Apakah bentuk negara Malaysia di masa akan datang?
Saban kali bila aku bersendirian semasa sedang atau setelah habis membaca akhbar, majalah, jurnal, buku dan lain-lain bahan yang boleh dibaca, akal fikiranku bingung memikirkan apakah bentuk negara kita yang tercinta ini, Malaysia di masa akan datang.
Selain daripada masalah ini, kebingungan lain yang menghantui akal fikiranku ialah berapa ramaikah yang sedar dan memikirkan dan membahaskannya bersama rakan-rakan persoalan ini terutamanya di kalangan generasi muda kini. Mengikut pemerhatian dan pergaulanku selama ini, persoalan ini jarang diperbincangkan secara mendalam atas beberapa sebab. Jika adapun perbincangan, pemikiran dan hujah yang dikemukakan hampir semuanya tiada wibawa dan kelihatan melulu. Ini mungkin kerana kurangnya pembacaan dan juga kurangnya aspek paling penting di dalam wacana seperti ini iaitu keterbukaan fikiran, pergaulan yang luas dan kematangan berfikir.
Berbalik kepada perbincangan asal, aku melihat terdapat beberapa bentuk negara Malaysia yang mungkin akan wujud di masa hadapan. Di antaranya ialah:
1) Sistem negara yang ada sekarang di bawah pemerintahan BN
2) Sistem negara yang menjunjung prinsip demokrasi bukan ala BN/sosial demokrasi yang diterajui BA
3) Sistem negara yang menjunjung prinsip demokrasi bukan ala BN waktu ini/sosial demokrasi di bawah BN
4) Negara Islam di bawah PAS
5) Negara 2 sistem; kerajaan pusat di bawah BA seperti model no. 2, kerajaan negeri mengamalkan sistem yang berbeza
seperti negeri Islam di bawah BA/PAS
Di sini aku ingin mengulas satu persatu sistem-sistem yang berkemungkinan dilaksanakan secara ringkas. Bentuk yang pertama iaitu yang mengamalkan demokrasi terpimpin ala BN yang dilaksanakan kerajaan di bawah pimpinan Dr M seperti melakukan penangkapan terhadap aktivis-aktivis pembangkang tanpa alasan yang munasabah. Sistem ini masih mengekalkan segala undang-undang yang menekan dan menindas golongan pelajar, akademik, pekerja dan sebagainya seperti ISA, AUKU, Akta Penerbitan dan lain-lain. Di bawah sistem ini segala isu-isu yang sensitif tidak dibenarkan perbahasannya secara terbuka dan penentangan terhadap dasar kerajaan di anggap sebagai anti kerajaan.
Di bawah sistem ini juga dasar dan polisi yang dilaksanakan dilakukan secara terburu-buru dan tanpa mendengar pandangan rakyat teramai. Sebagai contoh, di masa kerajaan memberi tumpuan kepada sukan pemotoran seperti F1 dan perlumbaan motorsikal, litar Batu Tiga ditutup atas alasan pembangunan. Walaupun ini adalah dasar kerajaan negeri, sepatutnya kerajaan pusat melalui Kementerian Belia dan Sukan perlu masuk campur jika ada political will.
Sistem bentuk ini juga mewujudkan jurang perkauman di antara kaum di Malaysia melalui dasar-dasar affirmatif. Percampuran yang sejati di antara rakyat pelbagai kaum masih tidak wujud secara umumnya. Apa yang kelihatan adalah perpaduan di permukaan sahaja. Apabila bercampur rakan sebangsa, ayat-ayat perkauman adalah sesuatu yang lumrah.
Bagi bentuk negara kedua dan ketiga, sistem ini dianggap lebih realistik di masa akan datang. Tidak kira sama ada kerajaan diterajui oleh BN atau pembangkang, segala undang-undang yang menekan seperti mana yang wujud di masa ini dihapuskan. Dasar memberi keistimewaan kepada Bumiputera dihapuskan dan digantikan kepada dasar membantu orang yang kurang berkemampuan. Di dalam dasar ini, tiada perbezaan di antara Bumiputra dan juga kaum-kaum lain di Malaysia. Bagi aku dasar ini adalah selari dengan tuntutan Islam kerana ia menjunjung prinsip keadilan kepada semua. Jika bilangan orang Melayu/Bumiputra yang tidak berkemampuan ramai, hak mereka tidak perlu dirungsingkan, mereka ini akan mendapat faedah daripada dasar ini, bukan kerana mereka ini Melayu/Bumiputra sebaliknya kerana mereka ini sememangnya perlu dibantu. Di dalam masa yang sama, bangsa-bangsa lain seperti Cina, India dsb yang tidak mampu juga layak mendapat bantuan tidak seperti sekarang di mana mereka ini seperti disisihkan. Ini adalah perkara pokok yang perlu diberi perhatian untuk memupuk perpaduan yang betul-betul erat dan menghilangkan segala prasangka yang wujud di waktu ini.
Dasar ekonomi yang dilaksanakan juga tidak terlalu memihak kepada pelabur dan penubuhan kesatuan sekerja adalah sesuatu yang wajib bagi setiap syarikat bagi menjamin hak-hak pekerja. Keperluan-keperluan asas seperti rumah, air, pendidikan dan kesihatan diberi keutamaan di dalam perancangan belanjawan negara. Projek-projek mega seperti mana yang dilaksanakan oleh kerajaan BN sebelum ini hendaklah dikesampingkan dahulu. Aku tidak menentang untuk dibuat projek-projek mega, tapi sebelum itu segala keperluan asas rakyat mestilah dipenuhi terlebih dahulu kerana kita perlu sedar budaya menunjuk-nunjuk kepada orang walaupun sebenarnya kita tidak berkemampuan adalah sesuatu yang keji. Jika sudah betul-betul mampu, tidak salah untuk dilaksanakan.
Bentuk negara yang keempat iatu negara Islam yang diterajui oleh PAS dianggap mustahil buat masa terdekat ini. Ini kerana terdapat banyak faktor yang mengahalang, antara yang dapat dikenal pasti adalah realiti keadaan di mana Malaysia adalah rakyat pelbagai kaum dan kelemahan penerangan tentang konsep negara Islam dari pihak PAS. Selain itu, kelemahan PAS yang ketara buat masa ini adalah penekanan yang terlampau kepada isu hudud, masih terdapatnya ulama PAS yang berfikiran kolot dan juga ahli dan penyokongnya yang menyokong membabi buta sama seperti ahli UMNO. Selain itu, tradisi keilmuan tidak begitu wujud di dalam PAS dan pihak yang membawa idea-idea yang dianggap tidak selari dengan PAS dan sedikit kontroversi akan dianggap anti Islam, kafir, murtad dan sebagainya. Namun harapan masih ada dengan kemasukan beramai-ramai ulama progresif, golongan professional dan juga bijak pandai.
Bentuk yang terakhir diangap boleh diterima dan dicapai. Ini disebabkan negeri-negeri yang majoriti Islam pasti akan dapat menerima idea pemerintahan Islam ini dengan mudah berbanding di peringkat pusat. Jika ini berlaku, diharap PAS dapat membuktikan terhadap rakyat Malaysia kemampuan sebenar mereka memerintah kerana di kala ini kerajaan pusat bukan lagi pihak yang ditentang.
Aku harap segala apa yang aku kemukakan di sini dapatlah kiranya dibahaskan dan segala kritikan dan pandangan balas amatlah dialu-alukan. Tujuan utama aku dan mungkin semua orang adalah untuk melihat behawa negara kita di masa akan datang adalah ditentukan oleh kita, golongan muda. Kita bertanggungjawab terhadap apa yang akan berlaku dan jika kita negara kita huru-hara, kita nanti yang akan dipersalahkan dan dikeji oleh anak cucu kita. Akhirnya, sebelum kita memikirkan yang sebaiknya untuk negara kita di masa akan datang, kita perlu memastikan apakah agenda kita? Adakah mahu mewujudkan masyarakat Malaysia yang hidup aman damai dalam erti kata sebenar? atau aman damai dalam prasangka yang mendalam? atau aman damai di dalam kebodohan pemikiran? Fikirkan sendiri.
No comments:
Post a Comment