Aku dan Famemas di Korat
Hari ketujuh
14 Disember 2007
Hari ini merupakan peluang terakhir untuk kami bersorak untuk Malaysia di Sukan Sea Korat kerana esok kami akan berangkat ke Bangkok seawal pagi. Perasaan bercampur baur antara gembiira dapat pulang ke rumah dan sedih meninggalkan bumi Korat dan juga rakan-rakan Famemas yang baru sahaja saling kenal-mengenal. Namun itu semua lumrah dalam kehidupan, perjuangan hidup dalam apa bentuk sekalipun tetap diteruskan.
Karate-Do
Selepas bersarapan, kami menuju ke lokasi pertama kami iaitu gelanggang karate-do di mana dua pingat emas terakhir dipertandingkan iaitu bagi acara kumite berpasukan lelaki dan wanita. Malaysia menyandarkan harapan kepada pasukan kumite lelaki untuk merangkul emas kesembilan, tetapi disebabkan kesilapan taktikal oleh S Mahendran pada aksi keempat daripada lima pertempuran kesemuanya, hasrat negara berkecai begitu sahaja. Setelah tamat perlawanan akhir tersebut yang menemukan Malaysia dengan Vietnam, kami menuju ke Kompleks Sukan Utama untuk menyaksikan acara gimrama individu keseluruhan kerana aksi kumite wanita hanya akan berlansung pada sebelah petang. Apapun tahniah kepada skuad karate-do negara yang cemerlang dengan jayanya apabila menggandakan emas yang disasarkan kepada angka 8.
Setibanya di Kompleks Sukan Utama, kami dihidangkan dengan makanan tengah hari dan Alhamdulillah, menu hari ini sangat menyelerakan walaupun sambal Thai amat pedas bagi lidah penulis. Penulis menikmati hidangan bersama Dr Zaki, Che Ahmad atau Cikgu Din, Zul, Izuan atau Mados dan juga Tok Moh di medan selera yang terletak jauh di belakang Pasar Sukan Sea Korat sambil menikmati teh tarik kaw Korat. Banyak juga isu dibincangkan di sini yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan, maklumlah banyak individu yang berpengalaman luas yang duduk semeja bersama penulis.
Gimnastik Berirama
Selesai makan dan solat, kami terus ke pintu hadapan Stadium Tertutup 1 untuk berkumpul sebelum masuk ke arena. Satu hal yang berbeza di sini adalah suasananya tidak sesuai untuk kami membuat hingar-bingar dan ini menyebabkan kami sekadar bertepuk tangan dan bersorak ketika perlu sahaja. Penulis dan Dr. Zaki pada awalnya seperti sudah mengagak akan berlaku sedikit tindakan bias dari juri tuan rumah dan sangkaan ini mengena apabila gimnas utama Thailand, Sridee diberikan mata yang agak tinggi iaitu 15.300 dalam disiplin kedua, aksi gelung walaupun beliau gagal menyambut dengan kemas. Di dalam masa yang sama, gimnas negara Chrystal Lim yang menontonkan aksi yang mempunyai darjah kesukaran yang hampir sama dengan Sridee dan tidak melakukan sebarang kesilapan besar diberikan markah 15.360, perbezaan yang sangat kecil dan tidak masuk akal. Di dalam disiplin pertama iaitu tali, markah Sridee dan Chrystal Lim juga agak jauh walaupun persembahan kedua-dua gimnas tidak jauh berbeza.
Selepas aksi pertama ini secara spontan, penulis mencadangkan kepada Dr. Zaki untuk menulis sepanduk kecil menggunakan kertas dan setelah meminta A4 kosong dari sukarelawan diluar, kami menulis 'Judges, please be fair'.Setelah tamat aksi disiplin kedua tadi, Dr Zaki dan En.Shafari atau kapten secara spontan menayangkan slogan tersebut ke arah kamera dan media yang duduk bersebelahan sambil diiringi sorakan 'boo' dari sebahagian kami. Ketika ini kami sudah merasakan pingat emas pasti akan dimiliki gimnas dari Thailand ini yang tidak dinafikan berbakat dan juga hebat.
Bola Tampar Pantai
Setelah tamat disiplin kedua daripada 4 disiplin yang harus dilengkapkan, Pengerusi Encik Lee Hui Seng mendapat perkhabaran bahawa atlit bola tampar pantai negara yang akan beraksi di peringkat separuh akhir memerlukan sokongan kami. Seraya itu kami meninggalkan aksi gimrama untuk ke gelanggang bola tampar pantai yang juga terletak di dalam Kompleks Sukan Utama.
Pertama kali penulis dapat menyaksikan aksi bola tampar pantai di depan mata dan sememangnya bermain di atas pasir pantai tidaklah mudah dan amat memenatkan. Penulis pernah bermain bola sepak pantai beberapa tahun lepas dan serik untuk bermain lagi. Walaupun pasangan negara mempamer aksi mantap untuk bangkit di set kedua, namun pasangan Thailand yang kelihatan lebih mantap sepanjang perlawanan muncul pemenang. Sekalung tahniah kepada pasangan negara, Teck Hua dan Shun Thing yang bermain bersungguh-sungguh dan juga kepada pegawai persatuan dan jurulatih yang sangat menghargai kehadiran kami.
Aksi sorak kami di sini juga merupakan perjuangan terakhir kami di Korat, masa seperti sangat pantas berlalu dan kami pasti merindui detik-detik di sini. Bergambar kenangan di hadapan stadium sebelum singgah buat kali terakhir di The Mall untuk membeli ole-ole sebagai kenangan. Penulis seperti biasa menghabiskan masa sejam di internet sebelum memberi beberapa majalah untuk dibuat koleksi.
Korat Night Bazaar
Selesai sahaja makan malam, penulis dan teman-teman Famemas lain, Kerol, Shamsul, Zul, Mados, Azuan dan Dorairaj segera mengupah tut-tut untuk membawa kami ke Pasar Malam Korat yang seakan-akan seperti Petaling Street dan bagi shopaholics, bazar seperti ini pastinya sesuatu yang harus dikunjungi.
No comments:
Post a Comment