Olimpik bermula secara rasmi hari ini, selamat berjuang atlit Malaysia!
Hari ini menandakan secara rasmi bermulanya acara sukan temasya terunggul iaitu Sukan Olimpik Athens 2004 (acara bola sepak bermula lebih awal iaitu pada 11 Ogos). Acara pembukaan rasmi temasya ini akan disiarkan secara langsung oleh stesen RTM menerusi saluran TV1 bermula pukul 1 pagi dan TV2 pada pukul 1.30 pagi serta Astro pada pukul 1.45 pagi.
Saya secara peribadi menganggap temasya ini lebih penting dan menarik untuk ditonton berbanding pertandingan bola sepak Piala Dunia. Mengapa? Ini kerana ia adalah acara yang berbentuk temasya di mana kita berpeluang melihat aksi-aksi jaguh dunia bertanding kekuatan di setiap acara sukan masing-masing. Acara yang menjadi kegemaran tentulah bola sepak walaupun taraf saingan sudah diturunkan oleh FIFA, badminton, hoki, olahraga, renang, terjun, gimastik berirama dan artistik, lumba basikal, ping pong, tenis, bola tampar dan bola keranjang.
Selain itu, temasya Olimpik amat menarik kerana ia melibatkan atlit dari negara kita dan lazimnya semangat patriotik akan membuak-buak dan linangan air mata akan menitis tatkala atlit negara mengalami kekalahan dan kemenangan. Sesuatu yang amat mustahil untuk diperolehi jika menyaksikan pertandingan bola sepak Piala Dunia, maksud saya bersedih demi negara Malaysia yang tercinta. (bukan bersedih demi negara lain seperti yang selalu dirasai oleh saya dan rakan-rakan tatkala berlangsungnya Piala Dunia, contoh negara adalah Sepanyol, England dan Korea)
Saya masih teringat detik-detik gembira tatkala gandingan beregu Razif dan Jalani memenangi pingat gangsa yang juga merupakan pingat pertama olimpik negara di temasya Olimpik Barcelona 1992. Juga detik gembira ketika Rashid dan Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock memenagi pingat gangsa dan perak menerusi acara masing-masing. Namun begitu di sebalik kegembiraan tersebut, saya turut merasa sedih kerana kita masih gagal memungut pingat emas dan pada temasya di Sydeny kita gagal memenangi walau satu pingat. Tetapi persembahan skuad hoki ketika di Sydney amat mengkagumkan dan amat malang sekali di kelibat mereka tidak akan kelihatan di Athens setelah gagal di pusingan kelayakan.
Kita sebagai rakyat Malaysia amat bertuah kerana dapat mengikuti temasya ini secara langsung di kaca televisyen walaupun kita bukanlah kuasa besar di dalam Olimpik. Stesen tv di Indonesia, iaitu sebuah negara yang sentiasa di atas kita dan telah memenangi beberapa pingat emas dilaporkan tidak akan menyiarakan temasya ini kerana tidak mendapat tajaan yang secukupnya.
RTM sebagai penyiar rasmi dengan kos perbelanjaan hampir mencecah RM12 juta, akan menyiarkan liputan Sukan Olimpik Athens XXVIII 2004 secara meluas menerusi kedua-dua siaran RTM1 dan RTM2 selama 25 jam sehari. Manakala stesen tv berbayar Astro pula membawa liputan eksklusif dan menyeluruh dengan lebih 850 jam tayangan secara langsung mahupun tertunda. Pelanggan-pelanggan Astro akan berpeluang menyaksikan sukan bertaraf dunia ini di enam skrin interaktif Astro dan yang paling menarik, liputan khas ini disediakan percuma untuk semua pelanggan-pelanggan Pakej Sukan Astro melalui saluran 80, Astro SuperSport. Terima kasih RTM dan Astro!
Pada temasya kali ini, tiga sukan menjadi taruhan negara untuk merebut pingat iaitu badminton, taekwando dan lumba basikal. Saya secara peribadi merasakan peluang badminton teramat cerah dan diharap warna pingatnya juga secerah pingat emas. Amin! Manakala nasib Elaine Teo dan Josiah Ng, seorang permata dan jaguh dunia yang masih ramai tidak mengetahui tentang beliau amat bergantung kepada undian dan prestasi di hari pertandingan. Saya merasakan Josiah Ng harus diberi pingat dan gelaran yang sewajarnya di atas jasanya mengharumkan nama negara.
Tanpa ketiadaan skuad hoki, kontinjen kali ini dirasakan kecil namun di sebalik kekerdilan angka itu, terdapat beberapa atlit yang sebenarnya sudah mencapai taraf dunia (tidak termasuk badminton) iaitu seperti Lim Keng Liat, Ng Shu Wai, Leong Mun Yee (gambar di atas, saya amat meminati gadis dari Perak ini yang sangat cantik pada pandangan mata saya) dan Faizal Baharom.
Diharap segala pengorbanan dan penat lelah segala latihan yang dilalui selama ini akan memberi hasil yang membanggakan. Apa yang pasti bermula 11 Ogos lepas dan bermula sekali lagi secara rasmi pagi esok (waktu Malaysia) sehinggalah pada tanggal 29 Ogos, segala tumpuan akan diberikan kepada temasya terulung ini dan sudah pastilah atlit Malaysia akan diberi perhatian yang lebih dan agar tidak mengecewakan, saya amat mengharapkan yang terbaik dari anda semua atlit negara. Selamat berjuang demi negara! Malaysia boleh!
No comments:
Post a Comment