Artikel di bawah adalah hasil ihsan saudara Fathi Aris Omar
Bebaskan media, Pak Lah
Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan hebat semalam. Paling hebat dan punca utama penyelesaian masalah, jika jujurlah niatnya dan berjaya dilaksanakan. Banyak masalah masyarakat, khususnya di peringkat bawah, dan isu-isu kilanan dapat dirungkaikan. Dengan ini, usaha pembangunan, khasnya melibatkan kemajuan daya fikir, dapat diterokai lebih jauh dan maju.
"Beritahu saya perkara yang sebenarnya," katanya ketika merasmikan Konvensyen Kebangsaan Jentera Pilihan Raya Umum MIC.
"Sebagai seorang pemimpin, kita perlu mendengar apa yang benar. Kalau tidak sanggup mendengar apa yang benar tak payahlah menjadi pemimpin."
Beliau dilaporkan menambah, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional "perlu tabah, berani dan kuat untuk mendengar perkara-perkara yang benar agar tindakan yang betul dapat diambil untuk memperbaiki keadaan."
Malah, simpulnya lagi, jika maklumat yang diberi tidak tepat, tindakan susulan kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang timbul juga tidak akan menepati sasaran yang sebenarnya. "Ini akan mengakibatkan hilangnya sokongan (rakyat) kepada BN," kata Abdullah.
Dalam dunia moden hari ini, bentuk-bentuk komunikasi awam telah dianggap "mediated", tidak lagi langsung seperti dalam masyarakat pramoden atau kumpulan kecil. Dengan bahasa mudah, komunikasi pelbagai sektor dalam masyarakat disalurkan melalui media massa. Oleh itu, media massa harus memberi ruang yang luas kepada pelbagai pihak untuk menyalurkan keprihatinan dan rungutan mereka kepada kerajaan.
Dalam tempoh lima tahun sejak 1998, kerajaan telah bertindak secara sistematik dan keras kepada media, khususnya yang dikategorikan "independen" seperti majalah Detik, mingguan Eksklusif, tabloid Harakah dan akhbar web malaysiakini. Manakala akhbar harian dan stesen TV yang rapat dengan parti-parti kerajaan melaporkan berita yang berat sebelah. Ada waktu-waktunya tidak beretika.
Merebut pengaruh
Semuanya dilaporkan seolah-olah baik, dengan nada sedikit "mengampu" sedangkan masyarakat kita, khususnya Melayu, bergolak sengit. Setiap hari kita membaca dan menonton berita yang menunjukkan pertelingkahan kata-kata kerajaan dengan pembangkang. Politik, isu-isu semasa dan hal-ehwal masyarakat seolah-olah ruang orang politik merebut pengaruh.
Cerdik pandai, seniman, profesional, budayawan, ahli akademik dan aktivis yang mengkritik kerajaan dengan jujur tidak diberikan ruang untuk sama-sama memberikan pandangan. Beberapa wakil daripada kumpulan masyarakat ini dibenarkan bersuara tetapi hanya untuk mengampu.
Mereka tidak mewakili kejujuran dan kebenaran yang Abdullah inginkan ketika merasmikan konvensyen MIC semalam. Akhirnya terbentuk tanggapan seakan-akan isu-isu nasional hanyalah layak dikendalikan oleh orang politik semata-mata.
Ruang perdebatan pelbagai sektor masyarakat gagal disampaikan melalui media massa. Jika benar kepemimpinan Pak Lah ingin mendapat maklumbalas jujur daripada masyarakat, media massa ini harus memainkan peranan yang telus dan beretika. Persoalan ini terletak di tangan beliau sebagai perdana menteri dan juga menteri dalam negeri.
KAMI, aktivis serta pengamal media independen, ada waktu-waktunya percaya Abdullah menutup media-media bebas ini kerana mengikut sepenuhnya arahan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad - seorang pemimpin yang menghadapi asakan dari banyak penjuru akibat keputusan-keputusan politiknya yang kontroversi dan keras.
Tetapi sekarang, hujah sedemikian sudah tidak relevan. Malah, inilah masanya Abdullah menebus semula kesilapan dan kelemahan pentadbiran Dr Mahathir yang terlalu kuat mengongkong media dan kebebasan bersuara umumnya.
Kesan kongkongan
KAMI memang tidak pernah menuntut kebebasan mutlak. Kebebasan media sentiasa datang bersama tanggungjawab dan etika profesional. Tetapi kekuasaan juga tidak boleh mutlak. Kuasa politik harus sentiasa dimuhasabah oleh rakyat melalui media massa dan pentas-pentas kebebasan bersuara.
Kita (khususnya penyokong kerajaan dan orang ramai yang jahil) sering membuat tanggapan serong apabila ada kumpulan masyarakat yang menuntut kebebasan bersuara. Seolah-olah idea ini asing, datang daripada konsep hak asasi Barat, tidak sesuai dengan nilai Timur dan keperluan di negara ini.
Padahal, jika Abdullah jujur, beliau boleh melihat sendiri kesan-kesan kongkongan sepanjang lebih 20 tahun pentadbiran Dr Mahathir. Negara kita tidak sampai ke peringkat kongkongan ini dalam masa 24 jam. Ia memakan masa yang panjang, malah lebih panjang daripada era Dr Mahathir lagi. Perlahan-lahan kebebasan ini disempitkan di kampus, di bilik berita, di pentas politik dan di pentas seni budaya.
Cuba bandingkan tahap-tahap kongkongan pada 1970-an, 1980-an atau 1990-an di banyak sektor kehidupan dan juga kesan-kesan kelumpuhan berfikir akibat matinya perdebatan terbuka isu-isu nasional.
Berikan kembali ruang kebebasan seperti pernah wujud sebelum era Dr Mahathir -- sama ada di kampus, media, atau pentas seni budaya. Malah, perteguhkan hak-hak asas ini dengan memansuhkan peruntukan akta-akta yang mengongkong yang dipinda secara sistematik oleh Dr Mahathir dulu.
Akibat usaha kongkongan secara sistematik dulu, semua orang akhirnya membisu dan tumpul berhujah. Misalnya, pemimpin pelajar sekarang atau lewat 1990-an, ketajaman mereka berhujah jauh lebih tumpul dan sempit berbanding pemimpin pelajar 1980-an atau dekad sebelumnya. Ahli-ahli akademik pula makin kurang memberikan kenyataan media, apatah lagi menulis rencana-rencana.
Buktikan kejujuran
Pegawai-pegawai kanan kerajaan yang bersara tidak dirujuk. Seniman, budayawan dan cendekiawan kita menikus. Bayangkan, betapa besar dan banyaknya tenaga intelek kita dibazirkan akibat kongkongan media dan sekatan kebebasan bersuara.
Pada hemat saya, inilah "sumbangan besar" Dr Mahathir - meminda akta-akta dan menghukum pengkritik dengan keras sehingga membina suasana ketakutan yang luar biasa di kalangan kumpulan pemikir masyarakat kita, khususnya orang Melayu.
Abdullah tidak mempunyai banyak pilihan kecuali memberi ruang kepada sektor-sektor cerdik pandai ini bersuara kembali. Paling baik, jika stesen radio dan TV milik kerajaan menjemput mereka bersuara dengan jujur. Tetapi setidak-tidaknya benarkan mereka bersuara dengan jujur dan telus melalui media-media independen seperti malaysiakini, Detik dan Eksklusif. Dengan bahasa lain, kembalikan permit-permit majalah dan tabloid ini segera!
Kita mungkin tidak dapat merakam atau mengangkat realiti setepatnya -- ini memang masalah asas kemanusiaan -- tetapi jika media dijadikan saluran komunikasi awam yang jujur, telus dan beretika, ia boleh diharapkan untuk mengukur pergolakan-pergolakan sebenar di peringkat akar umbi dan dari pelbagai sektor masyarakat. Daripada sini, kerajaan BN dapat mengukur dan bertindak sesuai dengan keperluan rakyat.
Dengan bahasa Pak Lah sendiri: "Kita mestilah tahu apa masalah yang dihadapi rakyat supaya respons kita tepat untuk menjadikan tindakan ini satu tindakan yang berkesan."
Malah, beliau juga berhujah, jika kerajaan tidak menyelesaikan masalah rakyat, mereka akan kecewa kerana "lain yang dikehendaki, lain yang diberi".
Perdana Menteri dilaporkan berkata, beliau tidak hendak dibuai dengan "berita-berita yang seronok" sedangkan rakyat menghadapi pelbagai masalah dan hanya bergantung kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah mereka.
Malah, beliau menambah, kerajaan tidak akan memencilkan golongan minoriti kerana kerajaan percaya pembangunan negara perlu dikecapi oleh semua.
Akhirnya, kita akan ketahui juga sejauhmana jujurnya perdana menteri baru ingin mendengar kebenaran daripada akar umbi ...
Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (11 November 2003). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com
No comments:
Post a Comment