Thursday, July 31, 2003

Orang Cina Seberang Laut, Jaringan dan Melayu

Ketika ini di Kuala Lumpur sedang berlangsung satu persidangan Usahawan Cina Sedunia ketujuh di Pusat Konvensyen Mines yang disertai kira-kira 2000 peserta dari 21 buah negara.

Memperkatakan tentang bangsa Cina ini, tidak kira sama ada Cina Tanah Besar atau Cina Seberang Laut. Aku mempunyai satu pandangan yang didasarkan kepada pembacaan dan apa yang aku lihat selama ini, bahawa bangsa Cina ini akan menjadi 'super power' di dalam hampir semua segi di masa akan datang.

Jika ia menjadi realiti, sesungguhnya ia sama sekali akan mencabar hegemoni Amerika ketika ini. Namun wujud satu persoalan seperti adakah mereka ini akan turut bertindak seperti Amerika?. Apakah nilai yang akan dibawa oleh bangsa Cina kepada dunia? Pastinya, ini semua memerlukan satu kajian pemikiran yang mendalam.

Kelebihan yang wujud pada bangsa Cina jika dibandingkan dengan bangsa lain di dunia ini seperti Jepun, Perancis dan sebagainya amat ketara. Aku ingin memetik pandangan salah seorang pembentang kertas kerja, Professor Charles K. Kao, pengerusi dan CEO Hong Kong's ITX Services Ltd. yang bertajuk ‘Usahawan Cina Seberang Laut’ yang berkata:

"the overseas Chinese had the early advantage in getting into the new growth areas of information technology (IT), biotechnology and nano-technology due to their common characteristics, .
The willingness to work hard, ability to adapt to new circumstances, the existing networks and infrastructures within the Chinese Diaspora, true business acumen, and quickness to access and grasp new opportunities, gave overseas Chinese a good start in harnessing the power of technology, he added.
“With the opportunities that these three technologies could bring, all entrepreneurs should be delighted,''.


Jikalau kita ada membaca buku 'Megatrends' tulisan peramal trend dunia John Naisbitt, beliau ada menjelaskan secara mendalam tentang ramalannya akan kuasa besar ekonomi baru iaitu 'Orang Cina Seberang Laut' di dalam bab satu di bawah tajuk ‘Daripada Negara-Bangsa kepada Jaringan Kerja. Walaupun buku ini diterbitkan pada tahun 1996, banyak fakta yang masih relevan sehingga ke hari ini.

Di dalam buku ini juga, beliau telah meramalkan tentang lapan megatrend penting yang sedang mengubah semula ekonomi, pemerintah dan budaya Asia, membentuk menjadi negara-negara komanwel yang akan menjadi saingan kepada kuasa dan pengaruh barat. Lapan megatrend tersebut adalah;
1) Daripada Negara-Bangsa kepada Jaringan Kerja
2) Daripada Tradisi kepada Pilihan
3) Daripada Panduan Eksport kepada Dorongan Pengguna
4) Daripada Kawalan Kerajaan kepada Dorongan Pasaran
5) Daripada Ladang kepada Kota Raya
6) Daripada Tenaga Buruh Intensif kepada Teknologi Tinggi
7) Daripada Penguasaan Lelaki kepada Kemunculan Wanita
8) Daripada Barat ke Timur

Sama ada ia akan menjadi kenyataan atau tidak, itu adalah persoalan lain. Apa yang ingin aku fokuskan adalah akan keberuntungan kita rakyat Malaysia yang bukan Cina akan peluang yang kita nikmati selama ini untuk dapat hidup, bergaul dan seterusnya mempelajari dan memahami secara langsung akan budaya bangsa yang mungkin mendominasi dunia suatu masa kelak.

Apa yang perlu dilakukan di sini oleh kaum bukan Cina adalah untuk mengkaji dan memahami secara mendalam akan pelbagai aspek di dalam masyarakat Cina seterusnya mengadaptasi kekuatan yang ada pada mereka untuk kita gunakan.

Kekuatan utama yang ada pada bangsa Cina ini padaku adalah akan jaringan yang dimiliki dan usaha yang berterusan dan sekiranya bangsa bukan Cina dapat membuat jaringan seumpama ini sesama mereka dan juga dengan bangsa yang lain termasuk bangsa Cina sendiri. Aku yakin pelbagai masalah perkauman dan jurang perbezaan akan dapat diatasi sedikit sebanyak.

Namun yang agak mengecewakan aku di waktu ini adalah berkenaan sikap orang Melayu yang sentiasa mengeluh seperti ini ‘apa ni semua kedai Cina?’, ‘apsal Melayu tak nak buka bisnes’, ‘orang Melayu mana banyak duit’ dan banyak lagi yang seseungguhnya menggambarkan akan kesedaran mereka terhadap masalah asas yang dihadapi.

Namun, apabila ada anak Melayu yang membuka perniagaan, mulalah golongan ini mengutuk belakang dan jika ada sahabat handai atau saudara mara yang ingin membuka perniagaan, pasti pandangan yang negatif yang biasanya didengar seperti ‘mana bole bukak bisnes senang-senang’, ‘carilah pengalaman dulu’, dsb walaupun mereka ini telah membuat kajian dan kaji selidik serta sudah mempunyai pengalaman.

Hampir selalu yang diperkatakan adalah soal untung, untung, untung. Tidak dapat dinafikan soal keuntungan adalah faktor penting, namun jika semua memikirkan begini, apa akan jadi kepada bangsa kita? Mengapa perkataan survival dan kelangsungan tidak diperkatakan, membuka perniagaan adalah soal survival bangsa kita. Tidak perlu memikirkan pandangan yang negatif apabila ingin membuka perniagaan dan sangat perlu untuk tidak berfikir mengenai 'jangan' yang selalu diterapkan oleh ibu bapa kita semasa kecil dan juga apabila dewasa.

Apa yang selalu dapat dilihat adalah nasihat dan pandangan ibu bapa yang menyuruh anak-anak mereka mencari kerja yang selamat seperti bekerja di sektor awam, guru dsb kerana pada mereka gaji sebanyak lebih kurang RM2000 sebulan itu sudah memadai dan selesa. Bagiku, golongan ini hanya memikirkan soal kelangsungan hidup mereka sahaja dan tidak pada agama, bangsa dan negara mereka. Paling mengecewakan jika mereka inilah yang berbicara soal agama, bangsa dan negara.

Kebiasaannya, golongan seperti inilah yang suka memberi alasan dan pelbagai alasan tanpa mereka ini langsung tiada inisiatif untuk melakukan tindakan yang sama. Golongan majoriti ini pastinya sukar dicari di kalangan masyarakat Cina.

Bertambah mengecewakan adalah mentaliti graduan melayu IPTA kita yang terlalu simplistik di dalam cara mereka berfikir dan bertindak. Amat mengecewakan apabila graduan di bidang yang kritikal seperti ICT dan kejuruteraan memilih profesion perguruan sebagai kareer mereka.

Ketepikan dahulu soal pahala dsb yang selalu diwar-warkan kononnya, oleh kerana pilihan mereka ini kita telah kekurangan teknokrat dan pekerja mahir yang sepatutnya berada di syarikat swasta dan bekerja sendiri yang pastinya akan menyumabang kepada nilai tambah yang lebih besar dan juga penghasilan inovasi baru yang menyumbang kepada seluruh manusia di samping turut mendapat pahala yang mungkin lebih hebat ganjarannya.

Bukanlah ingin merendah-rendahkan martabat perguruan, namun hakikatnya di negara ini adalah kebanyakan mereka yang menceburkan diri ke dalan profesion ini dengan seribu alasan pahala adalah golongan graduan yang tidak berhasrat untuk itu sebelumnya dan hanya memasuki alam ini setelah takut untuk bersaing di luar, tidak mendapat kerja dan sebagainya lantas inilah pilihan terakhir dan sewenang-wenangnya memperkatakan soal pahala dan yang lebih lagi membicarakan soal agama, bangsa dan negara.

Pelajar dan graduan Melayu terutamanya wanita perlu membuat anjakan paradigma supaya berani untuk menceburkan diri ke dunia perniagaan sama ada bekerja di syarikat swasta atau menubuhkan perniagaan sendiri. Biarkan profesian perguruan ini diceburi oleh mereka yang betul-betul berminat dan bukannya oleh guru-guru yang memiliki jiwa palsu ini.

Pelajar dan graduan Melayu wanita terutamanya perlu menerajui anjakan ini kerana meraka membentuk golongan pelajar Melayu yang besar. Jika tidak, mereka ini hanya gah di segi kuantiti dan bukan kualiti diri secara holistik. Jangan diukur hanya berdasarkan keputusan peperiksaan sahaja kerana akademik dan kehidupan adalah suatu yang berbeza.

Pelajar lelaki walaupun secara amnya tidak ramai, namun kebanyakan mereka ini walaupun keputusan peperiksaan tidak begitu cemerlang, prestasinya lebih baik semasa bekerja kerana mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor seperti persekitaran, sikap ingin tahu, penglibatan, proaktif, peka dan berdikari.

Walaupun ini tidak dapat dibuktikan, aku berpandangan wanita Melayu secara keseluruhannya masih belum mampu untuk menyamai pencapaian lelaki Melayu (belum lagi lelaki bangsa lain) dan untuk mengatasinya, aku percaya ia perlu diterajui oleh golongan wanita muda juga. Amat penting untuk golongan wanita berubah kerana mereka ini begitu signifikan jumlahnya dan apabila mereka ini sama taraf dalam semua bidang, ini bermakna bangsa Maleyu akan maju dan rasa hormat orang lelaki terhadap wanita akan bertambah dan tinggi.

Di kala itu, pemikiran dan perangai tidak bertamadun lelaki Melayu yang mat rempit, otai kampung, penyokong bola di stadium dsb yang masih mendominasi persepsi masyarakat di negara ini akan hapus secara perlahan-lahan dan pada akhirnya akan menguntungkan golongan wanita yang di kala ini masih dianggap sebagai lemah, objek seks, permainan dsb oleh golongan-golongan ini yang sepatutnya hidup di negara dunia ketiga lain.

Golongan pelajar dan golngan muda wanita perlu membuat perubahan daripada membaca Hai, Mangga, URTV, Mastika dsb kepada bahan bacaan yang boleh menambah informasi yang berguna dan meningkatkan ketajaman fikiran. Juga berubah daripada menonton filem seperti Janji Diana dsb sahaja kepada filem yang dapat membuatkan otak kanan dan kiri berfikir kerana kualiti manusia terletak pada pemikiran mereka.




Sunday, July 20, 2003

MALAYSIA SEMAKIN MUNDUR

Artikel di bawah adalah hasil ihsan Nizam Zakaria

Friday, July 18, 2003
Hari Hitam untuk Seni

Beberapa SMS yang saya terima pagi Jumaat ini agak mengejutkan, apabila saya diberitahu bahawa lesen persembahan Instant Café Theatre Ensemble (ICT) tidak akan diperbaharui lagi. Perkara ini sememangnya agak mengejutkan bagi saya, juga rakan-rakan pencinta teater. Mereka cukup kurang senang dan rimas dengan keputusan kurang wajar yang telah diambil oleh pihak DBKL. Tindakan ini sudah pasti mencemaskan bukan sahaja kepada pencinta teater, malah ia membuka tirai kepada kelemahan sistem yang sedia ada dalam menangani masalah, yang tidak sekronik mana.

Semua ini bermula dengan surat yang pernah disiarkan di bahagian Forum Utusan. Surat itu kononnya ditulis oleh seorang ‘pencinta teater’. Surat itu jugalah yang menjadi penyebab, di mana DBKL bertindak melulu dan inilah akibatnya.

Perkara ini mengingatkan saya kepada pendekatan negara-negara autoritarianisme terhadap seni. Segala-gala yang berkaitan dengan seni perlu mempunyai fungsi untuk ‘berkhidmat’ kepada negara. Seniman tidak mempunyai kebebasan menyuarakan pendapat dalam bentuk seni seperti mana yang dikecapi oleh negara-negara demokrasi. Seni di bawah pemerintahan Stalin, Franco, Pinochet dan Mao jelas keras, kaku dan superfisial. Hanya mereka yang mengikut kehendak pemerintah dibenarkan untuk meneruskan kerja-kerja seni mereka. Yang lain, menjadi seniman bawah tanah yang terus berkarya dalam keadaan tertekan.

Saya cukup takut jika kita sampai ke tahap apabila seniman kita takut untuk berkarya. Dalam diam, minda mereka akan ditutup, mulut mereka akan terkunci rapat – semata-mata kerana hak mereka untuk berkarya dan bersuara akan dikuburkan. Mekanisme untuk melakukan perkara-perkara seperti ini memang ada, tetapi sebelum ini jarang-jarang rasanya dipraktikkan. Lagipun, bukankah Malaysia ini sebuah negara demokrasi?

Kita perlu sedar bahawa sebuah negara yang bercita-cita tinggi dengan aspirasi untuk menjadi sebuah negara maju bukan sahaja memerlukan prasarana yang serba moden, tetapi juga memberikan rakyatnya dengan kebebasan untuk meluahkan pendapat dalam apa bentuk sekalipun. Seni itu, perlu dikembangkan supaya satu hari nanti, ia mampu bernyawa sendiri untuk meletakkan Malaysia sebaris dengan nadi-nadi seni yang lain. Jika kita terus secara membuta-tuli mengawal pengaliran idea kreatif dan sebagainya, sudah tentu perjuangan kita tidak ke mana. Tinjau sahaja kegagalan E-Village (Cyberjaya/Dengkil) untuk contoh yang terdekat kepada kita, di mana, ia menemui jalan buntu kerana dunia (penggiat seni antarabangsa) takut dengan pendekatan Malaysia yang lebih selesa mencantas hak-hak berkarya golongan seni. Tidakkah kita belajar dari kesilapan ini?

Tidak perlu rasanya kita mempunyai bangunan yang paling tinggi di dunia dan prasarana negara maju jika Malaysia tetap sebuah negara yang mempunyai mentaliti Negara Ketiga.

Dan sampai bila agaknya kita mahu terus dicap sebagai sebuah negara yang kontang seni? Perlu kita ingat bahawa sejarah ada menunjukkan bahawa tamadun datang dan pergi, tetapi peninggalan seni dari tamadun yang telah lama lenyap tetap ada dan terus diingati.

Kita perlu sedar tentang pentingnya kehadiran seni dalam pembangunan negara dan bangsa. Seni bukan sahaja mengenai ideologi yang tertentu, tetapi ia perlu ada untuk memanusiakan kita.

Kita perlu ketawa, menangis, berfikir dan dihiburkan. Seni, walau dalam bentuk apa sekalipun, perlu ada untuk menjana perasaan-perasaan ini untuk membuat kita lebih manusia.

Apa agaknya kelebihan yang kita dapat sebagai rakyat negara ini jika ICT tidak lagi dibenarkan untuk terus berkarya? Adakah kita sebagai rakyat Malaysia belum cukup matang untuk menonton persembahan ‘Bolehwood’ oleh ICT, walaupun ia dikatakan menggunakan kata-kata kesat, mengkritik pemimpin mahupun mempersoal hukum hudud. Perlukah kita tidak dibenarkan menonton satu-satu persembahan, semata-mata kerana pihak berkuasa terpaksa tunduk kepada kehendak SEORANG ‘pencinta teater’ yang lekas melatah?

Sedar atau tidak, tidak lama lagi kita kita akan menyambut hari kemerdekaan kita yang ke-46. Masyarakat lebih matang berbanding dahulu. Jika dulu, kita takutkan anasir-anasir luar bakal mengganggu-gugat minda kita, kini tidak lagi. Kita mempunya lapisan masyarakat yang jauh berpendidikan tinggi dan berfikiran lebih terbuka – yang mampu menyaring pelbagai ‘input’ yang menerjah kepala mereka. Dalam pada itu, minda-minda intelek ini, perlu terus ‘dicabar’ dengan bahan-bahan seni atau bukan seni yang tinggi nilainya.

Janganlah kita terkejut, jika esok lusa, CNN, BBC, AFP dan entah berapa banyak agensi berita dari luar negara akan memberitakan tentang perkara ini dari sudut berita yang mungkin akan dianggap ‘melampau’ oleh sesetengah pihak serta berpihak kepada ICT dan bukan kepada tindakan membabi buta DBKL. Rasanya ini tidak perlu berlaku, jika kita melihat sesuatu ‘masalah’ sebagai ‘peluang’. Dalam konteks ini, peluang yang dimaksudkan adalah kesediaan semua pihak, baik individu, kerajaan memerintah atau badan penguatkuasa untuk mengisi kemahuan negara kita sendiri – untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah di pentas seni dunia. Dan, jangan diperlekehkan tahap pendidikan dan status minda khalayak yang rata-ratanya, tahu membeza intan dan kaca.

Sebagai seorang individu dan seorang pencinta seni, saya tidak tahu apa yang termampu oleh saya, kecuali meluahkan ketidakpuasan saya melalui tulisan ini, yang saya anggap sebagai protes kepada apa yang telah berlaku kepada negara yang tercinta ini. Protes saya berasas. Setelah kejadian banjir yang ‘meranapkan’ cita-cita seni Actors Studio baru-baru ini, tiadapun suara kuasa-kuasa besar yang ingin membangunkan semula prasarana itu sedangkan, jelas dan nyata, kejadian banjir itu tidakkan berlaku jika projek-projek pembangunan yang ada di sekitar Kuala Lumpur, dilaksana dengan lebih teratur dan terancang. Mungkin, masyarakat kita tidak cocok untuk turun-naik ke mahkamah, jika ia berlaku di negara maju, jutaan ringgit sudah berpindah milik – antara kerajaan dan mangsa.

Saya kini seolah rasa terkilan kerana setiap apa yang baik tentang Malaysia yang pernah saya bangga-banggakan kepada rakan-rakan saya di Singapura (tentang kebebasan bersuara dalam seni yang dikecapi di sini dibandingkan di sana) kini hancur begitu sahaja. Saya yakin mereka tidak akan mentertawakan saya, tetapi sama-sama sedih. Kerana mereka juga pencinta seni. Mereka tahu bahawa apa yang telah berlaku kepada ICT adalah satu titik hitam dalam dunia seni, juga satu kisah sedih yang sedang berlaku di negara ini. Mungkin ia juga adalah titik tolak, titik tolak untuk pencinta seni menyedari bagaimana ‘makanan’ minda kita disekat dan kita ‘kelaparan’ santapan minda. Protes secara ‘senyap’ ini mungkin jauh lebih meninggalkan impak jika kita halusi. Jadi, sebelum ini semua berlaku, baik kata sepakat dicari demi mencapai cita-cita negara dan menempatkan negara kita di arena seni dunia.

Perkara ini tidak boleh kita biarkan... Berbalik kepada kejadian terbaru ini, jika seorang ‘pencinta teater’ boleh menjadi penyebab kepada detik hitam sedemikian, entah apa lagi tindakan yang bakal menyusul kepada dunia seni tanah air, saya rasa, kita semua boleh melakukan sesuatu untuk bertindak dengan cara yang sama.

Mungkin protes kita, boleh juga kita lakukan dengan bersatu, menyuarakan pendapat kita ke saluran-saluran yang ada (biarpun ia mungkin dicantas), seperti kepada Forum Utusan Malaysia dan kepada DBKL tentang ketidakpuasan ini – kerana, ini adalah satu titik tolak kepada kemusnahan seni di negara ini, jika kita terus leka.

--

(Salinan surat ini telah dihantar kepada bahagian Rencana Utusan untuk diterbitkan di sana. Jika ia ditolak, sekurang-kurangnya ia dapat di baca di sini - NZ)


Tuesday, July 15, 2003

Kuasa Rakyat di Hong Kong

Pada 1 Julai lalu, kira-kira 500,000 rakyat Hong Kong telah turun ke jalan raya untuk membantah pelaksanaan akta subversif (lebih kurang ISA) yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan Hong Kong di bawah pimpinan Ketua Eksekutif Hong Kong,Tung Chee Hwa.

Lapan hari kemudiannya, kira-kira 50,000 rakyat Hong Kong turun sekali lagi bagi menyalakan lilin di hadapan bangunan Dewan Perundangan. Ahad lalu, untuk ketiga kalinya dalam masa 2 minggu, beribu-ribu rakyat berhimpun sekali lagi bagi mendesak perluasan demokrasi, hak asasi dan ketelusan.

Majalah-majalah asing seperti Time, FEER, Economist dan Business Asia memberi liputan yang sangat meluas terhadap fenomena yang sukar disaksikan selama ini.

Kuasa rakyat ini telah menyebabkan Tung menunda tarikh pengundian dan ini membuktikan bahawa kuasa rakyat di mana-mana sahaja mampu untuk membuat sang penguasa gerun dan lebih bertanggungjawab. Bukannya mereka-mereka ini tidak patriotik, malah sebenarnya lebih patriotik.

Menentang dasar kerajaan tidak sama dengan menentang negara kerana apa yang ditentang adalah dasar yang ingin dan telah dilaksanakan oleh parti yang membentuk kerajaan, perlu ada pemisahan yang jelas di antara kerajaan dan parti.

Apa yang membanggakan sekali adalah sikap polis Hong Kong yang amat profesional dan sabar dalam mengawal perhimpunan sebesar itu. Jika di Malaysia, usah diimpikan keadaan sebegitu buat waktu ini.

Masyarakat Cina terutama di Hong Kong dan Orang Cina Seberang Laut yang sebelum ini digambarkan sebagai kaum yang hanya tahu untuk berniaga dan memikirkan persoalan kewangan dan pendidikan semata telah berani untuk melakukan tindakan aksi.

Soalnya, bilakah rakyat Malaysia keturunan Cina dapat beramai-ramai dan berganding bahu untuk turun ke jalan raya bersama-sama masyarakat Melayu, India dan kaum-kaum lain dalam menyatrakan pandangan dan penentangan terhadap pelbagai isu yang mendesak seperti ISA, kebebasan media, perkhidmatan negara dan sebagainya.

Kalaupun ada di waktu ini, peratusannya tidak setara dengan komposisi kaum Cina di negara ini. Buangkanlah tanggapan bahawa orang Melayu itu semuanya UMNO, pro-DEB dan sanggup memakan darah Cina dengan sebatang keris. Melayu jenis inilah yang akan menjadi minoriti di masa hadapan dan terkebelakang dalam menangani isu tempatan dan global.

Menteri Pendidikan memalukan

Kenyataan Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad agar kesemua tujuh pelajar yang digantung pengajian kerana terlibat dalam demonstrasi membantah penangkapan tahanan ISA cukup memalukan. Amat mengecewakan lagi mendengarkan kata-kata ini dari seorang yang dikira amat berpendidikan dan professional.

Barangkali aku sedang hidup di zaman feudal di mana kita harus membuta tuli taat, patuh dan setia, andai tidak, pasti hukum akan jatuh dan untuk dielakkan, perlu merayu dan meminta maaf seolah-olah kita makhluk yang tidak ada otak.

Soal sama ada keterlibatan pelajar dalam demonstrasi yang dianggap haram oleh pencabul Perlembagaan Persekutuan itu melanggar undang-undang atau tidak? bukanlah masalahnya. Mahkamah belum menjatuhkan hukum tetapi mahkamah universiti lebih awal mendahului, sungguh cekap!

Masalah kritikal di sini adalah berkenaan doktrin pembodohan pemikiran pelajar dan juga rakyat yang disemai oleh kerajaan Malaysia pimpinan BN. Mengapa harus dihukum pelajar yang menyuarakan pendapat, berfikiran kritikal dan peka dengan perkembangan sekitarnya? ciri-ciri unggul yang perlu bagi seorang pelajar, rakyat dan pemimpin untuk membentuk satu masyarakat yang matang dan berfikir.

Heboh di media tentang kelesuan dan tidak lakunya para pelajar lepasan universiti terutamanya IPTA kerana tidak memiliki kemahiran menganalisa dan berfikiran secara kritikal, tidak kreatif, tidak mahir berkomunikasi, rendah diri dan bermacam-macam lagi yang pastinya dan tidak perlu dipersoalkan lagi siapa yang bertanggungjawab keatasnya. Akhirnya, inilah salah satu dari paradoks kerajaan yang memerintah Malaysia ketika ini.

Wednesday, July 09, 2003

Acara Baca Puisi Pena

Malam Jumaat yang lalu, aku dan rakanku, Jibam telah meluangkan kira-kira separuh masa di acara baca puisi anjuran PENA di Lama PENA Kuala Lumpur. Ini adalah kunjungan pertama ku ke sini dan sebelum menjejakkan kaki, aku amat berharap agar raut kepuasan akan terpancar di wajahku setelah berakhirnya majlis ini.

Namun belum tiba lagi akhirnya, aku dan Jibam terpaksa mengangkat kaki mengundur diri kerana terasa begitu hambar mesej dan suasananya. Aku menganggarkan terdapat seramai lebih kurang 150 orang yang hadir pada malam itu. Satu angka yang amat menggalakkan, namun itupun jika semuanya bersungguh-sungguh mengikuti majlis ini.

Kehadiran para artis juga turut memeriahkan suasana dan di antaranya turut membacakan puisi seperti Vanida Imran, Sofia Jane, Umie Aida, Sharifah Norhaslinda dan Yantzen. Tetamu kehormat yang hadir pada malam itu adalah YB Dr. Siti Zaharah Sulaiman. Antara pemuisi dan personaliti yang membacakan puisi yang aku kenali ialah Lim Swee Tin dan isterinya Selina yang telah membacakan puisi perang dengan penuh bersemangat dan juga Ogy.

Apa yang dapat dilihat, kebanyakan yang hadir paa malam itu adalah pelajar-pelajar IPTA dan jemputan dari rumah orang tua dan sebagainya. Mungkin hanya segelintir yang begitu berminat dengan acara baca puisi ini.

Itu baru puisinya!, bagaimana pula dengan ungkapan dan mesej yang ingin disampaikan oleh puisi dan pembacanya? adakah ia sampai dan didiskusikan selepasnya? Soalku kepada Jibam. Para audien juga kelihatan amat pasif, tiada tepukan yang gemuruh setiap kali persembahan tamat.

Aku mampu bertahan agak lama sebenarnya, hampir 2 jam mendengar pelbagai bacaan puisi, nyanyian dan juga menonton persembahan teater dari pelajar SM Taman Melawati. Matlamat asal aku ke sini adalah semata-mata puisi dan kerana rasa ingin tahu yang kuat akan apa mesej yang ingin disampaikan, dan sama ada ia isu yang penting atau tidak bagiku.

Persoalan ini terjawab dan jawapan itulah yang membuatkan aku tidak gagah menuju ke penghujung garis penamat sepert mana yang aku tunjukkan di APUKE. Isu perpaduan Melayu seperti mana yang selalu digendangkan UMNO melatari permulaan acara ini selain daripada puisi bertema perang dan juga persembahan lakonan yang memerihalkan tentang gejala sosial anak muda masa kini.

Aku amat tidak bersetuju dengan golongan 'Kaum Tua' yang gemar membicarakan soal keruntuhan anak muda seolah-olah kaum mereka bagaikan tiada masalah sosial. Aku mengakui akan pelbagai gejala sosial di kalangan anak muda dan aku juga inginkan golongan tua mengakui akan kedapatan masalah sosial di kalangan mereka juga, dan pada akhirnya setiap golongan masyarakat tidak kira muda atau tua, mempunyai masalahnya sendiri dan apa yang duperlukan adalah penggembelangan bersama untuk mengatasinya.

Menyalahkan anak muda sepenuhnya dalam segala kemelut yang dihadapi adalah langkah kurang bijak kerana mana mungkin ada masalah ketika ini jika tidak diwarisi dari para ibu bapa mereka sendiri seperti amalan rasuah, main judi dan sebagainya. Setiap anak muda di zamannya pasti menghadapi masalah tersendiri, membandingkan masalah anak muda kontemporari dengan yang dahulu adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Perkataan keramat REFORMASI yang disangkakan telah lenyap pada sesetengah orang rupanya tidaklah sedemikian rupa. Malam itu, satu puisi yang dibacakan oleh pengerusi majlis pertama sebelum acara itu diambil alih oleh Yayasan Seni Karya Prihain yang diterajui Erma Fatima menyebutkan tentang anak reformasi.

Selepas itu, satu persembahan teater pelajar SM Taman Melawati juga menggambarkan adegan reformasi dan semasa para pelakon menjerit perkataan REFORMASI!, terangkat bulu roma aku, aku tidak tahu bagaimana dengan yang lain. Namun agak mengecewakan kerana reformasi itu telah dilihat dari sisi yang negatif dan dianggap sebagai punca perpecahan orang Melayu selain daripada isu Islam.

Apapun, aku dapat melihat REFORMASI sebenarnya telah memberi impak yang besar terhadap pemikran anak muda dalam pelbagai bentuk dan ini sepatutnya disyukuri kerana sesungguhnya akan menjadikan anak muda ini yang akan menjadi benteng negara di masa hadapan dapat berfikir dan berfikir dan bukan disuap. Reformasi bukan hanya perubahan kerjaan, ia lebih dari itu, perubahan pemikiran dan tindakan itu yang terpenting.

Thursday, July 03, 2003

Masalah Polis di Malaysia

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Pak Lah untuk menambahkan bilangan anggota polis bagi menampung beban tugas yang semakin berat amat dialu-alukan. Namun sebelum itu, kita perlu mempersoalkan adakah ini adalah jalan penyelesaian yang terbaik?

Saya bersetuju dengan pendapat surat pembaca Malaysiakini, Abakjr yang mengatakan adalah tidak adil untuk membandingkan anggota polis kita dengan anggota polis luar negara.

Ini adalah petikan surat pembaca tersebut, "The nature of duty of our police force is not the same as that of other police forces. Although the force is 74,000 strong, it consists the Police Field Force (or the PGA), Special Branch, Marine Police, Air Wing, FRU (Federal Reserve Unit), the technician in the Signals Branch and the Transport Branch, the administrative and clerical officers in the districts, state and federal (Bukit Aman) level, and the court staff including the prosecuting officers.

The number of personnel doing the real policing work is very minimal. The police in the US, UK and other developed countries are just doing policing work unlike ours".

Benar atau tidak, itu persoalan kedua kerana yang perlu diberi perhatian dan fokus utama adalah mengenai beberapa kelemahan yang dikenal pasti. Saya amat bersetuju dengan pendapat blogger, Suresh Gnasegarah yang memperincikan tentang tiga kelemahan utama yang terdapat di dalam pasukan polis kita iaitu, 1) Apathy (sikap tidak apa) 2) Gaji rendah 3) Tidak telus.

Saya amat bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa gaji anggota polis langsung tidak setimpal dengan beban tugas dan pengorbanan yang dilakukan. Oleh sebab ini juga, kebanyakan anggota polis yang ada sekarang dan yang akan memohon datangnya dari golongan yang tidak berpelajaran tinggi, berfikiran biasa dan tiada cita-cita besar. Ini secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap cara mereka bekerja.

Selagi mana gaji bagi perkhidmatan kepolisan ini tidak dinaikkan, janganlah harap untuk mendapatkan anggota-anggota yang bijak pemikiran dan tindakannya, ciri-ciri penting yang diperlukan untuk menghadapi penjenayah yang semakin bijak.

Namun saya akui akan kecekapan pihak polis untuk menghalang dan mengganggu demonstrasi-demonstrasi aman, perhimpunan reformasi, ceramah politik pembangkang dan yang seangkatan dengannya sehinggakan terkadang itu kedapatan lebih anggota polis dari demonstran. Tahniah! Mungkin kerana inilah, tugas menghalang jenyah agak terabai.

Apapun, diharap pihak polis akan dapat lebih profesional dalam tindakannya di masa hadapan terutamanya di arena politik dan sesungguhnya jasa pihak polis yang jujur dan amanah dalam menjalankan tugas amatlah dihargai walaupun tidak dibayar dengan setimpal. Jika kerajaan berhujah ianya akan menaikkan kos perbelanjaan, maka soallah kembali adakah kerana projek mega itu yang membuatkan kerajaan kekurangan wang, polis(yang juga rakyat) atau beberapa kerat kapitalis yang lebih utama?