Isu The Economist
Tiga empat hari kebelakangan ini, kecoh di media negara ini mengenai laporan mengenai Malaysia yang terkandung di dalam majalah The Economist edisi 5 April. Laporan yang terkandung di bahagian 'Survey' yang bertajuk 'The changing of the guard' telah menyebabkan para pemimpin kerajaan terutama Pak Lah dan Najib tersinggung dan kecewa sehingga ada yang ingin majalah ini disaman dan edarannya ditarik balik. Laporan setebal 16 muka surat ini telah mengupas pelbagai persoalan yang pastinya tidak akan dikupas secara berani dan bebas oleh media arus perdana negara ini seperti isu peralihan tampuk kepimpinan negara,cabaran parti PAS,Anwar Ibrahim,DEB dll. Amat menghairankan apakah motif sebenar isu ini ditimbulkan setelah ia telah berada di pasaran lebih kurang tiga minggu lepas.
Banyak pengajaran dapat diperolehi daripada isu ini selain daripada isi kandungan laporan tersebut. Walaupun tidak dapat dinafikan terdapat beberapa fakta yang kurang tepat, namun ia tidak bermakna laporan ini harus dikecam tanpa ada sebarang perbincangan mengenai isu yang diutarakan. Isu ini mendedahkan betapa kebebasan media di negara ini sukar dicapai dan akan melalui jalan yang berliku. Ini baru media asing, bagaimana pula jika laporan ini diterbitkan oleh media di negara kita(tidak termasuk akhbar organ parti seperti Harakah,Suara Keadilan dan Suara), sudah pasti tindakan keras akan diambil seperti didakwa di mahkamah dibawah Akta Hasutan dan juga ditarik balik permit penerbitan.
Menghairankan, mengkritik Dr. Mahathir dianggap seperti menghina negara Malaysia.Walaupun aku akui beliau banyak menabur jasa didalam membangunkan ekonomi negara, itu tidak bermakna beliau tidak boleh dikritik. Inilah yang dikatakan demokrasi ala Malaysia 'demokrasi terpimpin' dimana ruang untuk mengkritik,dikritik,perbahasan,debat dan perbincangan ilmiah mengenai pelbagai isu baik yang sensitif atau tidak di pelbagai media, tidak digalakkan atas alasan ia akan menganggu ketenteraman awam dan menimbulkan rasa resah di kalangan rakyat. Mereka ini seolah-olah memperlekehkan pemikiran rakyat negara ini yang semakin matang untuk berfikir tentang sesuatu isu dan dapat melihatnya dari pelbagai sudut.Tidakkah mereka sedar atau sengaja buat-buat tidak sedar kerana ingin menjaga kuasa politik bahawa kesan buruk yang akan dialami negara ini adalah akan lahir satu masyarakat yang tidak rasional, tidak mampu berhujah secara objektif dan berfikiran tertutup kerana menerima pandangan hanya dari satu pihak. Ia secara tidak langsung akan menyebabkan salah satu visi Wawasan 2020 yang diilhamkan Dr. Mahathir iaitu mahu mewujudkaan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang dan sebuah masyarakat yang boleh menjadi contoh kepaada semua negara membangun akan gagal untuk dicapai.
Hujah yang sering diberi kepada wartawan-wartawan asing yang sering membuat laporan yang menyinggung kerajaan adalah mereka ini tidak memahami keadaan sebenar apa yang berlaku negara ini. Bagiku, ini adalah pendapat yang amat dangkal sekali kerana jika kita menggunakan premis ini, wartawan-wartawan Malaysia juga tidak layak untuk membuat liputan dan laporan khusus tentang sesuatu isu yang berlaku di luar negara, contoh terbaru adalah isu Iraq dan wabak SARS. Harus diingatkan, kita berada didalam dunia globalisasi dimana kepelbagaian pandangan dan idea adalah satu lumrah dan pandangan dunia luar terhadap sesuatu negara itu amat penting untuk memperbaiki diri. Yang terpenting, penerangan dan berlapang dada untuk membahaskan sesuatu isu itu yang harus diberi perhatian kerana ia secara langsung dapat membetulkan apa yang kurang tepat, bukannya hanya tahu untuk menyaman dan menyekat. Jika ada masyarakat di negara kita ini yang tertutup mindanya baik dikalangan yang pro-kerajaan,pro-pembangkang,bebas dan apathy, ia adalah produk langsung yang dilahirkan akibat dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.
No comments:
Post a Comment