Wednesday, September 01, 2004

Sambutan kemedekaan dan sekitarnya

Buku yang harus dibaca oleh rakyat Malaysia

Merdeka! British Rule and the Struggle for Independence in Malaya 1945- 1957

Seperti malam-malam Merdeka yang sudah, aku pasti tidak akan ketinggalan untuk turut sama merasai kegembiraan dan kemeriahan meraikan ulangtahun kemerdekaan negara yang mana telah mencecah angka 47 tahun ini. Tiga sambutan lagi sebelum mencapai angka 50 yang lazimnya suatu angka yang mempunyai signifikan tersendiri.

Sudah menjadi kelaziman aku untuk turun ke Bukit Bintang apabila ingin menyertai segala apa sambutan sama ada Merdeka ataupun tahun baru. Mengapa di Bukit Bintang? Secara ringkasnya aku memilih kawasan ini disebabkan oleh faktor crowd yang ada di sini yang pelbagai kaum walaupun majoritinya adalah kaum Cina serta crowd di sini pada luarannya kelihatan lebih urban dan progresif (dalamannya entahlah, mungkin lebih baik daripada anak-anak muda di Dataran Merdeka dan Suria KLCC, ini hanya satu tanggapan berdasarkan pengalaman).

Namun begitu, aku lebih tertarik ke Bukit Bintang walaupun menyedari acara-acara yang dilangsungkan kebanyakan menggunakan Bahasa Cina dan Bahasa English adalah kerana ia menggambarkan diversiti yang wujud di dalam masyarakat negara ini dan kebebasan memilih yang diberikan oleh negara.

Sungguhpun begitu, aku bersama rakan-rakan turut beranggapan bahawa pengasingan sambutan mengikut kaum-kaum tertentu (berdasar jumlah majoriti) dan penggunaan Bahasa Cina dan Bahasa English yang keterlaluan agak meresahkan dan perbincangan yang agak serius tentangnya perlu dilakukan.

Aku amat menghargai diversiti yang ada dan secara peribadi aku menginginkan suatu negara yang mana perkataan Bumiputera dan Bukan Bumiputera, Melayu, Cina, India, Sabahan, Sarawakian menjadi tidak relevan dan digantikan dengan suatu nama yang baru iaitu bangsa Malaysia. Mungkin di kala itu penggunaan nama kaum atau agama hanya akan digunakan untuk urusan-urusan yang bersifat peribadi seperti kematian dan sebagainya.

Aku kadangkala merasa resah dan gelisah apabila melihat anak-anak muda bangsa Melayu, Cina dan India di Bukit Bintang dan juga di tempat-tempat lain seperti Telawi, Desa Sri Hartamas gembira sakan bermain buih dan sembur menyembur foam spray (aku turut terkena apabila melalui Jalan Bukit Bintang semasa ingin ke Times Square). Bukanlah bermain buih dan sembur menyembur foam spray itu yang dirisaukan, apa yang diresahkan adalah sikap apathy, materialistik dan tidak ingin bercampur dan memahami dan mendalami budaya anak muda yang berlainan bangsa secara serius. Masing-masing lebih selesa untuk bercampur gaul dengan rakan sebangsa dan kemudiannya membebel dan mengutuk itu dan ini tanpa ada daya usaha untuk berdampingan.

Namun begitu ada sedikit berita yang agak melegakan iaitu apabila membaca laporan Merdeka Survey di dalam sisipan khas Merdeka akhbar The Star 31 Ogos. Menurut kajian ini, peratusan yang mengatakan mereka memilih rakan yang mempunyai minat dan hobi yang sama mengatasi mereka yang memilih rakan dari kumpulan etnik dan bahasa yang sama. Kajian ini disertai seramai lebih kurang 1000 responden pelbagai kaum yang mana aku yakin didominasi oleh golongan muda berfikiran progresif (aku dan Shin Shin turut menyertai kajian ini) dan pastinya tidak dapat menggambarkan perwakilan golongan muda Malaysia secara tepat.

Aku merasakan sudah sampai masanya dan mungkin sudah lewat barangkali untuk kita cuba menggunakan kelebihan yang ada di bumi bertuah ini iaitu kepelbagaian kaum penduduknya sebaik yang mungkin. Sebaik mungkin yang bagaimana? Aku melihat cara yang terbaik untuk merayakan kepelbagaian kaum yang wujud di negara ini dengan penuh kejujuran adalah dengan cuba mencari hobi atau minat yang tertentu yang kemudiannya disusuli dengan mencari rakan sehobi dari kaum-kaum yang berbeza, sebagai contoh di dalam sukan, PC game, politik dan lain-lain. Selepas itu, cuba untuk mencari ruang ketika sedang melepak di mamak atau Starbucks dengan berbincang tentang isu-isu penting dan sensitif di dalam negara sejujurnya dan jika berdaya, fikirkan sekali jalan-jalan penyelesaian yang mungkin boleh dipraktikkan.

Mungkin apabila sudah mencapai tahap ini, langkah seterusnya adalah setiap individu harus mempelajari dan memahami selok belok budaya rakan yang berlainan bangsa dan agama. Kita harus ingat, jika manusia dilahirkan tanpa bangsa dan agama, kita adalah sama sahaja iaitu manusia. Kita juga dilahirkan tanpa diberi pilihan untuk menjadi bangsa dan agama apa, jadi mengapa kita harus terperangkap di dalam kepompong bangsa, bahasa dan agama kita sendiri. Kita harus meraikan kemanusiaan kita dan berusaha bersama-sama untuk memajukan manusia dari segi kebebasan, demokrasi, hak asasi, ekonomi, keadilan dan segalanya.

Aku amat menkagumi YB Teng Chang Kim, ADUN Sungai Pinang dari DAP yang begitu memahami dan mendalami adat budaya orang Melayu Islam dan fasih bertutur di dalam Bahasa Malaysia. Semasa berbual dengan beliau selepas tamatnya Diskusi IKD baru yang bertajuk, "Bolehkah Bukan Melayu menjadi Perdana Menteri Malaysia?", aku dan YB Teng amat bersetuju bahawa untuk mengurangkan polarisasi kaum yang wujud, langkah yang terbaik adalah dengan mendalami secara mendalam sejarah dan budaya masyarakat kaum yang lain.

Salah satu contohnya adalah dengan mempelajari bahasa ibunda kaum tersebut seperti orang Melayu mempelajari sama ada Mandarin, Kantonis, Tamil dan sebagainya. Begitu juga sebaliknya kepada orang Cina, India, Siam, Iban, Kadazan dan sebagainya. Tetapi agak menyedihkan adalah kedapatan segelintir rakyat yang tidak mahir berbahasa kebangsaan dan terkadang menjadikan Bahasa English sebagai lingua franca utama dan kadang kala dilihat telah menjadi ekstremis Bahasa English.

Secara peribadi aku merasakan salah satu cara untuk mencapai perpaduan adalah dengan tidak memperlekehkan bahasa kebangsaan dan jangan terlalu mengagungkan Bahasa English. Mengapa? Oleh kerana majoriti rakyat di negara ini adalah kaum Melayu yang mana di dalamnya terdapat pelbagai golongan seperti orang kampung, urban, kelas menengah, modernis, konservatif dan sebagainya. Di dalam Melayunya itu terdapat satu jumlah manusia yang tidak mahir dan malas untuk membaca, menonton dan berbicara di dalam Bahasa English yang mungkin agak besar bilangannya. Golongan ini akan mencebik dan mengatakan poyo apabila melihat rakan sebangsa membaca akhbar The Star dan yang sebahasa dengannya.

Aku tidak bermaksud kita perlu tunduk pada golonngan ini, apa yang aku ingin tekankan adalah hasil pemerhatian mereka ini juga sebenarnya tertarik untuk mendalami bahasa tersebut. Namun usaha itu terbantut dan rasa menyampah timbul apabila melihat ramai rakan sebangsa yang boleh bertutur dan membaca dengan baik bersikap poyo dan berlagak macam dah power gila walhal bahan bacaan yang dibaca bukanlah bertaraf intelektual dan karya-karya besar.

Rasa menyampah tersebut seharusnya dikutuk kerana ia memperlihatkan ketidakupayaan untuk memisahkan yang baik dan yang buruk. Satu lagi yang menyumbang adalah sikap pelampau golongan yang bertutur di dalam Bahasa English yang seperti seolah-olah ingin mewujudkan suatu elit atau feudal yang baru yang mana ia memperlekeh bahasa kebangsaan dan menganggap dirinya well versed dengan segala isu dan ilmu.

Perlu diingat, kaum Melayu yang mahir di dalam penggunaan Bahasa English atau yang sering membaca, menonton, mendengar dan bertutur di dalam Bahasa English sekalipun seperti aku masih merasakan bahawa Bahasa Malaysia itu masih memainkan peranan penting kerana itu adalah sebahagian dari identiti kita.

Di sini, apa yang perlu dilakukan adalah kita setiap warga Malaysia wajib mahir bertutur di dalam Bahasa Malaysia, Bahasa English dan salah satu dari bahasa-bahasa dari kaum Cina, India dan sebagainya di masa akan datang. Seeloknya ia harus bermula dari kita anak muda iaitu sama ada melaui diri sendiri atau apabila sudah mendirikan rumah tangga, galakkan anak-anak kita untuk bercampur dan memastikan mereka mahir sekurang-kurangnya tiga bahasa. Apapun, kita harus bersikap sederhana dan tidak keterlaluan di dalam memaksakan penggunaan satu bahasa ke atas kaum yang lain.

Aku amat bersetuju dengan tulisan Fellow Kanan Penyelidikan di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaysia, Dr Patricia Martinez. Berikut adalah sebahagian intipati tulisan beliau;

Apa yang kita perlukan sekarang ialah ruang (nyata dan kiasan) dan kebebasan untuk memikir dan memperkatakannya secara terbuka mengenai kemampuan kita untuk hidup bersama tanpa menyisihkan masalah-masalah kita.

Kita perlu bersuara secara tertib dan sopan mengenai apa yang mengusar dan yang menyakitkan, tanpa perlu berkejaran ke balai polis untuk membuat aduan atau menyaman di mahkamah. Kita perlu mengukir kemahiran untuk melihat masalah-masalah ini dalam perspektif serta mengatasinya secara mesra.

Lebih-lebih lagi, kita perlu mengenal pasti dan menerokai bersama kegembiraan, kejayaan dan kebolehan yang kita telah sama-sama kita semai mengenai kehidupan kita sebagai rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia perlu menguasai diri supaya berani bersemuka antara satu sama lain, dengan menepikan anggapan bahawa dialog antara agama hanya boleh dilakukan oleh mereka yang terpelajar dalam bidang agama. Ini benar hanya apabila kita membincangkan perkara-perkara keagamaan yang mendalam di khalayak ramai.

Tetapi jika kita membenarkan rakyat memahami bahawa perkara ‘dialog antara agama’ adalah sesuatu yang kita lalui setiap hari, walaupun pada peringkat tidak rasmi, maka kita juga membolehkan mereka menyedari mengenai betapa mereka telahpun memilik kebolehan, kewarasan dan pengalaman untuk berhadapan dengan pertembungan antara agama (dan antara kaum).
Melihat edisi-edisi khas Merdeka yang dikeluarkan oleh media-edia cetak seperti The Edge, The Star, Utusan Kosmo (akhbar baru kumpulan Utusan), NST dan The Sun memperlihatkan point of view yang pelbagai. Aku secara peribadi lebih menggemari Options2 keluaran merdeka (diterbitkan sebulan sekali oleh akhbar perniagaan The Edge) dan The Sun weekend.

Membaca kata-kata artis tentang makna kemerdekaan di ruangan hiburan akhbar Berita Harian memperlihatkan sekurang-kurangnya kepada saya tentang kecetekan yang ada pada benak fikiran artis kita yang mana dianggap role model oleh sebahagian anak muda. Namun sekalung tahniah kepada Sharifah Aleya yang pernah dihentam oleh wartawan hiburan Utusan Melayu (kalau tak silap, kalau silap maknanya wartawan hiburan Berita Harian) kerana kenyataannya yang mengatakan dia bukan seorang Melayu. Berikut adalah makna kemerdekaan bagi Sharifah Aleya, Fasha Sandha bagaimana pula? hehe,

“KEMERDEKAAN adalah kebebasan dalam segenap segi. Ia adalah kebebasan untuk kita meluahkan perasaan dan kata-kata, kebebasan untuk mempertahankan apa yang kita percayai dan melakukan sesuatu yang ingin kita lakukan. Begitu pun, ia harus juga mengikut lunas tertentu dan biarlah berpatutan. Saya juga berharap, tiada lagi unsur perkauman dalam negara kita. Biarlah semua rakyat, tidak kira bangsa dan agama, berfikiran secara orang Malaysia, bukan sebagai orang Cina, Melayu atau India.”

Perlukah kita mempunyai kontrak sosial yang baru? Adakah kontrak 47 tahun yang lepas masih relevan dengan kehidupan sekarang? Apapun, fikir, renung dan bertindak!

No comments: