Friday, September 24, 2004

Hari kedua di Singapura


Esplanade dari Merlion

Setelah bangkit dari lena pada pukul 12.30 tengah hari, waktu yang memang telah aku programkan sebelum melelapkan mata pada pukul 5.30 pagi. Aku bergegas bersiap-siap untuk memulakan kembara hari kedua di kota singa ini.

Hampir pukul 2, aku dan Shin menaiki MRT dari stesen Comonwealth untuk ke stesen Raffles. Setibanya di sana, kami terutamanya aku mengambil kesempatan untuk mengambil gambar kenang-kenangan di kawasan sekitar seperti di Asian Civilisation Museum Empress Hotel, Boat Quay, Merlion dan Esplanade.

Pemandangan berlatarkan bangunan konkrit dan unik yang berada di kota singa ini menjadi pilihan utama kerana aku agak berminat dengan struktur-struktur begini. Walaupun mungkin di sebaliknya tiadanya roh atau sangat superficial, aku mengambil sikap tidak apa kerana ini adalah kunjungan pertama dan pastinya trip selepas ini, aku tidak peduli untuk melawat atau mengambil foto jika ia adalah demi untuk sekadar pergi dan bergambar.


Di hadapan Esplanade

Kemudian kami memutuskan untuk makan terlebih dahulu di Marina Square sebelum ke Suntec City dan mengambil bas untuk ke Cable Car station yang menuju ke Pulau Sentosa. Sentosa adalah sebuah pulau yang jika dilihat pada iklannya seolah-olah sebuah pulau yang indah dan penuh dengan fantasi. Aku mengambil sikap untuk beranggapan bahawa apa yang diiklankan itu pasti tidak akan sama.


Kereta kabel ke Pulau Sentosa

Ternyata tanggapan awal aku hampir tepat kerana tiada apa yang istimewa terutama bagi aku rakyat Malaysia yang diberi limpah yang banyak oleh Tuhan akan tempat-tempat menarik yang tidak superficial seperti Gunung Tahan, Gunung Ledang, Pulau Tioman, Gunung Angsi, Telok Segadas, Tasik Kenyir dan banyak lagi.


Pemandangan Singapura dari puncak Mount Faber

Namun jika banyak tetapi hanya duduk di rumah tidur dan menonton tv dan vcd baik lucah atau tidak, apalah guna kesemua anugerah tersebut. Jadi, jom cuti-cuti Malaysia! Namun sekalumg tahniah kepada pihak pengurusan yang menjaga kawasan tersebut dengan baik, sesuatu yang sukar dijumpai di negara Malaysia.


Pantai Siloso, Pulau Sentosa

Setibanya di Stesen Cable Car, kami berjalan menuju ke Siloso beach untuk sessi gambar sebelum menaiki monorel yang akan menjelajah sebahagian besar kawasan pulau. Setelah hampir 20 minit, kami berhenti di stesen 1 di mana kami dihidangkan dengan pertunjukan Musical Fountain yang indah, memang superb! Kali terakhir aku melihat persembahan seperti ini adalah di The Mines Wonderland ketika rombongan Kelab Usahawan sekolah aku, ketika itu aku di tingkatan lima.

Setelah mehgabiskan masa di Sentosa, kami menaiki MRT untuk ke Chinatown untuk meninjau-ninjau kawasan sama yang selalu aku kunjungi di KL. sebelum itu, kami megambil kesempatan untuk merisik tambang feri ke Pulau Batam di Indonesia di kaunter tiket yang terletak di Harbour Plaza. Manalah tahu mungkin satu masa nanti akuu ingin ke sana, tambangnya tidaklah membebankan, $23 untuk tiket pergi dan balik.

Setibanya kami di Chinatown, aku dapat juga berjumpa gerai yang menjual CD cetak rompak di mana harganya agak berpatutan lebih-lebih lagi pada rakyat Singapura. Satu CD berharga $4 dan VCD dan DVD agak berbeza sedikit harganya walaupun kebanyakannya berharga $9.90.

Setelah itu, kami berjalan untuk mencari tempat makan dan sesuatu yang aku dan Shin yang menetap di Singapura akui adalah ketidakmeriahan restoran, maple atau tempat makan yang ada. Tidak seperti di Malaysia, di sini amat sukar untuk mencari tempat makan atau kafe yang dibuka 24 jam atau sekurang-kurangnya sehingga pukul 2/3 pagi. Mungkin hari ini bukanlah malam minggu tapi ia tidak boleh dijadikan alasan kerana di Malaysia, tiada beza malam minggu ataupun tidak, betul tak?

Makanan halal tidaklah menjadi masalah di sini jika tahu tempatnya dan terima kasih kepada Shin kerana membawa aku ke tempat tersebut. Setelah hampa, kami ke Bugis Street manaiki bas yang agak unik iaitu bas panjang yang menggabungkan dua bas menjadi satu di mana di tengah-tengah terdapat alat yang menyambungkannya.

Setelah selesai makan dan tidak sempat membaca dan berborak lama kerana mamak restoran tersebut hendak menutup operasi. Kami menaiki MRT di Bugis ke Raffles untuk melepak di kafe yang terletak di kawasan Fullerton, malangnya ia telah ditutup.

Kemudian kami memutuskan untuk bersantai di kafe Coffes Bean di Boat Quay, satu kawasan yang digemari pelancong kerana di sini hampir semua kedai menyediakan minuman keras. Sepanjang perjalanan ke kafe Coffes Bean yang terletak di hujung, kami disapa oleh waiter-waiter yang cantik (Melayu pulak tuh..pergh!) untuk singgah ke premis mereka. Namun nasib kami tidak baik kerana Coffes bean sudah ditutup.

Akhir sekali, kami memutuskan untuk bersembang di satu Food Court berhampiran apartment Shin yang mana di sini boleh digelar mini Bangsar. Suatu pencarian yang menyedarkan kami betapa bertuahnya berada di bumi Malaysia. Seperti biasa, perbualan kami menyentuh senario politik dan masa hadapannya di negara tercinta Malaysia. Esok aku akan pulang ke KL dan bekerja pada pukul 9.30 dan berseminar tentang seni budaya pada sebelah malam dan pagi esoknya dan menonton Asian Road Racing Championship di Litar Sepang setelah tamatnya seminar.

Koleksi gambar hari kedua, klik di sini

No comments: