Menteri Pendidikan memalukan
Kenyataan Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad agar kesemua tujuh pelajar yang digantung pengajian kerana terlibat dalam demonstrasi membantah penangkapan tahanan ISA cukup memalukan. Amat mengecewakan lagi mendengarkan kata-kata ini dari seorang yang dikira amat berpendidikan dan professional.
Barangkali aku sedang hidup di zaman feudal di mana kita harus membuta tuli taat, patuh dan setia, andai tidak, pasti hukum akan jatuh dan untuk dielakkan, perlu merayu dan meminta maaf seolah-olah kita makhluk yang tidak ada otak.
Soal sama ada keterlibatan pelajar dalam demonstrasi yang dianggap haram oleh pencabul Perlembagaan Persekutuan itu melanggar undang-undang atau tidak? bukanlah masalahnya. Mahkamah belum menjatuhkan hukum tetapi mahkamah universiti lebih awal mendahului, sungguh cekap!
Masalah kritikal di sini adalah berkenaan doktrin pembodohan pemikiran pelajar dan juga rakyat yang disemai oleh kerajaan Malaysia pimpinan BN. Mengapa harus dihukum pelajar yang menyuarakan pendapat, berfikiran kritikal dan peka dengan perkembangan sekitarnya? ciri-ciri unggul yang perlu bagi seorang pelajar, rakyat dan pemimpin untuk membentuk satu masyarakat yang matang dan berfikir.
Heboh di media tentang kelesuan dan tidak lakunya para pelajar lepasan universiti terutamanya IPTA kerana tidak memiliki kemahiran menganalisa dan berfikiran secara kritikal, tidak kreatif, tidak mahir berkomunikasi, rendah diri dan bermacam-macam lagi yang pastinya dan tidak perlu dipersoalkan lagi siapa yang bertanggungjawab keatasnya. Akhirnya, inilah salah satu dari paradoks kerajaan yang memerintah Malaysia ketika ini.
No comments:
Post a Comment