AIM 2003
Malam semalam telah berlangsung satu acara anugerah yang berprestij di negara ini, Anugerah Industri Muzik(AIM) 2003. Anugerah ini bolehlah disamakan dengan Grammy Awards di Amerika Syarikat. Dapat disimpulkan bahawa anugerah ini bersama-sama dengan Cameronian Arts Awards 2002 yang pertama kali dianjurkan pada tahun ini oleh portal web Kakiseni adalah antara anugerah yang berkualiti baik dari segi penganjuran dan juga kualiti. Tidak seperti anugerah-anugerah lain seperti Anugerah Bintang Popular dan Anugerah Era yang memilh pemenang berdasarkan populariti artis sebagai kriteria, anugerah ini memperlihatkan para penerima dipilih secara teliti oleh para juri. Jadi, kebanyakan pemenang pada acara ini bolehlah dianggap yang terbaik di kalangan yang terbaik.
Siti Sarah telah merangkul tiga anugerah iaitu Albun Terbaik yang juga anugerah utama, Artis Baru Terbaik dan Album Pop Terbaik sekaligus muncul sebagai pemenang utama. Kemenangan Siti Sarah tidak dapat dinafikan lagi kerana bakat besar yang dimilikinya. Selain Siti Sarah, Anuar Zain juga telah membuktikan kemunculannya semula dengan album baru yang bermutu telah membuahkan hasil. Kekuatan vokal yang dimilikinya mungkin menjadi faktor yang membuatkan para juri memilihnya sebagai pemenang Persembahan Vokal tebaik Di Dalam Album(Lelaki) dan juga anugerah kedua berprestij iaitu Lagu Terbaik. Sementara itu, Siti Nurhaliza membuktikan bahawa dia tidak tergugat dengan kehadiran Siti Sarah dan Misha Omar untuk dinobatkan sekali lagi sebagai pemenang Persembahan Vokal Terbaik Wanita untuk tahun kelima berturut-turut. Kesemua ini menunjukkan bahawa industri muzik Malaysia berada di landasan yang betul dengan kehadiran lebih ramai penyanyi yang berbakat besar dan mempunyai stail yang tersendiri, tidak lagi hanya bersandarkan kepada artis yang hanya mempunyai rupa dan juga klon kepada artis lain.
Kemunculan band alternatif bebas seperti OAG, Flop Poppy, Exists dan juga Spider telah menyemarakkan lagi industri kita. Penampilan mereka dengan muzik yang segar dan lirik yang berjiwa telah secara tidak langsung menjadikan mereka yang bermain muzik meleleh semakin hilang tempat. Mereka hanya hidup bersandarkan kepada publisiti murahan di majalah hiburan tempatan, paras rupa dan peminat setia lagu jiwang karat yang rata-ratanya berfikiran kurang terbuka kepada muzik lain , baik yang tinggal di bandar atau di luar bandar. Mungkin ada yang berkata mereka ini meniru gaya band Indonesia, jika benar apa salahnya, yang baik tidak salah untuk dipelajari. Harus diingat, sebenarnya muzik yang dibawa mereka sudah lama bertapak di negara ini dan pada ketika itu khalayak kita tidak dapat menerimanya walaupun dikatakan masyarakat negara ini serba-serbi moden. Sebaliknya di Indonesia yang dikatakan mundur segala-galanya itu, khalayak mereka dapat menerimanya sehingga band-band ini dapat diterima umum. Apapun, kemenangan Spider untuk kategori Pop Rock amat tidak memuaskan hatiku, bukan kerana muzik mereka tidak bagus. Cumanya, aku tidak berminat dengan penampilan mereka, itu sahaja.
Tidak lupa juga, AIM kali ini dilihat telah memperlihatkan kepelbagain muzik kita. Gabungan empat kumpulan yang terdiri daripada Raihan, Rabbani, Hijjaz dan Saujana semasa mempersembahkan lagu hit masing-masing amat menambat perhatian. Kumpulan-kumpulan nasyid juga telah memperlihatkan keterbukaan mereka menerima idea-idea baru. Anugerah Kembara yang diberi kepada Too Phat menandakan penerimaan khalayak terhadap muzik hip-hop di negara ini. Anugerah yang diberi ini tidak boleh dipertikaikan sama sekali kerana sumbangan yang diberi oleh Too Phat kepada industri amatlah besar, tidak lupa juga kepada kumpulan-kumpulan lain seperti Teh Tarik Crew,Phlowtorn,Ruffedge,Poetic Ammo dan ramai lagi .
Walau apapun, satu fakta yang tidak dapat dinafikan ialah bahawa industri muzik negara ini telah mula bernafas kembali setelah mengalami zaman kemalapan tahun kebelakangan ini. Diharap lebih banyak bakat-bakat baru yang berkualiti dan berjiwa seni tulen dapat diketengahkan pada masa akan datang. Aku percaya dengan muzik yang berkualiti dan asli, peminat pasti akan mendapatkan album yang original walaupun cetak rompak tidak dapat dinafikan sedikit sebanyak akan memberi kesan. Apapun, jika kita mengalah, kesannya adalah lebih teruk.
No comments:
Post a Comment