Saturday, April 21, 2012

Bersih 3.0 Bali



EAT PRAY FIGHT

Bersih 3.0 Bali akan diadakan di hadapan Konsul Jeneral Malaysia yang terletak di Jalan Pantai Kuta.

Masa: 2 petang
Tarikh: 28 April 2012

Sila pakai baju kuning atau hijau dan bawa juga sepanduk jika ada yang berkaitan. Ayuh jumpa di sana!

Selesai duduk bantah, kita mandi di pantai :) 

Bersih 3.0 Bali di Facebook : https://www.facebook.com/pages/Bersih-30-Bali/276522579103528

RSVP di Facebook : https://www.facebook.com/events/172964169492973/

Laman web rasmi Bersih : http://bersih.org/

Facebook Bersih 2.0 : https://www.facebook.com/BERSIH2.0OFFICIAL

Facebook Bersih 3.0 : http://www.facebook.com/BERSIHNEW

Facebook Global BERSIH : https://www.facebook.com/GlobalBersih3

Pautan ke senarai penuh aksi Bersih 3.0 : https://www.facebook.com/events/323577251029652/


Friday, April 13, 2012

Melawan dengan hartal dan nyepi

oleh Zulhabri Supian

Beberapa tahun lepas, lebih tepat pada 2007 saya diperkenalkan dengan kata “hartal” menerusi sebuah filem dokumentari berjudul “Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka” yang disutradai aktivis dan pekerja seni, Fahmi Reza.

Kata hartal dimaknai di India (kata hartal berasal dari sini) sebagai satu cara perlawanan besar-besaran rakyat India menuntut kemerdekaan dari penjajah British dengan menutup tempat kerja, pejabat, kedai, mahkamah dan sekolah. Dalam erti kata lain, masyarakat tidak bekerja dan melakukan urusan seharian lainnya.

Mengutip dari Amin Iskandar, “Hartal adalah salah satu bentuk ‘civil disobedient’ yang dilakukan untuk menuntut sesuatu perkara ataupun membantah sesuatu perkara. Ia adalah satu tindakan untuk menuntut kerajaan, pemerintah ataupun penjajah untuk menukar sesuatu keputusan yang tidak popular ataupun menindas rakyat.”

Dalam konteks Malaya pada waktu itu (hartal terjadi pada 20 Oktober 1947), hartal di seluruh negara dianjurkan oleh PUTERA-AMCJA sebagai membantah pindaan cadangan Perlembagaan Federation yang dibawa oleh penjajah British dan menerusi aksi ini PUTERA-AMCJA telah berjaya mempopularkan Perlembagaan Rakyat yang dibawa mereka sebagai alternatif. Aksi hartal ini dimaknai juga sebagai perjuangan rakyat menuntut demokrasi dan kemerdekaan dari penjajah kolonial.

Denpasar di saat Nyepi.
Dalam aksi ini, tempat-tempat berikut telah ditutup dari jam 6 pagi hingga ke tengah malamnya; pasar, pejabat, wayang, taman-taman hiburan, kedai, mahkamah, sekolah dan banyak lagi, manakala aktiviti kerja bagi pekerja ladang, pelombong dan nelayan turut dihentikan. Apa yang terjadi kemudiannya menjadi sejarah yang harus kita luruskan.

Menuju babak akhir filem ini, saya terkesan dengan visual kota-kota dan pekan-pekan yang lengang dan tiada aktiviti, sepi sekali.

Hari Raya Nyepi

Pada jumaat lalu, 23 Mac saya berkesempatan meraikan perayaan Hari Raya Nyepi (Nyepi) yang disambut masyarakat Hindu di Bali dan sekali imbas perayaan ini mengingatkan saya tentang visual sepi saat hartal yang saya sebut tadi. Bayangkan Pulau Bali yang sentiasa hiruk pikuk terutama di Denpasar dan Kuta bagaikan sebuah kota/pulau mati di mana jalanan sepi, pelabuhan, terminal dan lapangan terbang ditutup dan siaran radio serta televisyen dihentikan selama 24 jam mulai jam 6 pagi.

Menurut buku “Yadnya dan Bhakti” oleh Ketut Wiana, terbitan Pustaka Manikgeni, “Umat Hindu Bali merayakan Nyepi sebagai pergantian tahun baru Saka dengan melakukan ‘catur brata penyepian’ dengan tidak menyalakan api termasuk memasak, berpuasa, tidak bekerja terutama bagi umat kebanyakan, tidak berpergian dan tidak mencari hiburan. Sedangkan bagi mereka yang sudah tinggi rohaninya, melakukan yoga tapa dansamadhi. Tujuan utama ‘catur brata penyepian’ adalah untuk menguasai diri, menuju kesucian hidup agar dapat melaksanakan dharma sebaik-baiknya menuju keseimbangan dharma, artha, kamadan moksha.”

Ketua Forum Kerukunan Umat Beragama Bali, Ida Bagus Gede Wiyana menambah, “Nyepi pertama kali diadakan pada tahun 78 Masehi, pada waktu itu Nyepi untuk menyatukan beberapa sekte agama yang rawan konflik. Makanya momen Nyepi sangat relevan dengan kondisi saat ini.”

Jika diperhatikan falsafah Nyepi mengandungi erti dan makna yang relevan dengan tuntutan masa kini, World Silent Day yang digagas dunia menyatakan bahawa di saat Nyepi 20,000 ton karbon dioksida tidak berada di langit Bali kerana motorsikal, kereta dan kilang dilarang beroperasi.

Momentum pelaksanaan Nyepi merupakan momen berguna untuk semakin memupuk rasa cinta kasih sesama umat manusia dan kepada semua makhluk Tuhan baik tumbuh-tumbuhan, haiwan mahupun para serangga kecil

Cinta dan kasih sangat dirasai pada Nyepi tahun ini di mana semangat toleransi antara umat Hindu dan Islam di Bali terwujud di dalam melaksanakan Nyepi dan solat Jumaat secara harmoni. Akhbar Kompas 24 Mac melaporkan kenyataan Imam Masjid An-Nur, Hoesin Muhtar bahawa toleransi umat beragama di Bali mengalami kemajuan di mana pemerintah membenarkan umat Islam yang tinggal berjauhan dari masjid dan tidak boleh berjalan kaki kerana jauh dapat menggunakan bale banjar desa setempat (seperti pusat Rukun Tetangga dan JKKK di Malaysia) untuk solat.

Perarakan pawai ogoh-ogoh.
Dalam laporan yang sama, Ariyanto mengaku lebih khusyuk mengikuti solat Jumaat pada hari Nyepi kerana suasananya tenang, tidak seperti hari biasa ketika di luar masjid sangat bising dengan suara kenderaan bermotor.

Selain hari Nyepi itu sendiri, malam sebelumnya juga tidak kalah menarik di mana tradisi berarak dengan membawa pawai ogoh-ogoh atau replika raksasa di saat Hari Pengerupukan yang melibatkan hampir seluruh penduduk setiap desa sentiasa ditunggu-tunggu warga mahupun pelancong. Setelah diarak berkeliling desa, ogoh-ogoh itu dibakar dan dimusnahkan sebagai simbol perlawanan terhadap butakala atau makhluk jahat. Fenomena pembuatan ogoh-ogoh tambah menarik kebelakangan ini apabila ogoh-ogoh wajah para koruptor turut dibuat sebagai penzahiran rasa marah dan benci rakyat terhadap sang koruptor yang disimbolkan sebagai makhluk jahat. Wajah paling popular tahun ini adalah tersangka koruptor, M. Nazarudin.

Nyepi menurut saya istimewa kerana hanya di belahan dunia bernama Bali ini sahaja ia dapat dilakukan warga dengan dukungan negara sementara World Silent Day yang diadakan setiap tanggal 21 Mac masih bersifat sukarela.

Melawan haloba

Hartal dan Nyepi menurut saya memiliki kebersamaan dari sifatnya yang melawan — satunya melawan penjajah yang rakus dan zalim kepada rakyat yang dijajah sementara satunya lagi melawan kapitalis yang juga rakus dan zalim kepada bumi Bali dengan merampas tanah, membina hotel dan pusat membeli belah dan kemudian mencemarinya. Kedua-duanya jenis manusia tamak haloba.

Saya sentiasa tertanya-tanya apakah yang dilakukan dan difikirkan warga Malaya di saat berlangsungnya hartal dan warga Bali di saat Nyepi. Saya sendiri waktu Nyepi dihabisi dengan membaca buku dan “mencintai” sesama teman-teman yang kebetulan selain Hindu juga ada Muslim dan Kristian. Menurut saya, saat kesepian juga momen terbaik untuk meneguhkan iltizam kita untuk terus melawan ketidakadilan yang berlaku dan para manusia tamak haloba.

tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 27 Mac 2012

Saturday, April 07, 2012

Melawat Melayu di Bali

oleh Zulhabri Supian
"...orang Bugis/Makassar tersebut pertama kali memperkenalkan ajaran-ajaran agama Islam kepada masyarakat Jembrana yang beragama Hindu Bali. Seiring dengan waktu, maka semakin kuat persatuan di antara kedua belah pihak, Muslim dan warga asli Bali yang beragama Hindu bahkan tercatat ada juga seorang anggota keluarga I Gusti Ngurah Pancoran yang memasuki agama Islam. Menyusul kemudian beerapa penduduk dan wanita..."

Kutipan di atas terkandung di dalam buku karya I Wayan Reken yang bertajuk “Sejarah Perkembangan Islam di Bali khususnya di Kabupaten Jembrana” yang menggambarkan proses kemasukan Islam ke Pulau Bali khususnya di Jembrana.

Bertolak dari pembacaan buku tersebut, saya menjadi teruja untuk melawat salah satu perkampungan di Jembrana dan akhirnya, baru-baru ini saya dan beberapa teman berkesempatan mengunjungi masyarakat Melayu Muslim Bali atau lebih tepat lagi Melayu Loloan yang bermukim di Kampung Loloan Timur yang letaknya tidak jauh dari kota Negara di Bali Barat. Perjalanan ke Loloan Timur dari Denpasar mengambil masa hampir 3 jam melalui pemandangan sawah dan pantai yang indah.

Pementasan opera Melayu
Rombongan kami disambut seorang pemuda bernama Fawaid yang sebelumnya saya sudah berhubung melalui emel dan kemudiannya disertai dua lagi pemuda kampung, Thaidin dan Rahil. Menurut Thaidin, jumlah penduduk Melayu Muslim di Loloan, yang terdiri dari dua mukim iaitu Loloan Timur dan Loloan Barat pada waktu ini sekitar 15,000 orang, dari sekitar 42,000 Muslim yang tinggal di daerah Jembrana. Menurut beliau lagi, orang Melayu di Loloan berasal dari beberapa kawasan iaitu Bugis, Kalimantan dan Terengganu dan yang terbesar berasal dari Bugis.

Seterusnya kami ditemukan dengan sesepuh (ketua) Loloan Timur, Ustaz Husien Jabar yang berusia sekitar 80 tahun. Menurut beliau, Islam masuk ke Bali pada tahun 1667 setelah kerajaan Wajo di Makassar jatuh ke tangan Belanda dan akibat diancam untuk dihabisi, Sultan Wajo bersama-sama askar beliau yang dipimpin Daeng Nahkoda melarikan diri dari Sulawesi Selatan sehingga akhirnya berlabuh di suatu tempat yang kemudiannya dikenal sebagai Kampung Bajo. Atas izin I Gusti Ngurah Pancoran yang berkuasa di Jembrana, pelabuhan tempat mereka berlabuh diberi nama Bandar Pancoran, bekas pelabuhan lama tersebut terletak di Loloan Barat. Sejak itu, orang-orang Bugis berbondong-bondong ke Jembrana menggunakan perahu Pinisi dan Lambo.

Tambah beliau, selain dari Bugis, dua ratus tahun kemudian datang pula rombongan orang Melayu Pontianak yang dipimpin oleh Syarif Abdullah bin Yahya Al-Qadry. Rombongan ini turut diikuti seorang Melayu dari Terengganu yang bernama Encik Ya`qub, yang kemudiannya berkahwin dengan penduduk Melayu tempatan. Encik Ya`qub inilah yang dinyatakan di dalam Prasasti (surat) Melayu atau dikenal dengan Prasasti Loloan yang tercatat tahun tertulisnya pada 1883 dan masih disimpan di Masjid Agung Baitul Qadim. Makam Encik Ya’qub juga berada di perkarangan masjid ini. Dalam prasasti tersebut tertulis:

"Satu Dzulqa`dah 1268 H, hari Itsnin. Encik Ya`qub orang Terengganu mewaqafkan akan barang istrinya serta mewaqafkan dengan segala warisnya yaitu al-Qur`an da ban sawah satu tebih (petak) di Mertosari. Perolehannya 40 siba` (ikat) dalam Masjid Jembrana di Kampung Loloan ketika Pak Mahbubah menjadi penghulu dan Pak Mustika menjadi Perbekel. Saksi: Syarif Abdullah bin Yahya al-Qadri dan Khatib Abdul Hamid."

Audien di majlis pernikahan
Saya turut dimaklumkan oleh Fawaid bahawa pada tahun 1997 kerajaan negeri Terengganu telah membuat lawatan ke Loloan Timur secara spesifik untuk melihat Prasasti Loloan tersebut dan kemudiannya ada usaha untuk membawa pulang Al-Quran tertua di Bali yang ditulis tangan oleh Encik Ya’qub pada tahun 1591 dan mujur tidak dipersetujui ketua dan penduduk kampung.

Selain itu, seorang tokoh agama bernama Buyut Lebai dari Sarawak Melayu juga berdatangan ke Loloan Timur mengajarkan ilmu Islam. Beliau meninggal dunia pada tahun 1835 dan makamnya terletak di Kampung Loloan Timur.

Ustaz Husien Jabar yang fasih akan cerita awal mula menambah bahawa orang-orang Melayu Muslim diterima di Bali kerena mereka bersedia membantu Kerajaan Jembrana yang pada ketika itu sedang diserang kerajaan lainnya. Sebagai habuan, mereka diberi ganjaran sebidang tanah untuk tempat tinggal.

Satu fakta yang menarik tentang Ustaz Husien Jabar adalah beliau telah menulis dengan lengkap sejarah tentang Loloan menerusi tulisan tangan dan tatkala ini sedang dalam proses dibukukan oleh pemuda-pemudi Loloan dan dan dijangka terbit sekitar tahun ini jika tiada aral melintang.

Sanggar Pilot (Pemuda Islam Loloan Timur)

Pada sebelah malamnya kami telah dijemput Fawaid yang bergabung di dalam Sanggar Pilot untuk menyaksikan pementasan opera Melayu berjudul “Amat Palsu” yang akan dipersembahkan mereka sempena suatu majlis pernikahan. Ketika kami sampai majlis makan-makan yang berlangsung dari awal pagi hampir ke penghujungnya dan warga sudah mulai tidak sabar untuk menonton sebuah persembahan pentas yang akan disajikan.

Menurut Thaidin, Sanggar Pilot merupakan perkumpulan anak muda yang aktif dan pada setiap sambutan Isra’ Mi’raj, para pemuda-pemudi Loloan akan mengadakan kegiatan festival tradisi Loloan, di antaranya festival permainan tradisional Loloan, pelancongan makanan Loloan, pementasan seni Loloan, tayangan filem dokumentari tentang Loloan dari semua sudut pandang, pengajian besar-besaran dan banyak lagi.

Rumah beliau yang dijadikan tempat berkumpul dan berlatih dan dioperasikan selama 24 jam merupakan rumah panggung ala Melayu yang dibina sekitar tahun 1700-an dan masih utuh sehingga kini. Rumah-rumah panggung berbahan kayu merupakan ciri khas Melayu di Loloan walaupun keberadaannya semakin lama semakin berkurang akibat semakin mahalnya biaya menyelenggara rumah seperti ini.

Bahasa Melayu Loloan

Satu hal yang menarik dari dampak masuknya pelbagai bahasa mulai dari Bugis, Melayu dan bahasa Bali sendiri kemudiannya menciptakan suatu bahasa khas Loloan yang disebut Bahasa Melayu Loloan. Meskipun begitu tidak dapat dinafikan pengaruh Bahasa Melayu lebih kuat walaupun orang Melayu di Bali umumnya berbahasa Bugis kerana bahasa dakwah pada waktu itu menggunakan bahasa Melayu yang secara perlahan-lahan menghilangkan bahasa Bugis.

Al-Quran tulisan tangan Ya'qub
Beberapa kata seperti ya yang disebut ye, dia disebut die, mana disebut mane seperti lazimnya di Malaysia membuatkan terasa seperti bukan di Indonesia, namun jangan berharap bahasa yang ditutur mereka persis seperti di Malaysia kerana banyak kata-kata lain dipengaruhi oleh bahasa Indonesia dan tentunya bahasa Bali juga.

Keesokan harinya kami mengunjungi Masjid Baitul Qodim yang sedang dalam proses renovasi dan di sinilah kami ditunjukkan Al-Quran tertua di Bali dan Prasasti Loloan. Melihat dari kurang terawatnya dua khazanah berharga ini yang barangkali disebabkan masalah dana, adalah sangat membantu jika pihak-pihak yang peduli di Malaysia khasnya sudi membantu mereka dalam upaya memelihara khazanah yang amat bernilai itu.

Kunjungan pertama ini telah membuka banyak pintu untuk pelbagai usaha bersama di masa hadapan. Melihat Melayu sebagai minoriti di pulau yang bermajoritikan Hindu tetapi mempunyai raut muka hampir sama merupakan suatu hal yang jarang diperolehi di Semenanjung Malaysia yang masih kental dengan identiti raut Melayu mesti Islam, raut India mesti Hindu dan raut Cina mesti Buddha.

Semoga kehidupan beragama harmonis yang terjalin ratusan tahun di antara masyarakat Melayu Islam dan Hindu Bali di Jembrana ini dapat menjadi contoh kepada kita semua untuk terus mengamalkan budaya toleransi dan respek dulu, kini dan selamanya

Tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 20 Mac 2012.

Tuesday, April 03, 2012

Paradoks Pulau Bali

Oleh Zulhabri Supian
“Di tengah puja-puji masyarakat dunia terhadap Bali, pulau ini menyimpan potret buram kemiskinan. Dalam himpitan ekonomi, minim pendidikan dan kesehatan yang layak, minim pula perhatian pemerintah, warga miskin tinggal berhimpitan di bedeng-bedeng bantaran kali, lahan-lahan sewaan dengan tempat berteduh seadanya, mereka harus tetap tegar menapaki masa depannya yang suram. Bantuan bedah rumah pun tak kunjung tiba. Mereka hanya ‘menelan’ janji manis pemerintah dan kandidat pemimpin pada setiap kampanye pilkada (kempen pilihanraya majlis tempatan)”
Begitulah potret paradoks kemiskinan di salah satu provinsi Republik Indonesia yang dilontarkan redaksi akhbar Bali Post 1 Mac 2012 di bawah topik, “Warga Miskin di Bali”. Saya percaya majoriti pelancong dari Malaysia yang berjumlah 169,707 pada tahun 2011 terlepas pandang tentang sisi kelam sektor pelancongan di Bali yang mengatasnamakan “maha dollar”.

Saya sendiri saat kali pertama ke Bali beberapa tahun lepas cukup kagum dengan apa yang terlihat di mata di kasar, rasanya sebuah model pelancongan terbaik di Indonesia yang wajib dicontohi provinsi-provinsi lain yang tidak kalah hebat objek pelancongan mereka tetapi kurang dan salah urus. Seperti banyak bule (orang putih) yang memilih untuk menetap di sana kerana takjub dan cintanya mereka dengan seni budaya dan adat Bali yang dilestarikan sepanjang masa, saya turut terjebak menetap.

Pada isnin lepas, 27 Februari bertempat di sebuah desa di Gianyar saya berkesempatan hadir di dalam sesi diskusi bersama beberapa aktivis NGO yang sedang dalam rangka latihan di Bali untuk penelitian pelbagai lapangan subjek di tempat mereka. Pertemuan santai ini disambut aktivis di Taman 65 dan menghadirkan tamu dari Pontianak, Kalimantan Barat iaitu Pak Aloy mewakili Institut Dayakologi dan Aman Kalbar, Mas Hamdi dari Lombok mewakili Rumah Alir dan beberapa lagi.

Banyak yang dibicarkan dan paling mendapat tumpuan sudah tentu isu-isu berkaitan Bali dan kemiskinan yang dihadapi penduduk. Salah satu poin menarik yang dibangkitkan dan jauh sekali untuk difikirkan pemain di dalam pembangunan Bali adalah tentang bagaimana desa pakraman atau desa adat, sebuah lembaga sosial agama Hindu yang bertanggungjawab sebagai penjaga adat Bali selama ini turut menyumbang kepada pemiskinan warga Bali tanpa sedar, dan sudah tentu juga peranan ini diinisiatifkan oleh pemerintah Orde Baru. Sebagai perumpamaan, membicarakan apalagi mengkritik desa pakraman secara terbuka di Bali merupakan hal yang sensitif seperti mana kita membicarakan soal Islam, Melayu & Raja di Malaysia.

Picard, dalam Dr Yekti Maunati, LKiS terbitan tahun 2004 menyampaikan bahawa pemerintahan Orde Baru di bawah Soeharto berperanan dalam membentuk identiti orang Bali. Picard menjelaskan panjang lebar cara-cara yang digunakan pemerintah Orde Baru untuk mendomestifikasi identiti-identiti etnik demi mengakomodasi dalam kerangka proses pembangunan ekonomi. Untuk itu pemerintah Orde Baru mempromosikan sebuah identiti provinsi yang homogen dan itu bererti mengabaikan keberagaman etnik di dalam setiap provinsi.
“Citra turistik atas Bali menginginkan Bali untuk tetap ajeg (Bali yang tetap kukuh) sebagai pulau surga – tempat di mana pelancong boleh menikmati kedamaian. Sebagai pulau syurga, Bali harus sentiasa terjaga, baik keamanan, kedamaian dan ketertiban. Konsekuensinya, tidak boleh ada kekecohan, kritik, kekerasan, konflik apalagi kerusuhan, kerana ini semua boleh menimbulkan kesan Bali tidak aman lagi. Walaupun banyak orang Bali merasa diberlakukan tidak adil, namun mereka tidak berani protes demi mempertahankan imaginasi pulau syurga.” ~ AA GN Ari Dwipayana, Desa Mawa Cara: Problematika Desa Adat di Bali, 2005
Menurut salah seorang peserta yang enggan namanya disiarkan, Bali pasca-pembantaian 1965/1966 bukanlah Bali dalam erti kata sebenar melainkan konstruk budaya yang dicitrakan oleh Orde Baru untuk mengkedepankan ritual semata-mata tanpa adanya solusi untuk memberdayakan masyarakat dan membanteras kemiskinan. Ritual Orde Baru sudah barang tentu berniat mempergunakan Bali dan rakyatnya untuk pengayaan elit politik.

Desa Adat dan warganya sejak detik itu sehingga sekarang menghabiskan masa dengan melakukan upacara demi upacara sehingga mengurangkan produktiviti kerja, penghilangan sumber pendapatan pertanian serta terjejasnya pendidikan semata-mata untuk mengekalkan Bali yang penuh budaya supaya dollar terus mengalir ke pulau ini walaupun hakikatnya mereka mendapat sisa-sisanya sahaja. Maka jangan hairan jika berkunjung ke Bali, anda pasti dapat menyaksikan ritual-ritual ini yang kadangkala memakan biaya yang sangat besar.

Semasa pertemuan dengan mangsa pembantaian 1965/1966 kelmarin, salah seorang dari mangsa sempat berkata gagasan Hindu Sosialis sempat berkumandang sebelum tragedi menyayat itu berlaku dan tambau beliau, andainya PKI dan golongan kiri berkuasa nescaya Hindu di Bali pada waktu ini akan lebih bermanfaat kepada kehidupan warganya terutama bidang kesihatan dan pendidikan.

Maka tidak menghairankan apabila Sultan Takdir Alisjahbana pernah berkata pada tahun 1980-an; “orang Bali jangan mau diperlakukan seperti di kebun binatang (zoo haiwan)”. Beliau menggunakan metafora untuk menunjukkan seperti haiwan di zoo, orang Bali dijaga dengan baik, tempatnya baik dan ramai pelawat berdatangan setiap hari. Namun di satu sisi orang Bali dipinggirkan dalam menentukan diri mereka sendiri dan citra Bali bukan lahir dari kesedaran orang Bali melainkan dicipta dan dibentuk orang lain.
“Kebanggan Bali dengan glamournya sektor kepartiwisataan (pelancongan) sesungguhnya belum mampu membangkitkan ekonomi kerakyatan secara merata. Kantong-kantong kemiskinan masih mewarnai kehidupan sebagian masyarakat yang tidak memiliki akses untuk mereguk manisnya madu yang dihasilkan oleh perkembangan sektor kepariwisataan. Justru penduduk yang hidup di bawah garis kemiskinan ini dihadapkan pada fenomena klasik seperti kesulitan mendapatkan kesempatan untuk belajar, pelayanan kesehatan yang standar dan lapangan pekerjaan sehingga semakin memarginalkan kehidupannya. Program Pemerintah Provinsi (Pemprov) Bali yang bertujuan membantu rakyat miskin seperti bedah rumah serta Jaminan Kesehatan Bali Mandara (JKBM) masih banyak menuai kritik dan keluhan masyarakat karena antara konsep di atas kertas dengan implementasi di lapangan masih jauh dari harapan” ~ I Nyoman Rutha Ady, penulis, pemerhati masalah-masalah sosial yang tinggal di Legian, Kuta (Bali Post, 1 Mac 2012)
Pengalaman saya sendiri bertemu pembantu jualan, pekerja hotel dan pekerja urut di kawasan pelancongan terkenal iaitu Kuta, Sanur dan Nusa Dua membenarkan pandangan ini. Rata-rata mereka yang saya temui bergelut untuk hidup dengan gaji sebesar 1 juta ke 1.5 juta rupiah setiap bulan dan ramai dari mereka datang dari Bali Utara dan Bali Timur yang penuh dengan kemiskinan akibat pembahagian kek ekonomi yang tidak merata dan penjajahan ekonomi yang hadir dalam bentuk pelaburan asing yang tidak manusiawi dan tebalnya mentaliti kolonial para pencinta seni budaya asing lagi arogan yang membuka republik dalam republik di kota Ubud dan belahan daerah lainnya. Tambah menyedihkan ramai di kalangan mereka tidak menghabiskan persekolahan dan lebih ekstrem ada yang tidak berpeluang untuk ke sekolah seumur hidup mereka.

Untuk informasi, kos hidup di Indonesia yang difahami murah selama ini sebenarnya tinggi jika kita mendapat wang gaji dalam rupiah, malah kos hidup di Malaysia jauh lebih murah. Secara mudah untuk setiap 100,000 rupiah secara “nilai” bersamaan dengan RM100, contohnya makan di KFC di sana memakan biaya 30,000 rupiah (RM30 secara “nilai”) dan di Malaysia hanya RM11.

Gabernor Bali lawan bendesa pakraman

Beberapa hari yang lepas terjadi perdebatan hangat diantara Gabernor Bali dengan bendesa pakraman (ketua adat) selaku tonggak desa pakraman yang merasa disisihkan dalam kemajuan sektor pelancongan di Bali dan menuntut perhatian lebih dari pemerintah provinsi Bali baik berupa insentif ataupun bentuk-bentuk lainnya. Hal ini menjadi debat panas diakibatkan kerana Gabernor menolak untuk melayani permintaan permintaan tersebut atas alasan menjadi bendesa pakraman adalah ngayah iaitu kerja bakti.

Perdebatan ini sangat menarik untuk diikuti bagi melihat bagaimana Gabernor sebagai ketua yang mewakili negara secara rasmi berhadapan dengan isu yang kritikal untuk pembangunan dan pelestarian budaya Bali supaya manfaatnya dinikmati oleh masyarakat Bali secara merata. Tidak terlepas untuk diperhatikan adalah bagaimana desa pakraman akan memposisikan peranan mereka seandainya pemerintah Bali terus dengan sikapnya.

Sebagai orang luar yang prihatin dengan kondisi Bali yang dijajah cukong-cukong yang memperbudakkan masyarakat tempatan, semoaga Bali ke depannya akan menyeimbangkan di antara tuntutan dollar dengan tuntutan kebajikan masyarakatnya. Kadangkala kita terpaksa berani untuk tidak mengikut hawa nafsu para pelancong yang berbondong-bondong datang tetapi dalam bahasanya memperlekeh dan memperbodohkan masyarakat tempatan.

Jangan sampai jenaka yang kerap muncul di Bali ini menjadi hal yang biasa nantinya, “orang Jawa jual bakso sampai mampu beli tanah… orang Bali menjual tanah untuk membeli bakso... Aneh!!”

tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 2 Mac 2012

Wednesday, March 21, 2012

Sambutan hari lahir ke-70 Sasterawan Negara Prof Muhammad Haji Salleh mempersembahkan Pak Goenawan Mohamad




http://penanginstitute.org/v3/events/upcoming-events/241-9-14-sambutan-hari-lahir-ke-70-sasterawan-negara-prof-muhammad-haji-salleh

Sambutan hari lahir ke-70 Sasterawan Negara Prof Muhammad Haji Salleh (Terbuka kepada umum)

“Sireh Pulang ke Ganggang” - Sasterawan Negara Prof. Muhammad Haji Salleh
Tarikh: 14 April 2012
Time: 8.30am
Tempat: Auditorium C KOMTAR

Sambutan Hari Lahir ke-70 Sasterawan Negara Prof Muhammad Haji Salleh
Tarikh: 14 April 2012
Masa: 8.00pm
Tempat: Auditorium A KOMTAR

Pameran Karya Sasterawan Negara
Tarikh: 9 – 14 April 2012
Tempat: Ruang Legar, Tk.3, KOMTAR

Latar Belakang:

Salah satu warisan budaya yang paling istimewa terdapat pada Pulau Pinang ialah tradisi dan khazanah persuratannya, khususnya persuratan Melayu, sejak berzaman. Antara bintang-bintang paling gemerlap dalam sejarah Malaysia yang lahir di Pulau Pinang atau menjadikan negeri ini sebagai pusat kegiatan mereka ialah Syed Syeikh Alhadi, Ahmad Rashid Talu, Shahnon Ahmad, Kassim Ahmad, Latif Mohiddin, dan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (MHS) yang mendapat pendidikan awal di Bukit Mertajam, memulakan kerjayanya di Butterworth dan menjadikan negeri ini sebagai pusat kegiatannya sejak puluhan tahun lalu.

MuHS bukan sahaja merupakan salah seorang Sasterawan Negara terbaik, malah ahli akademik yang amat banyak berjasa terhadap pembangunan bahasa dan sastera Melayu. Kesempatan ini dapat dijadikan salah satu langkah pertama oleh PI untuk menempatkan diri sebagai pencetus dan pemangkin utama bagi kegiatan kebudayaan di Pulau Pinang serta melakar reputasi sebagai salah satu lembaga yang paling dipercayai dan dihormati oleh para pencinta Bahasa Melayu.

Menerusi acara sambutan ini Penang Institute dapat membuktikan bahawa hasrat yang dinyatakan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai bandar pilihan para penggiat kebudayaan dan kesenian serta hasratnya untuk menghidupkan semula negeri ini sebagai pusat kegiatan persuratan bukan sekadar pemanis mulut, terutama setelah ia beberapa kali telah berjaya menganjurkan Forum Nusantara. Dengan penglibatan Goenawan Mohamad, sasterawan kelas dunia yang paling berpengaruh di Indonesia, program ini akan menjadi salah satu acara bertaraf antarabangsa yang dianjurkan oleh Penang Institute.

Pengumuman:

Pada keesokan harinya 15 April pagi, satu perjumpaan/sesi diskusi akan diadakan bersama Nirwan Dewanto yang akan didahului dengan sarapan pagi bersama Goenawan Mohamad. Sesiapa yang berminat untuk turut serta dalam sesi diskusi tertutup ini silakan emel ke frinjan@gmail.com. Terima kasih.



Goenawan Mohamad

Pendiri dan pemimpin redaksi majalah berita Tempo (1971-1998). Ia juga dikenal sebagai penyair, esais, dan intelektual publik. Kumpulan esainya antara lain Seks, Sastra, Kita (1980); Kekuasaan dan Kesusastraan (1993); Catatan Pinggir (kini mencapai tujuh jilid); Setelah Revolusi Tak Ada Lagi (2001), Kata, Waktu (2001); Eksotopi (2002), dan Tuhan dan Hal-hal yang Tak Selesai (2009). Terjemahan bahasa Inggris atas esainya dikerjakan oleh Jennifer Lindsay dan terbit sebagai Sidelines (1994) dan Conversations with Difference (2002).

Goenawan telah menerbitkan enam buku puisi: Parikesit (1971), Interlude (1973), Asmaradana (1992), Misalkan Kita Di Sarajevo (1998), Sajak-sajak Goenawan Mohamad: 1961-2001 (2001) dan Goenawan Mohamad: Selected Poems (2004), diedit oleh Laksmi Pamuntjak. Ia juga menulis tiga libreto untuk opera kontemporer: Kali, The King’s Witch, dan Tan Malaka. Di samping menulis lakon untuk wayang kulit, yakni Wisanggeni dan Alap-alapan Surtikanti, Goenawan telah menulis dua naskah teater: Surti dan Tiga Sawunggaling dan Visa. Ia pernah menyutradarai pementasan dua tari, Panji Sepuh dan Dirada Meta, sebuah tari klasik dari Keraton Mangkunegaran.


Nirwan Dewanto

Menulis puisi, esai, maupun genre-genre sastra yang lain. Ia pernah menempuh sejumlah program residensi, antara lain di International House di Tokyo, Jepang; University of Wisconsin di Madison, Wisconsin, USA; International Writing Program di University of Iowa, Iowa City, USA. Buku puisinya adalah Jantung Lebah Ratu (2008).

Tuesday, March 20, 2012

Melawan lupa

Oleh Zulhabri Supian
“Masa lalu adalah lembaran sejarah dan terselip sebuah ingatan yang hendak selalu mengantarkan kita untuk bisa duduk bersama saling menemani dan memahami, kemudian untuk dapat meletakkannya dan merefleksikan atas apa yang telah terjadi. Bila mungkin menjadikan sebuah titik bias dalam semua bentuk kegiatan kita. Buat semua yang telah pernah hadir disini untuk berbagi, sediakanlah selalu ruang dalam hatimu untuk sebuah lembaran ingatan yang hampir terhapuskan untuk belajar bersama agar sejarah yang buruk tidak terulang di masa depan”
Ayat di atas merupakan pengenalan rasmi sebuah komuniti yang berpusat di Denpasar, Bali iaitu Komunitas Taman 65. Menurut salah seorang aktivis di Taman 65, Ngurah Lengkonk Termana, “Taman 65 selain tempat melepak teman-teman, turut diadakan penayangan filem, gig, diskusi dan sebagainya sekitar isu pembantaian di Indonesia 1965/1966 terutama di Pulau Bali”.

Dikutip dari Wikipedia, “Pembantaian di Indonesia 1965-1966 adalah peristiwa pembantaian terhadap orang-orang yang dituduh komunis di Indonesia pada masa setelah terjadinya Gerakan 30 September di Indonesia. Diperkirakan lebih dari setengah juta orang dibantai dan lebih dari satu juta orang dipenjara dalam peristiwa tersebut. Pembersihan ini merupakan peristiwa penting dalam masa transisi ke Orde Baru: Partai Komunis Indonesia (PKI) dihancurkan, pergolakan mengakibatkan jatuhnya presiden Soekarno, dan kekuasaan selanjutnya diserahkan kepada Soeharto”.

Pada khamis lalu, 23 Februari saya berkesempatan mengikuti pertemuan bersama mangsa-mangsa pembantaian 1965/1966 yang terjadi di di sebuah kampung yang letaknya berdekatan dengan tempat pelancongan ternama di pulau Bali. Pertemuan itu diatur oleh Institut Sejarah Sosial Indonesia (ISSI), Lembaga Studi dan Advokasi Masyarakat (ELSAM) dan Komunitas Taman 65.

Menurut Razif, salah seorang aktivis ISSI, “kami melakukan penelitian tentang peristiwa 1965 sejak tahun 2000 dengan kerjasama ELSAM melaui metode sejarah lisan dan pertemuan di kampung ini merupakan kesinambungan atas kerja penelitian kami selama ini. Kami juga telah menerbitkan 2 buah buku berkisar peristiwa 1965 iaitu, Tahun yang Tak Pernah Berakhir (2004, kumpulan esai) dan Dalih Pembunuhan Massal (2008, John Roosa).

Pertemuan yang diadakan di rumah Bapak Made (bukan nama sebenar dan salah seorang mangsa yang dipenjara) itu dihadiri sekitar belasan mangsa langsung atau tidak langsung persitiwa tersebut. Sesi pertama bermula dengan pengenalan diri dari pihak ELSAM, ISSI, Taman 65 dan saya sendiri dan seterusnya dari pihak mangsa.

Bapak Made menceritakan pada saat kejadian berlaku beliau aktif sebagai aktivis buruh di Serikat Sekerja untuk pekerja bank milik negara di Jakarta dan dipenjara selama 6 bulan. Setelah dibebaskan beliau pulang dan mendapati dari 18 keluarga di kampungnya, 3 keluarga dibunuh dan 11 keluarga dipenjarakan kerana disyaki ahli dan simpatisan PKI.

Tambah Bapak Made, pembantaian ini sangat tragis kerana kerap terjadi mangsa yang dibunuh itu nama mereka diberi oleh kaum keluarga atau penduduk kampung sendiri yang dikeranakan juga atas faktor peribadi. Maka yang menjadi mangsa bukan sekadar ahli atau simpatisan PKI, tetapi mangsa perbalahan individu di antara keluarga dan penduduk kampung. Tambah beliau lagi, kadangkala si pelaku pembunuhan terdiri dari kaum keluarga atau sanak saudara dan si pelaku juga diancam sama ada membunuh atau jika tidak dibunuh.

Salah seorang anak mangsa yang bapanya dibunuh, Nyoman (bukan nama sebenar) menambah bahawa pembantaian yang terjadi merupakan permainan politik Soeharto yang licik dengan secara bertahap menghapuskan tokoh masyarakat, intelektual, pemikir, seniman baik mereka PKI atau tidak kerana tokoh-tokoh seperti ini berpotensi mengancam kekuasaan beliau nantinya. Bapa beliau merupakan seorang seniman gamelan yang cukup terkenal dan sempat diundang ke Czechslovakia dan Soviet Union, malah bunyi gamelan warisan beliau yang dimainkan di balai banjar (seperti pejabat JKKK) yang terletak bersebelahan mengiringi hampir seluruh pertemuan kami.

Sesi seterusnya disambung dengan pembentangan atau perkongsian cerita dari pihak ISSI tentang perjalanan penelitian yang telah mereka lakukan sejak tahun 2000 bersama para mangsa di belahan Indonesia yang lain seperti di Solo dan Palu seraya menjelaskan bahawa mangsa di Bali tidak terpisah dan bersendirian dalam usaha mengungkap kebenaran dan keadilan di dalam persitiwa ini.

Pihak ISSI turut menyatakan bahawa hasil penelitian mereka telah diserahkan kepada Komisi Nasional Perempuan (Komnas Perempuan) seterusnya diserahkan pula kepada Presiden SBY untuk tindakan lanjut. Tambah ISSI, apa yang diingini kebanyakan mangsa tidak banyak, cuma tiga iaitu pengungkapan sejarah yang sebenar, pengemaskinian sejarah yang diajar di sekolah tentang persitiwa tersebut dan anak-anak mereka tidak didiskriminasi di sekolah.

ELSAM pula berkongsi bagaimana perjuangan menuntut pembenaran sejarah peristiwa 1965 diungkap dalam bentuk kesenian dengan diadakan kegiatan konsert Hak Asasi Manusia menampilkan band tersohor dari Bali, Superman is Dead di Taman Ismail Marzuki pada 2010, pameran lukisan, seni grafiti di jalanan dan penerbitan tulisan-tulisan kreatif di dalam bentuk buku.

Sesi terakhir secara santai diadakan pendiskusian dan saya sempat diminta memberi analisa banding di antara Malaysia dan Indonesia. Secara umum saya mengatakan bahawa di Malaysia pembantaian golongan kiri/komunis dilakukan lebih awal sebelum kemerdekaan iaitu pada 1948 dicapai berkat kerjasama penjajah British dan elit politik Umno pada waktu itu, sedangkan di Indonesia euforia rakyat menumbangkan penjajah Belanda pada 1945 menghilangkan sejenak kiri atau kanan ideologi politik demi sebuah kemerdekaan.

Tambah saya, menariknya tatkala tokoh-tokoh tertinggi PKI/gerakan kiri dihilangkan terus nyawanya, sebaliknya pula tokoh-tokoh tertinggi PKM/gerakan kiri masih terus bebas walaupun tidak di tanah air dan untungnya kami generasi muda di Malaysia beroleh peluang untuk membaca buah fikiran mereka yang diterbitkan dalam bentuk buku dan filem seperti “Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka” dan “Revolusi 48” yang disutradarai oleh Fahmi Reza.

Agen pelupaan

Semasa zaman pemerintahan Soeharto, buku teks sejarah sekolah di Indonesia mengajarkan bahawa peristiwa G30S merupakan percubaan kudeta yang dituduhkan kepada Partai Komunis Indonesia dan ramai yang masih percaya kepada versi ini hingga sampai sekarang.

Meskipun begitu semakin ramai generasi muda yang cuba melihat semula peristiwa ini dengan membaca pelbagai buku kontra kepada versi pemerintah Soeharto yang mudah didapati di kedai-kedai buku, terima kasih kepada Mahkamah Konstitusi yang memutuskan mencabut Undang-undang nomor 4/PNPS/tahun 1963 yang membolehkan Kejaksaan (peguam negara) melarang buku. Versi sejarah mana yang benar hanya keberanian politik dan masa menentukan.

Namun harus diingat, sejarah sebagai ilmu pengetahuan tidak mampu menjamin adanya kebenaran tunggal. Sejarah memberikan ruang bagi setiap pihak untuk memberikan makna yang berbeza pada satu fakta yang sama.

Sampai saat ini di seluruh Indonesia pembicaraan sekitar peristiwa ini masih menjadi isu sensitif. Maka tidak menghairankan tatkala Taman 65 berinisiatif untuk membuka jalan kepada pembenaran sejarah, usaha mereka dipandang negatif dan dikritik atas pelbagai alasan, baik rasa trauma yang masih menebal dan rasa keselesaan yang dikecapi kini.

Banyak korban 65 yang memilih untuk melupakan peristiwa ini setelah kesuksesan hidup yang akhirnya berhujung pangkal terjadinya ruang kosong di antara generasi tua dan generasi muda. Ini sangat disayangkan tentunya kerana korban turut menjadi agen pelupaan negara. Soalnya bagaimana generasi muda mampu ke depan sekiranya sejarah lampau mereka ditutup-tutupi.

Meskipun begitu ada khabar baik seperti dilaporkan akhbar Kompas, 19 Februari 2012. Disana Presiden SBY mengisyaratkan akan bersedia meminta maaf atas kes pelanggaran hak asasi manusia (HAM) yang terjadi di masa lampau. Hal ini muncul ditengah pertemuan Komisi Untuk Orang Hilang dan Korban Tindak Kekerasan (Kontras) bersama korban dan keluarga korban pelanggaran HAM bertemu anggota dewan pertimbangan Presiden pada hari Jumaat, 17 Februari 2012. Sama ada isyarat beliau akan disertai dengan aksi sekali lagi hanya keberanian politik dan masa yang akan menentukan. Jika ia benar terjadi perlawanan untuk melawan lupa akan menjadi semakin mudah.

Malaysia turut lupa

Bagaimana kita di Malaysia? Kita tidak jauh bezanya dengan Indonesia malah mungkin lebih teruknya. Sehingga kini banyak kes-kes pelanggaran hak asasi manusia belum terungkap, sebut saja Tragedi 13 Mei, Tragedi Memali, Tragedi Kampung Medan dan banyak lagi yang masih tidak dituntaskan sehingga memunculkan bait-bait permusuhan di kalangan rakyat yang bersifat kaum dan agama.

Seperti di Indonesia, melupakan masa lalu yang kelam demi sebuah pekerjaan, rumah dan kereta turut dipegang majoriti rakyat Malaysia barangkali. Sistem pendidikan sejarah yang bersifat hafalan semata tanpa perlu memahami persitiwa yang berlaku dan kaitannya dengan pembinaan negara bangsa dan kemanusiaan menyebabkan majoriti dari kita semua mengabaikan sejarah.

Memahami sejarah terutama pelaku sejarah dengan berbagai kekurangan dan kelebihannya dapat menginspirasi seseorang untuk meraih nilai-nilai universal seperti keadilan, kebenaran, keberanian, toleransi, penghargaan, hak asasi manusia dan lain-lain. Kita juga dapat meneladani perilaku para pelaku sejarah, mengembangkannya menjadi inspirasi dan selanjutnya mengembangkan inspirasi menjadi aspirasi — yakni kita sebagai bakal pelaku sejarah di masa sekarang dan hadapan.
“morally judge historical events according to the standards of human and civil rights; explain the situation in the world today and find out the tendencies of change; acknowledge the traditions, characteristics, values and tasks of our nation and society; values the preservation of historical relics and old buildings; internalise basic democratic value” — (Stearns, Sexas and Weinburg, 2000:247)
Selain memahami sejarah, sudah sampai saatnya anak-anak muda bersama generasi pertengahan dan generasi emas Malaysia untuk turun menulis tentang sejarah baik di bidang politik, sukan, seni budaya, objek dan lain-lain. Jangan sekadar menulis status di facebook dan berkicau di twitter tentang itu dan ini tetapi malas membaca, meneliti apalagi turun padang. Ayuh!

tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 28 Februari 2012

Tuesday, March 13, 2012

Empat tip melancong

Oleh Zulhabri Supian

“The world is the best education you could ever have!” — Jade Ferriere

Jade Ferrierre adalah “voluntourist” yang telah menghabiskan masa selama 7 tahun berkeliling dunia dengan bekerja dan menawarkan kerja sukarela dengan ganti upah makanan dan penginapan. Beliau berkata, “voluntourism is the best way to have a cultural experience while on holiday, and is also the most cost-effective way to travel as well and for me, it’s not just a holiday … it’s an experience. I get to experience the culture of a country and truly see how the people live. It may sometimes mean that I have to give up things that I’m used to having to make myself comfortable, but it’s worth it.”

Barangkali majoriti daripada kita tidak akan mampu melakukan hal yang sama di atas pelbagai sebab baik kewangan, masa, komitmen kerja, komitmen perkahwinan dan sebagainya. Meskipun begitu tren menjadi “voluntourist” semakin meningkat seandainya apa yang terjadi di dalam lingkungan saya diambil sebagai kajian kes. Beberapa sebab dijadikan alasan mereka memilih, antaranya persis seperti alasan Ferriere, juga untuk berehat sementara dari kesibukan pekerjaan yang tidak pernah menyeronokkan.

Tambah menyenangkan untuk kita di Malaysia, sebuah NGO bernama Ecoteer giat mempopularkan “voluntourism” menerusi laman web mereka, “Ecoteer works by providing a site where volunteers can find volunteer work and volunteer job opportunities abroad and grass roots organisation can find volunteers.”

Meskipun begitu, bagi mereka yang tidak berpeluang menempuh jalan yang diharungi Ferrierre, anda tidak perlu bersedih kerana tanpa perlu menjadi “voluntourist” sekalipun, kita boleh memperolehi banyak ilmu tentang negara yang kita kunjungi walaupun dalam waktu yang singkat. Berikut beberapa tip yang sering secara peribadi praktikkan setiap kali ke luar negara.

1- Membaca surat khabar, majalah dan menonton televisyen terutama siaran berita

Melakukan hal yang di atas akan memberikan serba sedikit gambaran tentang apa yang sedang berlaku di negara tersebut. Begitu juga untuk majalah, jika kita sering membeli majalah FHM, Time Out atau Cosmopolitan versi Malaysia, dengan membeli versi dari negara yang kita kunjungi membolehkan kita membuat perbandingan dari segi luaran dan dalaman.

Meskipun begitu pemahaman kita tetap jauh dari sempurna kerana faktor kurang memahami kronologi dan kebergantungan kepada media Bahasa Inggeris yang sering kali isu dan konteksnya sedikit berbeza dengan media berbahasa tempatan. Sebagai contoh jika di Indonesia, anda yang membaca akhbar The Jakarta Post tidak akan sama memahami isu dalam konteks majoriti rakyat mereka yang lebih banyak membaca akhbar berbahasa Indonesia seperti Kompas dan Republika sebagai contoh.

Walaubagaimanapun saya tetap meletakkan perkara ini hal yang baik untuk dipraktikkan kerana ia murah dan mudah. Syarat utama adalah mengurangkan masa untuk mengambil foto sendiri dan tidur di dalam perjalanan.

2- Berbicara dengan masyarakat lokal

Nah ini dia, dengan sedikit pengetahuan yang kita peroleh berkat membaca di akhbar dan majalah serta tontonan di televisyen, kita akan mempunyai lebih banyak bahan untuk dibicarakan dengan masyarakat lokal yang kita temui selain dari hal-hal yang bersifat universal seperti cuaca, trafik lalu lintas dan sebagainya. Interaksi seperti ini baik bersama pemandu teksi, pemandu pelancong, penjual, tukang urut, pekerja seks komersial, imam, pekerja hotel dan sebagainya akan menambah sudut pandang dan menjernihkan kita tentang letak duduk hal yang sebenar.

Kebanyakan dari mereka akan merasa teruja sekiranya kita mengetahui serba sedikit tentang perkara-perkara yang dekat dengan mereka dengan maksud hal-hal yang sering dan sedang dibicarakan mereka, sebagai contoh isu Luna Maya dan Ariel dahulu. Bertolak dari situ perbualan akan semakin intim dan terbuka yang seterusnya akan membentuk suatu interaksi yang bermakna.

Interaksi yang berlaku dalam kebanyakan waktu akan memecahkan banyak tembok penghalang di antara kita sebagai pelancong dan mereka sebagai masyarakat tempatan. Sebagai contoh jika kita seorang Muslim yang sedang berkelana ke Vietnam di bulan Ramadhan, pada ketika inilah masyarakat bukan Islam di sana berpeluang memperoleh secara langsung fakta tentang Ramadhan dan Islam dari penganut agama itu sendiri yang barangkali seumur hidup mereka itulah kesempatan pertama. Apa yang penting, pada akhirnya kita dan mereka akan menjadi manusia yang mampu untuk saling menghargai di antara satu sama lain.

3- Membeli bahan bacaan tambahan & mengaji setelah pulang

Bagi mereka yang terbuka pintu hatinya untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang hal yang menarik perhatian mereka, fasa berikutnya adalah dengan mengunjungi kedai buku berhampiran dan menyediakan wang secukupnya untuk membeli bahan-bahan yang diperlukan. Nantinya setelah pulang pengajian boleh dilakukan sama ada secara bersendirian, berkelompok dan jika sangat serius, sila lanjutkan pengajian secara formal baik dalam peringkat sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah.

4- Membuat jaringan, membuat penelitian & menjadi ‘manusia’

Andaikata peringkat ketiga berjaya dihadami dengan serius, kita teruskan dengan membuat jaringan di antara komuniti baik secara rasmi atau tidak rasmi dan melakukan kajian untuk penilaian akademik atau non-akademik. Kedua-dua hal ini pada akhirnya secara teori akan menjadikan kita sebagai manusia yang lebih sempurna sifatnya, hanya satu yang boleh menghalang dari ia berlaku jika kita sudah ke peringkat ini iaitu rasa ego dan takbur.

Di peringkat ini barangkali anda akan berfikir untuk menjadi “voluntourist” dengan berbakti kepada manusia yang kurang bernasib baik.

Tip-tip di atas sebaiknya diikuti tanpa mengabaikan perkara-perkara asas yang sering dilakukan pelancong dalam kunjungan singkat iaitu membeli belah, makan, mencari cinta dan sebagainya. Kuncinya di sini adalah bagaimana untuk menyeimbangkan di antara menjadi pelancong dan pengembara tanpa perlu terperangkap dengan debat “pelancong lawan pengembara” yang tidak menjernihkan.

Sama ada anda memilih untuk menjadi pelancong atau pengembara atau kedua-duanya sekali, hal yang paling penting adalah menjadi diri anda sendiri dan sebagai nilai tambah, belajar tentang dunia tatkala sedang menjadi diri anda.

tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 19 Februari 2012

Monday, February 13, 2012

Filem ‘Nanban’ wajib ditonton!

Oleh Zulhabri Supian

Masyarakat Hindu terutama kaum Tamil di Malaysia baru selesai merayakan perayaan pesta Ponggal yang disambut 15 Januari yang lepas, sebuah perayaan menuai yang diraikan secara meluas oleh masyarakat Tamil di negeri Tamil Nadu, Sri Lanka dan di tempat-tempat di mana ramai terdapat kaum Tamil.

Seperti perayaaan Aidilfitri dan Tahun Baru Cina, musim perayaan akan turut dimeriahkan dengan kehadiran filem dan untuk Ponggal tahun ini, filem Tamil berjudul “Nanban” tampil untuk tujuan tersebut.

Filem “Nanban” yang bererti “kawan” di dalam bahasa Tamil merupakan sebuah filem “remake” dari sebuah filem Hindi berjudul “3 Idiots” yang menggegarkaan dunia perfileman India pada tahun 2009 sudah.

Filem arahan Shankar yang terkenal dengan filem “Sivaji” ini diberitakan mendapat sambutan hangat di India terutama di bahagian selatan yang didominasi penduduk berbahasa Tamil. Malah di Malaysia sendiri, filem ini menduduki carta pertama untuk minggu yang baru berakhir.

Apa yang menarik tentang filem ini tidak lain tidak bukan adalah kritik sosial terhadap sistem pendidikan India yang disampaikan secara bersahaja, melucukan dan mudah dihadam oleh segenap lapisan penonton.

Antara inti ringkas filem ini menurut saya berkisar tentang bagaimana pendidikan itu harus difahami melepasi sindrom menghafal untuk berjaya di dalam peperiksaan yang sesungguhnya tidak akan berguna menghadapi rencah kehidupan sebenar. Selain itu, filem ini mengangkat satu hal yang sering dihadapi pelajar dan mahasiswa tentang bagaimana mereka tidak diberi pilihan mengikut minat dan kemahuan mereka tetapi sebaliknya terpaksa mengikut kemahuan ibu bapa atau penjaga mereka. Lantas dua hal ini menerbitkan persoalan tentang apa itu pendidikan sebenarnya.

Apa yang terkandung di dalam filem ini tidak terkecuali dari berlaku di Malaysia dan malangnya filem bertema sama dengan garapan komedi drama yang kritis sepengetahuan saya tidak pernah dihasilkan pengkarya kita, apatah lagi ditayangkan di pawagam umum di negara kita.

Pengalaman saya di sekolah dan universiti tidak pernah menipu hakikat kebobrokan sistem pendidikan yang bermentalkan peperiksaan untuk dilihat gah, tekanan ibu bapa dan masyarakat yang mengkedepankan prestij walau ia palsu serta desakan sistem ekonomi kapitalis yang bermatlamat maksimal untung dan eksploitasi.

Sejarah

Desakan menjadi negara maju secara segera telah secara perlahan-lahan menghakis kepentingan pengajian sejarah dan nilai murni kerana kebanyakan pelajar dan mahasiswa lebih tertarik dengan idea mendapatkan kemewahan semata selepas tamat pengajian.Jangan berangan berbicara tentang sejarah alternatif yang beragam versi jika sejarah berdasarkan buku teks yang dicipta para pemenang tersebut pun tidak diambil peduli.

Idea untuk memiliki kereta mewah dan rumah besar bersandarkan rasa ego dan riak untuk menunjuk-nunjuk sewajibnya kita tegah dari awal supaya nilai murni yang bersandarkan kepada pemahaman sejarah rasmi dan alternatif serta rasa kekitaan untuk saling bantu membantu setelahnya tidak akan menjadi hal yang minoriti.

Memetik pakar sejarah yang juga Canselor Kolej Universiti KDU, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, “Mereka hanya mahukan cara paling cepat untuk menjadi orang kaya, materialisme sudah menjadi keutamaan dalam masyarakat. Tetapi mereka perlu ingat, sejarah tidak hanya mengenai perkara yang berlalu. Ia sebenarnya menjelaskan apa yang berlaku. Ada banyak perkara berlaku di sekeliling yang kita tidak faham tetapi akhirnya kita faham melalui penjelasan sejarah”. Beliau yang kini sedang hangat dilanda kontroversi kiri dan kanan ekoran komentarnya berkaitan perihal Hang Tuah dan perjuangan kiri berkata demikian ketika menjadi panel diskusi mengenai Peranan Pendidikan Dalam Memupuk Kesederhanaan di Persidangan Antarabangsa Pergerakan Kesederhanaan Global yang berlangsung minggu lalu.

Perangkap kaum dan agama

Sistem pendidikan kita yang terpisah-pisah dari segi bahasa dengan pelbagai kompleksitinya kesan dari kolonialisme memerlukan pemahaman sejarah yang jernih untuk mengelakkan kita dari terjebak dari kancah perkauman sempit.

Melihat hakikat tersebut yang tidak mungkin akan berubah di dalam masa yang singkat, setiap dari kita wajib untuk memahami konteks tentang dilema pendidikan kita yang mendorong kepada sifat perkauman yang menebal, seterusnya mencuba untuk menjadi ejen perubah kepada sebuah negara Malaysia yang lebih baik.

Saya sendiri bersekolah di sekolah agama yang 100 peratus Melayu Islam dan mengikuti pengajian peringkat universiti di universiti yang 100 peratus Melayu Islam dengan sebahagian kecil Bumiputera bukan Islam.

Jika dilihat dari bentuk pendedahan, saya cukup faham dan jelas untuk menjadi seorang ejen pembenci dan pengadu domba atas nama agama dan bangsa yang diperjuang hebat oleh individu-individu seperti Ibrahim Ali, Zulkifli Noordin dan Hasan Ali.

Meskipun begitu, untuk terperangkap di dalam aura negatif merupakan suatu hal yang bodoh untuk saya lakukan dan syukur semua ini berjaya dilakukan berkat persitiwa reformasi 1998. Pasca-reformasi menemukan saya dengan pelbagai kalangan manusia berbeza latar belakang, kaum, agama dan bahasa yang seterusnya menghilangkan aura negatif yang sentiasa cuba mendekati seperti mana syaitan yang tidak pernah jemu menghasut manusia melakukan kejahatan.

Memetik Dr Helmy Haja Mydin, fellow di Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) di dalam kolumnya di akhbar The Sun:

“I was especially disconcerted when I came across a sermon stating that ‘Muslims are selling out religion to certain quarters, Muslims who associate with non-Muslims or stand up for non-Muslim causes betray their faith’.”

Bagi saya, dalam konteks Malaysia kita sebagai seorang individu dan seterusnya kolektif mempunyai pilihan untuk menolak yang negatif di dalam sistem pendidikan dan mengangkat yang positif dengan sedaya upaya. Tidak dapat dinafikan hal-hal positif seharusnya dimainkan oleh sistem itu sendiri yang malangnya masih di sisi negatif. Namun sikap sering menyalahkan sistem untuk tidak berbuat apa wajib dihapuskan kerana setiap dari kita berupaya menjadi ejen perubah yang mudah-mudahan akan mengalahkan sistem yang negatif itu.

Meskipun begitu, dalam pada kita kritis, kredit harus diberikan kepada kerajaan dalam hal-hal pendidikan kerana sekarang terdapat perbincangan penting seperti penarafan dan autonomi universiti, transformasi politeknik, pengukuhan kolej komuniti, memperkasa latihan teknik dan voksaional, meningkatkan kokurikulum dan kemahiran insan, pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR, program 1 Murid 1 Sukan, keizinan guru siswazah berpolitik serta cadangan mengizinkaan pensyarah berpolitik dan pelajar IPT menjadi anggota parti politik.

Sebagai penutup, saya ingin memetik kata-kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah yang terkandung di makalah yang berjudul, “3M 2.0: Menyelami Minda Muda, Pendidikan, Partisipasi & Politik.”

“Mengapakah perlu dikembalikan roh universiti? Ia perlu kerana apabila dilihat perbincangan oleh sebahagian daripada kita yang bertanggungjawab terhadap universiti, terdapat banyak perbincangan tentang masalah dunia, pasaran pekerjaan, kerja kuat dan kejayaan. Tetapi jarang terdengar perbincangan tentang kekuatan peribadi, integriti, memburu dan menghayati budaya ilmu, kerjasama, idealisme dan paling penting — bagaimana untuk hidup dalam dunia yang lebih baik, dan bagaimana meninggalkan dunia ini sebagai tempat yang lebih baik daripada masa kita tinggal didalamnya.”

Kata-kata Saifuddin Abdullah itu menurut saya cukup kuat dan cerah dalam menjelaskan erti sebenar pendidikan yang saya pertanyakan di awal tadi.

tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 24 Januari 2012

Wednesday, January 18, 2012

Keberanian untuk takut

Oleh Zulhabri Supian

901 telah seminggu berlalu dan keputusan penghakiman yang membebaskan Anwar Ibrahim dari pertuduhan liwat disambut baik seluruh warga Malaysia baik secara terbuka di lapangan parkir Kompleks Mahkamah Jalan Duta mahupun secara tetutup di lokasi-lokasi lain. Tambah menarik, Anwar Ibrahim sempat menjadi trending di laman kicau twitter di Australia, United Kingdom, Hong Kong, Indonesia dan pastinya Malaysia. Namun ada juga puak yang tidak bergembira iaitu pembenci Anwar Ibrahim yang mana profil mereka merentas parti politik, bangsa, agama, usia dan lokaliti, dan mereka punya alasan-alasan tersendiri.

Analisa atas keputusan penghakiman ini dan impak jangka masa singkat dan panjang telah banyak diulas di media arus perdana dan alternatif dan saya tidak berniat untuk mengulas tentang hal yang sama. Cumanya di sini saya ingin berkongsi pemerhatian saya tentang hal yang tidak bersangkut langsung dengan 901, tetapi punya pertalian tidak langsung tentang karakter bersama yang dimiliki rakyat Malaysia iaitu suatu keberanian yang dimiliki segenap sektor dan lapisan yang menurut saya bersifat negatif dan berlawanan dengan semangat dan hasrat murni agenda rakyat. Keberanian yang saya maksudkan adalah keberanian untuk merasa takut dan terus ditakut-takutkan.

Sebelumnya, saya ingin menjelaskan bahawa agenda rakyat yang dimaksudkan dan wajar diangkat seluruh rakyat Malaysia adalah seperti berikut:

● pengukuhan demokrasi ke arah yang lebih telus dan tulen

● mewujudkan demokrasi langsung di tingkat local

● kebebasan berekspresi

● menjunjung tinggi Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang

● mengukuhkan pelaksanaan doktrin pemisahan kuasa

● mewujudkan sistem pilihanraya yang bersih, bebas dan adil

● mewujudkan keadilan sosial bersama-sama ekonomi yang mapan dan adil

● menghormati keragaman pandangan.

Agenda rakyat ini menurut saya wajib dibenahi dan difahami dengan serius supaya ia tidak sekadar agenda yang lunak pada perkataan tetapi tidak pada isinya. Siapapun yang membawa agenda ini wajib kita berikan dukungan dan kita kemudi sebaik-baiknya supaya semangatnya merentasi parti politik untuk ia tetap relevan selama-lamanya kerana hakikatnya parti politik akan datang dan pergi. Meskipun begitu menidakkan peranan mereka membabi buta juga tidak menguntungkan negara di dalam jangka masa dekat dan panjang, maka itu pragmatisme dalam mencapai matlamat harus digunapakai.

Anehnya agenda rakyat seperti ini cukup ditakuti, dibimbangi dan dibenci segelintir rakyat Malaysia yang diterjemahkan melalui rasa takut mereka di laman media sosial dan borak-borak di kedai mamak. Tambah aneh agenda ini dipercayai oleh mereka didalangi sebuah pakatan parti-parti politik yang menamakan diri mereka Pakatan Rakyat yang saban hari dibalun di media arus perdana mesra kerajaan sebagai pengkhianat dan pembawa kehancuran di Malaysia.

Fakta yang menyatakan bahawa agenda ini turut dibawa masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan tidak pernah diperhalusi dan difikirkan akal murni mereka. Jelas ketakutan dalam semua hal sudah meresap kuat baik ketakutan berfikir, ketakutan bertanya, ketakutan membaca, apatah lagi ketakutan beraksi dan bertindak.

Menakjubkan lagi adalah agenda rakyat seperti ini ditakuti akan mengancam ketuanan Melayu Islam Malaysia yang sejak azali katanya adalah hak mutlak yang tidak boleh dicabar oleh sesiapa. Jelas ketakutan puak-puak ini sangat merbahaya kepada kelanjutan Malaysia yang lebih baik dan progresif.

Keruntuhan Umno-BN


Menurut pandangan para sarjana, perkembangan kerajaan dan faktor-faktor jatuh bangun sesebuah kerajaan terbahagi kepada beberapa teori. Teori-teori yang sering diketengahkan adalah teori irama (rhythmic theory), teori kitaran (cyclical theory), teori linear (linear theory), teori pertembungan/pertentangan peradaban (the clash of civilizations) dan teori pendekatan psikologi/ketuhanan.

Pada pandangan saya, teori kitaran lebih mirip untuk terjadi di Malaysia kerana menurut pengemuka-pengemuka teori ini, sesebuah kerajaan akan bergerak seperti kitaran atau putaran yang melalui beberapa peringkat perkembangannya. Ruang lingkup perkembangan peradaban itu dimulakan dengan peringkat pengasasan, kemajuan dan kegemilangan, dan akhirnya kepada peringkat kemerosotan serta keruntuhan. Kekosongan itu akan diambilalih oleh sebuah kerajaan yang lain. Kerajaan baru itu akan mengikut pola yang serupa seperti kerajaan sebelumnya. Dua sarjana yang melihat perkembangan peradaban melalui cara sebegini ialah Ibn Khaldun dan Malik Bennabi.

Namun begitu, persoalan paling besar adalah seberapa siap ejen-ejen perubah di Malaysia untuk menghilangkan rasa takut mereka untuk menjadikan teori kitaran ini suatu realiti di peringkat kerajaan persekutuan?

Berani takut

Jika kejatuhan rejim yang berlaku di Timur Tengah baru-baru ini digerakkan sebahagian besarnya oleh ejen-ejen perubah iaitu kelompok pelajar, mahasiswa, pekerja dan anak muda. Majoriti kelompok yang sama di Malaysia sebaliknya pula gagah berani merasa takut untuk membuat perubahan baik perubahan rejim mahupun yang lebih halus perubahan pemikiran.

Mari kita lihat satu persatu kondisi ejen-ejen perubah kerajaan/pemikiran yang longlai ketakutan selama ini.

Pelajar sekolah — Pelajar di Malaysia terutama yang masih bersekolah menengah dikawal ketat pemikiran mereka dengan dasar pendidikan yang mengongkong para pelajar untuk berfikir luas yakni di luar konteks peperiksaan semata-mata. Pengalaman saya semasa di sekolah menengah membenarkan pandangan ini di mana minat untuk mengetahui isu-isu semasa melalui bahan bacaan tambahan tidak berkaitan subjek yang diajar seperti surat khabar, majalah dan buku tidak dipupuk dan digalakkan atas alasan tidak masuk di dalam soalan peperiksaan.

Jika di Indonesia subjek tentang hak asasi manusia, demokrasi dan korupsi diajar di sekolah sehingga menghasilkan suasana persekitaran sekolah yang demokratis, tetapi di negara ini didikan awal subjek seperti ini sepertinya termasuk di dalam kategori ancaman keselamatan yang berat untuk penguasa sekolah dan juga negara.

Mahasiswa — Seperti pelajar sekolah, mahasiswa kita selama ini ditakut-takutkan oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan malangnya majoriti dari mereka menerima ketakutan yang ditanam ini sebagai berasas demi kononnya untuk mencari kestabilan hidup tanpa menyedari bahawa dunia kerjaya di luar sana menghargai manusia yang berfikir daripada mereka yang bermental robot.

Jika di Indonesia, kuasa mahasiswa berjaya meruntuhkan rejim Soeharto yang zalim, di Malaysia banyak di kalangan mahasiswa menganggap kezaliman atas nama Melayu Islam itu wajib dipertahan. Lebih malang agenda yang diperjuang Adam Adli ditolak tepi sebaliknya personaliti pembawa agenda yang diangkat tinggi kepentingannya.

Pekerja — Ketakutan untuk dibuang kerja seandainya diketahui terlibat dengan aktiviti yang mencerahkan tetapi dianggap subversif di Malaysia melebihi segala-galanya. Individualisme meresap di segenap lapisan sektor kerjaya dan kolektivisme dibungkam secara tidak sedar oleh majikan oleh yang bersekongkol bersama-sama penguasa memberi layanan “ala hamba” zaman moden. Kaum pekerja yang sangat berkuasa di negara-negara maju hanya mampu berperanan sebagai pemerhati sambil menunggu ejen-ejen perubah lain memulakan aksi.

Demi sesuap nasi menyara keluarga dan ketakutan atas rezeki yang ditentukan Umno BN, agenda-agenda rakyat yang murni bagi sebahagian besar pekerja hanya akan diambil berat sekiranya keadaan sudah semakin terdesak. Suatu hal yang tidak disedari adalah kreativiti dan kemandirian itulah yang akan membawa seseorang itu keluar dari lubang kemiskinan.

Anak muda — Ketiga-tiga ejen perubah di atas juga mewakili anak muda yang kental ketakutannya.

Seniman — Ejen perubah yang tidak kurang penting dan berperanan besar ke atas kejatuhan Soeharto di Indonesia tetapi sekadar berperanan sebagai ejen pengampu di Malaysia adalah seniman. Alasan tipikal seniman di Malaysia adalah kami tidak mahu masuk campur urusan politik dan tidak minat politik walhal sebenarnya mereka itu takut untuk berfikir dan berpandangan secara bebas. Jangan nanti hairan sekiranya ada perubahan rejim, kelompok seniman penakut ini akan secara tiba-tiba mendakwa mereka menyokong rejim yang baru. Atas alasan apa? sudah tentu takut kehilangan periuk nasi dan jauh sekali kerana menjunjung agenda-agenda rakyat.

“Revolusi” peti undi?

Semoga apa yang saya perkatakan ini dapat dibuktikan salah menjelang pilihanraya umum yang bakal menjelang dan yang lebih penting adalah keberanian untuk membawa agenda-agenda rakyat ini melangkaui proses pilihanraya dan melepasi agenda politik kepartian sempit. Ejen perubah wajib memainkan peranan mereka sebagai pencetus kepada sebuah kebangkitan dan selebihnya biar rakyat seluruhnya dan masa yang menentukan.

Mungkinkah Malaysia memilih untuk perubahan melalui peti undi seperti yang ditunjukkan semasa pilihanraya umum 2008, kita tunggu dan lihat. Namun ingin saya pertegaskan di sini bahawa walau apapun yang terjadi, hal yang paling penting selain perubahan rejim adalah melawan ketakutan dan memberanikan diri untuk memiliki mental yang mampu berfikir. ayuh bersama-sama menolak ketakutan!

tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 16 Januari 2012

Tuesday, January 10, 2012

Dari 901 ke ABU

tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 8 Januari 2012, sehari sebelum penghakiman ke atas Anwar Ibrahim dinyatakan

Oleh Zulhabri Supian

901 adalah singkatan yang dipopularkan pengikut Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menarik penyokong, simpatisan dan rakyat seluruhnya turun ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta pada tanggal 9 Januari 2012.

Sebagai mengikut perkembangan zaman yang mengkedepankan ‘cool’, singkatan 901 sangat kena dengan semangat anak-anak muda dan tidak muda juga ketika ini. Tidak lupa, 9 Januari adalah tanggal penting dalam episod tahun ke 14 perlawanan Anwar Ibrahim dan pemerintah UMNO Barisan Nasional sejak 1998.

Sama ada Anwar Ibrahim didapati bersalah atau tidak, sosok yang disayangi dan dibenci ramai rakyat Malaysia ini akan sekali lagi mencorakkan bentuk sebuah negara bernama Malaysia untuk tempoh 10 ke 20 tahun yang mendatang.

Reformasi 1998

Ketika episod tahun pertama ‘Anwar Ibrahim lawan Umno BN’ yang ditandai dengan nama ‘reformasi’, saya berusia 17 tahun dan sekadar menjadi pemerhati, tetapi sekarang saya dan hampir semua rakan setingkatan dan junior-junior di sekolah yang sama berada di dalam posisi untuk menentukan siapa pemenang yang sesungguhnya di dalam perlawanan akhir ‘Piala Malaysia’ politik iaitu pilihanraya umum (PRU) ke 13 . Tidak seperti Piala Malaysia versi sukan bola sepak yang ditentukan jadual jauh-jauh hari, versi politik pula tarikhnya hanya diketahui sang Perdana Menteri kita.

Jika pada episod tahun-tahun awal memunculkan ramai anak muda yang sekarang berada di posisi penting pemerintahan dan kelompok masyarakat sivil dan seni budaya seperti ADUN Seri Setia, Nik Nazmi, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, peguam hak asasi terkemuka Edmund Bon, kelompok seniman seperti Hasmi Hashim dan Rahmat Harun dan ramai lagi. Kita pastinya teruja menantikan siapa pula yang bakal muncul mewakili anak muda pada zaman ini seterusnya beberapa tahun yang mendatang. Semoga berkat media sosial yang pelbagai macam ini akan melahirkan lebih ramai manusia Malaysia yang berkualiti dari apa yang telah dilahirkan sebelum ini.

Pasca-901 : Asalkan Bukan Umno (ABU)

Apakah yang akan terjadi selepas 901 masih menjadi tanda tanya di kalangan rakyat Malaysia. Masing-masing berdebar kerana kerja untuk meneka penghakiman yang bakal dikeluarkan Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah tidaklah mudah walau kelihatan dan dipersepsikan sepertinya mudah dan sudah diketahui dari awal lagi.

Bagi saya, 901 wajib digunakan sepenuhnya untuk menggerakkan momentum gerakan zaman yang dipanggil ‘Asalkan Bukan Umno’ atau kata singkatnya ABU. ABU yang mula dipopularkan menjelang pilihanraya umum 2008 dan kini diangkat dalam bentuk gerakan longgar pelbagai entiti terdiri daripada aktivis, NGO , masyarakat sivil dan parti politik bermatlamat menumbangkan Umno daripada pentadbiran negara pada PRU ke-13. ABU secara rasminya telah dilancarkan pada 15 Disember 2011 di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar di Gombak, Selangor.

Membuang Umno BN dari tampuk pemerintahan negara pada PRU ke 13 adalah kerja yang wajib dilakukan oleh rakyat yang mencintai negara ini. Namun harus dipertegaskan bahawa membuang Umno BN tidak bermakna jihad seraya menganggap entiti bernama Pakatan Rakyat sebagai suci lagi mulia, apatah lagi apabila melihatkan tulang belakang Pakatan Rakyat ini terutama PAS dan DAP sangat rapuh dari segi ideologi dan jelas masing-masing kemaruk untuk berkuasa. Namun begitu, kemaruk untuk berkuasa mereka wajib disokong rakyat jelata kerana wajib saya tekankan di sini bahawa tugas membuang Umno BN tidak boleh ditunggu sehingga PRU ke 14 dengan alasan Pakatan Rakyat masih belum bersedia dan pelbagai alasan lainnya.

Kenapa wajib membuang Umno BN walaupun untuk seketika yakni minima sepenggal? Jawapan saya pelbagai dan nombor satunya terkandung di dalam perkara nombor satu ‘Program 100 hari Pakatan Rakyat’ sekiranya diberi mandat mentadbir negara ini iaitu “1. Mereformasikan insititusi-institusi penting negara seperti SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan” yang secara idealnya akan mewujudkan sistem demokrasi dua parti berserta parti-parti kecil dan masyarakat sivil sebagai kuasa ketiga bersandarkan prinsip padang yang sama rata.

Mudah kata kesemua 10 perkara yang terkandung di dalam janji manis 100 hari Pakatan Rakyat tersebut saya meyakini sesungguhnya sebagai alasan untuk asalkan bukan Umno. Sebut saja: memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol, merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat dan banyak lagi. Siapa yang tidak teruja langsung terinzal kan?

Meskipun begitu, ada 2 hal pokok yang saya bimbangi seandainya Umno BN dibiarkan mentadbir negara tercinta ini untuk sepenggal lagi.

1. Pembodohan ke atas umat tepilih ‘Melayu Islam’ Malaysia

Andaikata Umno BN gagal ditumbangkan dan Pakatan Rakyat tetap dipilih sebagai pembangkang di peringkat pusat, nescaya hegemoni kepalsuan identiti Melayu Islam Malaysia akan terus bermaharajalela dan dipaksarelakan ke atas semua anak-anak umat tepilih segenap lapisan. Projek pembodohan pemikiran Melayu Islam Malaysia barangkali akan turut dibantu sebuah parti bernuansa Islam yang kini berada di dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS sekiranya berlaku perubahan kepimpinan di dalam organisasi mereka yang cenderung keMelayuan Islam Malaysianya. Barang harus diingat idea kerajaan perpaduan berteraskan semangat Melayu Islam sudah mula dipelopori sejurus sahaja selesai keputusan PRU ke 12 yang lalu diumumkan dan tidak mustahil kegagalan untuk berkuasa pada PRU ke 13 akan mendorong perubahan strategi politik PAS yang akan didemikan kerana nama agama, bangsa dan negara nantinya. Maka harapan untuk melihat kosmopolitanisme Melayu Islam yang sanggup merangkul Melayu Kristian di Filipina, Melayu Hindu di Bali dan Melayu-Melayu lainnya akan hilang begitu sahaja. Tambah parah, Melayu akan terus dilayukan ekonomi dan harga dirinya oleh elit penguasa yang jaguh di dalam memasarkan produk bernama Melayu dan Islam serta nama Allah demi mengisi tembolok perut mereka.

2. Kematian harapan ‘Malaysia Baru’


Tolak ke tepi kegagalan meraih politik kekuasaan yang mengkedepankan pembahagian kek ekonomi sesama pemenang kerana menurut saya ada satu hal lain yang lebih menakutkan iaitu potensi PAS berganding bahu bersama-sama Umno BN mentadbir negara ini pasca-PRU ke 13. Menurut saya seandainya ini berlaku merupakan kiamat besar kepada seluruh rakyat yang mendambakan Malaysia yang liberal, progresif, terbuka dan plural. Melihatkan tren kelahiran di kalangan bukan Melayu Islam yang semakin menurun dan peningkatan peratusan penduduk Melayu Islam dari tahun ke tahun, adalah mustahil untuk mengembalikan momentum ke arah kelahiran sebuah negara ‘Malaysia Baru’ seandainya Umno BN dibiarkan kembali berkuasa. Barang harus diingat, penundaan tumbangnya Umno BN berkemungkinan akan mencetuskan gelombang penghijrahan beramai-ramai kelompok ‘Malaysia Baru’ yang terdiri dari pelbagai bangsa ke luar negara.

Kesinambungan gerakan reformasi

Saya melihat agenda pembuangan Umno BN dari kancah pemerintahan negara yang dibawa oleh ABU lebih dari sekadar politik kekuasaan bagi merebut peluang ekonomi. ABU seperti reformasi yang berlaku ekoran tragedi pemecatan Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri pada 1998 adalah sebuah jentera yang hadirnya tepat pada masa dan ketika. Kegagalan reformasi 98 pada awalnya tidak lain tidak bukan dipicu oleh ketamakan untuk meraih politik kekuasaan dengan masing-masing sudah memasang niat menjadi itu dan ini dan kesudahannya ramai yang longlai di tengah perjalanan.

Tidak dapat dinafikan bahawa politik kekuasaan tidak sepenuhnya hitam putih tentang pembolotan sumber-sumber ekonomi oleh para pemenang kerana politik kekuasaan juga memungkinkan pengawasan yang lebih baik dan pengenalan dasar-dasar yang bersandarkan politik nilai yang diidam-idamkan setiap rakyat dan dicita-citakan setiap bakal pemenang.

Kita seluruh rakyat Malaysia yang mengimpikan Malaysia yang jauh lebih baik wajib bersama-sama mengemudi ABU sehingga tertumbangnya UMNO BN dan wajib untuk kita teguhkan di dalam hati bahawa perjuangan kita bukan sekadar tentang politik kekuasaan dan seorang sosok bernama Anwar Ibrahim. ABU sebagai penerusan kepada semangat reformasi dan 901 wajib disandarkan kepada politik nilai iaitu — nilai-nilai atau sistem nilai yang sifatnya universal seperti keadilan sosial, kebebasan, kemanusiaan, demokrasi dan solidariti kepada rakyat yang tertindas.

Ayuh kita turun ke jalan atau turun ke jalan masing-masing bagi menyahut seruan ‘Asalkan Bukan Umno’ 9 Januari ini. Anwar Ibrahim dan 901 adalah lonjakan yang kita perlukan dan kemudiannya kita kemudi bersama-sama.

Selamat untuk Malaysia yang lebih baik!