Monday, December 20, 2004

Ancaman pembiusan agama - Fathi Aris Omar

“The only knowledge that can truly orient action is knowledge that frees itself from mere human interests and is based on Ideas – in other words, knowledge that has taken a theoretical attitude” – Jurgen Habermas dalam Knowledge and human interest.

Agama boleh membawa kesan pembiusan pada fikiran. Mereka yang terbius minda tidak akan berfikir lagi berkali-kali dengan kritis sandaran-sandaran idea atau kenyataan yang pernah membentuk sesuatu wacana. Sebaliknya, mereka hanya mengitar semula apa yang pernah disampaikan oleh orang lain. Gejala ini saya gelar ‘muntahan otak’.

Orang ramai yang terkena pembiusan ini memang menyimpan hujah dan maklumat dalam fikiran. Malah dengan sandaran hujah dan maklumat itu, mereka ‘berfikir’ untuk menjana buah-buah fikiran lain. Tetapi apabila dirungkaikan, jelas sekali sandaran-sandaran itu tidaklah boleh diterima dengan baik.

Misalkan, ungkapan-ungkapan berikut: ‘Melayu mesti bersatu’, ‘alat muzik bertali itu haram’, ‘konsert (hiburan) itu meruntuhkan akhlak’, ‘berpakaian seksi boleh menggalakkan jenayah rogol’, ‘Islam penyelamat umat’, ‘Islam dibina di atas keruntuhan jahiliah’, atau ‘ulama pewaris Nabi’.

Apabila sandaran-sandaran ini diperiksa dengan rasional dan dilihat pula konteksnya yang lebih luas, bersandarkan ilmu-ilmu bantu kontemporari, akan jelaslah semuanya ini tidak dapat dipertahankan; malah lompong sama sekali. Tetapi orang yang terbius akalnya, yang tidak kritis, akan mengulang-ulang semula hujah ini dan mengembangkan lagi menjadi wacana-wacana lain.

Dengan keyakinan agama (kononnya ‘akidah’), semua sandaran palsu atau lemah ini beranak-pinak dalam pengolahan buah-buah fikiran kita tanpa disedari. Kelihatannya fikiran atau hujah rasional tetapi hakikat sebenarnya sekadar ‘muntahan otak’!

Terkena wabak

‘Muntahan’ kerana semua sandaran ini tersimpan di dalam otak tetapi belum diproses menjadi fikiran-fikiran yang benar-benar sedar, segar dan independen. Tiada sintesis tetapi sekadar ‘rojak’ maklumat yang bertempel-tempel. Dalam tradisi agama, ia disebut taklid. Maka, ketundukan jiwa dan akal ini layak juga dipanggil ‘taklidisme’.

Ibarat seseorang yang makan dan kemudiannya muntah, masih ada sisa-sisa makanan yang belum diproses – seharusnya menjadi tenaga (khasiat) dan bahan kumuh. ‘Muntahan otak’ tidak menjana khasiat untuk badan umat Islam dan tidak pula mempunyai sisa-sisa kumuh.

Gejala ini, perlu ditegaskan, tidak terkhusus pada golongan agamawan atau orang Melayu sahaja. Sama ada berpendidikan tinggi atau tidak, suka membaca buku atau tidak, semua orang dari semua bangsa boleh terkena wabak ini, wabak yang pernah disebut oleh Immanuel Kant sebagai ‘immaturity’dalam artikel tersohornya, ‘What is enlightenment?’

‘Tidak matang’ bagi Kant (di Jerman pada abad ke-18) dalam bahasa sekarang boleh disebut sejenis ‘minda terkepung’ atau ‘jiwa terjajah’ – yakni, rasa seronok bergantung pada buah-buah fikiran orang lain, gemar disogok idea dan rasa takut, tidak yakin menggunakan akal. Dalam pantun Melayu ada rangkap-rangkap ini: “saya budak baru belajar, mana yang salah tolong tunjukkan.”

Sebab itu apabila agamawan berdepan dengan hujah-hujah baru yang tidak mereka senangi, dari mulut mereka selalu terpacul kata-kata: “terlalu menggunakan akal”, “pakai akal sahaja”, “banyak guna akal” atau “terlalu rasional”. Kemudian, dengan sengaja, akal itu dipertentangkan atau dipolemikkan pula dengan wahyu.

Padahal akal itu seharusnya terintegrasi dengan wahyu dalam ‘maratibul’ ilm’ (seperti konsepsi epistemologi Islam). Golongan agamawan tidak sedar, akibat tertipu dengan kedudukan tinggi wahyu, bahawa akal itu sentiasa bergandingan dengan wahyu – tiada dikotomi melulu.

Mendewakan tradisi ulama

Berbanding bidang-bidang lain (misalnya politik), agama mencengkam jiwa dengan lebih kuat kerana adanya kepercayaan kuat kepada Tuhan, kitab suci, azab dosa, malaikat dan bidadari syurga. Ditambah pula projek mengkuduskan institusi ulama atau mendewakan tradisi ulama, kononnya ‘muktabar’, jumhur atau ‘warak’ tetapi tidak relevan dengan realiti semasa.

Agama bukan persoalan di atas muka bumi sahaja tetapi juga di alam kubur. Maka, kesan pembiusan ini sangat tebal menyelubungi akal kita semua seperti awan hitam pekat sebelum banjir besar di zaman Nuh.

Akibat dampak-dampak jiwa ini, ‘muntahan otak’ di kalangan agamawan dan pengikut mereka sama sahaja dengan gadis-gadis yang terkena bulimia nervosa – kerana terlalu ingin badan yang ramping berdaya ghairah, maka timbul kesan psikologi bahawa makanan yang diambil akan menggemukkan; oleh itu setiap kali makan, kesan psikosomatik badan lama-kelamaan akan menolaknya menjadi ‘muntah’.

Setiap kali ada kelainan hujah dengan kepercayaan sedia ada dalam fikirannya, seperti anutan yang diwarisi daripada kelompoknya, maka segera ‘muntahan otak’ pun terjadi. Di wajahnya akan tergambar ketegangan ‘intrinsic’, akibat daya tolak atau rasa jengkel yang tebal. Dengan itu, khasiat baru atau tenaga tidak diperolehi; sebaliknya ia mengikis tenaga dan khasiat sedia ada – lama kelamaan semakin kurus dan kering.

Pembiusan akal memang sifat istimewa hegemoni dan semua unsur politik, agama, ideologi atau tradisi ada unsur hegemoninya sendiri. Dari mana datangnya hegemoni dalam agama?

Bagi penganut Islam, wahyu sentiasa benar. Tidak ada kritik atau sisi buruk wahyu. Kebenarannya mutlak (pernyataan 1). Oleh itu iman, akidah atau kepercayaan Muslim sentiasa benar pula (pernyataan 2). Oleh itu, hujah agamawan yang berlandaskan wahyu akan sentiasa benar (pernyataan 3). Antara pernyataan 1 dengan 2, dan antara 1 dengan 3, wujud ‘gangguan’ sistem logik di sini tetapi sudah terselubung. Di sinilah bermula suntikan bius agama.

Kebenaran mutlak

Kegagalan hubungan logik antara pernyataan 1 dengan 2 melahirkan individu Muslim yang rasa serba cukup dan malas menimba pengetahuan (baru). Di hatinya terbisik kata, apa yang sedia dimilikinya akan membawanya ke syurga. Sementara kegagalan logik pernyataan 1 dengan 3 melahirkan gejala ‘pengkudusan ulama’ dalam masyarakat Muslim.

Projek pengkudusan ini didukung ungkapan dari mulut kaum ustaz-ustazah juga: “ulama itu pewaris Nabi” (hadis) dan petikan al-Quran, ‘innama yakhsallah min ‘ibadihi al ‘ulama’. Konsepsi ulama itu pula dipersempitkan kepada mereka yang hanya terdidik dalam tradisi agama yang kecil (yang sudah mengalami pengkhususan, seperti juga tradisi ilmu Barat).

Di negara kita, kegagalan logik pernyataan 1 dengan 3 merebak kepada satu lagi lapisan kepalsuan: tradisi itu menjamin kebenaran (pernyataan 4). Kepalsuan pernyataan 4 ini diuar-uarkan dengan kata “masa silam itu lebih baik daripada sekarang” sehingga kemuktabaran hujah tradisi dipertahankan tanpa fikir. Ia sebenarnya sejenis kepalsuan sejarah. ‘Muntahan otak’ bermula di sini.

Pernyataan-pernyataan 2, 3 dan 4 tidak menyimpan kebenaran mutlak; semuanya tertakluk pada kritik dan konteks. Semuanya wajar dikaji dengan mendalam dan terdedah pada penafsiran semula; mempertikaikan hal-hal ini tidak boleh dianggap ‘salah’ atau ‘berdosa’. Tetapi akibat pembiusan agama, agamawan tidak berfikir mendalam tentang hal ini. Mereka sering tertipu antara pernyataan 1 dengan pernyataan-pernyataan 2, 3 dan 4 – seolah-olahnya 2, 3 dan 4 sama taraf kebenaran atau kemutlakannya dengan 1.

Ulama kita tidak luas lagi mendalam sumur ilmunya, maka kemalasan itu diatasi dengan menyebarkan apa yang sedia dirumuskan (daripada tradisi). Langkah ini memang mudah, hanya memuntahkan semula apa yang telah ditelan dan kadar muntah itu pula bergantung pada apa yang pernah ditelannya. Tetapi selalunya yang ditelan itu warisan tradisi, jarang sekali tentang teori-teori kontemporari. Di sinilah ketakseimbangan itu wujud. Dalam ungkapan agamawan sendiri, mereka ini hanya ‘mengenali Islam tetapi tidak arif tentang jahiliyyah (baru)’.

Akibat-akibat buruk lain memang banyak; antaranya, program atau wacana agama lebih berorientasikan ideologi, bukan persekitaran realiti yang berubah-ubah. Kajian atau tinjauan sosial tidak berkembang dalam gerakan Islam – keghairahan untuk menyumbat atau menerap apa yang ada dalam fikiran agamawan lebih kuat daripada memahami masyarakat.

Pembekuan fikiran

Tetapi ganjil pula, Islam yang mereka imani itu sifatnya syumul, meliputi bidang kenegaraan dan pastilah melibatkan dasar-dasar awam. Betapa bekunya fikiran agamawan sehingga kata ‘ideologi’ tidak dapat diterima – hujah mereka, selalunya, Islam itu bukan ideologi! Yang kita maksudkan, bukan Islam wahyu atau mutlak (pernyataan 1), tetapi Islam dalam fikiran manusia (pernyataan 2, 3 dan 4), Islam yang telah ditafsirkan, yang telah diturunkan kepada makna manusiawi, sejenis ideologi.

Semua isu mahu dilihat daripada kaca mata fekah atau teologi (kononnya, inilah cara fikir atau cara hidup Islami) tetapi sempit sekali kefahaman kemanusiaannya – di sini dinamisme manusia tiba-tiba terhenti, lihat kembali hujah mufti-mufti tentang ‘Sure Heboh’, ‘Bollywood’ atau sambutan ‘Hari Valentine.’

Dimensi-dimensi lain daripada produk budaya, seperti Akademi Fantasia, majalah hiburan atau filem Barat tidak diterokai – semuanya ini, bagi mereka, hiburan yang ‘melalaikan’, merosakkan ‘akhlak’ dan ‘maksiat’.

Halal-haram hal-hal ini pula dilihat pada isu sama ada peserta (juga penonton) itu mengerjakan solat, menutup aurat, ‘bergaul bebas’ atau sebaliknya. Dari sudut pandangan kita, analisa fekah-istik seumpama ini sejenis pendangkalan isu dan menyesatkan umat Islam daripada mengarifkan diri dengan lingkungan mereka sendiri. Tetapi ulama, pemimpin politik Islam dan aktivis dakwah tidak pernah menggali dimensi-dimensi lain dan tidak juga sedar bahawa pendangkalan itu sejenis ‘jenayah fikiran’ terhadap umat.

Ajaibnya lagi, mereka yakin bahawa agama itu harus ditegakkan dengan memahami waqi’ atau realiti semasa! Padahal di negara kita, tidak ada seorang pun ulama yang mendalami antropologi atau teori budaya; tidak ada seorang pun ulama yang mempelopori isu-isu sains dan kritik terhadap filsafat moderniti!

Bagi agamawan, agama tidak pernah dan tidak mungkin ‘silap’ (perspektif yang terbentuk pada satah ideational) tetapi dilihat pada satah lain (misalnya sosio-agama) tidaklah benar. Dan mereka tidak lagi dapat memisahkan dua hal ini, malah dikelam-kabutkan pula. Islam itu syumul dan hanya ada satu versi sah, di luar versi ini dianggap ‘bukan Islam’.

Jadi, mereka tidak mengiktiraf ‘Islam Hadhari’, ‘Islam kiri’, ‘Islam kultural’, ‘Islam modernis’, ‘Islam tradisional’ (seperti Seyyed Hossein Nasr) atau ‘Islam liberal’. ‘Islam fundamentalis’ atau ‘Islam politik’ pula dianggap penghayatan agama yang syumul, satu-satunya versi sah; bukan satu cabang kontemporari agama.

Bagi agamawan, kerana mereka berasa diri telah bersandarkan agama (yang mutlak), mereka fikir mereka tidak mungkin tersilap. Tetapi bagi kita, mereka boleh silap seperti juga orang lain, termasuk kesilapan yang paling besar – kesilapan memahami agama dan merumuskan pandangan-pandangan agama dalam konteks kontemporari.

Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (6 Disember 2004). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com

No comments: