merata-rata kawasan di Thailand kerana mengikut ibu bapanya dan sejak 4 tahun lepas menetap di Siem Reap. Fasih berbahasa English, Thai dan Khmer dan sedang mempelajari Pernacis dan Korea.
Banyak juga yang dibicarakan dari soal politik Thailand dan juga Cambodia sehinggalah soal pembangunan di Cambodia. Menurut ceritanya sejak Hun Sen menjadi PM Cambodia banyak pembangunan telah dibawa dan pelabur mula berani datang semula. Aku menyetujui pandangan ini terutama apabila mula memasuki kota Phnom Penh yang besar dan mempunyai infrastruktur yang agak baik dan moden.
Sepanjang perjalanan pemandangan dilatari dengan sawah padi yang menghijau dan rumah-rumah kampung yang hampir sama seperti di Malaysia. Mungkin yang berbeza adalah bekalan elektrik, bekalan air, kereta (semacam wajib di Malaysia), perabot dan perkakas elektrik. Namun begitu pemandangan yang monotoneus terkadang membuatkan aku terlena seketika.
Makan tengah hari
Pemandangan dari luar Capitol GH
Tiba di Capitol GH kira-kira pukul 3 ptg dan seperti biasa aku dan penumpang lain disambut oleh moto-moto dan juga tuk-tuk. Nasib baik GH aku berdekatan sahaja, kalau tak entah berapa bayaran yang dikenakan. Setelah check-in untuk 2 malam yang mana kosnya bernilai $8, aku membeli tiket bas ke Saigon untuk khamis ini yang berharga $12. Selesai urusan, aku memulakan perjalanan ke Independence Monument sebelum terkandas kira-kira 15 minit di sebuah kedai gara-gara hujan yang turun dengan lebatnya.
Independence Monument
Sepanjang perjalanan aku dapat rasai perbezaan karakter penduduk bandar di Cambodia dengan penduduk bandar di Indonesia. Kecuali tuk-tuk dan moto, di sini rakyatnya ramah dan sentiasa membuat hal sendiri seolah-olah bersikap individualistik dan itu bermakna mereka jarang mengganggu pelancong. Jika di Jakarta berjalan seorang diri agak berisiko (walaupun sebenarnya boleh)terutama kaum wanita dan pelancong.
Setelah berjalan agak jauh juga (kira-kira 3 km), aku singgah berbuka puasa di Restoran Bali Cafe yang berlatar belakangkan pemandangan indah Sungai Mekong dan Tasik Tonle Sap. Menu berbuka hari ini ialah Nasi Goreng Bali Cafe Style dan Es Campur yang berharga $3 dan $1.50 setiap satu. Selesai makan aku berjalan kaki menuju ke GH dan sepanjang perjalanan aku mengambil kesempatan merakamkan kehidupan rakyat Phnom Penh melalui lensa kamera dan juga di dalam memori ingatan. Sekarang aku sedang berada di cc sebelum pulang ke bilik dan memikirkan aktiviti untuk hari esok yang pastinya agak mengerikan (killing fields/S21).
No comments:
Post a Comment