Thursday, August 25, 2005

Pergelutan antara dua wajah Islam...

Oleh Fathi Aris Omar

“A spectre is haunting the Europe – the spectre of communism. All powers of old Europe have entered into a holy alliance to exorcise this spectre: Pope and Tsar, Metternich and Guizot, French Radicals and German police-spies” – Karl Marx dan Friedrich Engels dalam Communist Manifesto (1848)

Tradisi boleh menjadi berhala – suara ‘kebenaran’ yang dikuduskan sebagai tidak boleh dipertikaikan lagi. Campurtangan manusia dalam tafsir agama akhirnya ghaib entah ke mana, semuanya diperkirakan sudah beres dan mantap. Semuanya abadi seakan-akan wahyu.

Tetapi tidak semua aktivis dan pemikir Islam melihat agama seperti ini. Ada Islam ‘yang lain’, yang belum tuntas, yang bermasalah, yang menyimpan kontradiksi dan paradoks, dengan realiti manusia hari ini. Wacana-wacana tradisi dijungkir balik, disemak dan dikritik. Agama diusung ke ‘bengkel idea’ atau ‘makmal wacana’. Proses ini boleh dianggap berfikir dengan niat ijtihad walau mungkin tidak seketat syarat-syarat berijtihad yang lazim difahami.

‘Mempermasalahkan Islam’ bukanlah ungkapan dan kegiatan yang disenangi di Malaysia atau di negara-negara yang konservatif. Di negara-negara konservatif ini, agama dianggap sudah selesai, hanya tunggu kuasa negara dan pelaksanaannya sahaja. Tiada tekad politik yang menyebabkan Islam gagal ditegakkan secara syumul (sepenuhnya) di sini.

Masalah Islam bukan kelemahan teori atau isu kecacatan idealisme tetapi halangan di ruang amali. Hanya menunggu masa untuk diterapkan sepenuhnya, atau perlahan-lahan, dalam kerangka Islamisasi negara dan birokrasinya. Inilah paradigma ‘Islam tanpa masalah’. Jika ada masalah-masalah baru, kontemporari, kita kembali kepada tradisi.

Jawapannya sudah tersedia ada di sini (tradisi) kerana khabarnya ‘agama itu telah disempurnakan’, yang akhirnya membiakkan campur aduk antara wahyu dengan akal manusia (tradisi). Kenapa ramai orang yang konservatif dan tradisionalis itu bersandar pada tradisi?

Bersembunyi di sebalik tradisi menyeronokkan dan memberi ‘rasa aman’, rasa ‘beres’ dan ‘selesai’. Sikap ini sesuai untuk dua jenis manusia sahaja: (a) jahil dan fanatik dengan masa silam, (b) malas membaca, mengkaji, berfikir dan berbahas ilmu-ilmu baru. Fikiran yang tidak bergerak atau tidak luas cedukan pengetahuannya akan berkubu di sini. Kedua-duanya (a) dan (b) saling mempengaruhi antara satu sama lain.

Tetapi, sekali lagi, sikap beragama popular seumpama ini di Malaysia tidak disepakati di negara-negara lain atau di kalangan beberapa kumpulan aktivis dan pemikir Islam di serata dunia Islam, termasuk di negara kita. Golongan ini percaya, idealisme dan fikih (kefahaman) agama sekarang memang ada masalah yang belum tuntas, enggan diselesaikan atau jawapan yang sedia (tradisi) kurang memuaskan – beginilah lantai berhujah aliran ‘Islam itu bermasalah’.

Islam hitam putih

Sementara dalam paradigma ‘Islam tanpa masalah’ seperti di negara kita, agama dianggap mempunyai satu versi yang kukuh. Tradisi ilmunya mantap dan mengkagumkan. Islam tidak ada mazhab berfikir atau variasi (seolah-olah). Kenisbian pengalaman beragama tidak mungkin ada atau tradisi itu semuanya wahyu (kononnya), bukan mengandungi juga unsur-unsur produk akal dan produk budaya. Islam sentiasa homogen dan monolitik. Sekiranya ada perbezaan dalam isu-isu tertentu, semuanya itu isu ranting dan masih dalam kategori versi ‘Islam yang tunggal’ dan mutlak.

Oleh itu, umat Islam mesti diseragamkan dengan kefahaman ini. Tidak boleh ada sebarang pembaharuan atau idea lain. Tidak ada sisi lain agama, atau Islam ‘yang lain’ lagi. Semua baku dan piawai. Jika ada, harus diisytiharkan ‘sesat’ (kalaupun tidak murtad) dan diuar-uarkan mara bahaya ini, kononnya, kepada orang ramai.

Menganut paradigma ‘Islam tanpa masalah’ ini, atau sebut sahaja ‘Islam hitam putih’, mengundang masalah lain pula – ia pantang dicabar dan dipertikaikan. Ia sering dihantui jalur-jalur pelangi ragam tafsir yang rencam. Ia rimas mendengar riuhnya diskusi bersama simpang perenang idea di ‘makmal wacana’.

Aliran ‘Islam tanpa masalah’, walau mereka itu majoriti dan kukuh sekali hegemoninya, sentiasa berada dalam kebimbangan diasak oleh tafsir-tafsir tandingan (counter-discourse) walau kecil, di seberang laut atau belum tentu berpengaruh. Contoh paling klasik, kepercayaan Syiah (atau, di kalangan mereka yang lebih jahil, mazhab fekah selain Syafi’e) yang sering mengecohkan umat Islam negara kita.

Entah kerana cemburu, jahil atau taksub, mempertahankan kemapanan sesuatu tradisi rupa-rupanya capek sekali dan ‘tidak ekonomik’, ibarat mempertahankan sebuah empayar kekuasaan yang maha luas. Empayar blok komunis, misalnya. Kemapanan tradisi (atau birokrasi besar, bagi negara) ibarat gergasi yang lembam, gendut, malas, pasif dan mengantuk. Lalat yang berterbangan dianggap ‘musuh’ paling besar!

Soal ‘baru’ dan ‘lama’

Anak-anak muda hanya mengikut dan mewarisi apa-apa yang telah diterokai sejak tiga dasawarsa lalu, 1970-an. Baik atau buruk, maju atau mundur, lemah atau kuat – mereka ikut sahaja seperti seorang pekak dan buta. Apa lagi yang boleh dilakukan oleh generasi muda yang tidak kritis ini selain membenarkan hidung dicucuk?

Sebab itu, bahasa wacananya bahasa lama, tiada kosa-kosa kata baru muncul. Diulang tayang dan dikitar semula yang lama-lama itu kerana pemikiran kelompok sudah membeku. Cara berfikir baru, sisi baru melihat sesuatu (yang lama), pastilah membiakkan bahasa baru kerana paradigma baru tidak mungkin diungkapkan sepenuhnya dengan kosa-kosa kata lama yang mengendong konsep atau sisi pandang yang lama (sedia ada).

Lagipun, apakah orang muda ini tahu menilai perbezaan ‘yang lama’ dan ‘yang baru’ itu? Generasi muda rata-ratanya masih ‘mentah’ – soal ‘baru’ atau ‘lama’ bukan dalam kamus fikirannya. Kecuali digegerkan oleh mereka yang sudah berpengalaman dan jujur melihat realiti sekarang. Tetapi hal itu tidak mungkin disebarkan oleh orang-orang tua dalam gerakan ‘Islam tanpa masalah’ saat ini.

Lucu sekali, kerana sifat mengantuk dan lembam itu, aktivis-aktivis gerakan Islam malas mengiktiraf kelemahan asasi ini – masalah kebekuan dan kerendahan mutu generasi muda mereka sendiri.

Sebab paling utama, takungan ilmu dan budaya berfikir di pusat gerakan ini telah mulai cetek dan kering. Kesedaran agama makin meluas (hal ini mengkhayalkan mereka) tetapi kefahaman Islam kian dangkal dan tidak kompetitif (hal ini tidak disedari) – ibarat sapi yang diperah susunya setiap pagi tetapi tidak diternak dengan makanan berkhasiat.

Di saat ini, di saat gergasi gendut ini sedang mengantuk, tiba-tiba sekawan tebuan (bukan lagi seekor dua lalat) ‘Islam Liberal’ melintas laju di depannya. Mengkagetkan sekali apabila terdengar degungan sekawan tebuan itu – gergasi gendut pun tersentak dan ‘mengamuk’. Kebetulan ‘amuk’ itu memang sifatnya orang Melayu. Mereka bertanya sesama sendiri: “bagaimana sekarang? Islam kini mula dipermasalahkan lagi, sedang kita tidak pernah nampak agama ini ada apa-apa masalah?”

Islam Liberal

PAS apatah lagi, ‘Islam Liberal’ ini digambarkan sebagai lanjutan usaha anti-agama sejak Kamal Attartuk menjatuhkan kerajaan buruk Turki Osmaniah, gerakan anti-hadis dan ‘Islam hadhari’ yang berkonspirasi dengan beberapa yayasan Jerman untuk menyuntik faham liberal di negara ini.

Dalam keadaan terpinga-pinga itu, wacana dan sikap mereka terhadap ‘Islam Liberal’ tidak mungkin adil, wajar dan berimbang. Berlaku adil itu sendiri nanti – walau sangat dianjurkan oleh Islam – akan membuka pekung di dada sendiri. Jika terbongkar sekelumit kebenaran daripada wacana ‘Islam Liberal’ yang mereka perangi habis-habisan itu, maka akan terburai pula satu persatu kepalsuan paradigma mereka.

Penyokong mereka, generasi muda mereka, pasti akan goncang keyakinan – “oh, rupa-rupanya Islam itu belum beres, masih ada isu dan persoalan belum selesai.” Kotak Pandora ini, marilah kita kunci ketat-ketat dan diam-diam.

Inilah padah kepada mereka yang berselingkuh dengan propaganda selapis tentang agama, dengan nilai hidup beragama di Malaysia yang konservatif, tradisional dan tidak demokratik. Inilah padah apabila takungan pemikiran di pusat gerakan-gerakan Islam Malaysia mendekati musim kemarau. Mereka tidak sempat menggali perigi-perigi baru atau mendalamkan sumur sedia ada.

‘Islam Liberal’ dalam wacana mereka yang penuh ghairah, dinamik dan jamak perspektif mungkin sahaja terbabas atau tidak selalu mantap. Pasti ada lubang-lubang kelemahan dan sikap berlebih-lebih. Tetapi memang beginilah sifat wacana yang dinamik dan beragam – mereka sendiri mengiktiraf wujudnya jalur-jalur pelangi dalam beragama. Kelemahan tafsir adalah proses pembudayaan yang subjektif dan nisbi.

Namun, siapa yang boleh menyatakan bahawa semua isi wacana mereka ini ‘palsu’ secara totok sehingga tidak meninggalkan saki-baki kebenaran wahyu? Semua wacana itu suara “pendakwah di pintu neraka” yang mengambil ilham “orientalisme” dan idea “Kamal Attartuk” untuk “menyenangkan Amerika Syarikat”?

PAS, Abim dan JIM mengajak umat Islam, sekali lagi, bermain di padang propaganda dangkal, sejalur dan sepihak seumpama ini. Nampaknya mereka sengaja melambat-lambatkan proses mencari takungan ilmu baru daripada sintesis kreatif, antara dua ekstrem liberal dan fundamentalis yang sedang bergolak itu.

Bersediakah kita kehausan? Lambat laun, jika permainan sepihak diteruskan juga, umat Islam akan sedar bahawa bangkai gajah tidak mampu ditutup dengan lalang.

Tangan-tangan konspirasi

Untung propaganda PAS, JIM dan Abim buat masa sekarang kerana masih ramai anak muda tidak membaca dengan mendalam dan kritis, tidak merujuk sumber-sumber luar, dan masih percaya pada kata-kata manis gerakan agamawan.

Jika hal yang sebaliknya terjadi, bagaimana pula reaksi-reaksi wacana JIM, Abim dan PAS?

Kempen gerakan-gerakan Islam di Malaysia sekarang mengingatkan penulis ini pada ayat al-Qur’an: ana khairu minhu, khalaqtani min nari wa khataqtahu min tin – wacana ‘bertanduk’ untuk bersikap ‘besar kepala’ melulu!

Sama seperti dugaan Marx dan Engels sewaktu mereka berhasrat melancarkan manifesto itu dalam enam bahasa Eropah. Yakni, kuasa-kuasa tradisi (yang buruk dan kotor itu) mula rasa tercabar dan menentang pembaharuan idea!

Tidak seperti di negara kita, di Indonesia pendukung paradigma ‘Islam itu bermasalah’ bukanlah mereka yang tidak tahu berbahasa Arab sama sekali atau tidak pernah melalui tradisi keilmuan Islam. Pendek kata, mereka tidaklah boleh dianggap tidak akses kepada tradisi fikir agama seperti aktivis bukan agamawan di Malaysia (saat ini).

Di Indonesia, mereka menguasai (atau, cuba menguasai) kedua-dua wacana keilmuan sekali gus, agama dan disiplin kontemporari Barat. Dengan paduan inilah, mereka menyuarakan paradigma ‘Islam itu menyimpan paradoks’ dengan perkembangan semasa. Mereka mempertikaikan tradisi dan tafsir ‘orang-orang suci’ agama.

Mereka berjaya menghidu ada tangan-tangan konspirasi untuk membekukan (dan membakukan) fikiran agama yang nisbi. “Pemberhalaan teks dan pengabaian realiti,” kata Abd Moqsith Ghazali, penyelaras kajian Jaringan Islam Liberal (JIL), Jakarta.

Mereka nampak Islam tradisi menjadi bidak-bidak catur kekuasaan, negara, segelintir elit dan golongan bourgeois. Agama tradisi tidak menyemak kuasa negara, tidak mempermasalahkan tafsir agamawan, tidak pro-rakyat, tidak demokratik, tidak pro-kebebasan berfikir dan terkurung dalam wacana patriarchy.

Tetapi arus globalisasi dan ledakan pengetahuan itu akan merembes ke sini juga. Jika tidak memadai wacana Islam di Malaysia, buku-buku dan idea-idea dari serata dunia Islam lambat-laun akan singgah di pelabuhan wacana kita juga. Syukurlah semangat zaman ini, zeitgeist, bukan untuk tukang-tukang canang propaganda, tradisi dan kekuasaan.

Sampai bila kita mahu menyekat suara “pendakwah di pintu neraka” yang cuba “menyenangkan Amerika Syarikat” ini? Ketegangan dan kepalsuan yang bagaimana lagi yang kita mahu sebarkan untuk menutup fikiran dan mata umat Islam? - ehsan Malaysiakini.com, 28 Jun 2005

Sumber rujukan:

Komaruddin Hidayat dan Ahmad Gaus AF, ed. (2005) Islam, Negara dan Civil Society: Gerakan dan pemikiran Islam kontemporer, Jakarta: Paramadina

Luthfi Assyaukanie, ed. (2002) Wajah liberal Islam di Indonesia, Jakarta: Jaringan Islam Liberal

Nasr Abu Zayd (2004) Rethinking the Qur’an: Towards a humanistic hermeneutics, Utrecht: Humanistics University Press

Tulisan ini asalnya diterbit di dalam Ummah Online (22 Julai 2005). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com

Sila klik di sini untuk membaca artikel Fathi Aris Omar di laman web Ummah Online

No comments: