Wednesday, November 19, 2003

Akhbar Melayu semakin positif kepada pengarah filem generasi baru

Akhir-akhir ini, akhbar berbahasa Melayu iaitu Utusan Malaysia dan juga Berita Harian melalui laporan bahagian hiburannya telah memberikan liputan dan artikel yang berbentuk sokongan terhadap filem dan kewujudan pengarah filem generasi baru.

Ini tidak dapat dinafikan adalah sesuatu yang menggembirakan kerana ia memberi kita pelbagai indikasi yang positif kepada dunia perfileman negara. Pertamanya, generasi ini boleh dikatakan mewakili aspirasi dan pemikiran rakyat Malaysia moden. Mereka ini adalah golongan yang jujur pada karyanya, berani, progresif dan independen.

Keduanya pula adalah faktor kepelbagaian kaum di mana tiada lagi istilah pengarah Melayu sahaja yang dominan. Realiti yang seakan cuba untuk ditutup selama ini adalah bahawa negara ini terdiri daripada berbilang kaum dan mengehadkan filem Malaysia hanya kepada filem Melayu Malaysia adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku.
Diharap nama-nama seperti Amir Muhammad, Osman Ali, Namron, James Lee, Ho Yuhang, Patrick Lee, Deepak Kumaran Menon dan ramai lagi akan menjadi identiti industri filem Malaysia.

Walaupun begitu, mereka tidak seharusnya leka dan selepas ini tanggungjawab dan peranan mereka semakin besar di dalam usaha untuk memartabatkan nama negara di mata dunia. Hasil kerja perlu dipertingkatkan dan kelemahan-kelemahan seperti kurangnya filem yang berwajah Malaysia dan kurangnya filem-filem yang bersifat revolusi harus ditangani.

Walaupun ia akan mengambil masa, usaha penghasilan filem-filem seperti itu harus dilakukan seiring dengan filem-filem genre yang lain. Sama ada generasi pengarah ini akan berjaya memenangi hati audien tempatan yang masih tersegmen kepada filem-filem tertentu, hanya masa yang akan menentukan. Jika gagal sekalipun, penghasilan fiem-filem yang tidak membodohkan ini harus berjalan.

Sejenak bersama Osman Ali
Nama Yusof Haslam di Itali
Yuhang dan James Lee ke Nantes, Perancis

No comments: