Thursday, August 26, 2004

Berbogel di Alor Star dan fenomena perebutan kuasa

Oleh Hishamuddin Rais

Pernah juga terjadi satu kes yang amat memalukan berlaku dalam sebuah negara umat Islam apabila petugas Majlis Perbandaran Alor Star menemui beratus-ratus kondom di tapak Karnival ‘Sure Heboh’ TV3 yang berlangsung di ibu negeri itu sebaik sahaja ia berakhir dan kerja-kerja pembersihan dilakukan - Harakahdaily (6 Julai)

Bekas Mufti Negeri Selangor Dato' Ishak Baharom menegaskan, menurut Islam apa juga perkara yang boleh melalaikan dan melekakan adalah bertentangan dengan syarak.

"Walaupun ada sedikit baiknya, tetapi buruknya banyak berkait dengan moral dan campurgaul di kalangan bukan muhrim, hukumnya tetap haram," ujarnya.

Beliau turut bersetuju dengan pendapat Mufti Negeri Perak Dato' Seri Haji Harussani Zakaria yang menyatakan konsert 'Sure Heboh’ anjuran TV3 adalah haram kerana program itu melalaikan - Harakahdaily (30 Julai)

Harussani sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa semua karnival, konsert serta rancangan hiburan yang keterlaluan, termasuk Akademi Fantasia, Audition dan Malaysian Idol jelas bertentangan dengan hukum syarak, sama seperti Karnival 'Sure Heboh' TV3 - Harakahdaily (3 Ogos)

Bila semua 'heboh-heboh' sudah mengenap, maka sampai pula masanya untuk saya menyampok dan tumpang semangkuk. Dalam masa sebulan ini, saya memaksa diri untuk berkhalwat kerana keteharuan diri akibat membaca di media kita tentang fenomena budaya sosiopolitik negara ini. Terutama tentang proses pembudayaan yang dihadapi oleh susuk Melayu.

Fenomena

Keterharuan diri ini tidak pula berpaut lama. Setiap kali satu fenomena muncul saya akan terbaca pula jawapan-jawapan yang diajukan oleh para 'pemikir' - bukan majalah terbitan Utusan Melayu - yang sedang berperang otak untuk memerangi fenomena ini.

Jawapan-jawapan ini cukup geli lagi menggelikan. Cukup lawak lagi menggerunkan. Lawak seram yang membuatkan saya terbahak-bahak ketawa sehinggakan membatalkan ibadah khalwat saya.

Perkataan kunci disini ialah - fenomena. Jadi, kita wajib memeras otak (jika masih ada serpihan yang tertinggal) untuk memahami apa bendanya yang dipanggil fenomena dan apa pula yang diertikan dengan intipati. Apakah yang kita fahami tentang isi dan apakah yang kita anggap kulit.

Dapat atau tidak fikrah kita untuk memisahkan isi dari bentuk. Atau, manusia Melayu ini telah bagitu nazak sehinggakan secara kolektif kita telah berkongsi untuk membebalkan diri. Atau kita telah menjadi sekumpulan lemming yang telah berikrar untuk menjadi bodoh dan sedia diperbodohkan.

Hairan bin takjub binti menyesal saya bila membaca tentang ratusan kondom yang ditemui di sebuah padang yang malam sebelumnya telah dijadikan tempat karnival ‘Sure Heboh’. Saya menyesal dan mengutuk diri kerana gagal menghadirkan diri di pesta ini.

Jika saya tahu tentang kehebatan ‘Sure Heboh’ ini pasti saya akan bergadai bergolok dan sanggup meminjam duit dari ‘Along’ untuk hadir ke padang Alor Star.

Siapa yang tidak tertarik bila membaca berita kondom yang bertaburan? Pesta ‘Sure Heboh’ ini kelihatan lebih gempak lagi mengempakkan. Lebih hebat dari pesta Woodstock di zaman hippie saya dahulu. Berpusing-pusinglah John Lennon dalam kuburnya kerana menyesal tidak dapat datang ke Alor Star.

Mengapa tidak, bayangkan jika ada seratus kondom yang ditemui, ini berertinya ada dua ratus orang yang telah sempat 'bertogel' dipadang itu. Tolak, campur dan hitung - katakanlah ada sepuluh kondom terkoyak. Sepuluh lagi gagal disarongkan kerana kurang latihan - masih ada seratus enam puluh insan yang sempat bertogel di padang ini.

Oh! La la beb, ini bukan konsert Sure Heboh lagi tapi telah menjadi ‘Sure Best’. Lebih hebat dari pesta sek di zaman Nero di Roma dahulu.

Yang menjadikan saya takjub ialah si mamat yang memungut kelonsong-kelongsong ini. Siapa mamat ini? Apakah hobinya mengumpul kondom yang telah terpakai? Atau apakah dia ingin menjual kondom-kondom tangan kedua ini ke kedai antik di Melaka? Rasa saya tidak mungkin. kerana kondom tidak saperti tin Pespi atau Coke yang boleh dikitar semula.

Mungkin juga si mamat ini seorang insan yang amat prihatin terhadap kehijauan rumput di padang Alor Star. Atau dia takut jika kelongsong ini terus bertaburan akhirnya akan bangun cendawan-cendawan yang menyerupai seorang manusia. Kalau dia seorang petugas untuk membersihkan padang kenapa pula dia sanggup mengira jumlah kelongsong-kelongsong ini?

Kadangkala saya merasakan sesak nafas untuk menjadi Melayu di Malaysia ini. (Tolong ingat sikit beb, Melayu ini bermacam-macam - ada Melayu Kristian di Filipina, ada Melayu Hindu di Bali dan ada Melayu Buddhist di Sri Lanka.

Jika tidak percaya, sila hubungi Gapena yang memiliki senarai orang Melayu di seluruh dunia. Atau tanya Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang sering mengumpulkan berita Melayu diaspora.

Pada hemat saya selain dari rakyat di Palestin yang selalu di buli dan di Tidak Bolehkan oleh kaum Zionist, orang Melayu di Malaysialah yang paling banyak menerima arahan Tidak Boleh.

Tidak boleh itu. Tidak boleh ini. Buat itu salah. Buat ini haram.Termenung lalai salah.Yang itu tak cukup syarat. Yang ini tak ikut syarak. Buat konsert haram. Buat teater tak boleh. Filem menjadi khurafat. Tiga berkumpul jadi kumpulan haram. Akhbar tanpa lesen menjadi akhbar haram. Nak bercakap bebas tidak boleh. Masuk sufi salah. Ajaran itu salah. Ajaran ini sesat. Hadari haram. Madani masuk jail. Petik gitar salah. SMS haram. Makyong salah. Menari tidak boleh. Berjoget tidak boleh. Ronggeng salah. Bertandak tidak boleh. Goyang ini salah. Goyang itu salah.

Perebutan kuasa

Semua ini sebenarnya adalah fenomena yang timbul hasil dari perebutan kuasa. Dari awal wahid lagi manusia telah berjuang untuk merebut punca-punca ekonomi. Sesiapa yang berkuasa pasti akan berupaya mendominasi punca-punca ekonomi.

Di Malaysia perebutan kuasa ini adalah diantara dua politi Melayu/Islam - Umno dan PAS. Parti-parti ini adalah perwakilan dua kumpulan yang ingin mendominasi punca-punca ekonomi negara ini.

Untuk saya ini bukan sesuatu yang salah. Kita wajib berjuang untuk mendemokrasikan dan mengagih-agihkan punca-punca ekonomi dengan lebih adil dan telus. Perjuangan untuk merebut punca ekonomi adalah hakikat perjalanan naratif manusia dari zaman dalam gua lagi sehingga ke hari kiamat.

Apa yang saya tidak bersetuju ialah penggunaan agama dalam mengolah persetujuan politik. Agama di Malaysia kini telah dijadikan sesuatu yang menyesakkan nafas. Bukan kepercayaan agama itu yang menyesakkan nafas.

Tetapi mereka yang cuba memonopoli dan melahirkan hegemoni pandangan agama itu sedang menyempitkan dan menyesakkan nafas umat manusia dalam usaha pengolahan persetujuan untuk mencari sokongan politik. Ini yang gua tak boleh tahan beb!

PAS dan Umno - kedua-dua politi Melayu/Islam ini - sedang cuba memperlihatkan kepada bakal penyokong bahawa kumpulan mereka sahajalah yang lebih beragama dari yang lain. Lebih suci dari yang lain. Lebih bersunat dari yang lain.

Hasilnya ialah fenomena 'heboh' yang sedang dihebohkan. Sekali gus heboh ini menyesakkan nafas kita pula.Yang heboh lagi dihebohkan itu hanyalah ritual kulitan agama. Intipati kesucian agama itu bertaburan hilang.

Saya tidak bertujuan untuk tidak menghormati pandangan mufti, pak lebai tuan aji , mat rempit, minah kilang, alim ulama atau pun pandangan dari saudara baru. Saya akan menghormati pandangan dari sesiapa sahaja walau pandangan ini datangnya dari yang tidak beragama.

Jika pandangan ini saya anggap rasional, masuk akal dan pandangan ini bertujuan untuk membawa sesuatu kebaikan ramai maka saya akan menghayatinya. Saya tidak percaya bahawa kebenaran itu boleh dimonopoli oleh satu bangsa, satu agama atau satu parti politik. Kebenaran itu bukan MacDonald yang hanya dimiliki oleh syarikat imperialis Amerika.

Saya berpendapat sademikian kerana saya menyedari bahawa fatwa-fatwa yang dikeluarkan itu juga muncul dari pandangan sosial konstruk pembudayaan manusia. Kita tidak perlu pergi jauh berligar-ligar untuk melihat bagaimana fatwa ini muncul dari pandangan pemahaman akal manusia.

Contohnya, di Perak telah difatwakan yang rokok itu haram. Manakala di Kelantan terhampar ladang tembakau yang menghijau luas - tidak pula diharamkan.

Majlis Shariah Islam United Kingdom baru-baru ini telah mengeluarkan fatwa bahawa Lucozade yang ada mengandungi alkohol adalah minuman halal. Lembaga yang sama telah juga memberikan fatwa menghalalkan Ribena walaupun terdapat gelatin babi dalam minuman ini (pembuat Ribena telahpun mengeluarkan bahan gelatin daripada minuman tersebut).

Sementara itu Canadian Council for Muslim Women mahukan diri mereka berteduh dibawah undang-undang kenegaraaan Canada yang sekular dan menolak undang-undang Shariah.

Sementara itu umat Islam di India yang ratusan juta lebih bayak dari rakyat Malaysia mahukan India terus menjadi negara sekular. Bagitu juga dengan Piagam PLO yang memperagakan dengan jelas cita-cita perjuangan rakyat Palestin untuk mendirikan negara Palestin yang sekular demokratik tanpa mengira bangsa dan agama.

‘Sure kecoh’

Tujuan saya menuliskan pekara-pekara ini bukan untuk memperlekeh sesiapa tetapi untuk membuktikan bahawa fatwa-fatwa itu datangnya dari akal fikiran manusia. Pandangan dunia manusia lahir dari pembudayaan konstruk sosial.

Malah para pengeluar fatwa itu juga terpencar-pencar dan terbahagi-bahagi. Ada para alim ulamak yang menyebelahi daulah. Ada pula alim ulamak yang menjadi apparchik parti politik yang mengeluarkan fatwa untuk menegakkan garis perjuangan parti yang didukung.

Ada pula alim ulamak yang tidak memilki apa-apa pandangan. Ada juga alim ulamak yang menjiwai rakyat tertindas. Ada alim ulamak yang hanya mementingkan hal agama. Ada pula yang memiliki kepentingan dunia. Ada imam yang bertanding pilihanraya di Baling dan ada imam yang bertanding di Permatang Pauh.

Disini saya ingin memecahkan hegemoni satu pandangan yang cuba mendominasi susuk Melayu. Saya ini pengamal mazhab kepelbagaian. Saya sedang merayakan kehidupan yang penuh dengan kepelbagaian. Untuk saya kepelbagaian ini adalah kesucian dan keindahan hidup. Disinilah terbuktinya ke Esaan yang mewujudkan saya.

Islam yang wujud hari ini amat jelas dilihat kepelbagianya. Ada Sunni, ada Shiah, ada al-Jafferi, ada Ismaili, ada Druze, ada Salafi, ada Wahabi, ada Ahmadi dan jangan cepat lupa ada juga Matahari di Balik Pulau.

Malah Sunni itu sendiri memiliki empat mazhab. Ada pula mazhab yang berpendapat bahawa terkentut itu tidak akan membatalkan air sembahyang. Mazhab yang lain memiliki pendapat yang lain pula.

Jelas kepada saya bahawa semua ini adalah interpretasi pandangan manusia terhadap kesucian agama itu sendiri. Itu haram ini haram. Ini tak boleh itu tak boleh. Macam ini sure semua tak boleh. Semua boleh jadi heboh.

Saya sebagai penganut mazhab kepelbagaian ini hanya ingin mengheboh-hebohkan intipati kesucian semua agama - menentang kebatilan, melawan kezaliman dan melupuskan kejumudaan.

Heboh menghebohkan yang remeh-remeh tidak membawa kita kemana-mana. Ini yang menjadikan ‘sure kecoh'.

No comments: