Friday, May 06, 2005

David Teo bikin panas

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MMP, David Teo yang disiarkan di ruangan hiburan akhbar Berita Harian 5 Mei 2005 pastinya mengundang pelbagai pandangan yang pro dan kontra. Berdasarkan apa yang penulis faham beliau ini adalah penganut setia Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang dirasakan sudah lapuk.

Penulis menghormati pandangan David Teo walaupun penulis berharap dasar itu dapat digubal semula supaya ianya bersifat inklusif untuk disesuaikan dengan konteks negara ketika ini. Penulis menyokong penuh filem yang dihasilkan dalam segala bahasa kerana ia menggambarkan kepelbagaian dan keunikan yang ada di negara ini. Namun di dalam masa yang sama penulis berharap supaya jangan ada pengarah-pengarah generasi baru ini mempertikaikan dan memperlekehkan bahasa rasmi negara ini, Bahasa Malaysia.

Hidup filem Malaysia, Melayu Malaysia, Cina Malaysia, India Malaysia, Iban Malaysia dll!

MMP cari 10 pengarah muda

Ditanya kenapa tidak mengambil saja pengarah baru yang kini sudah dikenali menerusi indie film dan mencipta beberapa kejayaan kecil di festival antarabangsa, David berkata: “Kebanyakan mereka buat filem yang tidak mencerminkan nama filem Malaysia, tidak ada rasa hormat pada kaum lain, menjatuhkan imej kaum lain malah imej Malaysia sendiri.”

Bagaimanapun, David enggan mengulas siapa yang dimaksudkannya tetapi mengaku beliau tidak menyukai konsep kebanyakan filem yang dihasilkan pengarah muda sekarang kerana selain tidak ada elemen komersial, filem itu juga tidak menunjukkan unsur perpaduan bangsa dan nasionalisme sebagai rakyat Malaysia, apatah lagi dihidangkan di festival luar negara.

“Kenapa buat filem Malaysia guna bahasa Inggeris, kita ada bahasa rasmi. Filem India tidak guna pun sepenuhnya bahasa Inggeris, begitu juga filem Thailand dan Filipina. Saya lebih suka buat filem Malaysia yang guna bahasa Melayu, semua rakyat Malaysia kena faham bahasa Melayu. Tidak salah selitkan Inggeris atau bahasa Cina dalam satu dua babak tetapi apabila hampir seluruh cerita dalam Inggeris dan Cina, itu bukan filem Malaysia.

“Saya rasa, Dasar Kebudayaan Kebangsaan kena diserapkan dalam filem Malaysia. Seperti orang kata, filem itu seni budaya kita, jadi kena ada nilai budaya yang positif untuk filem kita. Saya selesa buat filem Melayu walaupun saya penerbit berbangsa Cina tetapi saya rakyat Malaysia. Sebab apa? Saya sendiri selesa dalam masyarakat Melayu sebab dari kecil saya bergaul dengan Melayu. Jadi, unsur muhibah yang betul harus ditunjukkan dalam filem, bukannya unsur muhibah yang nampak jauh di hati penonton.

No comments: