Kuasa Rakyat di Hong Kong
Pada 1 Julai lalu, kira-kira 500,000 rakyat Hong Kong telah turun ke jalan raya untuk membantah pelaksanaan akta subversif (lebih kurang ISA) yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan Hong Kong di bawah pimpinan Ketua Eksekutif Hong Kong,Tung Chee Hwa.
Lapan hari kemudiannya, kira-kira 50,000 rakyat Hong Kong turun sekali lagi bagi menyalakan lilin di hadapan bangunan Dewan Perundangan. Ahad lalu, untuk ketiga kalinya dalam masa 2 minggu, beribu-ribu rakyat berhimpun sekali lagi bagi mendesak perluasan demokrasi, hak asasi dan ketelusan.
Majalah-majalah asing seperti Time, FEER, Economist dan Business Asia memberi liputan yang sangat meluas terhadap fenomena yang sukar disaksikan selama ini.
Kuasa rakyat ini telah menyebabkan Tung menunda tarikh pengundian dan ini membuktikan bahawa kuasa rakyat di mana-mana sahaja mampu untuk membuat sang penguasa gerun dan lebih bertanggungjawab. Bukannya mereka-mereka ini tidak patriotik, malah sebenarnya lebih patriotik.
Menentang dasar kerajaan tidak sama dengan menentang negara kerana apa yang ditentang adalah dasar yang ingin dan telah dilaksanakan oleh parti yang membentuk kerajaan, perlu ada pemisahan yang jelas di antara kerajaan dan parti.
Apa yang membanggakan sekali adalah sikap polis Hong Kong yang amat profesional dan sabar dalam mengawal perhimpunan sebesar itu. Jika di Malaysia, usah diimpikan keadaan sebegitu buat waktu ini.
Masyarakat Cina terutama di Hong Kong dan Orang Cina Seberang Laut yang sebelum ini digambarkan sebagai kaum yang hanya tahu untuk berniaga dan memikirkan persoalan kewangan dan pendidikan semata telah berani untuk melakukan tindakan aksi.
Soalnya, bilakah rakyat Malaysia keturunan Cina dapat beramai-ramai dan berganding bahu untuk turun ke jalan raya bersama-sama masyarakat Melayu, India dan kaum-kaum lain dalam menyatrakan pandangan dan penentangan terhadap pelbagai isu yang mendesak seperti ISA, kebebasan media, perkhidmatan negara dan sebagainya.
Kalaupun ada di waktu ini, peratusannya tidak setara dengan komposisi kaum Cina di negara ini. Buangkanlah tanggapan bahawa orang Melayu itu semuanya UMNO, pro-DEB dan sanggup memakan darah Cina dengan sebatang keris. Melayu jenis inilah yang akan menjadi minoriti di masa hadapan dan terkebelakang dalam menangani isu tempatan dan global.
No comments:
Post a Comment