Jepun, drama dan lagu
Hujung tahun 2001 merupakan detik permulaan kegilaanku terhadap drama-drama dari Jepun. Sebenarnya, aku tidaklah berminat sangat menonton rancangan TV secara khusus dan mengikutinya secara serius terutamanya dari Jepun kerana aku bukanlah TV addict dan jarang mempunyai masa untuk menontonnya. Aku masih ingat di ketika itu serangan drama Jepun di TV amatlah hebat dan oleh kerana aku jarang benar dapat menontonnya, aku tidak dapat tertahan oleh arus itu dan lantas aku mencari versi vcdnya di syurga hiburan Jepun iaitu di S&M Plaza.
Berada di sini membuatkan aku rambang mata kerana terlalu banyak pilihan yang terbentang di depan mata, apa yang perlu adalah mengeluarkan sedikit wang. Faktor utama yang mendorong aku meminati drama Jepun ini adalah kerana aku amat meminati gadis Jepun yang comel lote, kawaii bak kata orang Jepun. Alasan inilah yang mendorong aku membeli vcd drama Jepun sulung aku, Strawberry of The Shortcake (SOS) lakonan Hideaki Takizawa dan juga aktres kesukaanku, Kyoko Fukada.
Menonton drama ini banyak membuka lembaran baru dalam hidupku terutama pandanganku terhadap negara yang satu ketika pernah menjajah bumi ini. Aku mula berminat untuk mengetahui serba lanjut berkaitan dengan segala aspek masyarakat Jepun seperti kebudayaan, pemikiran, etika, gadis Jepun dan sebagainya. Aku mula sibuk menjelajahi segala ruang siber yang memuatkan pelbagai maklumat berkaitan negara Jepun ini termasuklah juga mencari permasalahan yang dihadapi masyarakat di sana seperti 'enjo kasai' dan kadar bunuh diri yang tinggi di dunia.
Dari drama SOS ini yang berlatarbelakangkan lagu SOS dan Chiquitita oleh ABBA, aku mula ketagih dan satu demi satu drama aku beli dan tonton sehinggakan terkadang itu aku pernah habis menonton keseluruhan drama yang selalunya mengandungi 8 vcd itu hanya dalam masa satu hari. Sudah semestinya drama yang dilakonkan oleh Kyoko Fukada menjadi pilihanku seterusnya seperti To Heart, Fighting Girl dan God Give Me More Time, selain itu drama yang ku tonton seterusnya adalah Love Generation, Hero, GTO, Friend, Shotgun Marriage, First Love dan banyak lagi.
Selepas menonton drama-drama ini, suatu kegilaan baru yang lain muncul pula iaitu mendengar lagu Jepun. Aku tidak dapat membayangkan sebelum ini yang aku akan menjadi peminat setia lagu-lagu Jepun. Pendorong utama aku untuk meminati lagu Jepun ini adalah daripada lagu-lagu tema drama Jepun itu sendiri dan lagu tema drama God, Give Me More Time oleh SENS, Kudo Shizuoka dan Luna Sea adalah lagu-lagu yang mula sekali menambat hatiku. Seterusnya, lebih banyak artis-artis Jepun yang kubeli dan dengar lagunya sehingga kini seperti Utada Hikaru, Ayumi Hamasaki, Do As Infinity, GLAY, Mai Kuraki, Namie Amuro, Ami Suzuki, L' Arc Ciel, Takashi Sorimachi dan banyak lagi.
Daripada kesemua itu, Utada Hikaru, Ayumi Hamasaki, GLAY dan SENS adalah artis kegemaranku dan lagu-lagu mereka ini menjadi halwa telingaku selalunya sebelum aku masuk tidur. Sesuatu yang aku dapat rasakan kelainan apabila mendengar lagu Jepun ini ialah kepelbagaian rentak lagu mereka serta kreativiti gubahan lagu mereka yang sedikit unik barangkali. Selain itu, aku juga sedikit sebanyak dapat mempelajari bahasa Jepun yang bagiku sangat comel.
Selain daripada menonton drama dan mendengar lagu Jepun ini, aku ingin sangat untuk mendekati dan mempelajari dengan lebih dekat segala yang berkaitan dengan Jepun ini. Antara yang aku lakukan pertamanya ialah mencari kenalan internet daripada Jepun yang mana masih berlanjutan sehingga kini yang mana ia banyak memberi aku maklumat dan pandangan dari seorang rakyat Jepun sendiri. Yang keduanya pula ialah menjadi ahli perpustakaan Japan Foundation di Menara Citibank KL. Di sini, terdapat pelbagai maklumat tentang Jepun dalam pelbagai bentuk seperti buku, audio visual dan juga majalah dan surat khabar Jepun seperti Nonno, Hiragana Times dan Japan Times.
Namun akhir-akhir ini kegilaan aku terhadap drama Jepun berkurangan kerana kekurangan drama baru di pasaran yang mempunyai sarikata Melayu atau English, apa yang ada sekarang kesemuanya hanya mempunyai sarikata Cina kerana kesemua vcd ini dirakam secara haram di tv Taiwan seperti mana yang diberitahu kepadaku oleh Hiromi, isteri pemilik kedai Hiro Comic World. Selain itu, kemasukan besar-besaran drama siri Korea juga memberi saingan dan lebih banyak pilihan kepada pembeli. Walaupun begitu, aku secara peribadi meminati kedua-duanya sekali walaupun didalam beberapa aspek seperti tema dan jalan cerita aku masih mengagumi drama terbitan Jepun.
Aku juga meminati lagu Korea melalui cara yang sama seperti mana aku meminati lagu Jepun dan aku juga mempelajari lebih mendalam tentang Korea selepas itu. Bercerita mengenai Korea ini, aku amat mengagumi negara ini dalam beberapa aspek seperti tahap kerajinan, dedikasi dan kepantasan mereka dalam memajukan diri mereka dalam sesuatu bidang seperi yang ditunjukkan di dalam bidang ekonomi, sukan seperti bola sepak, hoki dan sepak takraw dan juga bidang perfileman mereka yang maju. Tidak banyak tempat di dunia ini selain daripada Korea di mana carta filem hit tahunan mereka didominasi oleh filem dari negara mereka sendiri. Contoh terbaik adalah negara kita sendiri.
Bercerita mengenai drama ini, aku sangat pelik mengapakah drama siri Malaysia tidak boleh menjadi seperti mereka. Salah siapa? Adakah salah stesen TV, pengarah, penerbit....? Terlalu banyak yang boleh dibincangkan dan ditemukan jalan penyelesaiannya berkaitan isu ini. Aku amat berharap suatu hari nanti akan ada orang asing yang akan bercerita mengenai drama siri kita dan juga menjadikan aktor an aktres kita pujaan mereka.
Aku rasa ini tidaklah mustahil untuk dikecapi sekiranya mereka yang berkaitan berganding bahu dan membentuk satu industri drama Malaysia yang sistematik dan mantap seperti menetapkan hari dan waktu tertentu bagi penyangan drama siri Malaysia seperti mana di Jepun. Satu lagi aspek yang boleh dipelajari daripada penerbitan drama di sana ialah dengan mengeluarkan official soundtrack bagi setiap drama yang ditayangkan. Ini boleh menjadi serampang dua mata iaitu dengan mempopularkan seseorang artis itu.
Walau apapun, aku amat berharap agar siri drama ini dipelopori oleh kalangan pengarah yang segar ideanya, muda, terbuka dan berfikiran Malaysia seperti mana pengarah siri Odisi yang akan ditayangkan sedikit masa lagi di NTV7 kerana ini adalah faktor terpenting untuk melenyapkan kebosanan dan kekurangan daya kreatif yang terlihat di dalam drama Malaysia(Melayu) sekarang terkecuali beberapa siri yang tersiar di Astro Ria. Drama yang menggambarkan pelbagai ragam masyarakat Malaysia daripada pelbagai kaum merupakan ciri penting yang perlu ada dan kalau pun mahu menerbitkan drama yang menceritakan perihal sesuatu bangsa itu sendiri seperti Melayu, Cina, India dsb, janganlah dihilangkan langsung ciri utama masyarakat kita ini. Malaysia boleh !
No comments:
Post a Comment