Forum 'Media Alternatif Tidak bermutu?'
Semalam, saya telah menghadiri satu perbincangan atau forum yang membicarakan tentang tajuk 'Media Alternatif Tidak bermutu?' yang diadakan di UBU Bangsar. Ia dianjurkan oleh ahli-ahli Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami). Pengarang berita Malaysiakini.com K Kabilan dan bekas editor Radiqradio.com Sharaad Kuttan telah mendebatkan isu ini dengan perspektif masing-masing yang unik. Kedua-dua ahli panel ini merupakan wartawan terkenal yang mempunyai pengalaman luas sebelum ini dalam media arus perdana. Kabilan pernah bertugas di akhbar New Straits Times dan Sharaad (The Sun dan Men’s Review). Seorang lagi ahli panel iaitu kartunis Zunar tidak dapat hadir. Forum ini dipengerusikan oleh penulis bebas dan juga kolumnis Siasah, Fathi Aris Omar.
Ini adalah kali pertama saya menjejakkan diri ke UBU setelah beberapa kali hajat saya untuk hadir pada acara-acara lain yang diadakan disini tidak kesampaian kerana pelbagai sebab yang tidak dapat dielakkan. Pada anggaran saya, jumlah hadirin yang ada pada forum ini adalah lebih kurang 30 orang. Malek Hussain(aktivis reformasi) dan Nash Rahman(wartawan Malaysiakini) adalah antara peserta yang saya kenali walaupun sekadar hanya pada nama.
Pelbagai takrif media alternatif telah diberi oleh ahli panel dan juga peserta forum. Sharaad Kuttan berpendapat bahawa kesemua media yang bukan arus perdana sebagai media alternatif termasuklah juga akhbar organ parti seperti Harakah dan Seruan Keadilan. Dia menyatakan kekecawaannya terhadap media alternatif yang gagal untuk membahaskan isu-isu selain daripada politik seperti budaya, pemikiran dll. Sharaad berpendapat 'self-censorship' juga diguna pakai oleh media alternatif seperti Harakah dan Seruan Keadilan dan memberikan contoh bagaimana akhbar Harakah yang memperjuangkan demokrasi dan kebebasan media tidak memberi liputan besar-besaran tentang perkembangan demokrasi di Iran, demonstrasi pelajar universiti di Teheran dan juga penangkapan dan juga hukuman yang dikenakan terhadap wartawan-wartawan yang mengkritik kerajaan Iran kerana ia berkemungkinanan akan memberi impak yang negatif kepada imej Islam dan parti PAS itu sendiri. Juga kejadian dimana akhbar Parti Keadilan digunakan untuk menghentam Chandra Muzaffar oleh fraksi-fraksi tertentu didalam parti. Ini menggambarkan bahawa media alternatif juga tiada bezanya dengan media arus perdana.
Namun begitu, saudara Malek Hussain menegaskan bahawa akhbar organ parti tidak termasuk didalam kategori media alternatif kerana ia merupakan akhbar untuk parti itu menerangkan dasar parti dan melaporkan mengenai apa yang berlaku didalam parti itu sendiri. Jadi, persoalan 'self-censorship' dsb tidak timbul kerana ia bukanlah media alternatif seperti mana akhbar Malaysiakini yang tidak dimiliki oleh sebarang parti. Jadi tidak mengapa untuk media ini melaporkan berita yang menguntungkan parti itu serta bias kerana ia jelas alat propaganda parti. Malek juga menyatakan tiada jaminan bahawa akan adanya kebebasan akhbar seperi yang diimpikan jika ditakdirkan berlaku peralihan kuasa, walaubagaimanapun dia menegaskan akan peri pentingnya 'force' ketiga seperti Malaysiakini dll untuk memastikan agenda ini dapat diteruskan dan seterusnya diharap dapat mempengaruhi kerajaan baru untuk menghapuskan undang-undang yang menyekat kebebasan media dan seterusnya sehingga matlamat akhirnya dapat dicapai.
Manakala K Kabilan hanya menumpukan kepada media alternatif dalam talian memberi jaminan bahawa tiada 'self-censorship' didalam pengendalian akhbar Malaysiakini. Selain daripada itu, Kabilan juga antara lain menyatakan dua sebab utama yang perlu diberi perhatian bagi memastikan media alternatif dalam talian dapat bertahan. Pertamanya ialah masalah kewangan dan yang kedua jumlah pengguna internet yang rendah dinegara ini. Saya amat bersetuju kedua-dua faktor ini memainkan peranan yang penting bagi membolehkan media alternatif bebas dapat dikembangkan pembacanya ke segenap lapisan masyarakat. Faktor wang amat penting untuk memastikan sesuatu media itu dapat beroperasi dengan lancar dan untuk mendapatkan khidmat wartawan yang profesional dan mempunyai jurnalisme yang tinggi. Oleh itu, jalan penyelesaian perlu dirangka bagi memastikan survival media alternatif dan antara cadangan yang dapat saya fikirkan di waktu ini adalah melalui pengiklanan besar-besaran didalam media cetak dan elektronik serta di papan-papan iklan bagi menarik lebih ramai pembaca. Walaupun ia melibatkan kos yang bukan sedikit, saya percaya ia akan dapat memberi pulangan yang setimpal di masa akan datang. Manakala untuk faktor kedua, tidak banyak dapat dilakukan kerana ia memerlukan usaha pelbagai pihak termasuk kerajaan, ISP dan sebagainya untuk meningkatkan kadar penggunaan internet ke tahap yang tinggi seperti mana di Korea Selatan. Kesedaran perlu ditanam di jiwa rakyat bahawa internet adalah keperluan asas yang wajib ada kerana di dalam internet itu terkandung bermacam bagai maklumat yang berguna dan bukan hanya sekadar chat dan e-mel sahaja. Kita akan dapat menemui pelbagai maklumat dan pandangan yang rencam di internet yang pastinya memerlukan kita untuk menganalisa dan memikirkan sesuatu isu itu secara mendalam dan kritikal.
Walau apapun pandangan yang dikemukakan, perbincangan seperi ini harus diperbanyakkan dan masyarakat terbanyak khususnya diharap dapat memberi input dan pandangan bagi memastikan kualiti dan persembahan media alternatif dapat ditingkatkan serta ianya dapat dijadikan alternatif yang terbaik untuk para pembaca. Pada pendapat saya, sama ada media alternatif ataupun akhbar organ parti, kedua-duanya mempunyai tujuan dan matlamat yang sama untuk memberikan laporan dan pandangan alternatif kepada pembaca yang mana ia sukar diperolehi didalam media arus perdana di waktu ini.
No comments:
Post a Comment