Thursday, May 22, 2003

Forum Mengapa Aktivis Malas Menulis?

Malam Isnin yang lepas telah diadakan satu forum yang bertajuk seperti di atas di Universiti Bangsar Utama. Ini adalah kali kedua saya menghadirkan diri ke UBU dan turut menemani saya kali ini adalah rakan saya, Aran. Pada forum kali ini, saudara Harris Zalkapli menjadi moderator manakala ahli panelnya terdiri daripada penulis senibudaya, Hasmi Hassim, penulis Malaysiakini, Fathi Aris Omar dan penulis laman web yang juga seorang pensyarah di UNISEL, Izzat.

Secara umumnya saya merasakan tujuan forum ini diadakan ialah bagi mencari punca dan asbab mengapa aktivis malas menulis. Anggapan saya terhadap apa yang dimaksudkan sebagai aktivis ini ialah mereka yang memperjuangkan sesuatu dan dalam konteks ini mungkin pejuang kebebasan media, hak asasi dan sebagainya. Walaupun saya secara langsung dan tidak langsung banyak terlibat dalam aktiviti yang memperjuangkan perkara seperti ini, namun saya tidak pasti sama ada saya seorang aktivis ataupun tidak kerana saya tidak terlibat di dalam mana-mana NGO atau sebarang perkumpulan buat masa ini. Apapun definasinya, itu bukanlah persoalan utama kerana apa yang lebih penting bagi saya, perjuangan dan semangatnya itulah yang nombor wahid.

Fathi Aris Omar menganggap kemalasan aktivis untuk menulis adalah disebabkan oleh dua perkara iaitu kurangnya membaca dan malas.Saya amat bersetuju dengan pandangan Fathi bahawa malas adalah antara faktor utama yang menyebabkan kemalasan aktivis untuk menulis. Saya pun secara peribadi walaupun banyak melontarkan idea dan polemik di gerai-gerai dan di mana-mana sahaja sejak di bangku sekolah lagi, kesedaran untuk menulis dan keinginan mendisiplinkan diri dengan budaya menulis ini hanya wujud baru-baru ini sahaja, suatu kerugian yang amat sangat bagi saya. Namun lebih baik lewat daripada langsung tidak menulis.

Pandangan yang dilontarkan oleh Hasmi Hassim bahawa setiap aktivis wajib menulis telah menimbulkan perdebataban hangat di kalangan peserta. Hasmi menyatakan dengan menulis kita akan dapat menyebarkan idea kita secara meluas berbanding jikalau kita hanya bercakap. Saya secara peribadi tidak bersetuju sepenuhnya dengan pandangan Hasmi, ini kerana setiap manusia yang dulahirkan itu mempunyai bakat dan kemahiran yang tertentu dan walaupun tidak dapat dinafikan apa yang kurang itu boleh diatasi dengan pembelajaran dan usaha. Namun apabila dipandang dari sudut aktivis, saya berpandangan bahawa di sini perlunya ada diversiti atau kepelbagaian di mana ada yang menulis, memberi ceramah, mengorganisasi aktiviti dan sebagainya agar ianya saling lengkap melengkapi.

Namun dari satu segi yang lain, saya bersetuju dengan pandangan Fathi yang mana saya telah memerhati keadaan ini sekian lama iaitu kurangnya penulis dan juga artikel yang bermutu di dalam Bahasa Melayu baik di media arus perdana dan juga media alternatif/media pembangkang. Inilah sebab utama yang bagi saya amat perlu agar aktivis buat masa ini juga turut menulis, buruk atau baik itu soal kedua, yang mustahaknya adalah keinginan untuk mencuba dan belajar. Kita juga harus mengakui akan keberkesan medium penulisan ini untuk melontarkan sudut pandangan kita terhadap massa dan selepas itu kita akan dapat berkongsi pandangan, berbincang serta bertukar-tukar fikiran.

Keseluruhannya, forum yang pada saya dihadiri lebih kurang 30 peserta dan berlangsung hampir dua jam ini sangat bermanfaat dan berjaya menghantar beberapa polemik terutamanya dari saudara Fathi. Kebingungan yang ditimbulkan oleh Fathi bagi saya adalah keseronokan dan saya berharap segala kebingungan yang dibangkitkan akan dapat diperbincangkan secara mendalam. Perbincangan dan keterbukaan fikiran dan kerajinan berfikir adalah sesuatu yang bernilai dan kelihatannya masih kurang diberi penekanan oleh rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Melayu. Harapnya dapatlah seseorang membuktikan bahawa tuduhan saya ini adalah salah.


No comments: