Monday, August 16, 2004

Ulasan Filem : Fahrenheit 9/11 (2004)

Oleh Mahhass



Kontroversi... Apa (kejadahnya) kontroversi? – Michael Moore

Filem dokumentari ini menyelongkar segala rahsia di sebalik serangan berdarah 9/11 ke atas Amerika beberapa tahun lalu, seterusnya penjajahan amerika terhadap Afghanistan sehinggalah penaklukan ke atas Iraq.

Michael Moore kini sekali lagi mengusung kameranya ke sana ke mari, (selepas Bowling For Columbine) berjuang bersendirian dalam usahanya untuk membuka mata seluruh umat dunia akan pembohongan besar presiden George W. Bush dan kuncu-kuncunya. Doku-filem ini digarap sepenuhnya dengan paparan sebenar (real-footage) serta dinaratorkan (voice-over) dengan penuh sarkastik oleh beliau sendiri sepanjang hampir 2 jam ia berlangsung.

Sebahagian paparan yang terkandung begitu getir sekali. Pembukaannya ialah sewaktu kejadian sebenar 9/11, tetapi yang menariknya, Moore memilih untuk menggelapkan skrinnya. Yang kedengaran hanyalah jeritan tragis, bunyi-bunyian siren kecemasan serta pekikan orang awam dalam suasana yang cukup dramatik sekali. Lantas Moore mempersoalkan di manakah sang presiden tatkala bumi amerika digegarkan waktu itu.

Rupa-rupanya, sang presiden sedang dalam lawatan ke sebuah sekolah (beliau berada di dalam sebuah kelas sambil memegang sebuah buku "My Pet Goat"). Yang menariknya, walaupun sang presiden sudahpun dimaklumkan tentang serangan tersebut, beliau masih lagi dilihat duduk di bangku tersebut hampir 7 minit lamanya membisu tanpa memberikan sepatah haram arahan atau tindakan. Sorotan ini jelas menggambarkan keperibadian sang presiden yang mewakili seluruh rakyat amerika umumnya.

Seterusnya, Michael Moore membongkar hubungan perdagangan di antara keluarga Bush dengan keluarga Bin Laden. Peliknya, walaupun sehari selepas serangan 9/11 tersebut sang presiden telah mengistiharkan arahan bahawa segala penerbangan udara amerika dihentikan, kenapa pula 14 anggota keluarga Bin Laden dibenarkan pulang ke Arab Saudi? Bukankah kebiasaannya dalam mana-mana prosedur siasatan, ahli keluarga suspek (Osama yang terang-terangan dituduh bertanggungjawab) akan ditahan untuk disoal-siasat terlebih dahulu? Sebaliknya kenapa mereka dibenarkan pulang? Ini antara persoalan menarik yang diajukan Moore terhadap misteri serta kewibawaan pentadbiran Bush.

Penjajahan Afghanistan rata-rata antara kita pastinya sudah maklum, iaitu agenda amerika untuk merampas serta mendapatkan laluan gas-pipeline merentasi negara tersebut yang sebelum ini pernah cuba dijajah Russia. Kononnya memberi alasan bahawa kerajaan Taliban telah menyembunyikan Osama sedangkan mereka tahu bahawa sudah 2 bulan lamanya Osama tidak lagi berada di negara tersebut. Yang menghairankan lagi, beberapa bulan sebelum 9/11, wakil Taliban ada melakukan lawatan diplomatik ke Amerika. Persoalan menarik : Kenapa mesti berperang dengan musuh yang sebenarnya tiada?

Kemudian Moore menyorot peperangan ke atas Iraq yang mana mereka melabelkan Saddam Hussein sebagai alasan/ancaman mereka. Kononnya untuk membebaskan rakyat Iraq dari cengkaman diktatorship. Apa ke jadahnya "pembebasan" yang dimaksudkan, jika yang sebenarnya menjadi mangsa ialah orang awam di sana? Di segmen ini terdapat beberapa paparan sebenar yang begitu menyayat hati, lebih-lebih lagi tangisan seorang balu yang meratapi pemergian saudara maranya berlatar belakangkan sebuah petempatan yang musnah dibom tentera amerika. Adakalanya diselitkan dengan rakaman bantahan tunjuk perasaan rakyat Iraq terhadap serangan amerika, serta visual mayat-mayat pejuang Iraq dan juga tentera amerika yang terbunuh. Ada mayat yang dipijak, dihentak-hentak, malah ada yang dibakar sehingga rentung. Ia jelas menunjukkan kebencian amat sangat penduduk Iraq terhadap penjajahan tidak berperikemanusiaan tersebut.

Moore juga tidak ketinggalan untuk menayangkan beberapa rakaman sebenar temuramah ke atas beberapa askar amerika. Kebanyakannya menyatakan pendirian yang positif terhadap pentadbiran Bush walaupun ada juga antara mereka yang sedar bahawa usaha (penaklukan) tersebut seakan sia-sia akibat tentangan hebat orang awam serta risiko yang mereka sedang hadapi.

Doku-filem ini juga membongkar agenda Bush dalam usaha mendapatkan penguasaan minyak di Iraq. Kontroversi sebuah syarikat gergasi amerika yang sudahpun berpengkalan di Iraq memulakan operasi mereka walaupun kononnya mereka seringkali melaungkan bahawa rakyat Iraq lah yang berhak ke atas harta mereka. Ini merupakan sebuah lagi pembohongan Bush.

Akhirnya, Moore memilih pendekatan jiwa ke dalam satira politikal ini. Beliau menemuramah salah seorang ibu (Lila Lipscomb) kepada mangsa (askar amerika) yang terbunuh sewaktu penaklukan di Iraq. Menurut ibu tersebut, anaknya menjadi mangsa kerakusan serta ketamakan pentadbiran Bush, malah beliau menyeru kepada setiap ibu bapa kepada askar yang terlibat, agar tidak lagi melibatkan diri dalam segala kancah peperangan ini. Apa yang terjadi ke atas anaknya dapat dijadikan contoh yang baik untuk seluruh warga amerika dan dunia khususnya.

Secara keseluruhannya, dokumentasi provokatif hasil garapan satiris politikal baru amerika ini, saya kira berjaya mendedahkan segala bentuk agenda/konspirasi yang barangkali belum pernah diperdedahkan sebegini berani oleh mana-mana jurnalis atau filmmaker sebelum ini. Samada benar atau tidak, ia sudah jelas memberikan tamparan hebat terhadap Bush dan kepimpinannya. Kebebasan bermedia dan bersuara sebeginilah dilihat sebagai method yang begitu berkesan untuk sesuatu institusi dalam menyampaikan ketidakpuasanhati.

Tetapi itulah Amerika. Ia bukan lagi suatu perkara baru. Kalau di Malaysia, sudah pastinya Michael Moore akan disumbatkan ke dalam ISA. Tetapi itu tidak penting kerana ada benda yang lebih penting, iaitu persoalan bilakah pula doku-filem yang menggegarkan dunia ini akan ditayangkan di negara kita, Malaysia.

Yang menghairankan saya ialah walaupun sudah hampir dua bulan filem ini ditayangkan seluruh dunia, masih belum lagi ada tanda-tanda yang ianya akan ditayangkan di pawagam tempatan. Apa sudah jadi? Bukankah dokumentari ini amat sesuai dipertontonkan rakyat kita yang sememangnya prihatin malah menentang tindakan Bush ke atas Afghanistan, Iraq serta apa jua peperangan yang berlaku di muka bumi ini?

Barangkali doku-filem ini tidaklah sehebat Spider-Man 2 yang begitu senang meraih RM6 juta dalam masa kurang dari seminggu tayangannya. Kasihan filem ini walaupun telah menempa sejarah dengan menggondol anugerah Filem Terbaik di Cannes Film Festival 2004 baru-baru ini. Atau adakah Malaysia memilih untuk mengharamkan tayangan dokumentari ini? Atau ada 'pihak' lain yang campur tangan dalam urusan tayangannya di sini? Kini saya, barangkali mewakili Michael Moore untuk mengajukan soalan hangat ini kepada 'mereka-mereka yang berkenaan' di luar sana.

No comments: