Thursday, October 26, 2006

Lima & Tujuh November

oleh Hishamuddin Rais

Lima dan tujuh November ini adalah hari-hari yang wajib kita beri perhatian. Tarikh 5 haribulan ini adalah hari jatuhnya hukuman terhadap Saddam Hussein. Tarikh ini telah ditetapkan setelah dirancang dengan rapi. Dua hari setelah Saddam dijatuhkan hukuman mati saya pasti skripnya telah lama ditulis oleh Karl Rove dari Rumah Putih) beberapa wilayah di Amerika akan mengadakan pemilihan Dewan Kongress dan Senate.

Bayangkan selama dua hari berita Saddam dihukum mati akan dijadikan induk berita oleh media Rupert Murdoch. Para komentar media akan berlabun sepanjang hari tentang jenayah Saddam. Tetapi, jika saya bertanya di sini apakah sebenarnya pertuduhan terhadap Presiden Iraq yang sedang ditahan ini, pasti ramai yang akan menggelengkan kepala.

Saddam telah dituduh dengan kes Anfal di mana dia dikatakan telah memberi arahan untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai bangsa Kurdish pada tahun 1988. Saddam juga dituduh mengarahkan pembantaian terhadap penganut mazhab Shiah setelah satu percubaan untuk membunuh dirinya gagal. Malah ada belasan pertuduhan yang masih belum dibuka untuk dibicarakan.

Sebenarnya pendakwaan Saddam ini satu sandiwara. Saddam ini bukanlah orang yang terlalu baik. Dia memiliki rekod ganas terhadap musuh politiknya. Ini samalah seperti pendakwaan Anwar Ibrahim oleh Mahathir Muhamad pada tahun 1999 dahulu. Mahathir Muhamad mementaskan sandiwara Anwar khusus untuk rakyat Malaysia manakala Bush mementaskan sandiwara Saddam untuk rakyat Amerika dan rakyat dunia.

Dari pensejarahan, Saddam juga telah dinaikkan ke takhta oleh jentera dan talibarut badan risikan CIA. Jika kurang yakin dengan apa yang saya tulis ini sila buka kembali fakta sejarah pada tahun 1979. Baca dan lihat apa yang dilakukan oleh Saddam sesudah Ahmad Reza Pahlevi dijatuhkan oleh Revolusi Iran. Ketika itu Saddam ialah budak suruhan Amerika yang amat setia; bukan sahaja Saddam mendapat bekalan senjata dari Amerika malah Saddam juga mendapat gambar-gambar rahsia tentang kedudukan tentera Iran dari sistem risikan satelit Amerika.

Pada 5 November nanti, berita hukuman Saddam ini akan diolah oleh Karl Rove, bomoh berita dan tukang andam Presiden Bush. Berita ini akan ‘digoreng’ selikat yang mungkin untuk mengalihkan pandangan rakyat Amerika selama dua hari. Karl Rove hanya memerlukan dua hari sahaja. Ini kerana pada 7 haribulan berikutnya, sebahagian rakyat Amerika akan turun mengundi. Karl Rove wajib memastikan Dewan Senate dan Dewan Kongres terus dimiliki oleh Parti Republikan demi untuk meneruskan dasar neocon dan dasar kabal-kabal Zionis.

Presiden Bush pada ketika ini sedang dalam keadaan nazak. Ketika saya menulis ini jumlah soldadu Amerika yang gugur ialah 2783 orang dan yang cedera ialah 20,687 orang. Hasil dari pungutan suara terkini menunjukkan hanya 33% rakyat Amerika yang bersedia menyokong Bush. Dalam masa yang sama, satu pungutan suara oleh CNN baru-baru ini telah menunjukkan hampir 80% rakyat Amerika tidak percaya terhadap cerita dongeng yang ditaburkan oleh Rumah Putih tentang 9/11.

Tidak cukup dengan ini dua minggu dahulu Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health Baltimore dan Universiti Al Mustansiriya Baghdad telah mengeluarkan laporan kajian kematian orang awam di Iraq. Jumlah yang tewas akibat perang ini ilah 655,000 atau 2.5% dari jumlah 25 juta penduduk Iraq. Angka ini amat memeranjatkan. Dengan cepat Presiden Bush telah menafikan angka ini sebagai memiliki banyak kesilapan sama seperti Najib menafikan statistik ekonomi Melayu dari ASLI.

Pada hari ini pukul rata 43 orang rakyat Iraq akan gugur setiap hari. Kebanyakan mereka ialah perempuan dan kanak-kanak. Mereka mati bukan kerana mengambil bahagian dalam perang tetapi menjadi mangsa pinggiran perang. Ada yang terkena tembakan sesat tentera, ada terkena ledakan bom kereta atau ada yang mati hasil dari sasaran bom udara dari soldadu Amerika. Untuk Presiden Bush dan para neocon, angka-angka ini hanya statistik. Orang awam yang tewas ini dianggap ‘collateral damage’ - kemusnahan yang tidak dapat dielakkan. Tidak mungkin ada para politikus Republikan mahu pun Demokrat yang tidak nyenyak tidur bila berhadapan dengan angka ini.

Tetapi apabila berhadapan dengan angka kematian soldadu Amerika yang terus meningkat, maka para politikus Amerika memiliki satu perhitungan yang berbeza. Darah dan nyawa Arab dan nyawa rakyat dunia ketiga dianggap lebih murah berbanding dengan nyawa rakyat Amerika. Angka soldadu mati yang hampir mencapai 3000 orang ini pasti menakutkan para politikus yang akan bertanding pada 7 November nanti. Kes Saddam dijatuhkan hukuman 5 November nanti diharap akan melalaikan rakyat Amerika untuk sementara.

Kini media dunia cuba memberitahu kita bahawa apa yang sedang berlaku di Iraq ialah perang saudara di antara kumpulan Sunni/Shiah/Kurdish. Sekali pandang ada kebenaran kenyataan ini. Tetapi apabila diselidiki dengan lebih rapi maka kita akan menemui bahawa kumpulan bersenjata yang sering membunuh orang awam ini ialah anak didik Amerika sendiri.

Mari kita semua mengingati kembali John Dimtri Negroponte yang pada 2001-2004 adalah wakil tetap Amerika Syarikat ke PBB. Sebelum ini dia pernah ‘menyamar’ memakai baju diplomat untuk bertugas di Honduras dan Nicaragua. Di kedua buah negara ini Negroponte telah melatih kumpulan-kumpulan bersenjata untuk menimbulkan huru hara di negara-negara ini. Akhbar The New York Times telah berkata, “Negroponte carried out the covert strategy of the Reagan administration to crush the Sandinistas government in Nicaragua.”

Pada tahun 2004 hingga 2005 manusia ini (jika masih boleh dipanggil manusia) telah menjadi duta Amerika ke Iraq. Dan lihat apa yang berlaku, dengan tiba-tiba muncul kumpulan-kumpulan bersenjata, bertopeng dan berbaju hitam yang mengganasi rakyat Iraq. Negroponte telah melatih kumpulan Sunni dan Shia. Kumpulan-kumpulan ini tidak mengetahui satu sama lain dan tidak sedar mereka diupah oleh tangan yang sama. Hasil masjid Sunni dibom Shiah dan masjid Shiah dibom oleh Sunni.

Setelah satu tahun bertelur dan mengeram di Iraq, Negroponte berpindah untuk menjadi Pengarah Risikan (Director of National Intelligence) satu badan yang baru ditubuhkan pada Disember 2004. Benih dan virus ganas yang ditinggalkan oleh Negroponte di Iraq kini sedang biak merebak dan melakukan segala macam bentuk keganasan. Jika dibandingkan dengan keganasan Saddam dahulu kelihatan Saddam seperti seorang wali.

Satu hakikat yang wajib diterima dan perlu terus diingati – tidak ada satu kuasa tentera dalam dunia ini yang dapat mengalahkan perang rakyat yang mendapat sokongan massa. Amerika telah di kalahkan di Vietnam, British di Kenya dan di Tanah Melayu, USSR/Russia di Afghanistan, Isreal di Labanon dan Peranchis di Aljeria.

Dalam masa dua tahun yang akan datang saya amat pasti Amerika dan Britain sekali lagi akan dikalahkan oleh rakyat Iraq. Rupa bentuk kekalahan itu semakin jelas. Ketua Agung Tentera United Kingdom General Richard Dannat telah meledakkan bom politik dengan berkata bahawa kehadiran tentera British telah membawa lebih banyak mudarat di Iraq daripada kebaikan. Projek pendemokrasian di Iraq menurut General Dannat tidak akan berjaya. Beliau menyarankan agar berundur sebelum lebih ramai soldadu British gugur.

Kenyataan General Dannat ini telah menggemparkan kerajaan Tony Blair yang selama ini telah menjadi tambi kepada Presiden Bush. Bom politik ini juga telah mula mengegarkan Rumah Putih. Ketika saya menulis ini Presiden Bush telah berkata bahawa keadaan di Iraq ketika ini seakan-akan sama dengan Vietnam.

Laporan-laporan risikan semakin banyak menunjukkan bahawa gerila, mujahideen dan para fedayeen di Iraq tidak dapat ditundukkan dengan kekuatan senjata. Sedikit demi sedikit berita telah dibocorkan tentang bagaimana tentera dan pentadbiran Amerika hanya berupaya untuk bergerak di dalam kawasan Green Zone. Para politikus yang dilantik oleh Amerika juga hanya berani berligar-ligar di kawasan selamat ini. Tetapi, ini tidak pula bermakna Green Zone ini seratus peratus wilayah selamat. Kawasan ini juga sering di serang. Ketika Setiausaha Negara Condoleezza Rice datang ke Baghdad bulan lalu, kapal terbang beliau tidak dapat mendarat untuk ke Green Zone. Kapal terbang Condi terpaksa berligar selama 45 minit kerana serangan telah bermula di kawasan lapangan terbang.

Pada 10 Oktober lalu, satu serangan telah dilancarkan oleh gerila pembebasan Iraq ke atas Base Falcon tempat simpanan senjata dan peluru Amerika. Letupan telah menggegarkan kota Baghdad. Berjam-jam letupan dan kebakaran telah berlaku. Tempat yang dirahsiakan ini telah dibocorkan oleh ‘orang dalam’ kepada gerila pembebasan.

Kenyataan Bush yang menyamakan Iraq dengan Vietnam ini menunjukkan bahawa hari-hari akhir untuk kuasa tentera Anglo-Amerika di Iraq semakin hampir. Malah ada pemerhati politik dan ketenteraan yang telah mula menyamakan serangan pada bulan Oktober 2006 ini sama seperti Tet Offensive di Saigon yang bermula pada 30 Januari 1968 dahulu. (Tet ialah tahun baru Vietnam yang sama dengan tahun baru Cina

Tet Offensive adalah detik perubahan dasar Amerika ke atas Vietnam. Apa yang terjadi padi malam tahun baru itu ialah serangan gerila pembebasan Vietnam yang datang bertubi-tubi dari semua penjuru. Memang banyak gerila telah gugur tetapi serangan sedemikian telah menakutkan kepala tentera Amerika kerana mereka tidak sanggup menerima angka kematian yang terus mendadak. Presiden Johnson menarik diri dari pencalonan. Hasilnya 58,148 orang soldadu Amerika gugur dan enam tahun kemudian gerila Pembebesan berjaya mengahalau Amerika dari Vietnam.

Sebelum kuasa Anglo-Amerika berundur dari Iraq ada satu pekara akan berlaku. Kenyataan saya ini adalah satu kepastian. Pekara ini ialah: Amerika akan memastikan kerajaan boneka Nouri al-Maliki akan menandatangani Production Service Agreements (PSA) untuk cari gali minyak. Perjanjian PSA tidak banyak negara yang menggunakannya. Russia ketika kelam kabut di zaman Yeltsin telah dipaksakan perjanjian ini. Hari ini di bawah Putin minyak dan gas telah dikembalikan sebagai hak milik negara. PSA ini akan melupuskan hak mutlak Iraq dari memiliki dan mengawal bahan mentah ini. PSA ini juga bermakna semua kawasan minyak di Iraq akan dibuka untuk syarikat multinasional.

Jika Perdana Menteri Al-Maliki ini enggan menandatangani atau parlimen menentang PSA ini maka pasti akan berlaku rampasan kuasa. Pada bulan lalu desas desus rampasan kuasa ini telah bertiup hangat sehinggakan memaksa kerajaan a-Maliki mengurung warga kota Baghdad selama 24 jam. Bayangkan dalam suasana perang dan jika kuasa hanya berligar di sekitar Green Zone ini ini pun masih ada yang ingin melakukan rampasan kuasa. Masih ramai elit politk Iraq yang cukup bersedia untuk menjadi tambi kepada kuasa bala tentera Amerika.

Pada 8 haribulan November nanti saya yakin parti Republikan hanya berkuasa di Rumah Putih. Bila ini berlaku besar kemungkinan Presiden Bush akan terpencil. Tetapi seperti anjing gila yang terasak dan terpencil besar kemungkinan dia akan melakukan sesuatu yang menggemparkan. Jangan lupa semua bala tentera laut semuanya telah diarahkan menuju ke Laut Hindi dan Teluk Parsi.

END

No comments: