Album debut artis berbangsa Cina dari Labuan sudah dilancarkan 15 Januari lepas dan boleh didapati di beberapa kedai muzik terpilih seperti Tower Records, Speedy Video dan kedai-kedai kecil di Sungei Wang Plaza. Aku telah berjaya mendapatkannya di Sungei Wang dan ianya berharga RM29.90. Sehingga tulisan ini ditulis, aku telah mendengar beberapa lagu dan mula meminati lagu Mulakan, Cinta Hello Kitty dan Bintang. Jadi kepada sesiapa yang masih belum mendengar lagu-lagunya dan masih tidak yakin untuk membazir duit membeli album, sila klik di sini untuk preview.
Bahasa sebagai alat
Diharap lebih ramai lagi artis bukan Melayu mengikut jejak langkah Karen untuk menyanyi di dalam bahasa kebangsaan kerana aku yakin 'perpaduan' hanya boleh wujud jika kita menggunakan 'satu bahasa'. Jangan salah tafsir, maksud 'satu bahasa' aku di sini ialah BM masih merupakan bahasa majoriti di negara ini dan ia merupakan bahasa strategik untuk segala tujuan baik ekonomi, politik dan sosial kecuali di kawasan-kawasan bandar seperti di tempat aku, PJ yang mana bahasa majoriti dan strategiknya adalah BI. Jadi Karen mengambil langkah yang tepat jika hasratnya adalah untuk menguasai pasaran Malaysia. Jika Karen berjaya, mungkin di waktu itu bolehlah dikembangkan dengan menyanyi di dalam Mandarin, Cantonese atau English.
Setakat pengalaman hidup aku, orang Melayu sangat suka jika rakan-rakan bukan Melayunya mahir bertutur di dalam BM dan begitu juga sebaliknya teman-teman bukan Melayu sangat gembira jika orang Melayu mahir bertutur di dalam BI, apalagi bahasa ibunda mereka. Jadi marilah belajar bersama-sama untuk memahirkan diri kerana aku cukup yakin rakyat Malaysia masih terkongkong di dalam kelompok kaum masing-masing disebabkan bahasa kerana puak English speaking masih gagal 'berbicara' dengan kelompok yang bertutur Melayu atau Cina dan begitu juga sebaliknya. Jadi kepada mereka yang totok sangat English, Cina dan juga Melayunya, marilah mencontohi Jaclyn Victor, Vince, Karen AF, Suki dan kepada yang Melayu contohilah Cheryl Samad yang amat fasih BI dan juga BM . Kalau nak lagi fasih BM, belajarlah dari Janet Khoo dan Pang Chin Fei. Kata kunci di sini belajarlah sebanyak bahasa yang termampu terutama dua bahasa wajib iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa English kerana impak sosialnya amat bagus sekali.
No comments:
Post a Comment