Thursday, May 15, 2003

Festival Filem Ibero-Amerika Kedua 2003

Minggu lepas telah berlangsung Festival Filem Ibero-Amerika yang diadakan di Institut HELP selama lima hari berturut-turut dari 9 Mei hingga 13 Mei 2003. Festival yang diadakan kali kedua ini telah dianjurkan oleh Institut HELP dan Kedutaan Sepanyol dan turut mendapat sokongan daripada kedutaan-kedutaan yang mana filemnya ditayangkan iaitui Brazil, Chile, Colombia, Cuba, Ecuador, Mexico, Peru, Venuzuela dan juga Sepanyol sendiri.

Berdasarkan fakta, negara-negara di Semenanjung Iberian, Sepanyol dan Portugal mempunyai banyak persamaan dari segi sejarah, bahasa dan juga budaya dengan negara di benua Amerika Latin. Satu daripada manifestasi yang jelas kelihatan adalah melalui filem di mana pertalian rapat telah terjalin di antara filem Latin serta Sepanyol dan Portugal seperti penerbitan bersama, penggunaan hasil budaya seperti penulisan dan seni sebagai tema utama filem serta penyertaan di setiap festival filem yang diadakan di sana.

Natijah daripada pertukaran budaya yang tercetus akibat daripada kolonisiasi ini menjadi suatu hasil perfileman yang bermutu tinggi dan telah mendapat tempatnya di persada antarabangsa. Filem Ibero-Amerika pada ketika ini ditayangkan secara meluas di pelbagai festival filem besar dan kecil di seluruh dunia selain daripada dijadikan sebagai program tayangan khas seperti "Latino Cinema" di kelab seni dan juga organisasi budaya terutama di Amerika Syarikat di mana festival filem Latin diadakan secara kerap. Filem mereka ini juga telah dijadikan sebagai subjek bagi pengajian akademik dan sebagai bahan kajian bagi ilmuan filem.

Setelah pelbagai cara digunakan untuk mencari tapak untuk berdiri, ia akhirnya telah berkembang sehingga ke satu tahap di mana ia telah memberi pelbagai sumbangan dan inspirasi ke dalam dunia perfileman negara lain. Sebagai contoh, filem Amerika Latin telah menyumbang secara aktif bagi perdebatan dan perbahasan mengenai kolonialisme dan juga dalam pembentukan ideologi dunia ketiga.

Tidak terkira banyaknya contoh tentang kepelbagaian dan juga diaspora di dalam dunia perfileman mereka yang telah membolehkannya mendapat tempat di dunia perfileman antarabangsa. Sangat menarik untuk kita menggunakan filem mereka ini bagi melihat dan mempelajari akan fenomena kebudayaan Ibero-Amerika yang mana ianya sangat sejajar dengan perhubungan kita bersama dunia Anglo-Amerika di ketika ini.

Berdasarkan penelitian saya yang hadir setiap hari di festival ini bersama teman saya iaitu Jibam, Aran dan Jeffrey, kehadiran penonton amat menggalakkan di mana terdapat sekitar 50 hingga ke 100 orang setiap kali filem ditayangkan. Angka ini bolehlah dibanggakan jika kita mengukur tahap selera dan apresiasi filem rakyat Malaysia yang ketika ini masih rendah dan mundur. Kelihatannya kemajuan ekonomi di negara ini tidak memberi banyak kesan terhadap pembangunan dan kemajuan dunia seni di Malaysia. Membuat perbandingan di antara festival filem yang diadakan di Korea Selatan dan jiran kita Singapura pasti akan membuatkan saya berfikir panjang apakah silapnya dengan masyarakat kita hari ini.

Festival filem di sana biasanya mengenakan bayaran dan walaupun begitu, kehadiran penonton amat menggalakkan dan kebiasaannya pasti penuh dengan audien yang sememangnya amat berminat sehinggakan di Korea Selatan, peminat sanggup bermalam di hadapan tempat berlangsungnya festival semata-mata bagi mendapatkan tiket masuk yang pastinya perlu dibayar.
Mungkin kurangnya publisiti, lokasi yang tidak strategik serta kesibukan boleh dijadikan alasan bagi mereka yang tidak dapat hadir. Apapun jika kita sememangnya berminat, apapun halangannnya pasti akan ada jalan keluarnya.

Bertambah mengecewakan adalah kehadiran penonton berbangsa Melayu yang amat sedikit dan boleh dibilang dengan jari. Pengarah-pengarah filem Melayu Malaysia seperti Yusof Haslam, Erma Fatima dsb langsung tidak kelihatan, mungkin mereka amat sibuk. Hanya yang kelihatan pada pandangan mata saya ialah pengarah filem Paloh, Adman Salleh. Saya berpendapat perlu diadakan kajian tentang mengapa selera dan apresiasi filem orang Melayu terlalu rendah, ringkas dan terkadang itu bodoh.

Bertambah menghairankan lagi ialah mengapa di saat drama Latin mendapat tempat di kalangan penonton Melayu di negara ini, festival filem Latin tidak pula mendapat perhatian yang sewajarnya di kalangan penonton Melayu. Apakah meraka yang tertarik kepada drama Latin ini hanya melihat kepada wajah-wajah tampan dan susuk tubuh seksi para pelakon drama-drama ini? Jika benar, amatlah malang sekali kerana penonton seperti ini masih mengganggap seni seperti filem, muzik dan juga drama TV hanya sebagai alat hiburan semata-mata tanpa berupaya untuk menggunakan akal fikiran untuk kita berfikir lebih jauh lagi dan memahami secara lebih dekat berkenaan adat resam dan budaya mereka.

Menonton filem-filem Latin dan juga drama Latin ini sebenarnya telah membuka pintu yang luas kepada perhubungan kita dengan benua yang jarang diberi perhatian berbanding dengan Amerika dan benua Eropah yang sebenarnya tidak banyak bezanya dari pelbagai segi seperti di sektor ekonomi dengan benua kita. Sebelum kemasukan drama Latin ini, ramai yang tidak mengetahui secara mendalam termasuklah saya berkenaan sejarah, politik, agama, adat budaya, bahasa, ekonomi dan pelbagai lagi di benua ini terkecuali di bidang sukan dan itu pun hanya terhad terhadap sukan bola sepak.

Diharapkan di masa-masa akan datang, dapatlah kiranya diadakan festival filem yang mengkhususkan terhadap filem-filem dari benua Afrika, Caribbean serta daripada mana-mana negara yang jarang dan tidak pernah ditayangkan di sini agar ianya dapat mendedahkan kita tentang gaya hidup yang berbeza, meningkatkan kemampuan berinteraksi dengan masyarakat berbilang bangsa, memahami isu global dan membuka fikiran dan pandangan kita dalam pelbagai segi terhadap dunia luar melalui filem. Janganlah disempitkan fikiran kita bahawa filem ini hanyalah sekadar hiburan ringan di mana ianya diesploitasikan bagi melepaskan nafsu di wayang serta ditonton dan dinilai berdasarkan raut wajah dan bentuk tubuh seseorang pelakon itu.

- Ulasan bagi filem yang ditonton akan menyusul kemudian

No comments: