MALAYSIA SEMAKIN MUNDUR
Artikel di bawah adalah hasil ihsan Nizam Zakaria
Friday, July 18, 2003
Hari Hitam untuk Seni
Beberapa SMS yang saya terima pagi Jumaat ini agak mengejutkan, apabila saya diberitahu bahawa lesen persembahan Instant Café Theatre Ensemble (ICT) tidak akan diperbaharui lagi. Perkara ini sememangnya agak mengejutkan bagi saya, juga rakan-rakan pencinta teater. Mereka cukup kurang senang dan rimas dengan keputusan kurang wajar yang telah diambil oleh pihak DBKL. Tindakan ini sudah pasti mencemaskan bukan sahaja kepada pencinta teater, malah ia membuka tirai kepada kelemahan sistem yang sedia ada dalam menangani masalah, yang tidak sekronik mana.
Semua ini bermula dengan surat yang pernah disiarkan di bahagian Forum Utusan. Surat itu kononnya ditulis oleh seorang ‘pencinta teater’. Surat itu jugalah yang menjadi penyebab, di mana DBKL bertindak melulu dan inilah akibatnya.
Perkara ini mengingatkan saya kepada pendekatan negara-negara autoritarianisme terhadap seni. Segala-gala yang berkaitan dengan seni perlu mempunyai fungsi untuk ‘berkhidmat’ kepada negara. Seniman tidak mempunyai kebebasan menyuarakan pendapat dalam bentuk seni seperti mana yang dikecapi oleh negara-negara demokrasi. Seni di bawah pemerintahan Stalin, Franco, Pinochet dan Mao jelas keras, kaku dan superfisial. Hanya mereka yang mengikut kehendak pemerintah dibenarkan untuk meneruskan kerja-kerja seni mereka. Yang lain, menjadi seniman bawah tanah yang terus berkarya dalam keadaan tertekan.
Saya cukup takut jika kita sampai ke tahap apabila seniman kita takut untuk berkarya. Dalam diam, minda mereka akan ditutup, mulut mereka akan terkunci rapat – semata-mata kerana hak mereka untuk berkarya dan bersuara akan dikuburkan. Mekanisme untuk melakukan perkara-perkara seperti ini memang ada, tetapi sebelum ini jarang-jarang rasanya dipraktikkan. Lagipun, bukankah Malaysia ini sebuah negara demokrasi?
Kita perlu sedar bahawa sebuah negara yang bercita-cita tinggi dengan aspirasi untuk menjadi sebuah negara maju bukan sahaja memerlukan prasarana yang serba moden, tetapi juga memberikan rakyatnya dengan kebebasan untuk meluahkan pendapat dalam apa bentuk sekalipun. Seni itu, perlu dikembangkan supaya satu hari nanti, ia mampu bernyawa sendiri untuk meletakkan Malaysia sebaris dengan nadi-nadi seni yang lain. Jika kita terus secara membuta-tuli mengawal pengaliran idea kreatif dan sebagainya, sudah tentu perjuangan kita tidak ke mana. Tinjau sahaja kegagalan E-Village (Cyberjaya/Dengkil) untuk contoh yang terdekat kepada kita, di mana, ia menemui jalan buntu kerana dunia (penggiat seni antarabangsa) takut dengan pendekatan Malaysia yang lebih selesa mencantas hak-hak berkarya golongan seni. Tidakkah kita belajar dari kesilapan ini?
Tidak perlu rasanya kita mempunyai bangunan yang paling tinggi di dunia dan prasarana negara maju jika Malaysia tetap sebuah negara yang mempunyai mentaliti Negara Ketiga.
Dan sampai bila agaknya kita mahu terus dicap sebagai sebuah negara yang kontang seni? Perlu kita ingat bahawa sejarah ada menunjukkan bahawa tamadun datang dan pergi, tetapi peninggalan seni dari tamadun yang telah lama lenyap tetap ada dan terus diingati.
Kita perlu sedar tentang pentingnya kehadiran seni dalam pembangunan negara dan bangsa. Seni bukan sahaja mengenai ideologi yang tertentu, tetapi ia perlu ada untuk memanusiakan kita.
Kita perlu ketawa, menangis, berfikir dan dihiburkan. Seni, walau dalam bentuk apa sekalipun, perlu ada untuk menjana perasaan-perasaan ini untuk membuat kita lebih manusia.
Apa agaknya kelebihan yang kita dapat sebagai rakyat negara ini jika ICT tidak lagi dibenarkan untuk terus berkarya? Adakah kita sebagai rakyat Malaysia belum cukup matang untuk menonton persembahan ‘Bolehwood’ oleh ICT, walaupun ia dikatakan menggunakan kata-kata kesat, mengkritik pemimpin mahupun mempersoal hukum hudud. Perlukah kita tidak dibenarkan menonton satu-satu persembahan, semata-mata kerana pihak berkuasa terpaksa tunduk kepada kehendak SEORANG ‘pencinta teater’ yang lekas melatah?
Sedar atau tidak, tidak lama lagi kita kita akan menyambut hari kemerdekaan kita yang ke-46. Masyarakat lebih matang berbanding dahulu. Jika dulu, kita takutkan anasir-anasir luar bakal mengganggu-gugat minda kita, kini tidak lagi. Kita mempunya lapisan masyarakat yang jauh berpendidikan tinggi dan berfikiran lebih terbuka – yang mampu menyaring pelbagai ‘input’ yang menerjah kepala mereka. Dalam pada itu, minda-minda intelek ini, perlu terus ‘dicabar’ dengan bahan-bahan seni atau bukan seni yang tinggi nilainya.
Janganlah kita terkejut, jika esok lusa, CNN, BBC, AFP dan entah berapa banyak agensi berita dari luar negara akan memberitakan tentang perkara ini dari sudut berita yang mungkin akan dianggap ‘melampau’ oleh sesetengah pihak serta berpihak kepada ICT dan bukan kepada tindakan membabi buta DBKL. Rasanya ini tidak perlu berlaku, jika kita melihat sesuatu ‘masalah’ sebagai ‘peluang’. Dalam konteks ini, peluang yang dimaksudkan adalah kesediaan semua pihak, baik individu, kerajaan memerintah atau badan penguatkuasa untuk mengisi kemahuan negara kita sendiri – untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah di pentas seni dunia. Dan, jangan diperlekehkan tahap pendidikan dan status minda khalayak yang rata-ratanya, tahu membeza intan dan kaca.
Sebagai seorang individu dan seorang pencinta seni, saya tidak tahu apa yang termampu oleh saya, kecuali meluahkan ketidakpuasan saya melalui tulisan ini, yang saya anggap sebagai protes kepada apa yang telah berlaku kepada negara yang tercinta ini. Protes saya berasas. Setelah kejadian banjir yang ‘meranapkan’ cita-cita seni Actors Studio baru-baru ini, tiadapun suara kuasa-kuasa besar yang ingin membangunkan semula prasarana itu sedangkan, jelas dan nyata, kejadian banjir itu tidakkan berlaku jika projek-projek pembangunan yang ada di sekitar Kuala Lumpur, dilaksana dengan lebih teratur dan terancang. Mungkin, masyarakat kita tidak cocok untuk turun-naik ke mahkamah, jika ia berlaku di negara maju, jutaan ringgit sudah berpindah milik – antara kerajaan dan mangsa.
Saya kini seolah rasa terkilan kerana setiap apa yang baik tentang Malaysia yang pernah saya bangga-banggakan kepada rakan-rakan saya di Singapura (tentang kebebasan bersuara dalam seni yang dikecapi di sini dibandingkan di sana) kini hancur begitu sahaja. Saya yakin mereka tidak akan mentertawakan saya, tetapi sama-sama sedih. Kerana mereka juga pencinta seni. Mereka tahu bahawa apa yang telah berlaku kepada ICT adalah satu titik hitam dalam dunia seni, juga satu kisah sedih yang sedang berlaku di negara ini. Mungkin ia juga adalah titik tolak, titik tolak untuk pencinta seni menyedari bagaimana ‘makanan’ minda kita disekat dan kita ‘kelaparan’ santapan minda. Protes secara ‘senyap’ ini mungkin jauh lebih meninggalkan impak jika kita halusi. Jadi, sebelum ini semua berlaku, baik kata sepakat dicari demi mencapai cita-cita negara dan menempatkan negara kita di arena seni dunia.
Perkara ini tidak boleh kita biarkan... Berbalik kepada kejadian terbaru ini, jika seorang ‘pencinta teater’ boleh menjadi penyebab kepada detik hitam sedemikian, entah apa lagi tindakan yang bakal menyusul kepada dunia seni tanah air, saya rasa, kita semua boleh melakukan sesuatu untuk bertindak dengan cara yang sama.
Mungkin protes kita, boleh juga kita lakukan dengan bersatu, menyuarakan pendapat kita ke saluran-saluran yang ada (biarpun ia mungkin dicantas), seperti kepada Forum Utusan Malaysia dan kepada DBKL tentang ketidakpuasan ini – kerana, ini adalah satu titik tolak kepada kemusnahan seni di negara ini, jika kita terus leka.
--
(Salinan surat ini telah dihantar kepada bahagian Rencana Utusan untuk diterbitkan di sana. Jika ia ditolak, sekurang-kurangnya ia dapat di baca di sini - NZ)
No comments:
Post a Comment