Acara Baca Puisi Pena
Malam Jumaat yang lalu, aku dan rakanku, Jibam telah meluangkan kira-kira separuh masa di acara baca puisi anjuran PENA di Lama PENA Kuala Lumpur. Ini adalah kunjungan pertama ku ke sini dan sebelum menjejakkan kaki, aku amat berharap agar raut kepuasan akan terpancar di wajahku setelah berakhirnya majlis ini.
Namun belum tiba lagi akhirnya, aku dan Jibam terpaksa mengangkat kaki mengundur diri kerana terasa begitu hambar mesej dan suasananya. Aku menganggarkan terdapat seramai lebih kurang 150 orang yang hadir pada malam itu. Satu angka yang amat menggalakkan, namun itupun jika semuanya bersungguh-sungguh mengikuti majlis ini.
Kehadiran para artis juga turut memeriahkan suasana dan di antaranya turut membacakan puisi seperti Vanida Imran, Sofia Jane, Umie Aida, Sharifah Norhaslinda dan Yantzen. Tetamu kehormat yang hadir pada malam itu adalah YB Dr. Siti Zaharah Sulaiman. Antara pemuisi dan personaliti yang membacakan puisi yang aku kenali ialah Lim Swee Tin dan isterinya Selina yang telah membacakan puisi perang dengan penuh bersemangat dan juga Ogy.
Apa yang dapat dilihat, kebanyakan yang hadir paa malam itu adalah pelajar-pelajar IPTA dan jemputan dari rumah orang tua dan sebagainya. Mungkin hanya segelintir yang begitu berminat dengan acara baca puisi ini.
Itu baru puisinya!, bagaimana pula dengan ungkapan dan mesej yang ingin disampaikan oleh puisi dan pembacanya? adakah ia sampai dan didiskusikan selepasnya? Soalku kepada Jibam. Para audien juga kelihatan amat pasif, tiada tepukan yang gemuruh setiap kali persembahan tamat.
Aku mampu bertahan agak lama sebenarnya, hampir 2 jam mendengar pelbagai bacaan puisi, nyanyian dan juga menonton persembahan teater dari pelajar SM Taman Melawati. Matlamat asal aku ke sini adalah semata-mata puisi dan kerana rasa ingin tahu yang kuat akan apa mesej yang ingin disampaikan, dan sama ada ia isu yang penting atau tidak bagiku.
Persoalan ini terjawab dan jawapan itulah yang membuatkan aku tidak gagah menuju ke penghujung garis penamat sepert mana yang aku tunjukkan di APUKE. Isu perpaduan Melayu seperti mana yang selalu digendangkan UMNO melatari permulaan acara ini selain daripada puisi bertema perang dan juga persembahan lakonan yang memerihalkan tentang gejala sosial anak muda masa kini.
Aku amat tidak bersetuju dengan golongan 'Kaum Tua' yang gemar membicarakan soal keruntuhan anak muda seolah-olah kaum mereka bagaikan tiada masalah sosial. Aku mengakui akan pelbagai gejala sosial di kalangan anak muda dan aku juga inginkan golongan tua mengakui akan kedapatan masalah sosial di kalangan mereka juga, dan pada akhirnya setiap golongan masyarakat tidak kira muda atau tua, mempunyai masalahnya sendiri dan apa yang duperlukan adalah penggembelangan bersama untuk mengatasinya.
Menyalahkan anak muda sepenuhnya dalam segala kemelut yang dihadapi adalah langkah kurang bijak kerana mana mungkin ada masalah ketika ini jika tidak diwarisi dari para ibu bapa mereka sendiri seperti amalan rasuah, main judi dan sebagainya. Setiap anak muda di zamannya pasti menghadapi masalah tersendiri, membandingkan masalah anak muda kontemporari dengan yang dahulu adalah sesuatu yang tidak masuk akal.
Perkataan keramat REFORMASI yang disangkakan telah lenyap pada sesetengah orang rupanya tidaklah sedemikian rupa. Malam itu, satu puisi yang dibacakan oleh pengerusi majlis pertama sebelum acara itu diambil alih oleh Yayasan Seni Karya Prihain yang diterajui Erma Fatima menyebutkan tentang anak reformasi.
Selepas itu, satu persembahan teater pelajar SM Taman Melawati juga menggambarkan adegan reformasi dan semasa para pelakon menjerit perkataan REFORMASI!, terangkat bulu roma aku, aku tidak tahu bagaimana dengan yang lain. Namun agak mengecewakan kerana reformasi itu telah dilihat dari sisi yang negatif dan dianggap sebagai punca perpecahan orang Melayu selain daripada isu Islam.
Apapun, aku dapat melihat REFORMASI sebenarnya telah memberi impak yang besar terhadap pemikran anak muda dalam pelbagai bentuk dan ini sepatutnya disyukuri kerana sesungguhnya akan menjadikan anak muda ini yang akan menjadi benteng negara di masa hadapan dapat berfikir dan berfikir dan bukan disuap. Reformasi bukan hanya perubahan kerjaan, ia lebih dari itu, perubahan pemikiran dan tindakan itu yang terpenting.
No comments:
Post a Comment