Mencari Wira Bangsa
Oleh Nik Nazmi Nik Ahmad
Pengarang tempatan termuka, Rehman Rashid, pernah berkata kita di Malaysia kekurangan wira. Tesis beliau tersebut dilontarkan kira-kira sedekad yang lalu. Meskipun banyak perkara sudah berubah di negara kita, tetapi nampaknya tesisnya kekal relevan.
Mungkin ada yang tidak bersetuju. Negara kita ramai wira, kata mereka. Lihat sahaja anak bangsa yang berenang menyeberangi Selat Inggeris, mendaki Gunung Everest, belayar mengelilingi dan lain-lain lagi. Kita punya wira bangsa yang menjadi pejuang dunia ketiga.
Saya tidak berminat mempertikaikan kebolehan dan pencapaian mereka. Saya tidak melihat diri saya sendiri memanjat Gunung Everest, merenangi Selat Inggeris atau belayar mengelilingi dunia. Tabik hormat dari saya atas kebolehan mereka itu.
Apa yang saya pertikaikan di sini ialah bagaimana kita menekankan perkara-perkara tersebut (yang kebanyakannya tidak layak pun ditulis di Guinness Book of Records, hanya di Malaysian Book of Records!) seolah-olah setakat itu sahajalah kebolehan negara kita melahirkan wira.
Lihat perbezaan antara dua rakyat Malaysia – Abdul Malik Mydin dan Lennard Lee. Yang pertama merenangi Selat Inggeris di tengah-tengah perhatian besar negara, dengan peruntukan kewangan dan latihan yang lengkap.
Pencapaiannya dianugerahkan gelaran ‘Datuk’. Lennard berenang sendiri dengan sokongan bapanya, dan tamat jarak yang sama, hampir separuh dari masa Abdul Malik. Saya tidak kisah dengan gelagat Lennard – beliau lakukan semata-mata dengan usaha dirinya sendiri.
Tetapi publisiti terhadap Malik dalam persiapannya, dengan sokongan kewangan yang besar – rasanya tidak kena pada tempatnya. Ada banyak lagi isu yang lebih besar yang harus kita tumpukan.
Pokok pangkalnya, jika benar bahawa kebolehan Malaysia terhenti di situ sahaja, maka ia satu tragedi bangsa. Hakikat bahawa mereka itu kita agung-agungkan sebagai wira bangsa, membuka pekung di dada kita, tentang kecetekan bangsa Malaysia.
Perasaan kekurangan wira ini lahir dari pembangunan pesat Malaysia. Dalam usaha kita untuk menjadi negara maju secepat mungkin, timbul rasa kelemahan dari aspek ketamadunan dan budaya bangsa kita. Kita sedar bahawa kita juga perlu wira untuk menjadi negara yang gah di persada dunia.
Pencarian yang kurang berhasil ini menjuruskan usaha mencipta wira seperti perkara-perkara lain di dunia – usaha segera mahu melahirkan wira dalam sekelip mata. Duit ditabur dan publisiti diberi, dan tasawwur kita mula tersasar. Malangnya, mencari wira ini bukan seperti membina KLCC – cukup dengan wang ringgit yang mencurah-curah – tetapi lahir dari kekuatan pemikiran dan kerohanian rakyat Malaysia.
Seorang wira harus menjadi model atau contoh untuk rakyat umumnya. Beliau seharusnya telah melakukan pelbagai perkara yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat untuk melayakkan gelaran wira tersebut. Seorang wira harus berani, dan tindak-tanduknya memberi kesan yang besar dan mencipta pembaharuan di dalam negara.
Seorang wira ialah seorang individu yang mampu menjadi sumber inspirasi. Mungkin mereka yang merenangi Selat Inggeris boleh dimasukkan dalam kategori ini, misalnya, tetapi janganlah kita menjuruskan pencarian wira kita di situ sahaja.
Bagaimana dengan mereka yang berani mempersoalkan pemerintah? Bagaimana dengan mereka yang berbeza pandangan dengan pandangan umum? Adakah mereka yang mempunyai wawasan janggal tidak boleh dihormati?
Kita lihat sahaja di awal perjuangan kemerdekaan kita. Ramai di negara yang belum yakin akan kebolehan negara kita untuk merdeka. Kita ada tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin Al Helmy, Tunku Abdul Rahman, Dato’ Onn Jaafar dan Tan Cheng Lok yang mempunyai visi berbeza.
Tetapi semuanya mahukan negara kita merdeka. Kadangkala visi mereka berlawanan, namun untuk mengatakan Tunku Abdul Rahman seorang sahaja di antara mereka itu yang menyumbang ke arah kemerdekaan ialah satu kesilapan yang besar.
Semua antara mereka mempunyai jasa dan bakti ke arah perjuangan kemerdekaan, cuma kejayaan visi mereka direalisasikan berbeza-beza, dan pengaruh mereka terhadap kemerdekaan juga tidak sama.
Dalam kita mencari wira, jangan terkejut jika ramai di antara mereka yang diISAkan, dipenjarakan atau dicalit oleh propaganda. Ada yang telah banyak berjasa tetapi disisihkan oleh media. Mungkin atas sebab itu, kita berasa kita kekurangan wira.
Mungkin atas sebab itu juga, ramai yang takut menjadi wira. Mengalami semua perkara tersebut tidak menjadikan mereka wira semata-mata; tetapi tidak juga menidakkan mereka dari menjadi wira. Ukurannya – kesan mereka terhadap kehidupan masyarakat umum, kejujuran kepada pendirian dan keikhlasan berjuang.
Hujung bulan ini, pada tarikh keramat Merdeka, filem Puteri Gunung Ledang akan mula ditayangkan. Selain dari signifikan komersial, adakah mungkin ini berkait rapat dengan kekurangan wira dalam diri kita sehingga kita berharapkan sebuah filem belasan juta ringgit untuk menjadi penawarnya, sekurang-kurangnya dalam dunia olok-olok?
Biar tanggal 31 Ogos tahun ini menjadi detik kita mencari individu bernama wira tersebut, yang mampu mengejutkan kita dari lena bermimpi yang terlampau panjang ini.
No comments:
Post a Comment