Naratif Reformasi
Oleh Hishamuddin Rais
Anwar dapat bebas
Wan Azizah dapat suami
Nurul Izzah dapat ayah
Dolah jadi menteri
Kamu dapat apa?
(Potongan ayat-ayat kontot yang terputus-putus yang cuba dinobatkan sebagai sebuah sajak yang telah dibacakan di rumah Pena pada malam kedua sesudah Anwar dibebaskan)
Alangkah indahnya jika hikayat Seribu Satu Malam itu benar. Dan saya diberi peluang untuk meminta sesuatu dari jin penjaga Lampu Aladdin. Saya akan melutut menangis merayu meminta agar dicerahkan kembali fikrah bangsa Malaysia yang selama dua dekad ini telah menjadi begitu gelita.
Otak gelita yang semakin berjelaga ini telah tidak lagi berupaya untuk melihat sesuatu yang halimunan, sesuatu yang tidak dapat dipegang, sesuatu yang tidak dapat dimasukkan ke dalam saku.
Fikrah yang telah dibonsaikan oleh hegemoni daulah telah gagal membaca naratif Gerakan Reformasi. Tidak berupaya membaca/memahami naratif ini samalah seperti seorang pengantin yang gagal untuk memahami erti suci perkahwinaan selain dari mendapat kebenaran untuk membuka coli si isteri atau menanggalkan seluar sampak si suami tanpa gangguan Jawi atau Jais.
Saya tidak akan bersilat lidah untuk menerima ayat - apa kamu dapat dari Reformasi - jika ayat-ayat ini didendangkan oleh anggota FRU atau polis cawangan khas. Kerana inilah bentuk-bentuk ayat yang dimasukkan ke dalam cuping semasa saya menjalani soal siasat ISA. Mengeluarkan ayat-ayat kontot tanpa difikirkan maknanya dengan mendalam adalah 'tanda perniagaan' bagi pihak yang diupah untuk mempertahankan sebuah regim yang nazak.
Tetapi jikalau ayat-ayat berbentuk ini dihamburkan oleh para seniman, penyair, pejuang bahasa, nasionalis Melayu atau pemikir bangsa, maka saya akan menjadi gundah gulana. Saya bukan berhiba hati berhadapan dengan si penyair atau si nasionalis bahasa ini. Saya merasa gundah bila berhadapan dengan bangsa yang dijadikan khalayak pendengar ayat-ayat kontot ini.
Kejujuran
Betapa sedihnya buat satu bangsa jika para sasterawannya, para pemikirnya, para senimannya dan para inteligensianya tidak dapat lagi mengeram dan menelurkan fikrah-fikrah yang mengampuhkan kebenaran dan jejujuran. Betapa moyoknya bangsa ini jika para pemikirnya hanya berupaya menerbitkan majalah yang dipanggil Pemikir tanpa isi fikrah didalamnya
Bayangkan para seniman bangsa ini tidak berupaya lagi menggarap kerja-kerja seni selain dari seni-seni genre bodek dan ampu. Bayangkan betapa banalnya kerja-kerja seni yang tidak menolakbuka ruang baru untuk memeranjatkan bangsanya dari terus berkhayalan tentang rekod ketupat terbesar di dunia. Bagitu merosot sekali budaya bangsa ini jika para inteligensianya hanya pandai mengukur nilai dengan tukaran mata wang. Tetapi inilah hakikat bangsa kita - yang telah tergelincir jauh dalam penobatan nilai kebenaran dan kejujuran.
Saya mengakui secara saheh dan terbuka disini bahawa kami - para reformis yang telah turun ke jalan raya - memang tidak mendapat apa-apa dan tidak akan mendapat apa-apa pun dimasa hadapan. Apa-apa yang saya maksudkan di sini ialah apa-apa yang boleh dipegang, dijual, disimpan, dimasukkan ke dalam bank atau apa-apa yang boleh dijadikan modal untuk memperkaya diri.
Para reformis tidak pernah memikirkan untuk mendapat itu atau mendapatkan ini. Dari pengalaman saya bercampur gaul dengan ribuan yang turun ke jalanraya, ribuan yang datang mendengar ceramah dan puluhan yang masih diadili oleh mahkamah - mereka tidak pernah mengharapkan apa-apa.
Apa yang dianugerahkan oleh Gerakan Reformasi kepada para reformis ialah naratif untuk menjadi manusia jujur yang berani berkata benar. Inilah hadiah yang agung dari Gerakan Reformasi. Untuk saya berani berkata benar adalah nilai utama yang memisahkan antara susuk manusia atau susuk amoeba. Manusia bukan organisma ringkas seperti amoeba atau hydra. Manusia diwujudkan dengan nilai-nilai dan ciri-ciri kemanusiaan.
Berani berkata benar adalah meta naratif perjalanan tamadun manusia. Baca dan rujuklah al-Quran, Injil, Taurat, Bhagavad Gita, I-Ching - semua kitab-kitab suci ini membawa naratif berani berkata benar. Carilah kitab-kitab kuno atau dengarilah ceritera-ceritera rakyat dari semua benua - pasti akan ditemui naratif kejujuran dan keberanaian insan. Keberanian berkata benar ialah meta naratif yang melahirkan kejujuran, ketelusan dan keadilan.
Menilai kebenaran
Untuk mereka yang masih di tahap ameoba atau hydra, saya ingin memperingatkan bahawa di dalam hidup ini tidak semua perkara dapat dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. Tidak semuanya dapat ditimbangtara untuk dijadikan 'pink form'. Gerakan Reformasi tidak mungkin dapat dinilai dengan keluasan tanah atau number akaun bank di Zurich. Kejujuran dan kebenaran
memang tidak akan disenaraikan di Bursa Malaysia.
Berani berkata benar untuk menumpaskan kezaliman dan menegakkan keadilan ini bukan satu nilai kebendaan. Berkata benar dengan jujur tidak boleh dilelong dan tidak mungkin akan ditemui di gedung Giant atau di kedai-kedai Bundle. Keberanian berkata benar adalah nilai asas pengerak tamadun manusia. Nilai ini adalah asas penggerak dialiteka manusia - dialektika antara salah dan benar. Dialektika inilah yang menolak manusia itu untuk dijelmakan kemanusiaanya.
Gerakan Reformasi bukan hanya mencabar kemanusiaan para reformis tetapi ianya juga telah menghadiahkan satu cabaran kepada keseluruhan kemanusiaan bangsa Malaysia. Untuk pertama kalinya, seperti datuk dan ayah ibu kita di zaman Jepun dan British - warga Malaysia telah dihadapkan dengan pilihan. Memilih yang salah atau memilih yang benar. Bersama yang adil atau bersama yang zalim. Mengangkat senjata melawan Jepun dan British atau menjadi ameoba.
Memang betul setiap detik dalam hidup ini kita dipaksa untuk membuat pilihan. Tetapi pilihan yang kita lakukan saban hari itu adalah pilihan idividu. Individu diberi kebebasan untuk membuat pilihan - sama ada merayakan atau membanalkan kehidupan. Tetapi Gerakan Reformasi telah menghadiahkan kepada kita satu pilihan kolektif yang dapat menjalurkan arus tuju tamadun bangsa. Hanya para ameoba sahaja yang gagal untuk menilai ini sebagai satu yang agung.
Bayangkan bagaimana seluruh erti wujudiah kita sebagai manusia tercabar apabila kita berhadapan dengan pilihan salah dan benar. Bayangkan bagaimana otak kita bercongak berhitung bertimbang berkira untuk memilih salah dan benar. Bayangkan bagaimana para reformis berani tegak berdiri untuk berkata benar.
Hampir satu juta rakyat Amerika telah turun ke jalan raya di kota New York di akhir bulan Ogos dahulu untuk mengatakan kebenaran bahawa senjata pemusnah manusia tidak wujud di Iraq. Dua tahun dahulu hampir empat juta manusia dari pelbagai kota di dunia ini telah turun ke jalan raya untuk menyatakan kebenaran bahawa menyerang Iraq adalah satu perbuatan yang salah.
Para seniman
Mereka yang telah turun ke jalan raya itu tidak juga akan mendapat apa-apa. Tidak ada kontrak atau pink formyang akan menunggu mereka di New York. Apa yang mereka temui adalah diri mereka sendiri. Apa yang mereka capai ialah kejayaan bangun dan berkata benar. Jika ini bukan bukan satu yang agung maka saya akan melucutkan jawatan saya dari menjadi seorang manusia.
Jika jin alfrit penjaga lampu Aladdin itu wujud, saya juga ingin bertanya kepadanya tentang mengapa ramai inteligensia Melayu hanya berupaya melihat sesuatu jika benda ini dapat mereka pegang. Kenapa mereka hanya dapat menilai sesuatu jika benda itu boleh dibeli dari gedung Tesco. Kenapa dan mengapa mereka bagitu susah sekali untuk memilih yang benar dari yang salah.
Soalan cepu emas saya kepada jin alfrit ini memang telah lama berligar dalam kepala saya. Saya cuba mencari-cari jawapan. Saya selalu merenung dan cuba membayangkan apakah yang terlintas di kepala para seniman, para penulis, para nasionalis bahasa, para penyaer dan sasterawan Melayu semasa gelombang reformasi mula mengombak di seluruh negara enam tahun dahulu. Apakah mereka menutup mata dan telinga.
Lalu saya tergambarkan insan seniman seperti Susan Sarandon, Michael Moore, Tim Burton, Bruce Springsteen, Martin Sheen, Jessica Lange, Matt Damon, George Clooney, Julie Christie, Emma Thompson, Juliet Stevenson, Danny Clover, Sean Penn - semuanya turun ke jalan raya untuk berkata benar.
Mereka ini adalah senimanyang cun, bergetah, jambu dan berbakat. Atau saya tersalah anggap. Kerana mengikut istilah Utusan Malaysia, mereka yang turun ke jalan raya ini adalah 'pihak-pihak tertentu' yang suka membuat huru-hara. Mungkin juga Utusan Malaysia berkata benar kerana sehingga hari ini tidak seorang pun dari seniman ini yang dapat berlakon di slot Cerekarama TV3.
Saya juga akan bersimpati jika para seniman dan pekerja seni kita sedang mengharap kerja seni yang besar-besar. Pastilah mereka kesesakan masa untuk turun ke Jalan Tengku Abdul Rahman semasa gelombang reformasi mengombak. Tetapi dari apa yang saya perhatikan, hingga ke hari ini tidak juga muncul-muncul genre 'war and peace' dari penggarap seni kita ini. Certot (cerita kontot) yang saya baca di ahkbar-akhbar mingguan setiap Ahad masih lagi kontot dan bertambah kontot pula isinya.
Pusat serenti
Bagaimana agaknya dan apa pula yang wujud di dalam kepala penulis dan sasterawan seperti Arundhati Roy, Salman Rushdie, Gunter Grass, Tariq Ali - yang bukan sahaja menggarap kerja-kerja seni tetapi turut sama ke jalanraya untuk berkata benar. Pada hemat saya mereka ini bukanlah insan yang dianggap soleh dalam kamus agama Islam, tetapi apa yang menjadikan mereka berani berkata benar. Atau saya sahaja yang menganggap kerja seni garapan mereka ini bernilai walhal tidak ada pun buku mereka yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Saya bersedia memahami jika para inteligensia kita, para seniman kita, para penyair kita dan para penulis kita terdiri daripada kumpulan pemadat yang bermastautin di pusat serenti. Jika ini terjadi, pastilah mereka sedang berdengung khayal dan tidak ada kudrat untuk berjalan jauh. Saya wajib akur dan menerima ini sebagai hakikat. Tetapi dari pengetahuan dan pengalaman saya jika kita sedang berdengung, kita tidak akan menjadi takut.
Soalannya kenapa mereka takut untuk berkata benar. Kenapa mereka tidak dapat memahami naratif reformasi. Jika mereka takut, apa pula yang menakutkan mereka? Mahathir Mohamad aka Mahafiraun telah mengakui bahawa dia telah dijatuhkan walapun dilapik oleh Utusan Malaysia dengan perkataan 'bersara'. Apa pula jenis polong yang telah mengecutkan daya fikrah inteligensia kita?
Atau sebenarnya para seniman, penyair, sasterawan dan pekerja seni kita ini takut kerana ada kemungkinan certot dan sajak mereka tidak akan disiarkan di Mingguan Malaysia. Atau mungkin kerana mereka takut garapan seni mereka tidak akan diberi penilian oleh slot Cerekarama di TV3. Atau mungkin juga mereka tidak akan lagi menerima jemputan untuk menjadi 'Penyanyi Rock Dataran Merdeka'. Atau mereka tidak akan diiktiraf sebagai pemikir oleh Pemikir.
Jika inilah jawapannya maka saya akan ke Basrah untuk mencari jin alfrit penjaga lampu Aladdin itu. Jika saya bertemu dengan jin alfrit ini, saya tidak akan lagi mengajukan soalan cepu emas saya itu. Saya akan meminta jin alfrit ini memasukkan kesemua mereka ke dalam botol dan dicampakkan ke Kutub Selatan.
Mudah-mudahan botol ini akan ditemui oleh Mahathir Mohamad yang sedang berehat di sana. Diharapkan mereka akan berjaya untuk mendirikan Darul
al-Bodek di sana. Di sini saya tidak akan lagi ditanya oleh mereka 'kamu dapat apa?'
No comments:
Post a Comment