Rabun
Malam semalam telah berlangsung tayangan perdana filem Rabun yang juga filem pertama arahan pengarah iklan komersial terkenal, Yasmin Ahmad di HELP Institute untuk ahli Kelab Seni Filem Malaysia. Kehadiran penonton yang saya anggarkan lebih kurang 70 orang juga amat membanggakan dan saya perhatikan ramai dari mereka ini mendaftar untuk menjadi ahli kelab pada ketika itu juga sekaligus secara tidak langsung, bertambah ramailah ahli kelab ini. Penulis bebas, Fathi Aris Omar dan rakan-rakannya serta pengacara 3R, Low Ngai Yuen antara yang hadir.
Filem ini pada mulanya tersenarai di dalam filem/telefilem yang akan ditayangkan pada slot Odisi di NTV7. Walaubagaimanapun, oleh kerana siri ini tidak dapat menayangkan versi penuh filem ini, Yasmin telah menarik filem ini keluar dan memberinya kepada TV3 untuk ditayangkan sepenuhnya sedikit masa lagi. Rabun juga telah ditayangkan di hadapan ‘packed audien’ di Festival Filem Antarabangsa Singapura yang baru lepas.
Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan pasangan suami isteri, Pak Atan(M Rajoli) dan Mak Inom(Kartina Aziz) yang baru sahaja pencen dan hidup dengan penuh kasih sayang dan juga keanehan seperti suka bermain dan berlawak seperti kanak-kanak yang jarang terdapat pada orang lain. Suatu hari, Pak Atan dan Mak Inom yang tinggal di bandar bersama anak perempuannya mendapat peluang untuk berpindah ke rumah yang diwarisi daripada bapanya di kampungnya. Walaupun begitu, mereka tidak akan menetap di situ sebaliknya hanya akan berada di situ ketika di hujung minggu.
Pak Atan dan Mak Inom ini mempunyai satu tabiat yang buruk iaitu suka untuk menilai orang pada luarannya dan antaranya adalah anggapannya bahawa orang di kampung itu baik-baik belaka dan yang hodoh serta buruk itu adalah milik orang bandar. Yem, anak lelaki Kak Nor yang juga jiran Mak Inom adalah seorang lelaki yang pendiam dan ini membuatkan Mak Inom menganggapnya seorang lelaki yang baik. Malangnya pada suatu hari, segala tembelang Yem pecah jua akhirnya apabila lelaki Cina yang diupah oleh Mak Inom untuk membuat lantai simen di hadapan rumahnya memberitahu Mak Inom kos yang sebenarnya ialah RM1000 bukannya RM2000 seperti yang diberitahu Yem. Selepas kejadian itu, Mak Inom telah tidak akan mempercayai seseorang itu sepenuhnya dan membuat penilaian secara semborono.
Rabun ini walaupun seperti yang dikatakan Yasmin iaitu bukanlah filem yang ingin membicarakan tentang isu sebaliknya hanya filem yang ingin memaparkan tentang kehidupan manusia, namun terlalu banyak isu yang sebenarnya timbul di permukaan dan juga boleh dikupas lebih jauh lagi. Di antara isu yang menarik untuk diperbahaskan adalah seperti sifat menunjuk-nunjuk, hasad dengki, permasalahan minda orang kampung dan juga pemuda kampung, pemikiran sempit dan stereotaip dan perpaduan.
Namun sebagai filem pertama arahannya, saya sebgai audien biasa merasakan buah tangan sulungnya ini amat bernilai untuk ditonton oleh segenap lapisan masyarakat dan saya tidak sabar-sabar untuk membaca komen dan ulasan daripada pengkritik filem, wartawan hiburan terutamanya Gosip Kelip-Kelip dan Siti Jarum, orang-orang filem terutama sekali Yusof Haslam dan juga khalayak umum.
Apa yang menarik sekali sebenarnya mengenai Rabun ini ialah ia berdasarkan kisah benar yang terjadi 15 tahun dahulu kepada ibu bapa Yasmin sendiri dan kehadiran ibu bapa Yasmin sendiri pada malam itu mendapat tepukan gemuruh daripada para audien yang kelihatannya begitu seronok dan terhibur dengan telatah Pak Atan dan Mak Inom sepanjang tayangan filem ini. Audien yang juga mewakili gambaran sebenar masyarakat Malaysia pada hari ini membuktikan bahawa filem/telefilem yang menggunakan medium berbahasa Melayu juga mampu untuk menarik perhatian asalkan kandungan dan tema filem itu mempunyai nilai seni dan penceritaan yang baik, apatah lagi jika ianya bermutu tinggi.
Yasmin juga memberitahu bahawa filem ini mungkin akan diterbitkan di dalam bentuk vcd oleh penerbit di Singapura dan bukannya dari negara ini. Jika benarlah apa yang dikatakan dan apa yang saya dengar, amatlah malang sekali kerana jika karya sebegini tidak dihargai masyarakat kita sendiri, entahlah tak tahu apa nak dikata lagi. Mana perginya penerbit-penerbit di negara ini yang ketika ini berlumba-lumba menerbitkan 'home video' yang kebanyakan ceritanya berkisar kepada tema cinta dan komedi ringan. Kalaupun mungkin ada nanti, aku akan sangat gembira jika jualannya mampu mengalahkan angka jualan yang dicatat oleh cerita Aku Kaya.
No comments:
Post a Comment