Soal & Jawab (Q&A) bersama Fathi Aris Omar
ISU: Politik Melayu, budaya demokrasi & sikap independen, Siri 2
Di mana kita harus bermula? Bagaimana kita boleh menyuburkan budaya politik demokratik, budaya politik wacana dan jamak perspektif, di tengah-tengah keadaan yang tidak demokratik ini?
Harus ada penulis, pemikir, persatuan, mahasiswa, kumpulan anak muda dan media yang memantau parti-parti politik dan tema-tema yang ditolak dalam wacana persaingan sesama orang politik ini. Mereka ini jangan tergoda untuk turut berpihak. Sebaliknya, harus terus-menerus mengajak rakyat berfikir secara rasional, kritis, tenang dan membuka wacana jamak perspektif.
Maksudnya, rakyat sebagai sasaran politik jangan jadi seperti kerbau dicucuk hidung. Masyarakatlah yang menyuarkan sikap-sikap mereka tentang jenis budaya politik yang bagaimana yang mereka mahu, ahli dan parti politik yang mereka mahu, dan program politik yang bagaimana yang mereka mahu.
Persoalannya lagi, rakyat kita kelihatannya belum ‘celik politik’, mudah dibuai-buai propaganda parti politik masing-masing, sama ada media harian pro-kerajaan atau tabloid pembangkang. Rakyat lemah kerana tidak ada aktivis, media, pemikir dan kumpulan anak muda yang mendekati rakyat dengan format fikir demokrasi seumpama ini.
Inilah cabaran politik kita sekarang. Cabaran untuk mewujudkan demokrasi di negara ini bukan menggantikan parti pemerintah atau undang-undang yang sedia ada. Tetapi perubahan di peringkat ini, di peringkat struktur rasmi masih penting. Bukan tidak penting.
Isu pokoknya ialah perlahan-lahan kita menguatkan rakyat supaya mereka mampu berfikir kritis dan independen. Demokrasi harus dihidupkan dari dalam masyarakat, dari peringkat akar umbi. Demokrasi harus dijadikan budaya hidup.
Penyuburan demokrasi bermula dari penghayatan nilai-nilainya di tengah-tengah masyarakat. Rakyat harus bersedia bersuara, berwacana dan berunding dalam isu-isu konflik atau perbezaan politik mereka. Mereka jangan tergesa-gesa bergantung kepada kerajaan atau parti politik. Mereka harus mengendalikan urusan-urusan hidup mereka sesama sendiri.
Tentunya usaha mendekati rakyat seperti disarankan di sini tidak mudah. Tentu ada masalah-masalahnya. Antaranya, apa masalahnya?
Halangan di peringkat budaya ini pasti masih besar sebab rakyat itu sendiri sudah lama dipegang oleh parti-parti politik. Dalam masyarakat Melayu, semua sektor atau kumpulan, termasuk di peringkat akar umbi, sudah terkena tempias atau termasuk perangkap dalam jaringan parti-parti ini. Gejala ini harus diperhatikan dan diwaspadai.
Tugas ini boleh dijalankan - jika kita sedar - oleh kumpulan mahasiswa, anak muda, aktivis NGO, pemikir, penulis dan media independen. Sebab, mereka ini sahaja yang tidak ghairah untuk memenangi pilihan raya tetapi masih ghairah mengkritik sifat-sifat tidak demokratik parti kerajaan. Usaha ini memang mulia dan bagus. Kritik dan kempen mereka banyak membuka mata orang ramai.
Sayangnya, mereka terlalu dekat dengan parti-parti pembangkang. Di sini ada risiko yang sangat besar.
Apa risikonya? Bukankah mereka perlu bersatu tenaga dengan parti pembangkang untuk menentang pemerintah yang tidak demokratik yang menggunakan seluruh jentera birokrasi dan institusi di bawah kawalannya untuk menekan pengkritik kerajaan?
Risiko atau masalah ini bermula apabila kumpulan mahasiswa, anak muda, aktivis NGO, pemikir, penulis dan media independen mula ‘bermain mata’ dan ‘jatuh cinta’ dengan parti-parti pembangkang. Di sini pengkhianatan kaum terpelajar muncul tetapi tersembunyi di sebalik slogan indah ‘membina barisan bersatu untuk memperjuangkan demokrasi’.
Dalam usaha itu, mereka gagal bersikap independen, malah tersedut dalam permainan budaya berpihak yang telah dijelaskan di awal tadi. Mereka menjadi sebahagian rangkaian kerja atau jentera parti-parti pembangkang. Mereka fikir telah berjuang untuk demokrasi tetapi mereka sebenarnya tidak menuju ke arah demokrasi. Langkah ini langkah mundur!
Mereka sebenarnya sedang memburukkan lagi demokrasi dan menyuburkan proses pembodohan dalam masyarakat! Permainan politik kita, akibat saratnya propaganda, hujah dangkal dan tidak jamak perspektif sama-sama membodohkan akal awam (public) seperti mana yang telah dijalankan oleh media-media Umno dan BN selama ini.
Akhirnya, untuk menang, PAS atau BA berbuat hal yang sama. NGO, aktivis, anak muda dan mahasiswa kita juga sama sahaja! Sekali lagi, projek pembodohan masyarakat ini berkembang - semakin subur, semakin meluas.
Jadi, bagaimana bentuk hubungan atau layanan parti-parti pembangkang terhadap media, penulis, mahasiswa atau aktivis yang mengkritik mereka?
Mereka harus mengalu-alukan kritikan itu. Jangan menganggap media, penulis, mahasiswa atau aktivis ini ‘musuh’ mereka sebagaimana mereka berdepan dengan parti-parti kerajaan. Malah, kerajaan juga tidak seharusnya mendiskriminasi media, penulis, mahasiswa atau aktivis yang mengkritiknya.
Hubungan orang politik dengan sektor-sektor lain harus setara, sebagai rakan dialog yang jujur, terbuka, tenang dan rasional-kritis. Tetapi dalam budaya politik kita, orang politik sering berasa ‘besar kepala’!
Ringkasnya, agenda kita ke depan itu bagaimana formatnya? Apa untungnya agenda ini kepada orang Melayu khususnya dan masyarakat Malaysia umumnya dengan format demokrasi yang disarankan ini?
Kita harus menyuburkan budaya independen. Harus ada penulis independen, ustaz independen, pemikir independen, persatuan independen, guru independen, mahasiswa independen, kumpulan anak muda independen dan media independen yang memantau parti-parti politik dan tema-tema wacana yang ditolak kepada umum dalam persaingan sesama orang politik ini.
Individu-individu yang sayangkan Melayu dan Malaysia harus bersikap dan berjiwa independen saat ini. Ini sahaja ‘jawapan terbaik’ dalam senario dan kemelut politik kita. Sikap independen ini penting bagi memecah kebuntuan budaya politik kita yang terlalu berpihak, sarat propaganda dan membodohkan orang ramai.
Ber-independen itu maknanya apa? Apakah maksudnya kita tidak mempunyai pendirian politik atau tidak menceburi politik?
Independen bukan ertinya tidak peduli politik. Mereka prihatin pada isu-isu politik tetapi tidak mudah berpihak kepada sesuatu isu sehingga diperhatikan isu-isu dengan jelas, dengan jernih. Sehingga dapat dibentangkan kepada orang ramai duduk perkara sebenar. Jadi, terpulang kepada masyarakat untuk menilainya.
Jika budaya independen seumpama ini berkembang, pastilah tingkat ‘celik politik’ masyarakat kita akan dapat dipertingkatkan. Masyarakat seumpama ini berupaya pula merangsang parti-parti dan orang-orang politik agar menghargai wacana jamak perspektif, rasional dan pro-akal.
Sekarang, bagaimana sikap orang politik terhadap rakyat?
Sekarang, orang politik tidak menghargai wacana jamak perspektif, rasional dan pro-akal. Mereka senang menyebarkan propaganda, suka membakar emosi, mengelabui hujah-hujah, tidak jelaskan duduk perkara sebenar, dan tidak suka hujah berteori kerana (tersembunyi) dalam fikiran (andaian) mereka bahawa pendekatan seumpama ini sesuai untuk masyarakat.
Masyarakat mudah faham dan terima hujah politik kalau disuapkan pendekatan propaganda dan membakar emosi ini. Dengan kata lain, orang politik percaya masyarakat kita itu bodoh. Jadi, marilah kita sama-sama perbodohkan lagi masyarakat!
Permainan politik seumpama inilah yang berbahaya kepada orang Melayu dan Malaysia. Bersikap independen itu tujuannya untuk menentang projek pembodohan orang-orang politik kita, sama ada kerajaan atau pembangkangnya. Kita, anak-anak muda dan mahasiswa, harus bertegas melawannya!
No comments:
Post a Comment