The Big Durian
Pada malam Rabu lalu telah diadakan tayangan perdana filem terbaru arahan Amir Muhammad di The Actors Studio Dataran Merdeka. Ia telah ditaja khas oleh portal web berita Malaysiakini.
Filem ini adalah filem arahan terbaru Amir selepas siri filem pendek 6short dan cara ia disampaikan adalah lebih kurang sama. Filem ini boleh dikategorikan sebagai separuh dokumentari.
Amir telah berjaya mengupas persoalan yang jarang diperkatakan orang ramai dengan amat baik sekali iaitu berkaitan dengan kejadian amok di Chow Kit pada 1987 yang telah menyebabkan rasa gelisah dan tegang diantara Melayu dan Cina. Alangkah baiknya jika terdapat ramai orang sepertinya, tidak kira sama ada Melayu, Cina, India, Iban dan sebagainya, yang dapat berfikir di luar lingkungan batasan kaum dan agama, atau dengan kata lain, berfikir seperti bangsa Malaysia di mana setiap pekara tidak dikaitkan dengan sesuatu bangsa sebaliknya ditentukan berdasarkan karakter individu itu sendiri serta juga mengambil berat dan mempelajari serba sedikit perihal kebudayaan dan adat resam kaum lain.
Aku juga mempunyai impian untuk mengarah satu filem seperti ini yang mengupas budaya baru politik yang wujud selepas wujudnya gerakan reformasi di Malaysia.
Filem ini dapat disimpulkan sebagai sebuah filem Malaysia di mana karakter pelbagai kaum dan juga kepelbagaian bahasa pengantar yang digunakan. Aku amat tertarik dengan watak gadis bertudung dan Low Ngai Yuen, gadis itu telah dapat memberi gambaran bahawa wanita yang bertudung tidaklah tertutup fikirannya dan alasan yang diberikan oleh bapa Ngai Yuen mengenai sebab-sebab orang Melayu(Islam) tidak memakan babi amat menarik perhatian.
Menonton filem ini, aku dapat merasakan ketegangan yang wujud di ketika itu antara kaum Melayu dan Cina dan aku berharap tiada lagi keadaan seperti ini di masa akan datang. Aku yakin ia sukar untuk berlaku kembali kerana reformasi politik yang dibawa oleh gerakan reformasi Anwar Ibrahim telah berjaya memecahkan tembok perkauman di kalangan ramai rakyat Malaysia terutama yang tergolong sebagai kritikal, anti-establishments, golongan kiri serta ahli dan penyokong politik pembangkang.
Hanya UMNO terutama sayap pemuda mereka yang masih berfikiran lama dan kolot dan perlu diingatkan, hampir semua ketegangan kaum yang tercetus di negara ini adalah berpunca sama ada oleh masalah dalaman BN dan juga UMNO.
No comments:
Post a Comment