Tuesday, August 28, 2007

Ayuh ke Shah Alam!

Photobucket - Video and Image Hosting
Peminat meraikan kemenangan

Photobucket - Video and Image Hosting
FRU yang menggelabah

Kejayaan Malaysia menumpaskan Singapura 3-1 untuk melangkah ke perlawanan akhir bertemu Myanmar esok sememangnya mengembirakan. Bukan sahaja kemenangan yang dipinta berjaya diberi pemain, malah aksi mantap dan komitmen bersungguh yang ditagih peminat berjaya ditunai para pemain, sekalung tahniah diucapkan!

Walaupun kita jangan cepat terpesona dengan kejayaan ini, pujian harus diberi jika ianya wajar tanpa perlu pesimis sepanjang masa. Aku sebagai peminat setia Malaysia yang optimis amat mengharapkan pasukan Sukan Sea Korat ini dapat menjuarai kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada tahun 1993. Aku masih ingat detik hebat Malaysia menang ke atas pasukan kedua Korea Selatan selepas masa tambahan 3-1 di Stadium Merdeka di mana penyerang terbilang waktu itu, Azman Adnan muncul hero negara. Aku masih memiliki keratan akhbar detik itu yang masih terlekat kemas di dalam buku skrap yang merupakan hobi aku ketika zaman kanak-kanak. Sering aku tatap dan baca bila mana aku rindukan saat gemilang pasukan bola sepak Malaysia.

Myanmar bukanlah pasukan calang-calang berdasarkan aksi permainan pantas yang dipamerkan ketika bertemu Zimbabwe. Perlawanan yang dilangsungkan awal ini sangat menarik dan tidak rugi rasanya menyaksikan perlawanan ini sambil melihat telatah ribuan penyokong Myanmar yang begitu bising dan sangat patriotik. Amat menarik apabila dua negara yang diperintah diktator bertemu sesama sendiri di dalam perlawanan bola sepak.

Kepada Zaquan, Khyril Muhymen, Shukor, Safee Sali dan rakan-rakan, ayuh buktikan bahawa pasukan bola sepak negara masih mempunyai maruah. Hargailah sokongan hampir 10,000 penonton yang hadir malam tadi di Stadium MBPJ dan jadikan ia sebagai satu azimat untuk bermain habis-habisan esok malam di Shah Alam. Kenangkan betapa bersemangat dan patriotiknya para penyokong apabila lagu Negaraku berkumandang sebelum perlawanan. Penyokong-penyokong ini yang tidak pernah putus harap, bukannya para pemaki pasukan negara yang langsung tidak tahu apa-apa.

Politik dan kebodohan polis










Ada dua insiden menarik di stadium apabila sekumpulan penyokong menggantung bendera Malaysia beserta bendera UMNO dan BN. Seperti dijangka, tindakan itu mengundang rasa jelik sebahagian besar penyokong diiringi dengan teriakan boo, sesuatu yang normal di stadium apabila bendera dua 'benda' itu dipamerkan. Aku masih ingat jikalau di Stadium Shah Alam, rakan-rakan kepada member aku, Aran dan juga Jibam yang selalu membawa bendera UMNO beserta juga bendera PKR dan PAS. Tujuannya mungkin untuk memberi mesej perpaduan di kalangan peminat bola sepak.

Melihat hanya bendera UMNO dan BN yang digantung, ada beberapa peminat berhampiran yang menegur dan dengan pantasnya bendera PKR dan PAS diletak sebelah menyebelah dan diiringi tepukan gemuruh dari penyokong. Bolehlah dianggap pembangkang sudah menang sorak, jangan menang sorak sahaja parti tergadai sudahlah.

Satu lagi insiden berlaku setelah tamat perlawanan. Mungkin kerana terlalu gembira dengan nikmat kemenangan yang boleh diibaratkan seperti apabila parti pembangkang menang pilihanraya. Sekumpulan penyokong memasuki padang untuk merayakan kemenangan bersama pemain dan di dalam masa yang sama FRU bertindak menggelabah menahan penyokong-penyokong itu. Lagak aksi lari FRU tidak ubah seperti ingin menangkap para demonstran di mana-mana demonstrasi. Apa lagi pihak polis diboo sekuat-kuatnya dan dimaki hamun oleh para penyokong yang tidak berpuas hati.

Apa salahnya penyokong meraikan kemenangan, bukannya ada keganasan dan kekacauan. Jikalau ingin menjaga keselamatan pun, tidak perlulah bertindak ganas dan menahan para peminat, apa salahnya jika hanya mengarahkan mereka masuk semula ke tempat duduk stadium. Ke mana hilangnya sifat munasabah dan kemanusian pasukan polis? Aku tak tahu apa yang terjadi kepada mereka yang ditahan, akankah mereka didakwa atau diambil rekodnya sahaja? Apa yang pasti insiden ini sekali lagi mencalar imej polis yang telah sedia tercalar, kata-kata seperti 'polis babi', 'anjing', 'polis rasuah' dsb keluar dari mulut peminat-peminat bola yang aku yakin majoritinya tidak begitu politikal. Aku yakin pegawai-pegawai polis yang berada di situ dapat merasakan betapa tidak popularnya mereka walaupun bukan di kalangan penyokong parti pembangkang. Masa untuk berubah wahai PDRM.

Ayuh lupakan sementara politik dan polis, mari beramai-ramai memenuhkan Stadium Shah Alam rabu ini. Harga yang aku bayar adalah terpaksa tidak menghadirkan diri pada forum penting 'Independence During Emergency' anjuran Parti Sosialis Malaysia di Dewan Perhimpunan Cina. Apapun kedua-duanya demi Malaysia yang lebih baik!

Malaysiaku Gemilang!

Friday, August 24, 2007

Skim Pinjaman Buku: Buku Untuk Semua, Malaysia Membaca



Kewujudan Shelfari telah memudahkan aku untuk memulakan projek pinjaman koleksi buku peribadi untuk yang berminat. Sudah lama idea ini berada di dalam benak kepala, tetapi sering kali tertangguh dek kerana kemalasan untuk menyenaraikan senarai-senarai buku.

Tujuan utama aku berbuat begini adalah untuk menyebar luas ilmu yang tak terlarat dihadam seorang diri. Kekangan kerja dan aktiviti-aktiviti lain sering kali membataskan masa aku untuk membaca banyak buku yang dibeli dengan penuh nafsu. Apa yang termampu adalah membaca beberapa bahagian-bahagian buku yang penting dan meninggalkan yang lain. Aku harap kepada bakal-bakal peminjam nanti, sekiranya berjaya menamatkan pembacaan silalah kongsi-kongsi ilmu yang diperolehi supaya kita dapat meningkatkan ilmu dan pengetahuan masing-masing.

Sesiapa yang berminat untuk melihat koleksi yang ada, sila klik di sini dan untuk pengetahuan masih banyak tajuk yang belum berjaya dipamerkan terutama buku-buku tempatan dan dari Indonesia. Segala pertanyaan sila hubungi aku di talian 019-308 3804 atau e-mel ke zulhabri@gmail.com.

Mari membaca!

Monday, August 20, 2007

Forum KeADILan: Kontroversi Negarakuku dan Patriotisme

(serta pelancaran Pertandingan Cipta Klip Video Lagu Alternatif Negaraku)

Parti KeADILan Rakyat akan mengadakan satu forum dengan Tajuk: Kontroversi Negarakuku dan Petrotisme untuk membincangkan kontroversi yang dibangkit oleh seorang artis muda Wee Meng Chee, yang belajar di Taiwan.

Barisan panelis akan bicarakan isu-isu yang dicetus dari pelbagai segi erti patriotisme, perhubungan antara-kaum dan lain-lain. Sempena forum ini, Parti Keadilan Rakyat juga akan melancarkan Pertandingan Cipta Klip Video Lagu Alternatif Negaraku, dengan tujuan mengalakkan kreativiti orang-orang muda.

Berikut adalah butiran forum:

Tempat:

Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, Tingkat 2, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur.

Tarikh: 20 Ogos 2007 (Isnin)

Masa : 8.00 malam

Barisan Panelis forum:

1) Tian Chua (Ketua penerangan KeADILan)

2) Khalid Jaafar (Ahli MPT KeADILan, )

3) Hishamudin Rais (kolumnis Malaysiakini dan pengarah filem bebas)

4) Amin Idris (bekas presiden Gamis, digantung sesemester sebab tulisan dalam harakah)

5) Wakil AMK

Sila datang beramai-ramai dan sebarkan mesej ini.

Biro Penerangan KeADILan

***Semua media juga dijemput hadir datang membuat liputan berita. Harap maklum

Sebarang persoalan sila hubungi koordinator media Ginie Lim 012-669 3453

Please visit KeADILan (PKR) trilingual website: Malay: www.keadilanrakyat.org, English: http://en.keadilanrakyat.org/ , & Chinese: http://cn.keadilanrakyat.org/; Advisor Anwar Ibrahim's blog: www.anwaribrahimblog.com; Info Chief, Tian Chua's blog: http://www.tianchua.net; if you find them worth reading, do help us promote them to your friends.

Wednesday, August 15, 2007

Sukan sakan

Peminat-peminat sukan pastinya bergembira dengan kepadatan acara-acara sukan yang sedang dan telah berlangsung baru-baru ini khasnya peminat sukan bola sepak (Piala Malaysia, EPL, CYC, Sultan Selangor etc), badminton, skuasy (Wanita Remaja Dunia di Hong Kong) dan lumba motorsikal (FIM Asian GP).

Bayangkan pada hujung minggu lepas, buat pertama kali aku tidak keluar rumah pada waktu malam disebabkan sajian sukan yang enak di depan mata. Ada Liga Inggeris, Piala Sultan Selangor dan Championship Youth Cup (CYC) yang hampir serentak, memang sangat indah rasanya walaupun agak kecewa gagal mengikuti sepenuhnya lakonan Fazura di dalam Gol & Gincu musim kedua.

Minggu ini pula sajian diteruskan dengan aksi-aksi kemuncak CYC di Shah Alam dan Bukit Jalil, Kejohanan Badminton Dunia juga di Bukit Jalil, cubaan mencari gol sempurna oleh Arsenal di EPL juga di Champions League pagi ini dan banyak lagi.

Minggu-minggu yang mendatang juga pasti mempesonakan dengan begitu banyaknya acara sukan terutama bola sepak dan pemotoran (Formula 1 dan Moto GP) menunggu untuk ditonton di kaca tv. Bermulanya musim baru EPL membuatkan cuti hujung minggu lebih bermakna dan memulakan semula sengketa dengan musuh-musuh bola sepak seperti Aran dan ramai lagi.

Piala Malaysia akan berehat bagi memberi peluang kepada kejohanan Pesta Bola Merdeka sebelum bersambung pada 1 September bagi aksi separuh akhir. Agak sedih kerana Selangor telah terkeluar setelah kecundang di tangan Terengganu, good luck pada pasukan yang masih bersaing terutama Kedah yang memburu tiga kejuaraan semusim yang selama ini hanya boleh dilakukan oleh Selangor, hehe.

Namun seperti yang pernah aku perkatakan di dalam tulisan sebelum ini, fokus kepada pasukan negeri jangan sampai terlebih sehingga nasib pasukan kebangsaan yang tercinta dilupakan. Barisan bawah 23 K Rajagopal akan beradu tenaga di Pestabola untuk memulihkan maruah negara yang tercalar hebat di Piala Asia baru-baru ini walaupun aksi pasukan remaja negara di CYC sedikit sebanyak telah menggembirakan para peminat.

Tiada sukan, tiada hidup

Aku sentiasa berfikir bagaimana agaknya kehidupan manusia-manusia yang tidak meminati (sama ada bermain atau sekadar menonton atau mengikuti) sebarang jenis sukan? Persoalan ini pernah aku bincangkan dengan rakan sembang yang juga tidak begitu meminati sukan, Rusnizam di Mamak 14 beberapa ketika yang lalu. Walaupun aku menghormati itu adalah hak-hak individu di dalam sistem demokrasi, namun aku sering tertanya-tanya mengapakah golongan ini boleh menolak budaya popular yang dominan ini dengan mudahnya? Apakah rahsianya?

Sukan sebagai alat patriotisme

Aku akan menulis dengan lebih lanjut tentang perkaitan sukan dan patriotisme sempena bulan kemerdekaan ini minggu hadapan. Sampai di sini dahulu, selamat menonton acara-acara sukan! dan jangan lupa untuk bersukan juga demi kesihatan tubuh badan.

Nota: Setelah hampir dua tahun tidak bermain ping pong, aku akan bermain secara aktif semula setelah kaki ping pong semasa zaman sekolah, Razli aka Koyok mempunyai tempat untuk bermain ping pong tanpa gangguan di tempat kerjanya, percuma pulak tu. Jadi sesiapa yang berminat untuk join, sila hubungi aku...untuk yang hebat dan mempunyai tahap spin yang cemerlang sahaja, hehe.

Tuesday, August 07, 2007

Di Manakah Anda Akan Berpiket untuk Gaji Minima 8 Ogos?


Berikut ialah tempat-tempat yang akan diadakan piket untuk mendesak agar Kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia melaksanakan gaji minima sebanyak RM900 dan elaun sara hidup (COLA) sebanyak RM300.

Piket akan diadakan di seluruh negara seraentak pada jam 5.30pm, 8hb Ogos 2007.

Selangor: Petaling Jaya - Cycle & Carriage
Shah Alam - Kilang Proton
- Good Year, Seksyen 15

Kuala Lumpur: Jalan Raja Laut

Perak: Ipoh

Pulau Pinang: Perai - Jalan Baru, Pearl View Hotel

Negeri Sembilan: Senawang

Johor : Batu Pahat
Kluang
Pasir Gudang
Johor Bahru

Melaka: Mahkota Parade

Sarawak: Kuching - Padang Central

Alasan bagi kaum pekerja menuntut Gaji Minima

Sumbangan pekerja kepada perkembangan ekonomi negara dan kemajuan nasional serta kerjasama mereka di dalam memelihara keharmonian industri telah diberi pengiktirafan serta penghargaan oleh kerajaan. Namun begitu, terdapat sejumlah pekerja yang signifikan dalam negara ini yang masih dibayar upah yang rendah dan dinafikan keperluan asas hidup. Sebilangan besar pekerja ini tidak memiliki kemahiran dan di luar capaian keahlian kesatuan sekerja.

Bahkan, gaji pekerja yang diwakili oleh kesatuan sekerja juga tidak kurang rendahnya.

Walaupun memperolehi keuntungan yang besar, upah asas pekerja ladang di seluruh negara kekal di bawah RM400 sebulan. Pekerja di industri tekstil dan pakaian yang diwakili oleh kesatuan sekerja di seluruh negara dibayar kadar yang lebih rendah (dari RM286 ke RM450)

Kerajaan telah berulangkali menolak gesaan MTUC yang berterusan agar undang-undang mengenai gaji minima digubal dengan alasan kuasa pasaran dan permintaan serta penawaran yang akan menentukan kadar gaji minima dan majikan yang gagal membayar kadar gaji yang adil tidak akan berupaya untuk menarik jumlah pekerja yang cukup bagi memenuhi keperluan mereka.

Malangnya, kerajaan, sungguhpun telah menolak seruan MTUC mengenai gaji minima, telah campur tangan dan membanjirkan negara ini dengan berjuta pekerja asing, dengan upah yang rendah dan keadaan tempat kerja yang teruk. MTUC melihat tindakan kerajaan ini sebagai suatu tindakan yang disengajakan untuk menindas kadar upah.

MTUC melihat rekod terbaru 35% kenaikan gaji dan 100% kenaikan elaun kos hidup untuk pekerja sektor awam, sebagai satu langkah signifikan yang diambil oleh kerajaan untuk memastikan pekerja, terutamanya mereka di dalam kategori bergaji rendah untuk menikmati kehidupan yang manusiawi.

Pada masa lalu, kerajaan telah menyebut proses globalisasi dan keperluan untuk kekal berdaya saing sebagai alasan utama untuk mengekalkan nilai upah pada kadar yang rendah.

Tidak ada jusitifikasi untuk kerajaan terus melengahkan kelulusan undang-undang gaji minima untuk digunapakai kepada semua pekerja. Dengan menguatkuasakan gaji minima yang manusiawi, kerajaan akan berupaya untuk menarik lebih ramai pekerja tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

CADANGAN MTUC UNTUK GAJI MINIMA RM900

Walalupun gaji bulanan minima sebanyak RM900 adalah berdasarkan satu kajian yang dijalankan ke atas kos hidup pada awal tahun 2000, Majlis Agung MTUC berhasrat untuk mengekalkan syor ini.

Mutakhir ini, Akta Pekerjaan yang meletakkan syarat minima mengenai cuti tahunan, cuti sakit, cuti umum, masa bekerja dan terma serta syarat lain, telah tidak meletakkan sebarang asas mengenai upah. Ketiadaan peruntukan yang spesifik mengenai upah telah menyebabkan eksploitasi yang berleluasa. Akta Pekerjaan 1955 patut dipinda untuk turut menyenaraikan gaji minima sebanyak RM900.

Gaji Hidup Minima

Gaji Minima merupakan elemen asas yang amat penting dalam perjuangan kesatuan sekerja ke arah membentuk, mengekalkan serta menambahbaik kualiti hidup para pekerja.

Cadangan MTUC adalah berdasarkan kepada keperluan asas seorang individu:

Kami tidak percaya bahawa ada mana-mana manusia munasabah yang akan mempertikaikan hak pekerja sehingga kepada keperluan asas yang tersenarai.

Campurtangan kerajaan adalah perlu bagi mengekalkan taraf hidup pekerja bergaji rendah. Gaji minima mewakili keperluan asas dan satu cara yang baik untuk meningkatkan taraf hidup mereka yang bergaji rendah serta keluarga mereka. Gaji minima adalah satu cara untuk melindungi pekerja rentan yang sering dieksploitasi. Ia juga turut bermakna pengagihan semula pendapatan.

RM300 COLA UNTUK PEKERJA SEKTOR SWASTA

Lanjutan dari kenaikan harga petroleum yang mendadak pada tahun lepas, kerajaan telah membayar RM150 COLA untuk pekerja sektor awam sejak Januari 2006. Malangnya, majikan di sektor swasta enggan mempertimbangkan sebarang bentuk bantuan.

MTUC percaya yang kerajaan harus menjalankan kajian yang mendalam dan teliti mengenai kos hidup dan implikasinya kepada penerima upah sebelum meneruskan dengan keputusannya untuk membayar elaun kos hidup sebanyak RM300 kepada pekerja sektor awam.

Tidak ada justifikasi untuk mengecualikan 8 juta pekerja di sektor swasta.

Dari pandangan majikan, membayar buruh dengan gaji minimum akan meningkatkan produktiviti dalam tiga cara: mengurangkan pengabaian tugas, mengurankang keluar-masuk buruh, dan menyumbang kepada keamanan sosial. Pertama, gaji minima adalah cara meningkatkan produktiviti dengan memotivasi pekerja. Kedua, penyeragaman gaji, seperti gaji minimum, boleh menyumbang kepada pengurangan keluar-masuk buruh yang sangat membebankan firma. Ketiga, upah minimum memperkukuh tata sosial dan menjadi cara para majikan memastikan keamanan sosial dengan menghindari konflik.

ILO—Melawan Kemiskinan

Bagi kerajaan, tujuan utama gaji minimum adalah untuk menghapuskan kemiskinan. Gaji minimum boleh berfungsi sebagai jaringan keamanan sosial dalam negara-negara di mana jaringan keselamatan sosial belum dibangunkan. Pemerintah juga telah menggunakan gaji minimum untuk pengagihan semula pendapatan dalam masyarakat, untuk mempromosikan kerja yang produktif dan untuk meningkatkan pertumbuhan yang didorong oleh permintaan. Di negara-negara membangun, gaji minimum seringkali menjadi inti dialog sosial. Penghapusan gaji minimum mungkin secara serius akan merosakkan kualiti dialog sosial tersebut.

ILO—Melawan Kemiskinan