Hari yang mengecewakan
Sabtu dan ahad lepas adalah hari yang paling mengecewakan aku. Bermula sabtu malam, MU menang 4-1 dengan Charlton yang seterusnya hampir pasti menjamin kejuaraan liga kelapan daripada sebelas musim. Satu rekod yang menakjubkan ! Dan malam semalam, Schumacher menang lagi, nasib baik Alonso dapat nombor dua. Kemenangan kedua berturut-turut ini nampaknya mungkin berterusan ke akhir musim walaupun aku berharap ini tidak akan berlaku. Malang juga untuk pasukan yang aku setia menyokongnya sejak Petronas menajanya iaitu Sauber yang sekali lagi gagal untuk memungut sebarang mata. Aku rasa persaingan untuk merebut tempat ke lima hinnga sembilan bagi pengeluar pasti sengit kali ini tidak seperti tiga musim yang lepas yang pastinya milik Sauber Petronas.Keupayaan kereta dan juga beberapa pemandu BAR, Toyota, Jaguar dan Jordan telah meningkat dan dengan sistem mata baru yang diperkenalkan musim ini, persaingan pasti bertambah menarik.
Kira-kira jam satu pagi hari ini, mimpi ngeri yang aku tidak bayangkan di pertengahan musim berlaku, MU diisytihar juara EPL musim ini setelah pasukan kegemaran aku sejak zaman Anders Limpar dan Paul Merson ini tewas 2-3 di tangan Leeds, sungguh mengecewakan! Harap-harap Piala FA tidak terlepas. Hmm, bercakap mengenai Arsenal, sejarah aku meminati kelab ini sangat panjang. Aku meminati kelab ini semasa aku darjah tiga, ketika itu MU tidaklah sekuat mana, Liverpool dan Arsenal lah yang kuat hingga di ketika itu diadakan perlawanan tahunan yang dipanggil Piala Caltex di Singapura yang menemukan kedua-dua pasukan. Selain kekuatan Arsenal, sebab lain aku memilih Arsenal kerana namanya yang unik bagi aku dan juga kesedapan nama Anders Limpar. Ketika itu, Arsenal juga menjadi pasukan pilihanku ketika menentang Napoli yang menjadi pilihan abangku ketika berentap bagi permainan bola tepuk.
Kemenangan podium Fernando Alonso sekurang-kurangnya mengubat kelukaan hatiku, Alonso ini mula mencipta nama di Sepang tempoh hari. Sejak itu, aku juga menyokongnya kerana dia merupakan pemandu muda yang mempunyai harapan cerah di masa akan datang seperti mana juga Kimi Raikkonen. Faktor lain yang membuatkan aku minat terhadapnya adalah kerana dia orang Sepanyol. Orang Sepanyol ini memang terkenal dengan keghairahan mereka kepada bola sepak dan motorsikal, dan keghairahan terhadap F1 ini hanyalah kerana Alonso dan keadaan ini akan dapat memeriahkan suasana F1 kerana mereka ini sangat fanatik dan 'supportive' seperti mana ketika perlumbaan Moto GP di Jerez(GP Jerez tahun ni berlangsung hujung minggu ni) setiap tahun. Mengenai F1 dan juga Moto GP, aku tidak mempunyai minat yang spesifik terhadap mana-mana pemandu dan juga pasukan kerana keghairahan aku lebih kepada kelajuan dan selalunya aku lebih suka untuk bersikap simpati didalam sukan pemotoran ini iaitu dengan menyokong yang lemah. Masih teringat bagaimana aku sangat gembira ketika Rossi menang satu perlumbaan 125cc semasa aku di tingkatan 4 kalau tak silap. Tapi sekarang, kalau dia menang aku tidak gembira lagi.
No comments:
Post a Comment