Monday, May 09, 2005

Soal & Jawab (Q&A) bersama Fathi Aris Omar

ISU: Politik Melayu, budaya demokrasi & sikap independen, Siri 1

Kenapa dan di mana ‘bahaya’ politik kita?

Politik kita (Melayu, umumnya) menyimpan ‘bahaya’ kepada pemikiran kita kerana sifatnya yang sangat berpihak (partisan). Kecenderungan berpihak ini membiakkan lagi beberapa gejala negatif, tetapi sayangnya tidak diperhatikan, tidak dikenali dan dibahaskan dengan baik. Kecenderungan ini muncul kerana sifat dan budaya kita yang sangat tajam perseteruannya.

Apakah penyebab atau punca-punca yang memunculkan kecenderungan negatif ini?

Ada beberapa faktor yang mendorong kecenderungan ini. Ia saling berkaitan antara satu sama lain, bukan satu faktor sahaja. Ia bertindih dan bertaut dalam satu jaringan yang kompleks, beberapa lapis. Secara mudah, kita boleh nampak faktor-faktor berikut (antaranya):

(a) suasana yang tidak bebas dan tidak berimbang (tidak demokratik),
(b) pengaruh wacana agama yang menyuburkan keyakinan hak/benar/suci/iman dengan lawan politiknya yang dianggap kurang (atau tidak) hak/benar/suci/iman,
(c) masing-masing kumpulan bergegas untuk menang, maka mereka memajukan kepada orang ramai sisi-sisi benar diri (kumpulan) sendiri, dan mendiamkan sama sekali sisi-sisi lemah, palsu atau menyeleweng mereka; sebaliknya menunjukkan sisi-sisi buruk lawan politik mereka, mengabaikan sama sekali kebaikan pihak-pihak lawan,
(d) wacana baik-buruk dalam wacana politik ini pula dangkal sahaja, sarat propaganda (tapisan maklumat dan penyerongan perspektif), dan kurang perspektif teori atau sudut pandang yang meluas,
(e) pihak-pihak cerdik pandai Melayu yang lain ‘tenggelam’ bersama dua pihak ini (PAS dan Umno) atau ‘berdiam diri’ - mereka tidak turut serta menyuarakan hal yang luas, jujur, tenang dan kritis kerana faktor (a) di atas.

Dengan faktor-faktor ini, apakah kesan-kesan ‘negatif’ kepada masyarakat, sama ada mereka berminat pada politik atau tidak, misalnya anak-anak muda?

Masyarakat menerima satu-satu sisi hujah sahaja, tidak lengkap dan tidak luas. Sementara sisi itu pula kabur dan mengelirukan, tidak mendalam, tidak spesifik dan banyak waktunya tidak menunjukkan asal-usul sesuatu wacana politik itu berkembang. Hal yang sama bukan hanya terjadi kepada ahli-ahli politik, aktivis dan parti-parti politik.

Ia boleh mempengaruhi penulis-penulis kolum, pengamat politik, cendekiawan dan semua mereka yang mengikuti isu-isu politik. Apatah lagi jika mereka ini juga ada ideologi tertentu, ada kepentingan tertentu dengan pihak-pihak (parti) tersebut.

Kecuali, jika mereka berfikiran kritis dan menyedari faktor-faktor yang disebutkan di atas. Dengan menyedari faktor-faktor ini, mereka akan cuba mencari dan meneliti isu-isu politik dengan lebih luas. Dengan itu, mereka tidak terperangkap dengan wacana yang telah diserongkan, perspektif yang telah disempitkan dan propaganda selapis, atau, janji manis orang-orang politik.

Apa yang dihujahkan di atas itu memang sifat politik - semua orang ada kepentingan atau ideologi politik masing-masing. Jadi, bagaimana mungkin kita mengelak kesan-kesan negatif ini?

Tidak, apa yang muncul di negara kita ini bukan sifat ‘semula jadi’ politik. Ciri atau sifat politik kita ini dipengaruhi faktor-faktor yang dijelaskan tadi, misalnya suasana tidak demokratik yang menyebabkan banyak pihak cerdik pandai (atau kumpulan masyarakat terbabit) tidak dapat menyuarakan sisi-sisi pandang mereka sendiri yang independen.

Banyak pihak akhirnya bergantung, atau bersembunyi di belakang orang politik, menyalurkan aspirasi politik mereka melalui parti-parti yang ada. Jika mereka tidak senang kepada Umno, mereka ‘lari’ kepada PAS. Begitulah sebaliknya. Apabila mereka bersama sesebuah parti, sifat akal kritis mereka ditekan dan akhirnya lebur di bawah pijakan budaya sesebuah parti.

Sejak itu, mereka hanya nampak keburukan lawan politiknya sahaja dan melupakan keburukan dalam parti sendiri. Jika mereka berani menyuarakan (mengkritik) sesuatu melalui saluran di dalam parti, hal itu tidak diketahui oleh orang ramai. Maka masyarakat tidak tahu apa-apa yang bergolak di dalam sesebuah parti kecuali keadaannya sudah serius.

Jadi, budaya politik demokratik yang bagaimana yang harus kita suburkan?

Dalam sebuah negara demokrasi, semua pihak yang berminat boleh menyalurkan pandangan dan kritik politik mereka - sama ada kritik terhadap pemerintah atau pembangkang. Atau, kumpulan-kumpulan masyarakat lain yang cuba mempengaruhi dasar-dasar awam.

Boleh jadi mereka itu ahli akademik (sarjana sains politik, misalnya), wartawan, aktivis, mahasiswa, seniman, pemimpin masyarakat, wakil-wakil persatuan dan tokoh-tokoh di segenap peringkat. Mereka bukan orang politik dan mungkin tidak ada hubungan dengan parti-parti, jadi mereka dapat bersuara dengan lebih bebas, lebih jujur, lebih kritis, lebih bernas daripada ahli-ahli politik yang hanya mewakili kepentingan parti masing-masing.

Maksudnya, pandangan-pandangan politik yang ditawarkan kepada masyarakat itu banyak hala, banyak perspektif?

Ya, dalam budaya demokratik yang sebenar, politiknya berorientasikan wacana atau dialog beragam, pandangan mereka ‘jamak perspektif’. Mereka berhujah berorientasikan akal dan kajian. Mereka harus membentangkan kebernasan dan ketajaman analisa di depan masyarakat untuk dinilai dengan jujur. Mereka harus menyediakan program-program politik yang konkrit, bukan sekadar slogan-slogan kosong.

Jadi, tingkat kefahaman berpolitik masyarakat - di negara seumpama ini - memang tinggi. Masyarakat sentiasa waspada pada ahli-ahli politik, ada keghairahan untuk bersikap kritis pada kuasa politik dan orang politik.

Tapi persoalannya, budaya politik kita sekarang sudah tidak demokratik, memang sentiasa berat sebelah dan menguntungkan parti kerajaan sahaja. Parti-parti pembangkang atau aktivis masyarakat hanya mengikut keadaan atau arus politik yang sedia ada!

Di sinilah persimpangan isu yang harus kita waspadai. Jika kita mengikut arus tidak demokratik yang ada (yang dipelopori Umno-BN), lemas dalam percaturan politik saat ini (kononnya untuk memperbaiki keadaan tidak demokratik sekarang), tidak membuka wacana yang luas, rasional-kritis dan matang, kita sendiri tidak mendidik masyarakat. Kita tidak cuba mengangkat tingkat kefahaman wacana politik kita.

Jika kita juga menyebarkan propaganda, jika semua orang berpihak (sama ada pro-pembangkang atau pro-kerajaan), kita akan terperosok lebih jauh dalam senario tidak demokratik ini. Masyarakat akhirnya menjadi lemah. Masyarakat yang lemah kefahaman politik ini akan hanya mengikut secara membuta-tuli mana-mana parti atau ahli politik yang berjaya membuai-buai khayalan mereka.

Misalnya, dalam pilihan raya umum 1999, apabila mereka tidak senang dengan Umno-BN, mereka akan lari kepada PAS-BA pula. Dalam pilihan raya 2004, mereka kembali kepada Umno-BN. Tetapi lihat sendiri program-program parti-parti yang bertanding ini, apakah menguntungkan rakyat?

bersambung......

No comments: