Address Unknown
Malam semalam telah berlangsung satu tayangan filem Korea, Address Unknown di HELP Institute untuk ahli Kelab Seni Filem Malaysia. Filem yang dihasilkan pada tahun 2001 ini diarah oleh Kim Ki Duk yang juga pengarah filem hit Korea, The Isle. Filem ini berkisar tentang kehidupan rakyat Korea Selatan sekitar tahun 70an yang tinggal berdekatan dengan Kem Tentera Amerika yang diwujudkan bagi menjaga keamanan di rantau itu serta bagi menangkis ancaman Korea Utara. Kisah yang dipaparkan didalam filem ini membuatkan para penonton merasakan sedikit sebanyak subjek yang dibawa amat relevan dengan keadaan semasa yang berlaku di Iraq.
Filem genre drama ini menceritakan tentang pelbagai watak yang saling kait mengait di antara satu sama lain, antaranya ialah watak seorang ibu tunggal yang menghantar surat yang tidak berbalas kepada askar Amerika kerana alamat yang ditujui itu tidak wujud ataupun salah. Si ibu ini telah melahirkan anak lelaki yang berdarah campur hasil daripada hubungannya bersama askar itu.Namun si ibu tidak berputus asa, setiap kali posmen tiba untuk menyerahkan kembali surat yang dikirim, si ibu pasti akan mengirimnya semula. Hidup anaknya diwarnai dengan keganasan dan juga kejijikan yang terpaksa ditempuhi setiap hari. Dia bekerja dengan bekas kekasih ibunya sebelum cintanya itu dirampas oleh askar Amerika di ladang anjing yang membekalkan daging anjing kepada restoran-restoran di sekitarnya. Namun begitu, si anak ini merasa simpati terhadap anjing-anjing ini dan sering berlaku perselisihan faham sesama mereka.
Juga kisah mengenai gadis yang buta sebelah matanya akibat tercedera semasa bermain besbol bersama abangnya yang menyebabkannya merasa rendah diri dan sepi. Namun begitu, seorang budak lelaki yang pemalu amat meminatinya walaupun si gais ini berkeadaan demikian. Cinta mereka berbalas, namun seorang askar Amerika yang bosan dengan kehidupan yang dilaluinya serta rinduan terhadap ibu serta tanahairnya juga menaruh hati terhadap gadis itu dan dia sanggup untuk menolong si gadis untuk menjalani pembedahan mata di hospital tentera. Si gadis menerima pelawaannya walaupun budak lelaki itu menghalangnya kerana beranggapan askar itu hanya mahu mengambil kesempatan di atas penderitaan yang dialaminya. Sementara kehidupan ibu bapa mereka pula masih dihantui kesan perang yang baru saja dilalui.
Pengarah ini menyebut filem ini mendedahkan akan hilangnya kewarasan fikiran di kalangan rakyat Korea di waktu itu dan beliau menyoal dirinya "Dari mana datangnya perasaan curiga dan segala tekanan ini ?". Persoalan inilah yang menyebabkan beliau ingin memaparkan realiti sejarah yang terjadi dan dijadikan tema utama filem ini.
Filem ini sangat menarik dan berbaloi untuk ditonton untuk kita berfikir tentang realiti kehidupan yang bakal dialami sekiranya masyarakat hidup didalam keadaan yang tertekan dan saling curiga mencurigai. Selain itu, mesej yang dapat diambil adalah perang dalam apa bentuk sekali manapun tidak akan membawa banyak faedah berbanding kesengsaraan yang akan dialami. Hidup keamanan !
No comments:
Post a Comment