Artikel di bawah adalah hasil ihsan saudara Fathi Aris Omar
Mampukah kita berkata benar?
Tugas ketua pengarang, editor berita dan juga kumpulan wartawan media arus perdana hari ini lebih besar dan mencabar. Mampukah mereka merembes budaya mengongkong diri sendiri, atau self-censorship sebagai syarat asas untuk melapor kebenaran dengan jujur dan beretika?
Perdana menteri telah menyatakan niatnya beberapa kali dalam tempoh dua minggu lalu untuk mendengar kebenaran, untuk membolehkan rakyat bekerjasama dengannya dan untuk tidak melayan "pembodek".
Terus terang, sukar sebenarnya menduga niat Abdullah Ahmad Badawi apabila beliau mengulang-ulangkan niatnya itu, termasuk menyediakan alamat e-mel agar mudah dihubungi orang ramai dalam kempen mengurangkan karenah birokrasi.
Namun, lebih sukar lagi menduga reaksi-reaksi balas daripada masyarakat, khususnya Umno, media arus perdana, pegawai tinggi kerajaan, pegawai unit kawalan penerbitan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau anggota polis Cawangan Khas (SB).
Apakah mereka benar-benar memahami hasrat Pak Lah itu?
Kenyataan beliau, seperti dilaporkan, nampak sekali imbas jelas dan jujur tetapi apakah "makna tersirat" kepada unit-unit penting saluran maklumat seperti menteri kabinet, media massa, pentadbir universiti, KDN dan polis?
Jika ada secebis kejujuran dalam kenyataan itu, sejauh mana pula "batasan kebenaran" yang sanggup Pak Lah dengar atau mahu dilaporkan oleh media, KDN atau polis kepada perdana menteri?
Saluran komunikasi
Apakah muncul kesan-kesan buruk jika mereka berterus-terang kepada Pak Lah atau kerajaan? Apakah media massa boleh membuka ruang kepada bijak pandai kita menulis dengan lebih jujur mulai saat ini?
Pertanyaan ini tidaklah bermaksud meragui niat perdana menteri yang baru sahaja berkuasa sejak 17 hari lalu. Tetapi kebenaran yang beliau ingin dengar harus melalui saluran-saluran komunikasi dan maklumat datang melalui peringkat-peringkat pengawal (gatekeepers).
Walaupun Pak Lah jujur seratus peratus untuk mendengar realiti seadanya, tetapi belum tentu saluran dan pengawal komunikasi ini dapat menghayatinya. Apatah lagi jika kenyataan beliau itu ibarat slogan ‘Bersih, Cekap dan Amanah’ (BCA) Dr Mahathir Mohamad.
Bunyinya indah sebagai slogan kempen ketika menghadapi pilihan raya umum 1982 tetapi sejarah kemudian membuktikan sebaliknya. Tidak lama selepas itu, pelbagai skandal kewangan berbangkit, termasuk yang dibocorkan dengan bukti-bukti konkrit oleh kumpulan-kumpulan penentang presiden, masing-masing dalam Umno, MCA dan MIC.
Skandal, penyelewengan dan salahguna kuasa muncul satu demi satu, termasuk yang didedahkan oleh Ketua Audit Negara, sehingga tahun 1980-an lebih mudah diingat sebagai dekad hodoh daripada slogan manis BCA.
Ketika berdepan dengan kritikan serta pendedahan skandal-skandal besar ini, Dr Mahathir secara terancang menutup ruang-ruang kebebasan melalui penggubalan (atau pindaan) Akta Rahsia Rasmi dan Akta Penerbitan & Mesin Cetak.
Rasa curiga
Tindakan keras ke atas pengkritik pun bermula – walau di peringkat awal, Dr Mahathir dipuji kerana membebaskan ramai tahanan akta ISA – sehingga perlahan-lahan membekukan kampus, media, kesatuan sekerja dan melemahkan kumpulan masyarakat madani (NGO).
Justeru, muncul kesinisan terhadap kepimpinan negara. Banyak bicara manis Dr Mahathir dicurigai oleh orang ramai. Malah, keindahan slogan kempen atau pelaksanaan dasar awam tertentu ditafsirkan mempunyai niat-niat buruk.
Jika tidak bertujuan menyekat kebebasan bersuara pengkritik, dasar-dasar itu dikatakan untuk mengkayakan kroni sendiri, misalnya melalui projek penswastaan atau pembentukan kelas perdagangan dan industri Bumiputera.
Atau slogan-slogan itu – misalnya Kepimpinan Melalui Teladan – sekadar bermanis kata sahaja demi mendapatkan mileage atau kelebihan politik tetapi tidak mempunyai apa-apa makna, guna dan kesan.
Perdana menteri yang baru, ketika dia berhasrat mendengar kebenaran daripada orang ramai minggu lalu, harus memikul sebahagian besar rasa ragu-ragu ini. Tidak ganjil jika kecurigaan datang daripada parti-parti pembangkang, NGO atau pengkritik.
Tetapi jika rasa ragu-ragu itu datang daripada anggota kabinet, pemimpin Umno, media massa arus perdana, KDN dan SB sendiri, bagaimana? Maksudnya, mereka tidak berasa perlu mempunyai cara berfikir baru, cara bekerja baru, tingkah laku baru dan nilai baru yang serasi dengan kenyataan Pak Lah untuk menggali kebenaran dari masyarakat.
Cakap politik
Jika BCA boleh dijadikan slogan bagi satu kempen, malah seolah-olah sejenis dasar awam, masih lagi menemui kegagalan, apakah kita boleh berharap pada kenyataan akhbar Pak Lah yang belum konkrit?
Kedudukan beliau sama seperti BJ Habibie, selepas menggantikan presiden Soeharto, yang tidak berani memansuhkan permit penerbitan di Indonesia walaupun terpaksa membiarkan akhbar dan majalah baru diterbitkan.
Hakikatnya, kenyataan Pak Lah itu lebih lemah dan tanpa asas politik berbanding tindakan Habibie dalam kes ini. Kenyataan beliau itu, sama ada di Dewan Rakyat atau di konvensyen MIC, bukannya dasar konkrit yang ada locus standi perundangan tetapi semata-mata kenyataan seorang pemimpin politik.
Dr Mahathir sendiri berulang-ulang kali berkata ingin memerangi rasuah, seperti juga kenyataan Pak Lah, tetapi siapa yang percaya pada kata-kata ini? Kenyataan seorang ahli politik sudah lama dipandang curiga dan hati-hati. Jadi Pak Lah harus sedar bahawa wujud jurang antara niatnya dengan kepercayaan orang ramai.
Apatah lagi dia mewarisi budaya politik daripada seorang tokoh seperti Dr Mahathir – pemimpin yang sangat licik, sukar diduga, kata-katanya boleh memberi isyarat berbeza-beza atau tidak mungkin ditunaikan sama sekali!
Namun begitu, jika Abdullah benar-benar jujur dan dibantu oleh media massa arus perdana yang memahami niat beliau, apakah rakyat bersedia untuk bercakap benar? Apakah ada jaminan penganiayaan terhadap Hang Nadim (ketika Singapura dilanggar todak) tidak berlaku apabila kita bercakap benar?
Kebimbangan
Apakah rakyat sudah hilang kebimbangan daripada dikenakan tindakan disiplin (jika kakitangan awam), dipinggirkan daripada menerima projek serta anugerah (jika usahawan atau budayawan) atau diawasi SB (jika seorang pembicara di seminar)?
Apakah selepas ini ahli akademik, cendekiawan atau profesional kita akan mula bersuara secara terbuka mengikut hasil kajian, renungan dan kepakaran mereka tentang isu-isu nasional walaupun bertentangan dengan pandangan rasmi kerajaan?
Berkata benar, seperti juga konspirasi membisu (conspiracy of silence) atau kesan-kesan buruk ‘Sindrom Stockholm’ (Stockholm Syndrome), merupakan sejenis pembudayaan dalam masyarakat.
Kata orang Melayu, "Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri."
Budaya bercakap benar mesti disokong dengan mekanisme dan perundangan yang menghargai kebenaran serta menyelamat penyampainya.
Kemudian bertindak untuk mengatasi kelemahan atau menghukum penyelewengan agar tidak muncul pula budaya impunity (lepas bebas daripada hukuman walaupun bersalah) dan rasa sia-sia selepas berkata benar.
Tulisan ini asalnya diterbit dalam Malaysiakini.com (17 November 2003). Ia diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@yahoo.com
No comments:
Post a Comment