Saturday, May 17, 2003

Kenyataan Dato Abdul Kadir Sheikh Fadzir

Kenyataan oleh Menteri Kebudayaan baru-baru ini yang seperti mempersoalkan semangat patriotisme masyarakat Cina bandar kerana tidak memberi sokongan padu terhadap kempen kibar Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan telah menimbulkan kemarahan pelbagai pertubuhan Cina dan juga masyarakat Cina. Isu ini juga turut mendapat perhatian utama akhbar-akhbar berbahasa Cina.

Kenyataan yang tidak sensitif seperti ini menunjukkan kepada kita bahawa prejudis terhadap kesetiaan masyarakat Cina Malaysia terhadap negara masih dipersoalkan. Yang menariknya, ia terbit dari mulut pemimpin UMNO sendiri yang saya sentiasa mengaguminya selama ini di atas daya usahanya memperkenalkan negara ini kepada pelancong asing. Parti ini juga adalah parti komponen utama BN yang selama ini berbangga dan sentiasa mendabik dada di atas kejayaan mereka menyatukan pelbagai bangsa di Malaysia.

Saya secara peribadi merasakan perpaduan kaum di Malaysia ini masih jauh untuk dikecapi walaupun ianya berada di landasan yang tepat. Perpaduan yang ada sekarang ini dilihat hanya di permukaan dan tidak terasa begitu erat. Kita masih akan dapat menjumpai ramai rakyat Malaysia yang berketurunan Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain yang tidak peka, tidak sensitif dan tidak menghormati adat resam dan juga budaya kaum yang berbeza. Kita juga akan dapat menjumpai ramai rakyat kita yang walaupun sudah dewasa dan berpendidikan tidak mampu melihat dan memikirkan sesuatu perkara di luar kepompong perkauman.

Kemarahan pertubuhan Cina yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat Cina di Malaysia tidaklah sukar dijangkakan. Saya juga amat bersetuju dengan kenyataan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang yang tersiar di laman web rasmi DAP yang menyarankan satu kempen untuk tidak bekerjasama dengan Abdul Kadir sehingga beliau menarik balik kenyataannya serta meminta maaf kepada seluruh masyarakat Cina.

Membuat andaian bahawa dengan tidak mengibarkan Jalur Gemilang semasa sambutan kemerdekaan sebagai tidak patriotik amatlah tidak bijak sama sekali. Walaupun mungkin Abdul Kadir tidak berniat langsung untuk mempersoalkan ketaatan dan patriotisme masyarakat Cina, beliau sepatutnya berhati-hati apabila ingin mengeluarkan sesuatu pandangan yang tidak dapat dipastikan kebenarannya terlebih dahulu.

Kerajaan sepatutnya mengkaji mengapa kempen kibarkan Jalur Gemilang tidak mendapat sambutan di kalangan masyarakat Cina bandar dan juga sebahagian masyarakat Melayu. Bagi sebahagian masyarakat Malaysia yang kelihatan condong kepada politik pembangkang, mengibarkan Jalur Gemilang adalah satu delima besar. Mereka ini sememangnya sangat patriotik dan ini tidak perlu dipersoalkan, tetapi apa yang menghalang mereka ini mengikuti kempen ini adalah kerana pihak kerajaan BN pasti akan menggambarkan sambutan rakyat ini sebagai melambangkan sokongan yang padu dan kukuh terhadap kerajaan BN.

Bagi masyarakat Cina pula, selain daripada sebab yang tersebut, alasan yang tidak dinafikan kekuhannya adalah mereka ini masih tidak dilayan sama rata dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, pekerjaan dan peluang perniagaan. Sehingga para pemimpin kerajaan dapat mewujudkan kerajaan yang demokratik dalam erti kata yang sebenar serta keadilan kepada rakyat dari pelbagai bangsa. Mengibarkan Jalur Gemilang tidaklah boleh dibanggakan.

Menyentuh mengenai dasar meritokrasi yang dilaksanakan kerajaan sekarang, saya merasakan dasar ini tidak mempunyai merit dalam erti kata yang sebenar kerana kita mempunyai pelbagai kumpulan pelajar yang terpisah oleh garis perkauman dan menduduki peperiksaan kemasukan yang berbeza.

Pelajar Melayu yang kebanyakannya berada di pusat matrikulasi dinilai berdasarkan kehadiran, kuiz, ujian dan assignments di mana sistem yang digunakan berbeza daripada seorang pensyarah kepada pensyarah yang lain dan daripada satu universiti kepada satu universiti yang lain. Manakala kebanyakan pelajar bukan Melayu pula menduduki peperiksaan STPM yang mana ianya diiktiraf seluruh dunia.

Bagi membolehkan sesuatu sistem itu dianggap mempunyai merit, semua pelajar mestilah menduduki peperiksaan yang sama dan bersaing di padang yang sama. Sistem pendidikan yang adil mestilah diterapkan kerana kemiskinan juga terdapat pada pelajar bukan Melayu. Yang terpenting, keadilan terhadap semua!






No comments: