Hari Kebebasan Akhbar Sedunia
Tanggal 3 Mei setiap tahun, wartawan seluruh dunia termasuklah di negara kita ini meraikan Hari Kebebasan Akhbar. Pelbagai program berkaitan telah diadakan di merata tempat di negara ini. Di antaranya adalah Forum MMC Kesatuan Wartawan Kebangsaan(NUJ) dan Festival Kebebasan Media di Pulau Pinang. Apa yang menarik perhatianku ialah berkaitan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Penerangan, Dato' Zainuddin Maidin pada forum yang dianjurkan oleh NUJ itu.
Sebelum itu, ingin aku katakan bahawa padaku setiap kata-kata yang terbit daripada Zam(seperti yang selalu disebut) ini pasti akan menarik perhatianku. Aku masih ingat ketika aku masih belum menulis blog ini, aku dan kengkawan telah membincangkan dengan panjang lebar kenyataan yang dikeluarkannya semasa perang Amerika di Iraq agar rakyat tidak mempercayai berita-berita yang disiarkan oleh media asing seperti CNN, BBC, CNBC, Reuters dsb. Aku hanya mampu tergelak sendirian bila memikirkan apa yang dikatakannya itu, seolah-olah mereka yang menonton dan membaca berita itu tidak mampu untuk menganalisa setiap berita yang disampaikan. Aku ingat Zam ini sudah ketinggalan zaman, sebab itulah dia sangat percaya akan keberkesanan program 'propaganda murahan' di TV1 itu akan dapat dipercayai penonton.
Aku berpendapat bahawa kebanyakan mereka yang terdedah kepada pelbagai malumat daripada dalam dan luar negara ini mempunyai satu daya kekuatan untuk menyaring kebenaran setiap berita. Hanya mereka yang mendapat maklumat sehala sahaja yang tidak berkemampuan untuk berfikir dan sangat suka untuk bersikap skeptikal terhadap media alternatif dan media asing tanpa membaca atau menontonnya dahulu, terutamanya kepada pembaca setia Utusan Malaysia dan berita RTM(TV1), lebih khusus lagi kepada mereka yang sangat bergantung kepada akhbar berbahasa Melayu. Di sini aku merasakan kewujudan jurang ilmu dan jurang maklumat yang sangat lopong.
Berbalik kepada apa yang diperkatakan oleh Zam di forum tersebut, kenyataanya yang berbunyi 'Why local journalist celebrate World Press Freedom since "the death of freedom of press has been seen in the hands of those who sponsored press freedom?" dan 'it was ironic as the day was sponsored by the United States and Britain, which had "raped" journalism in their unfair and imbalance coverage of the Iraq war' seperti yang dilaporkan akhbar The Star(3 Mac, m/s 17) amat menarik untuk diulas.
Pertamanya, perlu dimaklumkan bahawa Hari Kebebasan Media bukanlah inisiatif Amerika sebaliknya adalah hasil usaha UNESCO selepas persidangan bersejarah pada tahun 1991 di Windhoek, Namibia yang bertemakan "Promoting an Independent and Pluralistic African Press". Apa yang menariknya adalah kenyataannya yang membidas US dan Britain kerana laporan berat sebelahnya semasa perang di Iraq. Zam perlu mencermin diri sendiri kerana apa kurangnya RTM dengan media-media tersebut, adakah laporan dan berita RTM seimbang? adakah laporan media arus perdana seimbang? adakah laporan media di negara ini mengenai peperangan di Iraq juga seimbang? Kalaupun media US dan Britain bersikap demikian, ia hanyalah amalan mereka terhadap orang luar. Di negara ini, laporan yang tidak adil dan seimbang ini digunakan terhadap rakyat negara ini sendiri. Inilah perbezaan yang ketara, hak asas untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan pandangan yang berbeza secara bebas, tanpa takut, tanpa perlu ke internet, tanpa perlu membeli akhbar parti dsb dinafikan secara nyata! Kebebasan media yang seperti ini sudah mencukupi bagi aku di ketika ini kerana aku ingin melihat kesemua rakyat Malaysia yang tinggal di bandar dan juga di luar bandar ini bijak, berfikiran terbuka dan matang dalam membahaskan sesuatu isu.
No comments:
Post a Comment